Rhett Raffendy cekalkan hati tempuh perjalanan beribu kilometer jauhnya demi Deila Araferro. Dengan keadaan tubuh lemah dan kecederaan yang belum sembuh sepenuhnya, beberapa kali juga dia hampir terbabas melanggar penghadang jalan dan terjun masuk ke gaung.
Kerana mahu cepat, Rhett lupa yang dia punya cara mudah untuk sampai ke kampung halaman Deila lebih cepat. Sepenggal perjalanan dan hampir maut, baru dia ingat yang dia boleh je minta bantuan Tok Teh! Melihat wajah bersalah papa semasa di hospital, Rhett tahu papa takkan halang dia.
Tapi tula, sekarang nak patah balik pasti makan banyak masa. Rhett terpaksa teruskan perjalanan walau pun tubuh sudah terlalu letih dan semakin lemah. Hanya tinggal beberapa kilometer untuk sampai ke simpang masuk kampung Deila, kereta pacuan empat roda Rhett dicantas laju oleh sebuah kereta pacuan empat roda bercermin gelap.
Rhett sempat melihat nombor plat kereta itu. Kod depan sama seperti nombor plat keretanya. Bererti kereta tersebut dari bandar. Beberapa kali melalui jalan kampung itu, jarang Rhett lihat kereta besar terutama dari bandar besar lalu di situ.
Dada tiba-tiba bergetar. Takkan papa hantar orang suruhan untuk ekori dia? Kalau betul, apa tujuan papa? Mahu pisahkan dia dengan Del ke? Rhett jadi resah dengan apa yang bermain di fikiran. Kelajuan kereta ditingkatkan.
Dada semakin berdebar bila Rhett lihat kereta di depannya membelok masuk ke simpang kampung Deila. Rhett ekori di belakang. Kelajuan kereta dikendurkan kerana jalan agak sempit. Rhett hembus nafas lega apabila kereta tersebut berhenti di tepi jalan, berhampiran sebuah rumah. Sempat Rhett lihat seorang lelaki memakai topi dan cermin mata gelap turun dan berbual dengan tuan rumah.
Rhett teruskan perjalanan. Dada terasa lapang kini. Dia yakin lelaki itu adalah anak kepada tuan rumah tepi jalan tu yang bekerja di bandar. Rhett menekan break ketika dia tiba di depan sebuah kedai runcit. Bangunan kecil yang tertutup rapat itu kelihatan terbiar dipenuhi debu. Kawasan sekeliling penuh dengan semak samun.
Rhett memandang sayu. Terlalu banyak kenangan dia di situ. Teringat pertemuan kali kedua dia dan Deila di depan kedai runcit itu. Teringat saat dia lari lintang pukang keliling kedai dikejar Deila. Teringat saat dia goda Deila dan terciduk oleh Amirul. Argh, alangkah indah memori bersama gadis itu. Dia harap kedai runcit itu hidup dan bersinar semula seperti dahulu. Dia mahu ramai penduduk kampung dan kanak-kanak tersenyum ceria bila datang ke kedai itu. Ya, selepas semuanya selesai, dia akan hidupkan semula suasana itu bersama Del. Itu tekad Rhett.
Rhett memandu pergi. Dia mahu cepat-cepat ke rumah opah dan jumpa Deila. Rhett yakin Deila pasti ada di rumah itu. Del tidak punya siapa-siapa. Del sayangkan rumah separuh kayu sederhana besarnya itu. Rumah itu banyak menyimpan kenangan Del bersama arwah ibu, bapa dan opahnya. Tak mungkin Del sanggup tinggalkan rumah itu lama-lama. Itu yang ada di fikiran Rhett.
SEMENTARA itu, kelihatan Nenek Jiah sedang duduk berbual dengan Deila di pangkin depan rumah opah. Sebuah pokok ketapang berdaun rimbun memayungi mereka berdua.
“Jangan risau Del, nenek ada je untuk jaga rumah ni. Pergilah kalau itu yang terbaik untuk kau. Nenek yakin, Mirul akan jaga kau sebaiknya.” Lembut suara Nenek Jiah memujuk. Lapang dada Deila dengar. Melihat Nenek Jiah, rasa rindu pada opah sedikit terubat.
“Terima kasih, nek.” Deila peluk erat lengan Nenek Jiah. Kepala dia sandar di bahu Nenek Jiah. Dia suka bau Nenek Jiah, macam bau opah.
“Mirul kata kau dah cerai dengan budak bandar tu. Betulkah?” Laju Deila angkat kepala. Nenek Jiah senyum sumbing.
“Maafkan nenek, bukan maksud nak menyibuk tapi… budak Rhett tu baik. Nenek suka, opah kau pun suka. Kenapa boleh bercerai berai? Pasal si Puteh tu ke?”
Deila ketap rahang. Mirul ni kan, kalah indung segala bawang. Habis dicanang dekat orang kampung penceraian dia. Dia tak cerai lagi! Naik mahkamah pun belum. Cis!
“Mirul tu suka besar-besarkan cerita nek. Memanglah kami dalam proses bercerai, tapi belum sah cerai lagi. Bukan salah siapa-siapa nek, anggap je jodoh kami tak panjang.” Ada rasa sayu pada suara yang dilontar tetapi Deila tetap ukir senyum. Ya, dia bakal bergelar janda tapi bukan bererti dunianya akan berakhir. Perjalanan dia masih jauh. Dia harus sekuat ibu.
“Budak Rhett tu cintakan kau, dia benar sayangkan kau Del. Pasti ada yang berlaku sampai korang boleh jadi macam ni.” Nenek Jiah ulas, jelas terpancar riak tidak puas hati di wajah penuh kedut itu.
“Nek, nasib Del sama macam ibu. Perkahwinan kami tak direstui. Rhett sudah ada kekasih hati dan mereka bakal kahwin. Del pilih untuk undur diri dengan rela hati.”
“Macam tu ke? Masalahnya, benarkah Rhett cintakan perempuan tu? Kalau benar, kenapa Rhett sungguh-sungguh nak kahwin dengan kau?” Pertanyaan Nenek Jiah buat Deila tertampar. Air ludah ditelan perit.
“Rhett sanggup lalui macam-macam perkara untuk halalkan kau, Del. Itu bukti bertapa Rhett cintakan kau. Selepas Rhett kembali ke bandar, dia boleh je lupakan kau dan kahwin dengan kekasih hati dia tu. Tapi, Rhett kembali kerana kau. Tak cukup lagi ke semua tu untuk buktikan yang Rhett benar-benar sayangkan kau? Kenapa mahu undur diri? Itu seksa diri namanya.”
Ah, Nenek Jiah tak faham! Kalau dia terus bertahan, lebih seksa berbanding jika dia lepaskan semuanya. Batin Deila mengeluh. Tapi mahu suarakan, rasanya tiada kepentingan. Semua sudah terlambat.
“Perjalanan hidup kita ni sentiasa berliku-liku, Del. Tiada jalan mudah. Nak tak nak, kita kena hadap semuanya dengan hati yang tabah. Paling penting, jangan ada penyesalan di kemudian hari kerana kita takkan mampu putarkan waktu untuk kembali ke masa lalu. Jangan mengalah sebelum berjuang, Del.“
“Tapi… Del tak kuat, nek. Del tak nak lebih banyak hati terluka jika Del teruskan. Hati Del juga terluka nek, teruskan atau putuskan… dua-dua buat Del sakit. Del cuma nak semua orang happy.” Berkaca-kaca mata Deila ketika menutur kata. Nenek Jiah peluk bahu Deila. Dia faham apa yang dialami oleh Deila.
“Nenek pernah berbual dengan arwah ibu kau. Nenek tak pernah cerita pada opah kau. Dhiah kata dia menyesal kerana lari dan tak perjuangkan cintanya. Kalau dia berjuang, lelaki itu mungkin akan melindungi dia dan anak itu. Mungkin Del. Kita tak mampu menjangka apa berlaku di hadapan. Tapi, kalau tak buat.. pasti ada rasa menyesal. Apa yang Nenek nampak, kau pilih untuk lari dari masalah. Nenek lebih dulu rasa pahit manis kehidupan ni dan nenek tahu bagaimana rasanya dihimpit penyesalan kerana rasa takut mahu buat keputusan, akhirnya memilih untuk tidak buat apa-apa. Rhett budak baik. Nenek tahu dia pasti akan menyebelahi kau, berjuang bersama kau. Andai berpisah juga, sekurang-kurangnya kau tiada penyesalan kerana telah cuba sedaya upaya.”
Deila tertunduk sayu. Air mata yang mengalir perlahan ke pipi diseka. Dia akui ada benarnya kata-kata Nenek Jiah. Dia penakut! Dia lari dari masalah. Dia tidak mahu berjuang demi cinta. Dia digelangi kisah lampau. Kisah tragis ibu dan papa Rhett.
“Penyesalan terbesar Dhiah adalah kehilangan an… eh, tak… anu…” Pantas Nenek Jiah cekup mulut dengan tapak tangan. Deila angkat wajah, merenung Nenek Jiah yang kelihatan tergagap-gagap.
“Kehilangan apa, nek?” Tanya Deila kurang faham. Bingkas Nenek Jiah angkat punggung.
“Kehilangan cinta sejati. Nenek balik dululah. Nak bagi ayam itik makan.” Terkocoh-kocoh Nenek Jiah pergi usai beri jawapan. Terpinga Deila memandang.
Baru mahu angkat punggung, Deila dengar bunyi motorsikal Amirul menghampiri. Deila batalkan niat dan tunggu Amirul di pangkin.
“Dah sampai ke mana kau canang berita penceraian saya, Mirul?” Deila terus hambur bila Amirul berjarak dua meter di depannya. Mati mendadak langkah Amirul. Sengih senget ditayang.
“Mana ada saya canang. Kau ni kan, asyik menuduh je! Saya cuma terlepas cakap pada Nenek Jiah je.” Nafi Amirul dengan wajah sungguh-sungguh.
“Kau tau hal macam ni cepat je tersebar dekat kampung ni kan? Kau memang sengaja nak menyusahkan saya! Sengaja nak saya dipulau oleh orang kampung kan?!” Amirul undur beberapa langkah bila lihat Deila sudah berdiri tegak sambil cekak pinggang.
“Sabar Del, hal boleh bincang okay? Tak payah kisah tentang orang kampung. Kita dah nak keluar dari kampung ni pun. Jangan marah okay? Sumpah saya tak sengaja!”
“Kita?! Siapa nak keluar kampung dengan kau hah?! Saya tak nak terus jadi bahan umpatan, Amirul! Semua pasal mulut kau! Nak ke mana kau? Jangan lari! Amirul!!!”
Amaran Deila seperti angin lalu bila Amirul lari lintang pukang mendapatkan motorsikalnya. Dia tahu bahaya sedang menantinya ketika dia lihat wajah merah padam Deila.
“Amirul!!!”
Tangan Deila yang terayun ke arah Amirul pantas Amirul rentap. Deila terdorong ke depan lalu melanggar tubuh Amirul.
“Lepaskan saya, Mirul!”
Amirul sengih lebar lalu menarik belakang tubuh Deila hingga tiada lagi ruang di antara mereka. Bulat mata Deila memandang Amirul.
“Apa kau kata tadi? Kau tak nak pergi dengan saya? Habis tu, kau nak balik ke bandar dan merayu pada lelaki tak guna tu ke Deila?”
Terbakar bila dengar kata-kata sinis Amirul. Deila meronta, mahu lepaskan diri. Suka hati je Amirul ni. Dahlah nama dia dah busuk di kampung itu! Amirul okaylah, dia anak ketua kampung. Siapa yang berani kutuk?
“Lepaskan saya, Mirul! Kau dah gila ke?”
“Jawab dulu soalan saya, Del! Kau betul mahu balik kepada Rhett ke?” Amirul tinggikan suara. Setiap kali Deila abaikan persoalan dia tentang lelaki bandar itu, Amirul rasa tercabar! Hati bagai dipanggang.
“Tak Amirul! Saya tak perlukan Rhett!” Deila bertempik. Rasa marah membuak. “Puas hati? Now, let me go, Mirul! Perbuatan kau sekarang ni macam manusia tak cukup didikan agama!”
Mati sengih sumbing Amirul. Merah kuping telinga dengar sindiran pedas Deila. Perlahan, Amirul melonggarkan perlukan. Deila tolak kasar tubuh Amirul menjauh. Sakit benar hati dia dengan kelakuan Amirul tadi. Kalau bergurau sekali pun, tak perlu berlebihan macam tu. Kaw-kaw dia sembur Mirul. Padan muka!
“Habis tu… bagaimana dengan rancangan kita? Saya dah siap mahu berhijrah ke tempat baru bersama kau, Del.”
Deila yang masih terkesan dengan perbuatan Amirul tadi terus mencebik. Wajah dibuang jauh-jauh.
“Saya tak bagi persetujuan mahu ikut kau, Mirul. Saya boleh buat sendiri. Saya tak perlu kau, Rhett atau siapa pun!” Deila jawab tanpa fikir panjang. Berubah wajah Amirul. Dia pusing badan dan buka langkah gontai menuju ke motorsikanya.
Deila pandang tajam. Merajuklah tu! Jenuh nak hadap perangai Amirul. Tak kuasa dia nak pujuk-pujuk. Deila pusing tubuh, melangkah laju menuju ke rumah opah.
Amirul yang tersakiti direjek dengan kejam itu menghidupkan enjin motorsikal. Sengaja dia pulas minyak enjin kaw-kaw biar berdengung corong telinga Deila. Ketika keluar dari halaman rumah opah, Amirul berpapasan dengan beberapa orang lelaki yang baru keluar dari sebuah kereta pacuan empat roda. Amirul menekan brek. Topi keledar ditanggalkan. Satu persatu wajah asing itu ditenung.
“Korang bukan orang sini kan? Nak cari siapa?” Amirul tanya salah seorang dari lelaki itu.
“Ya, saya nak jumpa saudara jauh.” Lelaki itu jawab acuh tak acuh. Amirul kerut dahi. Ah, mungkin keluarga Nenek Jiah atau Pak Mudin yang tinggal di hujung simpang. Batin menjawab. Amirul sarung kembali helmet di kepala lalu teruskan perjalanan.
Amirul hampir melanggar sebuah pacuan empat roda yang tiba-tiba berhenti di bahu jalan dan buat U-Turns. Amirul kelam kabut ke tepi untuk beri laluan kepada kereta besar itu. Kereta yang tiba-tiba menukar arah tu satu geng dengan lelaki-lelaki tadi tu ke? Amirul biarkan soalan dalam minda tak berjawab lalu kembali meneruskan perjalanan selepas kereta itu berlalu.
Deila yang sudah berada di depan pintu terus mencarut bila dengar enjin motorsikal Amirul mengaum-ngaum membingitkan telinga. Perangai Amirul ni kadang tak padan langsung dengan usia!
Mahu saja dia teriak memarahi Amirul, tapi terkocoh-kocoh pula Amirul pergi. Macam tau-tau saja dia mahu mengamuk, cis! Sejurus selepas Amirul lesap, Deila tidak jadi masuk ke dalam rumah bila dia lihat ada beberapa lelaki sedang berjalan menghampiri rumah opah. Buat beberapa saat, Deila hanya terpacak dan perhati.
Namun, semakin menghampiri, Deila mulai rasa tidak sedap hati. Perlahan, Deila capai tombol pintu. Belum sempat dipulas, Deila lihat salah seorang dari lelaki itu menarik sesuatu dari jaket kulit berwarna hitam yang dipakai. Terbelalak mata Deila melihat sepucuk pistol diacu ke arah dia.
Zhup!
Hanya bunyi berdesup, tiada bunyi letupan membingitkan telinga yang bisa buat jantung luruh dari tempatnya. Senjata yang digunakan itu biasanya jadi kesukaan pembunuh upahan kerana ia tidak menghasilkan bunyi yang kuat.
Deila terundur bila sesuatu mendorong tubuhnya hingga dia rebah di atas lantai. Deila yang masih terkejut bertambah-tambah terkejut ketika satu suara menyapa lemah pendengaran.
“Del… run…”
Share this novel
rhet yg kena