BACAAN doa daripada Imam di aminkan oleh para jemaah. Rizal turut meraup wajahnya setelah bacaan itu selesai. Para jemaah mulai bangkit berdiri dan mula bersalaman sesama mereka. Rizal tidak terkecuali. Raut wajah lelaki itu terlihat lebih ceria walaupun ketika itu masih subuh. Sejak diajak oleh Amira untuk solat berjemaah di masjid dua hari lepas, Rizal kini mulai menjaga solatnya. Setiap kali azan dialungkan, lelaki itu akan segera bergegas menuju ke surau yang berdekatan dengan rumahnya.
Dalam dua hari ini, hatinya terasa lebih tenang dan tenteram. Rizal sudah berniat untuk tidak lagi meninggalkan solatnya. Walaupun kadang kala hatinya masih terasa berat untuk menunaikan kewajipan tersebut, namun Rizal tetap berkeras dan menguatkan hatinya. Untuk tetap menjaga solatnya lima kali sehari, Rizal tidak akan menunggu lama. Setelah kedengaran laungan azan, dia segera akan bergegas menuju ke surau. Dia tidak ingin berlengah atau bermalas-malasan. Dia meyakini, sikap malas untuk menunaikan solat itu adalah satu bisikan daripada syaitan. Mahu atau tidak, dia akan segera menuju ke surau. Rizal sedar,jika dirinya sudah berada di surau, sikap malas untuk solat yang memberati hatinya akan segera hilang. Dia sudah tiada alasan untuk meninggalkan solat jika dirinya sudah tiba di surau. Itulah keyakinan Rizal.
Turun dari tangga surau, suasana sekeliling masih terlihat kelam. Cahaya matahari masih samar-samar diwaktu subuh itu. Rizal harus segera pulang ke rumahnya dan bersiap-siap untuk menuju ke tempat kerja. Rizal sendiri tidak tahu, entah kenapa pagi itu hatinya terasa begitu senang dan tenang. Kicau burung yang baru keluar dari sarang juga terdengar sangat mengasyikkan, menambahkan ketenangan kepada lelaki tersebut. Rizal mula beradaptasi baik dengan suasana luar bandar. Suasana di sana terasa jauh lebih tenang jika dibandingkan dengan rumah orang tuanya yang berada di sekitar bandar.
DI pejabat, Amira tekun melakukan pekerjaannya sebagai seorang pembantu tadbir. Gadis itu ingin bersikap amanah terhadap kerjanya. Dia yang baru bekerja itu hanya diberikan tugas yang mudah seperti memasukkan data ke dalam sistem komputer. Setelah lebih dua minggu bekerja di sana, Amira sudah mula terbiasa dengan tugasannya. Segala arahan daripada pihak atasan dilakukannya dengan sebaik mungkin.
Namun dalam sikap sederhana yang dimiliki oleh gadis itu, terdapat beberapa mata yang tidak senang dengan kehadirannya di sana. Salah seorang darinya adalah Liza, seorang pembantu tadbir senior di Jentayu Emas. Dia adalah pekerja lama dari pejabat pusat Jentayu Emas dan baru di hantar bekerja untuk menguruskan cawangan baru di sana.
Sejak dari awal kedatangan Amira di sana, Liza sudah tidak menyenanginya. Wanita yang suka merias wajahnya dengan alatan solek dan sentiasa berpakaian sedikit terdedah itu mungkin terasa iri dengan kecantikan Amira yang terlihat jelas secara semulajadi. Walaupun tidak mengenakan sebarang solekan, namun kecantikan Amira agak terserlah, mempamerkan kecantikan seorang gadis melayu. Malah Amira sangat disenangi oleh ramai rakan kerja yang lain, membuatkan Liza semakin iri hati.
Setelah sekian lama mencari peluang untuk mengenakan Amira, Liza akhirnya mendapat peluang. Kini dia mempunyai alasan untuk menyusahkan Amira, malah mungkin akan membuatkan Amira dibuang kerja. Dia mendapatkan beberapa fail yang mengandungi pelbagai jenis dokumen dan mula mendekati Amira.
Fail yang bertimbun itu diletakkan di atas meja kerja Amira. Amira yang kebingungan hanya melihat ke arah Liza.
"Kau siapkan semua urusan pasal projek kat Taman Megah Utara ni.. selesaikan segala akaun mengenai projek tu.. jangan ada kesalahan.. pagi esok aku nak kau serahkan hasil kerja tu, nanti nak audit pulak.. kalau ada kesalahan, kau kena bertanggung jawab." Liza memberikan arahan.
"Eh, saya baru je kerja.. mana la saya tahu buat akaun.. kan saya masih dalam tempoh percubaan.. skop tugas kerja saya sekarang hanya key in data je.." Amira cuba menolak kerana tugas yang diberikan Liza itu berada diluar bidang tugas kerjanya.
"Kalau tak buat, sampai bila pun kau tak tahu.. buat akaun tu salah satu tugas kau.. kalau setakat nak key-in data je, baik kau jadi peon.. tak payah jadi kerani." Liza tetap berkeras. Dia benar-benar ingin menyusahkan Amira walau apa cara sekali pun.
"Tapi, saya banyak lagi data nak kena key-in ni.. mana sempat nak siapkan semua pasal projek tu hari ni.. lagipun saya mana tahu buat akaun.. setidaknya, ajar la dulu macam mana saya kena buat.." Amira masih memberikan dalih.
"Dah! tak payah nak bagi alasan.. apa pun caranya, kau kena siapkan akaun pasal projek Taman Megah Utara tu hari ni.. pagi esok hantar!" Liza tidak ingin memberi ruang kepada Amira untuk mengelak. Wanita itu segera melangkah pergi, meninggalkan Amira yang masih kebingungan.
Amira mula menghembuskan nafas kasar yang berbaur keluhan. Dia memejamkan mata sambil kepalanya sedikit terngadah.
"Mati la aku macam ni.. macam mana nak buat semua ni.." Amira semakin gusar. Dia benar-benar mati akal untuk menyiapkan rencana yang sudah diberikan kepadanya oleh Liza.
MENJELANG waktu petang, beberapa orang pekerja sudah mulai pulang dari pejabat. Rizal yang turut bersedia untuk pulang dan membuka gerai burgernya mula berjalan menuju ke arah motosikalnya. Sampai ditempat parkir motosikal, Rizal baru ingin menghidupkan enjin kenderaannya, namun membatalkan hasratnya. Dia melihat motosikal Yamaha Ego S yang digunakan oleh Amira masih berada ditempatnya.
"Aik, Mira tak balik lagi? Rizal mula merasa aneh. Padahal gadis itu selalu pulang tepat waktu. Rizal turun semula dari motosikalnya dan menuju semula ke arah pejabat.
Tiba di ruangan pentadbiran, Rizal langsung melihat Amira yang masih berada di meja kerjanya. Lelaki itu tersenyum. Fikirnya Amira pasti mahu menyelesaikan urusan kerjanya terlebih dahulu sebelum pulang. Baru sahaja Rizal ingin berpatah balik, Amira menjatuhkan kepalanya ke meja.
"Aaa..mati la aku macam ni.." Amira seakan mahu menangis kerana tidak mampu menyelesaikan tugas yang diberikan kepadanya.
Ucapan gadis itu serta merta menarik perhatian Rizal. Dia melihat ke sekeliling ruangan. Ketika itu, hanya Amira seorang yang masih tersisa di sana. Lelaki itu lalu membatalkan hasratnya untuk pergi malah mula mendekati Amira yang berada di meja kerjanya.
"Mira.. kenapa tak balik lagi?" Rizal bertanya.
Amira yang mendengar suara Rizal dari arah belakangnya terus mengangkat kepala lalu berpaling. Setelah melihat Rizal, Amira langsung mengerutkan dahinya dan memuncungkan bibir.
"Aaa... macam mana saya nak balik.. saya kena siapkan semua akaun pasal projek syarikat kat Taman Megah Utara hari ni jugak.. pagi esok nak kena hantar.. saya mana la pandai buat akaun.. padahal tugas saya selama ni hanya key-in data je.. kalau macam ni, tak balik la saya sampai esok.."Amira menghentak-hentakkan kakinya ke lantai.
Mendengar alasan Amira kenapa dia belum pulang membuatkan Rizal mula merasa kasihan. Lelaki itu sedikit terhibur dengan sikap Amira yang seakan kebudak-budakkan dan mula menguntumkan senyum.
"Awak nak perli saya la tu, duk senyum-senyum.. saya ni dah separuh mati duk fikir, macam mana nak buat akaun ni.. kalau tak siapkan sebelum pagi esok, mati la saya.. silap-silap kena buang kerja.."
"Saya tak perli la.. saya dah pelik tengok motor awak ada lagi kat depan tu.. itu yang saya datang jenguk.. rupanya ini je masalah awak." Rizal segera membalas.
"Ini je? awak cakap masalah saya ini je? saya ni nak pecah dah kepala duk fikir.. padahal tugas ni bukan kerja saya.. tapi Liza tu saja nak menyusahkan saya.. Hmm.. tapi kalau saya tak siapkan, nanti esok saya pulak yang akan dipersoalkan.. saya pun bingung dah.. tak tau macam mana nak selesaikan akaun ni.." Amira meluahkan rasa geram.
"Dah.. biar saya tolong.. mana semua dokumen pasal projek tu? Sini saya ajarkan awak." Rizal lantas menawarkan bantuan.
"Eh, awak pandai ke buat akaun?"
"Boleh la sikit-sikit.. saya pernah belajar masa kat sekolah dulu.." Rizal cuba berjenaka dalam jawapannya. Padahal dia sendiri adalah lulusan universiti luar negara dalam bidang perniagaan. Setakat membuat akaun bagi syarikat, itu adalah hal yang sangat mudah dan merupakan prinsip asas dalam perniagaan.
"Hmm, okey..mula-mula saya ajarkan macam mana nak buat buku tunai, lejar.. then buat pulak imbangan duga untuk pastikan aliran wang keluar masuk tu seimbang dan tepat.. kalau imbangan duga awak tak seimbang antara debit dan kredit, maknanya awak ada buat kesalahan.." Rizal mula mengajar perlahan-lahan.
Semakin lama, Amira semakin kehilangan fokus dan seolah sudah tidak mendengar apa yang sedang diajarkan oleh Rizal. Gadis itu terpegun dengan pengetahuan dan kemahiran Rizal dalam akaun. Matanya hanya menatap Rizal yang sedang berbicara. Namun isi percakapan lelaki itu sekadar angin lalu yang terdengar di telinganya. Ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Amira terpaku, kagum dengan Rizal.
"Mira.. Mira.. Mira! Awak dengar tak apa yang saya cakap ni?" Rizal menguatkan suaranya apabila melihat Amira semakin jauh mengelamun. Mendengar suara keras Rizal, Amira langsung terpinga-pinga.
"Aah, apa? apa dia?"
Rizal menepuk dahi.
"Aduh, saya duk bercakap panjang lebar, sepatah haram pun awak tak dengar?" Rizal mengeluh.
"Tak..bukan macam tu.. saya sebenarnya terkejut.. saya kagum dengan awak.. macam mana awak boleh tahu banyak benda pasal akaun ni? takkan setakat belajar kat sekolah je? padahal awak pun dah lama tak bersekolah.. takkan tak lupa langsung.." Amira meluahkan rasa penasarannya.
"Laa.. benda ni basic je kot.. senang sangat.. takkan la saya lupa.. dah, saya ulang lagi.. dengar baik-baik.." Rizal tersengih setelah menerima pujian.
"Eh, tapi bukan ke awak nak balik, nak berniaga lagi? barang burger pun tak beli lagi kan?" Amira mula merasa bersalah. Seolah dirinya sudah menjadi beban kepada Rizal.
"Ish, burger tu nanti la.. kalau tak berniaga hari ni pun takde masalah.. sekarang ni awak yang sedang dalam masalah.. Awak dah banyak tolong saya selama ni.. sekarang sampai masa, saya pulak tolong awak.. awak jangan risau, hari ni saya akan ajar awak, sampai awak pandai.. kita siapkan akaun ni hari ni jugak.." Rizal membalas. Amira mula tersentuh apabila mendengar kata-kata lelaki tersebut. Dia tidak menyangka, Rizal bersungguh-sungguh untuk membantunya.
Lebih sejam Rizal mengajar Amira sambil menunjukkan cara untuk membuat akaun. Matahari juga sudah semakin penat bekerja dan hampir terperosok diufuk barat. Langit senja semakin menghampiri, menandakan bakal tiba waktu malam tidak lama lagi. Amira dan Rizal juga mula mengambil keputusan untuk menyambung tugasan yang dilakukan pada malam nanti di rumah Amira.
Sungguh tidak manis jika mereka yang berbeza jantina itu berada di pejabat pada waktu malam tanpa kehadiran orang lain. Amira terpaksa membawa segala dokumen yang berkaitan untuk dibawa pulang. Setidaknya dirumah Amira, masih ada Anas dan ibu Amira yang menemani untuk mengelak dari timbulnya fitnah.
Malam itu, setelah selesai menunaikan solat Isyak, Rizal segera menuju ke rumah Amira. Di sana, dia menyambung kembali pengajarannya mengenai akaun di laman rumah sambil ditemani Anas yang berjualan burger di situ.
Jam menunjukkan hampir pukul 12 malam. Akhirnya tugasan Amira berjaya disiapkan. Gadis itu benar-benar gembira dan bersyukur di atas bantuan Rizal.
"Akhirnya selesai jugak kerja saya ni.. terima kasih Rizal.. awak dah banyak tolong saya." Amira meluahkan rasa syukur di atas bantuan lelaki tersebut.
"Ah, takde apa-apanya.. awak pun dah banyak tolong saya selama ni.. kita saling tolong menolong je la.. kita jaga kita.. kita kan kawan.." Rizal turut gembira kerana berjaya membalas budi Amira kepadanya.
"Tapi.. awak pandai betul dalam akaun.. kenapa awak tak kerja jadi akauntan je? paling tak pun, kenapa tak apply jadi pembantu tadbir je? itu kan lebih bagus dari jadi cleaner?" Amira meluahkan pendapat dengan sebuah pertanyaan.
"Jadi awak pun nak kata jadi cleaner tu tak bagus la?" Rizal sengaja ingin menduga.
"Tak..bukan macam tu maksud saya. tapi awak kan ada kelebihan dalam akaun.. sepatutnya awak boleh dapat kerja lebih baik."
"Hmm, tapi dah tertulis rezeki saya macam ni.. nak buat macam mana kan." Rizal masih tidak ingin mengungkapkan kebenaran mengenai dirinya.
Amira terbungkam sambil mengangguk. Dia mulai sedar, sehebat atau sepandai apa pun seseorang, namun rezekinya tetap juga ditetapkan oleh Allah. Bukan ditentukan oleh kepandaian atau kemahirannya. Bahkan ramai sahaja orang yang memiliki kepandaian dalam suatu bidang namun berkerjaya di dalam bidang yang lain. Malah begitu ramai graduan bijak pandai lulusan universiti namun tetap jua hidup dalam pengangguran atau bekerja dengan jawatan dan gred gaji yang rendah. Itu semua adalah rezeki yang sudah diaturkan oleh Allah. Dari situ, Amira mula bermuhasabah. Segala yang terjadi pasti ada hikmahnya.
Share this novel
ketinggalan selalu baca citer
cerita baru tahniah