SAAT kaki melangkah masuk ke dapur, mata Farsya melilau mencari kelibat adik iparnya apabila disitu hanya tubuh ibunya saja yang bertungkus lumus mengemas ruang dapur yang masih berselerak.
"Intan mana Mi? Kenapa Ami yang buat?" Soalnya lalu menarik sebuah kerusi sebelum punggung dilabuhkan dipermukaan kerusi itu.
"Entah. Tadi katanya nak tidurkan anak. Sampai dah isyak ni, agaknya dengan dianya lah tu tidur sekali." jawapannya puan Syarifah mengundang cebikan menyampah dari Farsya.
"Lepas tu kenapa Ami buat? Tinggal je lah, biar dia buat esok." Sejak Aniq menikahi wanita itu, memang hatinya tidak berkenan dengan sikap Intan. Malas dan suka membentak. Hanya mahu ikut kepala sendiri saja.
"Biarlah, kak. Malas nak bising-bising. sikit je ni." Jawab Puan Syarifah lalu mencapai sehelai tisu dapur buat mengeringkan tangannya yang basuh seusai mencuci pinggan kotor.
"Patutnya, akak yang kena buat. Bukan kak Intan." Bidas Fariha yang terdengar saat dia masuk ke ruangan dapur Aminya.
"Akak sibuk. Dari pagi, ni malam baru nak rehat. Dia tu buat apa je? Balik kerja layan anak je. Kalau duduk rumah sendiri tu pun, bukannya dia buat apa. Semua Aniq yang buat. Masak tidak. Mengemas pun ada orang datang setiap hari kemas. Bukan penat sangat pun. Entah-entah tak penat langsung. Dia je mengada-ada." Sambung Farsya lagi meluah rasa tidak puas hati apabila melihat Puan Syarifah berseorangan di Dapur.
"Akak cakap orang, macamlah akak masak dekat rumah. Akak pun apa yang akak penat sangat? Kerja mengarah je, bukan buat kerja sangat pun." Entah kenapa meski bukan dia yang diumpat, dia yang terasa atas setiap kata nista yang keluar dari mulut kakak sulungnya itu.
Tahulau, kerja kakaknya sebagai founder produk kecantikan bukan semudah yang difikir. Tetapi, dia sendiripun anggap kerja orang mudah. Macam mana orang nak simpati dia dia?
"Kau apa tahu? Kau duduk dulu tempat akak. Layan ragam staff. Dengan complain pelanggan. Mana nak bayar staff? Mana nak bayar sewa bangunan? Mana nak bayar rumah dengan komitmen-komitmen lain. Kau senanglah, kerja, rumah, semua mak mentua tanggung. Akak ni semua kena cari sendiri." Mahu sahaja Fariha julingkan biji mata hingga hilang mata hitam. Tapi karang, ada pula yang merajuk tak balik rumah mak.
Satu hal pula dia yang disalahkan oleh Puan Syarifah kerana menjadi punca anak kesayangannya tidak pulang ke terataknya. malas mahu panjangkan pergaduhan, dia mencapai tisu basah sebelum setiap permukaan meja dan table top di lap bersih.
Sering melihat Cara Intan berkerja, buat dia sama terikut dengan cara kerja wanita itu yang sangat bersih dan teliti. Lap dengan tisu basah tidak cukup. Pasti wanita itu akan gandakan dengan mengeringkan bekas lap tisu basah tadi dengan tisu kering. Serta merta dapur yang tadi compang camping serta comot dengan bekas minyak dan sebagainya, bersih berkilat.
Mahu harap kakaknya yang mulut saja boleh pergi, tangan haprak itu... Memang kirim salam sajalah mahu lihat dapur bersih berkilat sekelip mata. Buktikanlah segala kifarah yang pernah tertera di buku mastika dulu kala itu, memang sanggup dia kena kifarah. Mana mahunya dia bangkit.
Sanggup dia mengumpat orang lain!
"Itu entah dah makan ke belum tu." Omel Puan Syarifah perlahan. Lagi-lagi Farsya dibuat menyampah.
"Pandailah dia nak makan nanti. Takkan makan pun nak kena orang hidang bawa sampai ke bilik. Masak dah siap masak. Tinggal makan je. Bukan suruh masak lagi pun." Spontan jelingan tajam Fariha melirik ke wajah kakak sulungnya yang celupar itu. Melebih sangat dah ni!
Main langgar saja mahu cakap apa pun.
"Orang tu yang tolong Ami masak kak. Dari tengah hari tadi dia dah ada kat rumah Ami. Baru balik flight, tak sempat rehat pun lagi. Lain kali kalau nak cakap tu cuba pandang-pandang. Jangan nak main tembak je. Kut ye pun tak takut dosa mengumpat, bawa-bawalah takut dosa menfitnah tu." Dengan kakak sulungnya ini, memang tiada maknanya dia mahu pendam rasa.
Cakap begini pun tak faham bahasa, lagikan pula cakap berkias. Sampai mati tidak sedar diri nanti. Asyik mahu orang faham susah dia saja. Macam orang lain tiada susah.
"Amboi kau. Ingatkan Kahwin dengan Ustaz, eloklah sikit perangai tu. Rupanya makin menjadi-jadi mulut eh?" Sejak tadi dia dibakar oleh Fariha, naik meradang juga dia dibuatnya.
Adik bongsunya itu, tak padan dengan bongsu. melawan tak mahu kalah.
"Dah kalau Akak macam ni, jangan kata bini Ustaz. Ustazah pun rasa nak tolong cilikan mulut tu." Bersahaja sambil menghayun mop, dia menjawab omelan kakaknya yang langsung tak buat di terasa hati. Apalagi sampai berbekas dihati.
PINTU bilik ditolak sebelum Intan rapatkan kembali. Lambat-lambat dia hayun kaki menuju ke arah katil yang menempatkan Maysa yang masih tertidur pulas.
Setiap patah kata Farsya yang sempat dia dengar saat mahu ke dapur untuk mencari makanan jelas terngiang-ngiang ditelinganya. Hampir dua tahun dia pendam rasa terguris dek sikap mentua dan kakak iparnya itu, sedikit sebanyak buat dia nyaris hilang pedoman.
Entah di mana lagi silapnya, dia sendiri pun tidak tahu. Hanya sebab dapur berselerak, dia juga yang salah?
Sebelum dia ke bilik tadi, dia sudah siap kemas satu dapur. Jika bersepah pun, bukan sebab dia yang tidak mengemas. Tentulah sebab orang lain yang guna lagi dapur itu. bukan dia seorang saja ada dalam rumah ini. Takkanlah hasil sepah orang lain, masih dia juga yang perlu fikir untuk kemas?
Meskipun setiap patah kata Farisya tadi dipatahkan dengan mudah oleh Fariha, tetap saja tak mampu buat hatinya tenang sikitpun.
Berkali-kali nafas dia hembus mengusir beban dada yang semakin mengasak. Jika dulu, dia rasa sedih dan sebak jika dirinya terus-terusan di kutuk dan dikata. baik didapan mahu pun dibelakang. Tapi sekarang, perasaan itu seakan sudah ditukar dengan rasa aneh.
Aneh dengan cara otak Farsya dan puan Syarifah berfungsi. Masing-masing berfikir, macam sedang berkongsi otak dengan burung unta.
Intan mengangkat kepala saat telinganya mendengar bunyi pintu gelongsor ditolak dari luar bilik. Dari pintu akses terus ke ruang santai keluarga itu, muncul tubuh Aniq yang sudah lencun tidak berbaju.
"Tolong ambik tuala By. Sejuk..." Pinta Aniq menggigil kesejukan saat tubuhnya disapa oleh angin sejuk didalam ruangan bilik berhawa dingin itu. Bersama tawa kecil, Intan bangun lalu mencapai tuala sebelum diserahkan pada Aniq.
Tidak hanya tuala dicapai, sebaliknya tubuh Intan turut ditarik sehingga mengundang jeritan nyaring wanita itu apabila tubuhnya masuk ke dalam pelukan Aniq yang kuyup tanpa sempat dia buat sebarang persediaan.
"Aniq!!" Makin nyaring jeritannya apabila suaminya itu sengaja mengosokkan rambutnya yang basah ke wajah Intan yang sudah dikunci dalam pelukannya.
"Jom mandi sekali."
"I dah mandilah Aniq. Tak nak!" Sekali lagi, wanita itu dibuat hilang jantung apabila tubuh lampai itu disauk pinggangnya sebelum dibawa ke bilik air.
"Syy, jangan jerit-jerit. Nanti anak bangun."
"Kalau tak nak Anak bangun, lepaslah." Tepi pinggang Aniq yang dapat dicapai di ketil kuat. Tetapi tindakannya itu hanya buat Aniq berdesis saja. sikitpun tak buat tubuhnya dilepaskan.
"Kejap lagi I lepas. Sekarang mandi dulu." Kalau tak bossy, memang bukan Aniq!
SEUSAI mengeringkan sedikit rambut dari rintik air, pengering rambut diserah pada Aniq. Biar lelaki itu yang keringkan rambutnya memandangkan dia yang menyeretnya sehingga ke bilik mandi.
"You dah makan?" Soalan Aniq hanya dijawab dengan gelengan oleh Intan.
"Kenapa tak makan lagi?" Soalan Aniq sengaja Intan biar sepi. Malas mahu bangkitkan lagi soal yang mampu buat hatinya kacau bilau semula.
Inilah tujuan dia turun tadi, tapi sudahnya... Telinganya di sapa dengan perkara yang tidak enak pula. Habis terbantut terus selara makannya.
"Call time You pukul berapa esok?" Tangannya turut membantu Aniq mengurai rambutnya supaya bahagian yang masih basah dapat dikeringkan.
"Pukul sepuluh lebih kurang. You ada nak pergi mana-mana ke?" Dari hanya memandang wajah Suaminya melalui pantulan cermin, kini Intan berpaling lalu mendongak mencari anak mata Aniq. Pengering rambut yang sudah selesai diguna, Aniq gulung semula wayarnya sebelum diserah kembali ke tangan Intan.
"Tulah. tengah fikir lagi nak pergi mana. You fly empat hari, kan?" Bersama satu anggukan kecil, Aniq melepas tawa.
"Kalau I tak ada, bukan main panjang lagi langkah You dengan Maysa, kan?" Intan turut tertawa.
"You pun dah tak nak keluar dengan I. I buatlah benda tu dengan anak I." Meski sekadar berseloroh, dengan tawa yang sengaja dibuat-buat, setiap patah katanya penuh dengan makna yang tersurat.
"I bukan tak nak lah..." Intan tertawa lagi.
"See, You tak payah nak I bukan tak nak, I bukan tak nak. You memang tak nak! Titik. Noktah. Muktamad." Respon Aniq yang tertawa itu Dia sambut dengan rasa sakit menjerut hati. sedaya supaya perasaan itu dia telan supaya tidak terzahir pada wajahnya.
Tawanya juga tidak lekang dek bibir.
"I nak tidur ni, You nak I teman You makan dulu tak?" Sekali lagi, ucapan Aniq buat dia nyaris melepas keluhan tidak puas hati.
"You nak teman ke tak nak sebenarnya ni?" Lelaki ini gemar sungguh buat dia yang nampak terhegeh-hegeh mahu dimanja. Salahkah jika tawar diri terus mahu menemaninya dari ajukan soalan begitu yang kedengaran langsung tidak ikhlas?
"You nak makan ke tak?" Tidak menjawab soalan, sebaliknya dia ajukan pula soalan lain buat isterinya tanpa mengetahui remuk jiwa isterinya tika ini.
Intan tertawa. Jika tadi kepura-puraan masih dapat dibendung. Sekarang tidak lagi. tawanya, jelas kedengaran hambar dan tidak bernyawa seperti jiwanya yang benar-benar sudah mati dek ditikam berkali-kali. Hari ini saja, sudah berapa banyak luka tikaman yang dia terima.
"Tak naklah. You tidurlah." Dan seharian ini, sebutir nasipun masih belum sempat masuk ke dalam mulutnya. Itupun sudah terasa kenyang. Barangkali hasil terlalu kenyang makan hati buat perutnya langsung tidak terasa lapar.
"Betul ni tak nak makan?" Intan angguk.
"I penat. Nak tidur je." Jawab Intan masih bernada bersahaja.
"Okay." Jawab Aniq bersahaja. Bibir isterinya dikucup sekilas sebelum dibawa tubuh yang letih baring di tilam.
Intan mencapai telefon bimbitnya, berpura-pura memeriksa notifikasi yang masuk semata mahu mengalihkan fokusnya pada emosi yang bergelora dalam dada.
Nafas dihela kasar menyekat Air mata yang sudah mula bertakung ditubir mata. Aplikasi tiktok dibuka. Tidak tahu apa yang dicari, tetapi semakin lama dia didalam aplikasi itu, semakin hanyut dia di situ sehingga perasaan yang baru saja diremukkan oleh Aniq berlalu pergi bersama air mata yang nyaris bertakung tadi.
Setelah memastikan, jiwanya kembali berada dalam keadaan baik-baik saja, kakinya dibawa ke katil. Tubuh direbah disebelah Aniq yang sudah lena. Tidak mahu terus tenggelam hingga ke dasar dek kecewa terhadap suami, Intan cuba memujuk hatinya sendiri supaya berdamai dengan sikap halai-balai Aniq.
Tangan Aniq di tarik sebelum merebahkan kepalanya di lengan kekar milik suaminya. Meski seakan tiada rasa lagi mahu duduk serapat ini dengan Aniq, dia tetap memaksa diri. Hati yang semakin hari semakin kelam buat Aniq, dia cuba abaikan dengan cuba lagi dan lagi supaya rasa yang membawa mereka sejauh ini kembali hadir dalam dirinya.
Tidak mengapa jika perasaan sayang dan cinta buat lelaki ini tidak semekar dahulu, janji rasa itu tetap sudi hadir supaya dia bisa bertahan disisi lelaki ini.
Hampir setengah jam cuba melelapkan mata, tetapi makin segar pula dibuatnya. Intan mendongak memandang Aniq saat terasa tubuh Aniq bergerak. Sejenak, Intan tersentak saat kepalanya ditolak oleh Aniq supaya dia alihkan kepalanya kepada alas yang lain.
"Tangan I dah kebas." Intan ketap bibir. Saat ini, air matanya benar-benar tak mampu di seka lagi. Meski dia faham bagaimana rasanya kebas lengan, tetapi disaat emosi dan akal disuluk oleh negetiviti dia sudah tudak mampu lagi berfikir dengan jernih.
Segera berpaling menghadap arah bertentangan, bantal dipeluk buat memujuk luka hati yang semakin parah. Bibir digigit kuat, tidak mahu ada esakan yang terlepas sehingga menyapa pendengaran Aniq.
Sungguh. Tika ini, dia benar-benar terasa hati dengan tindakan lelaki itu kerana menolaknya.
Fikirnya, rasa tidak dihargai itu sudah sakit. Ternyata, berpura-pura tiada apa-apa itu lebih sakit.
Share this novel