SETELAH seharian sibuk melayan para tetamu, ahli keluarga Tan Sri Hanafi masing-masing kepenatan. Namun mereka tetap mengambil kesempatan untuk makan malam bersama, sebagaimana kebiasaannya di rumah tersebut. Walau bagaimana pun, Rizal dan Amira kelihatan mendiamkan diri. Masing-masing tidak bersuara dan tidak semesra seperti biasa. Mereka berdua juga seolah sudah kehilangan selera makan dan kurang menjamah hidangan yang sudah berada di dalam pinggan masing-masing. Mereka hanya menatap makanan di depan mata mereka dan hanya mengambil juada tersebut dengan sedikit dan perlahan-lahan. Hal tersebut segera mendapat perhatian Tan Sri Hanafi.
"Riz.. Amira.. kenapa dengan korang ni? kenapa tak makan betul-betul?" Tan Sri Hanafi bersuara, menyatakan keprihatinannya. Suara lelaki itu segera mengejutkan mereka sekeluarga lebih-lebih lagi Amira dan Rizal.
"Riz dah kenyang.. tadi dah makan dengan tetamu.." Jawab Rizal dengan sederhana.
"Mira pun dah kenyang.. kalau boleh, Mira nak naik ke bilik.. nak rehat dulu.." Amira turut menjawab. Dia cuba untuk berdiri dan beredar dari sana.
"Tunggu! jangan pergi lagi.." Tan Sri Hanafi segera menghalang Amira daripada bangkit. Mendegar arahan daripada bapa mentuanya, Amira membatalkan hasratnya dan kembali meletakkan punggungnya pada kerusi di meja makan.
"Papa tengok, korang ni macam ada masalah je.. cuba bagitau Papa.. apa masalahnya?" Soal lelaki kaya itu. Rizal segera berpaling ke arah Amira yang duduk di sebelahnya.
"Sayang ada masalah ke?" Rizal turut bertanya. Dia benar-benar risau mengenai keadaan isterinya. Amira lantas menggelengkan kepala. Puan Sri Rohayu dan Shahira hanya diam sambil melihat ke arah mereka berdua. Shahira mula terasa sayu. Dia tahu apa yang sedang mengganggu fikiran kakak iparnya itu. Namun dia juga tidak ingin untuk membuka masalah tersebut di depan ahli keluarga mereka. Dia tahu Amira masih memikirkan mengenai hubungan Rizal dan Juana.
"Riz pun okey je.. takde apa-apa masalah la Papa.." ujar Rizal kepada bapanya. Dia terpaksa berbohong dan sama sekali tidak ingin mengakui mengenai gangguan fikirannya tentang Juana.
"Betul korang takde masalah?" Tan Sri Hanafi mengulangi soalan untuk memastikan keadaan sebenar. Rizal dan Amira serentak menganggukkan kepala mereka.
"Kalau macam tu, pergi la naik ke bilik dulu.. tapi Mira, nanti turun semula ke ruang tamu.. Papa ada benda nak cakap sikit.. dalam 30 minit lagi, boleh?" Tanya Tan Sri Hanafi lagi.
"Baiklah Papa.. nanti Mira turun semula.." Amira menjawab dengan patuh.
"Dah, pergi la naik dulu.."
Amira kembali bangkit dari duduknya seraya menganggukkan kepala. Wanita itu segera beredar dari meja makan dan mula menuju ke arah tangga untuk naik ke tingkat atas. Rizal pula hanya memerhatikan pemergian isterinya itu dari tempat duduknya. Setelah Amira hilang dari pandangan, lelaki itu kembali menatap makanan yang terisi di dalam pinggannya. Dia menyuap sedikit makanan tersebut ke mulutnya dan mula mengunyah perlahan-lahan.
'Mira.. layak ke aku untuk terus bersama kau? aku lelaki jahat.. aku kotor Mira.. aku pernah terlanjur dan bersama perempuan lain.. maafkan aku sayang..' Hati kecil Rizal berbisik. Dia benar-benar merasa bersalah dan menganggap dirinya terlalu kotor untuk bersama perempuan sebaik Amira.
Tiba di bilik, Amira menghempaskan punggungnya pada tilam empuk yang berada di katil tidurnya. Matanya kemudian menatap laci pada meja yang berada di depannya. Laci itu segera dibuka dan Amira sekali lagi mengambil gambar yang terdapat di dalamnya. Foto Rizal dan Juana yang sedang tersenyum gembira itu seakan menyiat-nyiat hatinya. Amira menatap lama wajah Juana. Tidak salah lagi. Perempuan itu adalah orang sama yang dilihatnya siang tadi dan memeluk erat suaminya. Air matanya mula bergenang dan mengalir keluar membasahi wajahnya.
Amira sudah tidak dapat menahan kesedihannya. Dia mencampakkan kembali gambar di tangannya itu ke dalam laci dan segera menutup laci tersebut. Dia mula menyesal kerana sekali lagi melihat gambar tersebut. Dia sendiri sedar, gambar itu akan membuatkannya sakit hati. Namun Amira tidak dapat menahan dirinya daripada melihat untuk mengenal pasti wanita yang sedang bersama suaminya itu.
"Apakah aku dah mengganggu dan menjadi penghalang kepada hubungan diorang?" Luah Amira dengan suaranya yang sarut.
Setelah termenung seketika, wanita itu kemudian menyeka air matanya. Dia mula menghela nafas panjang untuk menenangkan hatinya yang sedang hanyut di dalam emosi. Setelah keadaannya kembali stabil, Amira segera menuju ke bilik air dan mengambil wudhuk. Dia ingin menenangkan dirinya dengan mendekatkan diri kepada Tuhannya. Dia ingin menunaikan solat dan mengadu kepada Tuhan, Sang Penguasa yang membolak balikkan hati. Dia tahu, Tuhannya Maha Mendengar dan Maha Mengasihani. Semoga Sang Pemilik cinta itu menjaga cintanya.
Selesai menunaikan solat dan berzikir, Amira mula menadah tangannya untuk berdoa.
"Ya Allah, Ya tuhanku.. Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.. Yang Memiliki cinta dan segala kemurniannya.. Raja diraja segala cinta.. Dengan sifat Pengasih dan Penyayang Mu, kau wujudkan cinta.. kau semaikan kasih dan sayang ke dalam diri makhluk ciptaanMu untuk merasai cinta.. tabahkanlah hatiku untuk menanggung cinta yang telah kau kurniakan.. Pertahankanlah cintaku bersama suamiku Ya Allah.. Kuatkanlah ikatan cinta kami, sebagaimana cinta yang Engkau kurniakan kepada kekasihMu, Rasulullah dan Khadijah.. Iringilah cinta kami agar sampai ke syurgaMu.. Jika dia adalah pilihanMu untukku, pertahankanlah jodoh kami.. Namun, jika dia bukan yang terbaik, Kau tabahkanlah hatiku..Tunjukkanlah kepadaku jalan yang benar.. Jalan yang Engkau redhai.. Hanya Engkau yang Maha Mengetahui.. Pemilik segala rahsia, dan Pemilik segala hati.. Pemilik mutlak segala cinta.."
Tidak lama kemudian, Amira bergegas turun ke lantai bawah untuk menuju ke ruang tamu. Dia hampir terlupa dengan arahan bapa mentuanya untuk berada di ruang tamu dalam masa setengah jam. Tiba di ruang tamu, Amira melihat, ahli keluarga Tan Sri Hanafi sudah pun berada di sana.
"Haa, Mira.. dah datang pun.. mari duduk sini." Tan Sri Hanafi memanggil Amira untuk duduk di sebelahnya apabila melihat kehadiran menantunya itu. Amira segera menurut arahan. Perlahan-lahan, punggungnya ditempatkan di sofa, bersebelahan dengan bapa mentuanya.
"Tadi Papa cakap, ada benda nak bagitau.." Amira mula bertanya.
"Ah, memang ada benda yang Papa nak sampaikan kat Mira.." Ujar Tan Sri Hanafi sambil tersenyum. Semua mata hanya memandang ke arah lelaki itu tanpa sebarang kata. Lelaki yang menjadi ketua isi rumah itu kemudian menyambung kata-kata.
"Dulu, kami dapat berita Riz kemalangan.. Kami dah cuba cari Riz, tapi tak jumpa.. Masa tu Papa betul-betul risau.. kami langsung tak tahu keadaan Riz.. Tapi mujurlah dia bersama Mira.. sebab risaukan Riz dan berhempas pulas cari, Papa akhirnya buat tawaran terbuka.. sesiapa yang dapat jumpa dan kembalikan Riz ke rumah ni, Papa akan beri orang tu hadiah sebagai saguhati.."
"Maaf.. Mira tak tahu pun pasal tu.. kalau Mira tahu, awal-awal Mira dah dapatkan keluarga abang Riz.. Mira pun dah cari, tapi tak jumpa.. tak tahu dah kat mana nak cari Papa sekeluarga masa tu.. Kalau tak, takde la Papa sekeluarga duk risau.." Mira segera menjawab.
"Hmm.. hal yang dah lepas tu biarlah.. tak payah la Mira nak minta maaf.. bukan salah Mira pun.. lagipun Mira sendiri dah berusaha.. Papa patut berterima kasih kat Mira.. Malah Papa bersyukur, Riz dijaga oleh Mira.." Tan Sri Hanafi tidak ingin Amira terus menyalahkan dirinya sendiri. Padahal wanita itu patut diangkat sebagai penyelamat keluarganya. Lelaki itu kemudian mengambil sekeping kertas yang mempunyai tanda tangannya dan diberikan kepada Amira. Amira yang kebingungan menatap kertas yang diserahkan kepadanya itu, lantas matanya terbeliak.
"Papa dah berjanji untuk berikan hadiah dua juta ringgit kepada sesiapa yang dapat kembalikan Riz.. Ini cek tiga juta ringgit.. Papa beri kat Mira sebagai hadiah untuk tawaran tu, dan yang lebih sikit tu sebagai ucapan terima kasih Papa kat Mira sebab dah susah payah jaga Riz selama lebih dua tahun ni.."
"Papa.. Mira taknak semua ni.. Mira tak layak pun terima duit sebanyak ni.." Amira cemas apabila melihat cek bernilai tiga juta ringgit di atas namanya sudah pun berada di tangannya sendiri.
"Papa dah berniat.. jadi Papa kena tunaikan.. Mira memang layak dapat.."
"Tapi... bukan Mira yang hantar abang Riz ke rumah ni.. Ira!.. Ira la yang jumpa abang Riz dan kembalikan dia ke sini.. bukan Mira.." Mira masih tidak ingin menerima cek tersebut.
"Ira hanya jumpa Riz.. tapi sebab Mira jugak Riz dapat datang ke sini.. Kalau takde Mira, tak tahu la kat mana Riz sekarang ni.. lagipun tak payah nak pedulikan Ira.. dia dah dapat lebih dari tu, Papa bagi.." Tan Sri Hanafi membalas.
"Akak memang patut dapat hadiah tu.. terima je la.." Shahira pula mencelah dengan tersenyum lebar.
"Tapi.. ini terlalu banyak.. Mira tak buat apa pun.. lagipun, kami dah kahwin. Memang patut Mira jaga Riz semasa dia sakit.. Tapi Riz sendiri pun dah banyak tolong Mira selama ni.. kiranya dah adil la.. tak perlu la duit ni.." Amira masih serba salah. Malah fikirnya, dia memang tak mampu untuk menerima wang sebanyak itu. Hanya dengan sekeping cek, jika ditunaikan, dia akan segera menjadi seorang jutawan.
"Ambil je la.. tak payah duk banyak fikir lagi.." Puan Sri Rohayu pula bersuara dengan matanya menjeling ke arah menantunya itu.
"Kak, ingat apa yang Ira cakap semalam?" Shahira menegur kakak iparnya.
Amira segera menoleh ke arah Shahira. Dia mula menelan liur. Dia kembali teringat pesanan Shahira kepadanya semalam setelah gadis itu menyerahkan kad kredit kepadanya. Tan Sri Hanafi tidak suka orang menolak pemberiannya dan tidak mengikut arahannya. Amira mula khawatir. Bapa mentuanya itu memang terlihat lemah-lembut dan berbudi bahasa. Namun aura ketegasan juga sangat menyerlah pada diri lelaki tersebut. Amira takut jika penolakannya akan membuatkan bapa mentuanya itu marah dan tidak suka kepadanya. Perlahan-lahan wanita itu menundukkan pandangan wajahnya sambil mengangguk perlahan.
"Apa yang Ira cakap kat Kak Mira?" Tanya Tan Sri Hanafi sambil memandang ke arah anak perempuannya. Shahira pula terus tersenyum.
"Ira cakap, Papa garang.. suka pukul orang.. Kalau tak dengar cakap Papa, nanti kena kurung dalam toilet 24jam dan tak diberi makan.." Seloroh Shahira sambil menghamburkan tawa.
"Lailahaillallah.. pernah ke Papa buat macam tu?" Tan Sri Hanafi turut tertawa sehingga terbatuk-batuk.
"Setakat ni belum lagi.. mana tau lepas ni Papa buat.." Usik Shahira lagi. Mendengar celoteh anak gadisnya, Tan Sri Hanafi menggeleng-gelengkan kepala. Amira turut tersenyum kecil. Dia mulai sedar jika dirinya sudah dipermainkan oleh adik iparnya itu. Ternyata bapa mentuanya tidaklah bersikap keras sebagaimana yang diperkatakan oleh Shahira.
Sementara itu, Rizal pula masih mendiamkan diri sejak tadi. Senyuman nipis terukir dibibirnya tatkala melihat senyuman Amira. Dia terasa bahagia apabila melihat isterinya itu tersenyum. Namun pada masa yang sama, dia masih terkenangkan keburukan dirinya. Dosa silamnya bersama Juana seakan menghantui pemikiran lelaki tersebut. Hatinya sentiasa berbisik, jika dirinya tidak layak untuk bersama wanita sebaik Amira. Namun dia juga tidak ingin kehilangan wanita tersebut. Dia tidak sanggup berjauhan, apatah lagi untuk berpisah dengan isterinya itu.
'Ya Allah, apa yang harus aku lakukan? Jika benar aku seorang penzina dan penuh dosa, aku tak layak bersamanya.. Kalau masa laluku penuh dengan maksiat dan dosa, aku rela terus begini.. janganlah kembalikan ingatanku kepada perbuatan maksiat yang dah aku lakukan..' bisik hati Rizal, berisi doa yang penuh ikhlas.
Share this novel