Bab 1

Romance Series 5573

SUASANA rumah terasa sunyi, hanya bunyi jam dinding berdetik mengisi ruang. Raisya berdiri lama di depan sebuah bilik yang cat dindingnya berwarna pastel lembut, biru cair yang sejak bertahun dulu sengaja dipilih. Bilik itu lengkap dengan langsir putih nipis, almari kecil, dan katil bayi yang masih tersimpan kemas dalam kotak. Sudah lama dia bayangkan bilik itu akan dipenuhi dengan tangisan dan tawa kecil tapi setiap kali dia berdiri di ambang pintu, hanya keheningan yang menyambut.

Tangannya perlahan menyentuh bingkai pintu, seolah-olah Raisya dapat mengusap bayangan seorang anak yang tak pernah lahir. Dadanya terasa sesak. Bukan dia tidak redha tapi fitrah seorang wanita tetap menginginkan gelaran seorang ibu.

“Raisya buat apa kat sini, sayang?” suara Thaqeef menyapa lembut dari belakang.

Raisya cepat lap air mata di hujung mata sebelum berpaling. “Tak ada… saja tengok.”

Thaqeef melangkah masuk dan berdiri di sisi isterinya. Pandangannya ikut menerawang ke dalam bilik itu. Dia tahu apa yang ada dalam hati Raisya. Dia tahu apa yang ditunggu isterinya sejak lama. Dengan sengaja dia cuba memecahkan suasana yang berat itu.

“Kalau nak, kita letak treadmill kat sini. At least bilik ni berguna. Abang pun boleh kempiskan sikit perut ni.” Thaqeef tepuk-tepuk perutnya yang sebenarnya masih tegap kerana dia cuba bergurau.

Raisya tersenyum hambar. “Abang ni, kan. Bilik ni bukan untuk buat letak treadmill. Bilik ni untuk…” Suaranya tersekat.

Thaqeef mengangkat kening, pura-pura tidak faham. “Untuk apa?”

Raisya hanya diam, menunduk. Dia tahu Thaqeef sengaja berpura-pura. Lelaki itu tidak pernah mahu dia terbeban dengan persoalan tentang zuriat.

Thaqeef merangkul bahu isterinya, menunduk sedikit untuk pandang wajah Raisya. “Sayang… don’t do this to yourself. Kita ada satu sama lain, that’s enough.”

Namun Raisya hanya mampu tarik nafas panjang. Kata-kata itu kedengaran indah tetapi jauh di sudut hati dia masih terasa kosong.

PAGI esoknya, ketika sarapan di meja makan, suasana masih diam. Raisya duduk mengadap roti bakar dan secawan teh yang sudah suam. Thaqeef sibuk membaca berita di telefon, sesekali meneguk kopi.

Raisya memberanikan diri. “Abang…”

“Hmm?” lelaki itu masih leka membaca.

“Apa abang tak pernah terfikir… kahwin lagi?”

Serentak dengan itu Thaqeef letak telefonnya, merenung Raisya dengan dahi berkerut. “What did you just say?”

Raisya cuba senyum tapi jelas ada getar pada bibirnya. “Raisya tahu… abang nak anak. Keluarga kita pun asyik tanya. Kalau abang kahwin lain, mungkin abang boleh dapat apa yang abang nak. Raisya izinkan…”

“Raisya!” suara Thaqeef sedikit meninggi, cukup untuk buat isterinya tersentak. “Don’t ever say that again. Jangan sekali-kali Raisya cakap benda tu.”

Air mata Raisya mula bergenang. “Tapi Raisya tak nak jadi punca abang tak bahagia. Semua orang tengok kita pelik, macam ada kekurangan. Raisya…”

“Enough.” Thaqeef menarik kerusi dan bangun, berdiri betul-betul depan Raisya. Dia genggam wajah isterinya dengan kedua-dua belah tangan. “Dengar sini. I married you, not the idea of children. Abang pilih Raisya sebab abang cintakan you, sayang. Kalau tak ada anak pun, Raisya dah cukup untuk abang.”

Raisya tunduk, bahunya terhinjut-hinjut menahan tangis. Kata-kata suaminya menusuk hati tapi luka yang dia rasa tidak semudah itu sembuh.

Thaqeef menarik nafas panjang. Dia tahu tekanan keluarga bukan kecil. Ibunya pernah beberapa kali bertanya bila mahu ada anak. Abangnya sudah ada dua orang anak walau dia yang kahwin dulu dari abangnya. Hanya mereka berdua yang masih belum ada rezeki.

Thaqeef duduk kembali, cuba tenangkan keadaan. “Please, Raisya. Jangan paksa abang lukakan you dengan kahwin lain. Abang tak perlukan sesiapa selain Raisya.”

“Abang tak marah dengan Raisya?” Raisya bertanya perlahan, suara serak.

“Abang cuma marah bila Raisya sanggup rendahkan diri you macam ni. You’re my wife, bukan bayang-bayang sesiapa. Abang janji akan jaga sayang sampai akhir nyawa.”

RAISYA duduk seorang diri di ruang tamu. Cahaya matahari senja menerobos langsir, menyimbah wajahnya yang masih redup. Hatinya bercampur baur. Dia tahu Thaqeef ikhlas mencintainya tetapi dia juga tahu naluri lelaki itu pasti mendambakan seorang anak.

Raisya pegang album lama di pangkuannya, gambar-gambar perkahwinan mereka tersusun cantik. Wajah mereka berdua tersenyum bahagia, seakan-akan penuh harapan. Namun selepas bertahun-tahun, senyuman itu makin sukar ditafsir.

Air mata menitis tanpa sedar. Dia berasa cemburu, bukan kepada orang lain tetapi kepada wanita yang mampu mengandung. Dia cemburu dengan rahim wanita lain yang mampu memberi zuriat kepada suami masing-masing.

“Ya Allah…” bisiknya perlahan, hampir tak bersuara. “Kalau ini ujian untuk aku, aku redha. Tapi tolonglah… jangan biar Thaqeef rasa kekosongan ni.”

Dalam bilik, Thaqeef sujud lama di atas sejadahnya. Doanya penuh khusyuk, merayu pada Tuhan agar diberi kekuatan.

“Ya Allah, Engkau kurniakanlah ketabahan pada isteri hamba. Jangan biar dia rasa dirinya tak cukup. Aku tak minta selain Engkau kekalkan cinta kami. Kalau Engkau mahu uji kami tanpa anak, aku terima, asalkan Engkau jaga hati dia.”

Air mata lelaki itu jatuh tanpa dia sedar. Dia bukan manusia kaku yang tak punya rasa tetapi dia tahu harus kuat demi Raisya.

Malam itu, Raisya masih termenung di beranda rumah. Angin malam meniup lembut, rambutnya sedikit berterbangan. Dia menggenggam telefon, terbaca mesej-mesej lama ucapan keluarga yang dulu penuh sindiran.

‘Bila nak ada baby ni?’

‘Tak bosan ke berdua je? Cepatlah bagi cucu untuk mommy! Takkan I je nak kena pregnant tiap tahun untuk bagi mommy ramai cucui?’

Setiap kata menyakitkan hati.

Raisya bersandar pada kerusi rotan di beranda, menutup mata rapat-rapat. Dia cuba mengingat semula senyuman Thaqeef ketika mereka mula-mula berkahwin dulu, senyuman yang penuh dengan janji bahagia. Waktu itu, dia yakin cinta mereka sudah cukup untuk melawan apa saja badai. Tetapi kini, setelah bertahun-tahun menunggu, dia mula sedar, cinta yang kukuh pun boleh tergoncang bila orang sekeliling tak henti-henti menghukum dengan kata-kata.

Raisya tahu Thaqeef seorang lelaki yang setia, terlalu setia malah. Tetapi dia juga seorang anak, seorang lelaki yang memikul tanggungjawab keluarga. Bagaimana jika suatu hari nanti Thaqeef penat melawan? Bagaimana jika dia akhirnya akur pada desakan ibu bapanya untuk berkahwin lain?

Raisya mengusap perutnya sendiri, kosong tanpa sebarang tanda kehidupan. Dia pernah berdoa berulang kali, memohon agar Allah hadiahkan walau seorang anak untuk menjadi penyeri hidup mereka. Namun doa itu masih belum dimakbulkan.

"Mungkin aku bukan ditakdirkan untuk melahirkan," bisiknya dalam hati. Air matanya jatuh lagi. "Tapi aku boleh jadi ibu, kan? Walau bukan dari rahim aku sendiri."

Bayangan wajah Thaqeef muncul dalam fikirannya. Lelaki itu selalu tersenyum menutup resah, selalu melindungi walaupun jelas dia juga terluka. Raisya tekad, dia tak mahu senyuman itu hilang suatu hari nanti kerana kecewa.

Raisya memandang jauh ke langit malam, bintang-bintang berkelip seakan memberi isyarat. Hatinya bergetar dengan satu ilham yang tiba-tiba muncul. Mungkin jawapan bukan pada dirinya, tapi pada orang lain. Mungkin ada seseorang di luar sana yang sedang berjuang dengan rahsia sendiri, sama seperti dirinya.

Raisya menggenggam erat telefon di tangan, seolah-olah kekuatan itu boleh disalurkan dari genggaman kecilnya. “Aku akan cari jalan… biar apa pun caranya, Thaqeef mesti rasa jadi seorang ayah.”

Share this novel

Guest User
 

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience