Suasana petang itu redup dan damai di sebuah kawasan rekreasi luar bandar yang jauh dari hiruk-pikuk kota. Di bawah pondok kayu yang terletak di hujung laluan denai, kelihatan beberapa ahli RIM sedang duduk berbincang santai. Uwaisy memanggil Faiq untuk mengikutinya ke sana dengan alasan ingin memperkenalkan Faiq kepada seorang tokoh motivasi yang pernah mengubah hidup beberapa ahli RIM sebelum ini.
Faiq, yang masih dalam tempoh penggantungan sekolah, tidak menyangka langkah kakinya petang itu bakal membuka sebuah pintu besar dalam hidupnya.
"Assalamualaikum," sapa seorang lelaki bertubuh sasa yang berdiri di sisi pondok.
Faiq yang baru sahaja menjejakkan kaki ke tanah lapang itu terhenti. Matanya membulat, jantungnya berdegup kencang. Seolah-olah dunia tiba-tiba menjadi sunyi.
"Abang... Amir?" suara Faiq tersekat di kerongkongnya.
Lelaki itu mengangguk sambil tersenyum. "Faiq..."
Tanpa sedar, mata Faiq berkaca. Langkahnya perlahan menghampiri lelaki itu sebelum pelukan hangat mereka menyatukan segala rindu yang selama ini terpendam. Rasa sebak mengalir bersama air mata. Lama mereka berpelukan tanpa sepatah kata pun. Hanya diam dan tangisan yang berbicara.
Pak Tam yang berdiri di sisi hanya mengangguk perlahan. "Dah sampai masanya," katanya tenang. "Saya dengan abang kamu dah lama rancang pertemuan ni, Faiq. Kami tunggu masa yang sesuai."
Amir Furqan menepuk bahu adiknya. "Kita ada banyak benda nak bincang, banyak luka yang kita kena rawat sama-sama."
Faiq hanya mampu mengangguk perlahan.
Kemudian, satu lagi suara lembut menyapa dari arah belakang Amir. "Assalamualaikum, Faiq."
Faiq menoleh. Seorang wanita muda bertudung kemas, berwajah tenang dan matang berdiri di situ.
"Inilah isteri abang, Amirah Hafizah," ujar Amir sambil memperkenalkan. "Dia juga... kakak kepada Faiqah Hafizah."
Faiq terkejut. "Faiqah punya... kakak?"
Amirah hanya tersenyum. "Kita dah lama tahu tentang kamu, Faiq. Tapi belum sampai masanya untuk muncul. Sekarang, kami semua di sini untuk bantu kamu bangkit semula."
Faiq hanya mampu termenung seketika. Dunia seolah-olah baru membuka satu babak baru dalam hidupnya — lebih besar, lebih dalam, dan lebih penuh harapan.
Faiq, Amir Furqan, Amirah Hafizah, Pak Tam, Uwaisy, dan beberapa ahli RIM kini duduk dalam bulatan kecil di pondok kayu itu. Suasana masih sunyi, masing-masing masih cuba menyesuaikan diri dengan kehadiran satu sama lain.
Amir membuka beg sandangnya lalu mengeluarkan satu fail. "Ini semua laporan tidak rasmi dan salinan mesej yang abang kumpulkan sejak beberapa minggu lepas. Kami syak memang ada gerakan yang nak jatuhkan Faiq."
Pak Tam mengangguk. "Sejak motor tu kau pulangkan ke Dragon hari tu, Pak Tam teruskan siasatan sendiri. Pak Tam buat-buat tak tahu, tapi sebenarnya Dragon dah mula rasa tak puas hati dengan Idzlan."
Uwaisy menambah, "Kami pun perasan, sejak kejadian tu Idzlan banyak ponteng kelas sejarah. Masa semua orang tengah sibuk program SportRIM, dia kerap lesap. Kami dah syak dia jumpa Dragon."
Faiq masih kelihatan tenang, tapi wajahnya penuh dengan fokus. Dia kini tidak lagi budak yang mudah mengamuk atau menyalahkan takdir. Semangatnya sudah mula menyala kembali.
"Jadi, apa rancangan kita?" soal Faiq, serius.
Amirah tersenyum kecil. "Langkah pertama, bersihkan nama kamu. Kita dapatkan bukti siapa sebar gambar dan siapa yang manipulasi cerita. Langkah kedua, bangkitkan semula reputasi kamu di sekolah dan masyarakat."
Amir menyambung, "Dan untuk itu, kamu kena kuat dari segi emosi dan mental. Jangan sekali-kali mudah melenting lagi. Abang nak kamu jadi orang yang berani hadapi fitnah, bukan lari daripadanya."
Uwaisy menyerahkan telefon lamanya kepada Amir. "Ini ada satu mesej dari nombor tak dikenali yang pernah cuba ugut kami pasal Faiq. Mungkin ada kaitan."
Pak Tam berkata, "Pak Tam ada kenalan polis. Kalau kita boleh buktikan ni semua penganiayaan, kita boleh buka semula kes dan dedahkan siapa dalang sebenar."
Faiq menggenggam tangannya. "Kali ni, aku takkan biar siapa pun pijak harga diri aku. Aku akan buktikan, dengan usaha aku sendiri... dan sokongan kamu semua."
Amir menepuk bahunya. "Itu yang abang tunggu selama ni."
Dan di bawah cahaya senja yang mula merendah, satu azam baru terbina. Sebuah strategi sedang dirangka. Dan kebangkitan Faiq sudah pun bermula.
Senja semakin merendah. Angin petang menyusup lembut di celah pokok-pokok di kawasan pondok lama itu. Faiq, Uwaisy dan rakan-rakan RIM duduk membisu mendengar suara tenang Amir Furqan yang mula mengungkap rahsia besar yang tersimpan selama ini.
"Faiq..." suara Amir perlahan, tapi cukup menusuk. "Apa yang jadi dekat kau hari ni... fitnah, hinaan, dan pengkhianatan — semua tu ada kaitan dengan sejarah hitam keluarga kita."
Faiq memandang abangnya, jelas terkejut. "Maksud abang?"
Amir menjeling ke arah Pak Tam seketika, sebelum menyambung.
"Dulu, mak dan ayah Idzlan bekerja dengan ayah kita. Tapi tak semua orang tahu... mereka kantoi bocorkan data dan rahsia syarikat kepada pesaing. Ayah dapat tahu selepas audit dalaman dibuat."
Pak Tam menambah, "Mak ayah Idzlan orang yang bijak. Tapi terlalu rakus dengan duit. Bila kantoi, mereka cuba ugut ayah kamu. Ada konfrontasi... gaduh besar."
Amir menghela nafas. "Tapi apa yang kami semua tak jangka, pergaduhan tu berakhir dengan tragedi. Dalam satu pertemuan senyap antara dua pihak — mak ayah kita dan mereka — berlaku pergelutan. Dan masa tu... mak ayah Idzlan terjatuh dari cerun bukit berhampiran gudang syarikat."
Tiba-tiba suasana pondok itu jadi sunyi. Faiq terkedu. Uwaisy dan rakan-rakan lain saling berpandangan, bingung antara simpati dan ketegangan.
"Jadi... selama ni, Idzlan..." suara Faiq bergetar.
"Ya," Amir menyambung. "Dia anggap kita hutang darah. Dia percaya mak ayahnya dibunuh. Dan sebab tu... dia susun semuanya. Perlahan-lahan. Diam-diam. Sampai satu masa dia rasa masa dah sampai untuk jatuhkan kau, Faiq."
Pak Tam mencelah, "Tapi dia tak tahu cerita sebenar. Dia hanya tahu dari cebisan cerita yang disampaikan oleh waris pihak musuh syarikat kita. Dia dijadikan alat... dan sekarang dia pula jadi dalang."
Amir menarik nafas dalam. "Dan ini bukan lagi tentang sekolah. Ini dah masuk wilayah dendam berdarah. Tapi abang takkan biarkan kau hadap ni seorang diri, Faiq. Kita lawan cara bersih. Kita bersihkan nama. Dan kalau perlu... abang sendiri akan dedahkan kebenaran lama ni."
Faiq tunduk. Nafasnya berat. Tapi kali ini, tiada air mata. Hanya tekad.
"Abang..." dia bersuara akhirnya, "kali ini, biar aku jadi benteng keluarga kita."
Uwaisy bersuara, "Kami pun takkan biar kau jatuh, Faiq. Kita buka langkah pertama sekarang."
Angin petang berlalu perlahan, seolah memberi ruang kepada anak-anak muda itu menyusun semula kekuatan. Perancangan baharu sedang dirangka. Sebuah konspirasi silam akan dibongkar... dan Faiq akan kembali, bukan hanya sebagai pelajar — tetapi sebagai pejuang.
Share this novel