KELUHAN dilepaskan bila dia melihat sebuah kereta yang amat dia kenali berada di dalam kotak parkir yang disediakan di sebelahnya. Tiada siapa pernah tahu keberadaan kereta ini, tiada siapa pun pernah datang ke bahagian parkir ini. Hanya kerana dia tidak benarkan. Semua ini harus ditutup rapat-rapat.
Tak semua akan faham.
Ting!
Pintu lif dibuka, dia melangkah keluar dan menuju ke rumahnya yang berada di hujung sudut. Pintu pagar dibuka dan kemudian dia membuka pintu kayu rumahnya. Terus saja semerbak bauan kopi yang dibancuh pekat menusuk ke hidungnya.
“Kenapa tak balik rumah terus?” tanya Aulia selepas meletakkan begnya di dalam beg.
“I ada beli maggi goreng. Jom makan sama-sama. Hari tu I tengok you beli kat Family Mart. Teringin pula nak makan,” kata suara garau itu sambil menatang mangkuk maggi yang dibelinya tadi sebelum pulang ke rumah.
Ya, baginya ini adalah rumahnya yang sebenar. Bukan di sana.
Aulia tahu dia tidak mampu untuk mematahkan apa saja kata-kata lelaki ini. Terus saja dia mengangakan mulutnya untuk membenarkan makanan kegemaran remaja sekarang masuk ke dalam mulutnya.
Sedap!
“Esok gerak jam berapa?” tanya lelaki suara garau, namun halus di telinga Aulia.
“Jam 10.00 pagi sebab meeting tu jam 2.00 petang. Kali ini nak tengok tempat tu macam mana sebab kita nak bincang berapa kapasiti yang boleh muatkan semua pelajar. You doakan I tau. I memang nak buat project ni betul-betul,” kata Aulia dengan penuh harapan. Kepalanya dilentokkan kepada lengan sasa lelaki yang duduk di sebelahnya.
Lelaki itu mengangguk. “Nak I stay sini tak malam ni?”
Laju saja Aulia menggeleng lemah. Dia mengangkat sedikit mukanya dan memandang tepat mata lelaki yang paling dia cinta. “Baliklah tau. Saya okey je. Dapat charge macam ni pun dah lebih daripada cukup.”
Kucupan ringan dilabuhkan pada dahi pertama yang dia kucup kepada seorang perempuan. Ya, dia adalah wanita yang pertama.
“I tidurkan you dulu then I balik. Okey?”
Tersenyum Aulia. Terus saja dia minum air dan masuk ke dalam bilik untuk membersihkan dirinya. Lelaki ini tidak pernah melupakan tanggungjawabnya, selalu membenarkan apa yang dia rasa dan langsung tidak membuatkan dia rasa tersisih.
Sungguh hubungan ini sangat berat, namun dia percaya semua ini adalah takdir yang tertulis dan dia perlu membayar sebuah hutang budi yang paling besar.
“Ready?”
Aulia mengangguk. Dia memejamkan matanya selepas merasakan ada pelukan hangat yang memeluknya erat. Seerat masalah yang datang dalam dunianya. Dia tenang dalam pelukan lelaki ini. Jadi benar hormon yang dipanggil oxytocin akan merembes keluar dan membuatkan seseorang itu lebih relaks dan mengurangkan kadar stres.
Yang Aulia rasakan ketika ini adalah rasa selamat, rasa dilindungi. Dia percaya satu hari nanti akan semua tahu tentang Taufiq Mikael dan Aulia Ryana.
Selamat malam kepada semua yang terpaksa mencintai dalam diam.
ANGIN malam menyapanya sejuk namun badannya terasa hangat kerana panas hatinya dengan suaminya, Taufiq. Dari tadi dia menunggu kepulangan suaminya namun langsung tidak nampak bayang.
Jam berapakah suaminya akan pulang?
Penat sudah jarinya menekan pada skrin untuk menghubungi suaminya. Mahu saja dia menghubungi kawan-kawan suaminya, namun dia risau jika ada yang bertanggapan buruk terhadapnya.
Kakinya dibawa ke ruang bawah dan terus saja langkahnya terhenti bila melihat sekujur tubuh sedang berbaring di ruang tamu.
Sejak bila suaminya pulang?
“Biy?”
Taufiq mengangkat kepalanya dan memandang Qalisha sekilas. “Tak tidur lagi?”
“Kan I kata nak tunggu biy,” balas Qalisha dengan manjanya.
Diam.
“Tak penat ke?” tanya Qalisha lagi dan duduk berdekatan dengan Taufiq.
“Tak.”
Rimas sungguh Qalisha dengan Taufiq yang selalu berkeadaan begini. Terus saja dia teringat tentang Zura. Ya, Zura sudah pun mengandung dan dia pula belum lagi. Hubungannya dengan Taufiq baik-baik saja walaupun selama ini hanya dia saja yang meminta.
Tapi, dia peduli apa. Tiada siapa yang tahu.
Terus saja dia melepaskan baju tidurnya dan…
Langsung tiada apa yang tinggal. Mahu malu apa kerana yang berada di hadapannya ini adalah suaminya. Bukan orang lain.
“I nak…”
“BUKAN kau kena pergi Slim River sebab nak jumpa client ke?” tanya Zura lepas menghidangkan air jus yang memang ada di dalam peti sejuk rumahnya.
Sekali teguk saja Elisa habiskan dan dia tergelak kecil. “Aku tipu. Macam tak biasa. Sha tu bukan nak dengar cakap orang, suka paksa-paksa orang.”
Tergelak Zura sambil mengangguk. “Kenapalah kita masih kawan dengan dia kan?”
“Sebab Aulia je. Kalau dia tak kawan dengan Qalisha tu dah lama aku angkat kaki aku ni. Tak ada maknanya nak kawan dengan kawan macam tu. Stress tau,” rungut Elisa. Ya, dia tidak faham kenapa Aulia suka berkawan dengan Qalisha sedangkan mereka bertiga tahu betapa toksiknya sahabat mereka itu.
“Ingat, apa Sha dah buat kat kita semua. Dia banyak tolong kita,” kata Zura cuba mengingatkan Elisa kenapa mereka berkawan dengan Qalisha.
“Alah, sebab bapak dia je,” jawab Elisa menyampah.
Tergelak Zura. “Weh, Aulia kat Melaka ya?”
“Ha’ah, kalau tak dia kena join kita lepak ni. Untuk sucikan hati dan kepala kita ni. Kenapa eh, dalam mana-mana kawan-kawan perempuan mesti akan ada sorang yang macam Qalisha. Sorang yang kita tak boleh nak share semua, kalau tak mesti ada benda tak best jadi,” sambung Elisa lagi.
Ya, dia masih marah dengan Qalisha berkaitan dengan dia pernah mahu membuat kejutan hari lahir kepada tunangnya. Namun, Qalisha sudahpun membuat story live di IG tentang perjalanan mereka mahu mengejutkan tunangnya.
Mereka diam. Dan, saling berpandangan.
“Aulia tu okey ke? Dia okey ke crush dia kahwin dengan Qalisha? Dah dua tahun dorang kahwin. Kau perasan tak Aulia takkan ada kat tempat tu kalau ada Taufiq?” tanya Zura prihatin.
Elisa berdecit lalu mengangguk.
“Apa Aulia rasa ya? Aku rasa Taufiq tak tahu perasaan sebenar Aulia kat Taufiq je. Kalau tak mahu Qalisha kena tinggal,” kata Elisa sambil tersengih kecil.
“Memang patut pun Aulia selalu tak ada kalau ada Taufiq kat tempat yang sama,” sambut Zura dengan menungan panjang.
Share this novel