MAJLIS perkahwinan mereka adalah majlis perkahwinan yang terhad dengan jemputan khas sahaja. Cuma ahli keluarga terdekat dan beberapa jemputan khas sahaja yang datang tapi Izara langsung tak sangka ruang dewan boleh jadi seramai ini.
Majlis perkahwinan mereka pun diadakan di sebuah hotel lima bintang. Tak payahlah nak tanya berapa banyak duit yang dah dilaburkan dalam majlis perkahwinan mereka untuk satu hari itu sahaja.
Izara dan Leo berdiri untuk berjam lamanya dengan memaksa diri masing-masing untuk senyum, salam satu per satu tetamu yang hadir, dan tunjukkan kemesraan kepada tetamu walaupun kaki masing-masing macam nak tercabut. Bila malam menjelma, barulah Izara dapat menghembuskan nafas lega.
Dia memandang ibunya. Nak mengadu dengan ibunya yang kakinya sakit? Jangan haraplah akan dilayan
Kemudian Izara memandang Idris dengan pandangan yang penuh dengan harapan. “Papa, boleh tak malam ni Zara nak ikut mama dengan papa balik? Pleaseee?”
Idris cuma menghadiahkan senyuman kecil. “Eh, mana boleh. Sekarang, papa dah pass baton tanggungjawab ke atas Zara... dekat Leo.”
Noh... Gugur terus jantung Izara ke lantai.
Dia hanya mampu memandang kereta yang dinaiki Idris dan Araya meluncur pergi dengan mata yang bergelinangan air mata. Tiba-tiba Leo muncul dari belakang, memanggil.
"Sampai bila nak berdiri dekat situ? Jom."
"Kita nak pergi mana, Tuan?"
Izara angkat sedikit gaun putihnya supaya dia tak tersadung tiba-tiba. Perlahan-lahan, dia ikut rentak langkah Leo yang melangkah tanpa menoleh ke belakang.
“Bilik kitalah.” Nada Leo mendatar sahaja. Kaki panjangnya terus melangkah dengan penuh keyakinan, meninggalkan Izara yang terpinga-pinga mengejar lengkah lelaki itu. Leo sempat menoleh sekilas… tapi itu pun dia tak pasang niat untuk membantu.
‘Tak guna betul jadi suami! Tolong pun tak!’ rungut Izara, menahan setiap langkah yang diambil walaupun terasa ibarat memijak ribuan paku.
Sampai saja di bilik, Izara terkedu.
Bilik mereka dihias dengan tema merah dan elemen romantik yang… melampau. Lilin aromaterapi dinyalakan dan disusun kemas di atas lantai. Kelopak bunga mawar disusun membentuk ‘heart’ di atas katil. Apa yang dia nampak, sama macam stock image untuk gambar bilik berbulan madu.
“Siapa nak mandi dulu? Awak ke saya?” soal Leo yang berdiri berdekatan dengan almari, sambil menanggalkan kot dan disangkut ke dalam almari yang menyala dengan lampu suam.
Izara terdiam. Matanya terpaku melihat lelaki itu membuka butang pada lengan baju dan kemudian menanggalkan dua butang pada bahagian atas kemejanya. Izara cepat-cepat menutup wajahnya dengan kedua belah tangan, wajah berubah kepanasan.
“Awak mandilah dulu! Tapi baju buka dalam bilik air, jangan buka dekat depan saya!” jerit Izara dengan wajah yang dah merona kemerahan.
Leo menggeleng. “Perasan. Saya pun tak ada hatilah nak tanggal baju dekat depan awak.”
“Hah?! Tak ada hati? Habis tu, macam tu tak kira buka baju ke?!”
Leo tunduk, melihat kemejanya yang masih dipakai kemas. Bezanya, dua butang di bahagian atas terbuka. “Saya buka sikit je, panas.”
Muka Izara semakin memerah. Leo terus masuk ke dalam bilik air dan buka air pancuran.
Semasa Leo sedang mandi, itulah peluang untuk Izara tukar baju. Gaun yang dia pakai seharian ini sahaja dahlah berat, panas, dan sangatlah menyiksa. Dia tanggalkan solekan dulu, kemudian cuba buka zip di belakang.
Tapi Allah tetap hendak mengujinya.
Zip bajunya tersekat.
Dia cuba tarik perlahan, tak jalan. Tarik kuat pun tak jalan juga. Nak atau tidak, dia tetap kena minta tolong Leo. Tapi masalahnya, nak cakap pun dia dah malu.
Paniknya semakin melangit bila bauan ros semerbak bila Leo keluar dari bilik mandi. Lelaki itu dah siap berpakaian dengan baju tidur yang disediakan oleh hotel. Rambutnya separa kering, jadi dia cuba keringkan dengan tuala yang dah disediakan oleh pihak hotel.
“Dah kenapa? Dah kena sumpah jadi anak patung ke?” soal Leo, pelik.
“Bukan…” Izara berpura-pura tenang.
“Pergilah mandi.”
“Uh... Er... Erm... Ah...” Izara mengaru lengan yang tidak gatal. “Tuan…”
Leo mengangkat kening, suaranya berat dan kedengaran penat. “Apa dia?”
Izara menelan air liur. “Tak ada apalah! Saya mandi dulu!” katanya sebelum berlari masuk ke dalam bilik air.
“Yang bukan-bukan je,” gumam Leo.
DALAM bilik mandi, Izara terus menerus sumpah seranah diri sendiri.
Kenapa la dia takut sangat nak minta tolong? Bukannya dia nak goda orca tu pun. Dia cuma nak minta tolong je, tapi dia takut kalau Leo akan salah faham dengan niat dia.
Dia cuba lagi tarik zip tu tapi tetap tersekat.
Setengah jam dia berdiri dalam bilik mandi tapi gaun tu tetap melekat pada badannya.
Leo mula pelik kenapa Izara tak keluar-keluar, jadi dia pergi ketuk pintu bilik mandi. “Hei, hidup lagi ke tak dekat dalam tu?”
Kurang asam betul. Apa punya soalan yang dia tanya ni?! Dia ingat aku dah mati kejung dekat dalam ni ke apa?!
“Hidup lagi la!” jawab Izara geram.
“Kalau hidup, kenapa tak keluar-keluar?!”
“Kejap lagi, Tuan. Kalau Tuan dah mengantuk, tidur jelah dulu.”
Lima minit kemudian, Izara masih tak keluar-keluar.
“Izara, awak buat apa dekat dalam tu?! Buka pintu, kalau tak saya tanggalkan pintu ni!”
“EH, JANGANLAH!”
“Buka cepat!”
“T… tak boleh!”
“Okay, fine. Satu. Dua. Ti-”
Pintu dibuka perlahan. Izara berdiri dengan muka yang serba bersalah. Dia masih bergaun, sama macam mana dia masuk ke dalam bilik mandi tadi.
“Astaghfirullahalazim…! Apa awak buat dari tadi?!” Leo pandang seolah tak percaya. “Awak buat apa dekat dalam lama-lama tadi? Panggil jin? Berzikir? Bertapa?”
“Bukan... Zip gaun ni... tersekat.”
Leo menghela nafas panjang. “Pusing, pandang cermin.”
Izara akur. Mereka bertentang mata dari pantulan cermin. Izara cepat-cepat mengalihkan pandangan.
Leo cuba tarik zip gaun itu. Memang betul tersekat. Dia dekatkan muka, tengok betul-betul. Ada benang terselit. Dia pegang bahagian zip dengan tangan kiri, tangan kanan tarik benang tu perlahan. Tangan dia tersentuh kulit Izara.
Izara tersentak. Dia terasa macam satu badan dia tersentak dengan renjatan elektrik yang menusuk.
Leo cepat-cepat mengundurkan diri. “Dah. Lain kali kalau tak boleh buka, minta tolong.”
BEBERAPA minit kemudian, Izara keluar dengan baju tidur hotel yang sama macam Leo. Dia ingat lelaki tu dah tidur, tapi Leo masih duduk di sofa berhampiran dengan pintu kaca balkoni dengan komputer riba di pangkuannya.
“Tuan Leo tak tidur lagi?”
Soalan bodoh. Patutnya dia tanya, ‘kenapa tak tidur lagi?’
Nasib baik Leo jawab serius kali ini.
“Belum. Ada kerja.”
Workaholic. Malam perkahwinan sendiri pun boleh nak buat kerja.
Izara perlahan memanjat katil. Bunga-bunga atas tilam semua dah hilang entah ke mana.
“Kalau Tuan mengantuk, Tuan tidurlah dekat atas katil. Saya boleh tidur dekat atas sofa.”
“Hah? Kenapa pula?” soal Leo tanpa mengangkat pandangannya.
“Takkan nak kongsi katil…”
“Kenapa? Awak berharap yang saya akan tidur sekatil dengan awak ke?” soal Leo sambil angkat sebelah kening.
“Bukan macam tu maksud saya! Saya cuma risau… kalau Tuan tak cukup rehat.”
“Saya tak suruh awak risaukan saya.”
Eh, kampret betul. Tunjuk kisah, dia sindir. Kalau diam pun, dia sindir juga.
Izara tarik selimut dan baring mengiring, membelakangi suaminya yang masih fokus dengan kerja depan skrin komputer.
Share this novel