“AKU dekat mana ni?” Nadira masih lagi tertanya-tanya. Dia tetap berjalan biarpun takut-takut.
“Aku tahu hutan tapi hutan mana? Selama aku hiking tak pernah pun masuk hutan begini?” Dia mengomel sambil menyelak. Menepis-nepis semak yang menghalangi jalan.
Kabus masih lagi menyelubungi. Makin lama semakin tebal.
“Aduh!” Nadira beraduh setelah terjelepuk jatuh kerana kakinya tersepak tunggul pokok.
“Aduh…sakitnya ibu jari kaki aku,” desis Nadira yang terduduk sambil menahan perih luka. Sudahlah dia berkaki ayam. Kulit kuku ibu jarinya tersobek dan terisi itu membuatkan aliran darah menjadi berat.
Krap…
Hujung gaun paras lutut bercalar-calarnya itu dikoyak separuh untuk dijadikan sebagai penebat luka. Itu saja cara yang dia ada.
Setelah mengoyaknya. Kain panjang itu dimasukkan ke celahan ibu jari yang bermandikan cecair merah likat itu.
“Argh!!!” Dia terpekik sewaktu mengeratkan ikatan simpulan. Setelah itu meraup-raup muka yang berpeluh biarpun keadaan dekat situ tidak pun terlalu terik malah gelap serta mendung.
“Argh…sakit!!!” Nadira beraduh ketika ingin berdiri sambil memegang ranting-ranting yang berjuntaian kiri dan kanan.
Setelah sedaya-upaya dia membangunkan dirinya. Akhirnya dia membawa langkahnya semula ke laluan tanpa destinasi itu.
Langkah pincangnya tetap dikerahkan kerana dia sendiri tidak tahu sudah berada di mana mahupun sampai ke mana.
“Ya Allah. Berikan lah aku satu petunjuk aku dekat mana sekarang ni. Aku betul-betul nak tahu. Mana Haris, suami ku. Kenapa dia tak berada dengan aku?”
Seusai potongan luahan itu terungkap. Di hadapan yang tadinya berkabus tebal kian menipis lalu ternampak sebuah perkampungan. Rumah-rumahnya kelihatan pelik.
“Ada kampung? Mungkinkah suami aku juga ada dekat situ?” Nadira cuba melajukan perjalanan walau dia terpaksa menahan sakit. Kain penebat luka semakin merah warnanya.
Setelah beberapa minit perjalanan. Ya, tetap memakan masa walau pandangan matanya kelihatan kampung itu terlalu dekat sekadar dua, tiga langkah saja. Akhirnya Nadira sudah masuk ke dalam kampung yang dia pasti bukan etnik dari Semenanjung.
“Ika siapa? Ika urang lua, naha bisa masuk ka lewu kami? Ika siapa? Nah, handak apa ika datang ka sini? Ika handak ngancauk kah?”
“Hah?” Nadira pula yang tertanya-tanya. Sudahlah disergah. Soalan yang diajukan pula bahasanya sepatah haram Nadira tidak faham. Apatah lagi mahu membalas.
“Buk…bukan…saya…saya…” Nadira tetap juga menjawab. Pada andaiannya mungkin lelaki itu rasa dia musuh.
“Saya…saya Nadira. Saya pun tidak tahu macam mana boleh sampai ke kampung Tuan. Tapi saya mahu cari suami saya…” Nadira memperjelaskan. Dia tahu pasti lelaki itu tak faham. Apa lagi cara yang dia ada?
Nadira sempat memerhati aksesori serta cara orang-orang di situ berpakaian. Saling tak tumpah dengan adat budaya kaum Iban.
"Tangkep aja iya, tok. Nahan inje jawaban Sang Pangulu kanggo upacara kita tuh. Darawen lua lebi baik…”
("Tangkap saja dia, tok. Inilah jawapan Sang Penguasa untuk upacara kita tu. Perawan luar lagi bagus...")
“Ini… ini gambar suami saya. Tuan berdua ada nampak tak?” Tanya Nadira setelah teraba-raba poket gaun Jeans miliknya itu. Telefon pintar dibawa keluar lalu menunjukkan gambar Haris.
Nadira yang berada di alam sebenar dan juga di atas katil. Gelisah. Mukanya dipenuhi bintilan peluh. Mimik muka berkerut-kerut.
Kedua-dua lelaki berpakaian kuno dengan bulu burung kenyalang sebagai topi meneliti telefon tersebut. Benda yang selama ini tidak pernah dilihat sesiapa memakainya.
"Apa inih, tok? Talawang bahaya bawi panyihir inikah? Iya handak ngirimi hantukah?” Soal lelaki kedua.
Di benaknya, dia fikir Nadira seorang perempuan penyihir yang mahu mengirimkan sesuatu melalui telefon padahal Nadira mahu tunjukkan gambar suaminya, Haris kalau-kalau mereka pernah nampak.
“Dalam gambar tu. Dia lah suami saya. Tok berdua ada nampak dia masuk sini tak?” Nadira menyoal. Besar harapannya agar lelaki berpakaian pelik itu ada terlihat kelibat Haris.
"Bukan. Hinu coba tengok inih. Ada lalak di dalemnya. Mungkin bawi inih urang hapakat. Dan mungkin cocok kanggo upacara kita. Aku yakin, lalak inih laki bawi inih.”
(Bukan. Kau cuba lihat ini. Ada lelaki di dalamnya. Mungkin perempuan ini orang baik-baik. Dan mungkin sesuai untuk upacara kita. Aku pasti, lelaki ini suami dia.)
Lelaki tua kedua terangguk-angguk. Akhirnya lelaki pertama menyatakan bahawa dia pernah menemui Haris. Nadira mempercayai sedangkan dia tidak tahu, itu adalah perangkap. Dan dirinya akan di persembahkan pada Tuhan mereka.
“Tidak!!!”
“Tidak. Jangan. Jangan bunuh aku. Jangan, tolong aku merayu,” rintih Nadira dengan mata yang masih terpejam.
“Abang…tolong Dira, bang. Tolong Dira…tolong..!” Nadira menggelupur sambil terjerit-pekik walau jenuh Haris cuba menyedarkannya sehinggalah dia teringatkan spray As Syifa yang dibelinya dua minggu sudah.
“Sayang? Hei, sayang. Sedar. Bawa mengucap. Bawa mengucap. Abang ada ni, sayang…” Terang Haris setelah menyapu muka itu dengan air tersebut.
Perlahan-lahan pegangan kian longgar. Nadira masih lagi terpinga-pinga. Termengah-mengah bagaikan baru habis marathon saja, layaknya.
“Ab…abang?” Tanya Nadira tergagap-gagap. Terketar-ketar. Sungguh mimpi dia kali ini amat menakutkan.
“Ya, sayang. Ini abang. Abang dengan sayang…” Pujuk Haris. Dia tahu, Nadira baru saja melewati mimpi ngeri. Hanya pujukan dapat meredakan keadaan.
“Abang…” Panggil Nadira dan terus memeluk tubuh Haris seperti tidak mahu dilepaskan lagi dan mengejutkan jua lelaki itu.
“Shh… shh…kenapa ni sayang? Sayang bermimpi apa?” Haris memujuk dan menyoal setelah pelukan mereka terlerai.
“Sayang mimpi sesuatu yang menakutkan. Sayang…sayang kena korban,” adu Nadira bersuara lirih sambil Haris mengelap sisa airmata yang membasahi pipi isterinya itu.
“Korban? Takde apa-apalah sayang. Mimpi saja tu. Mimpi kan mainan tidur. Takde siapa yang nak korbankan sayang,” pujuk Haris lagi sambil menolak anak rambut Nadira ke sisi telinga.
“Sayang rasa tak sedap hatilah bang. Abang betul ke nak ke sana? Sayang rasa betul-betul tak sedap hati ni. Say…”
Belum sempat Nadira menghabiskan kata-katanya. Jari Haris sudah berada di atas bibir Nadira.
“Sayang. Sayang, dengar sini. Apa yang sayang mimpikan tu takde sebarang maknanya pun. Usah fikir bukan-bukan ya. Abang ke sana untuk kerja. Kalau abang tak bekerja keras dari sekarang, bila lagi?” Haris tanpa jemu memperjelaskan agar Nadira memahami tanpa sebarang prasangka.
“Tapi bang…”
“Dah. Tidur semula. Awal lagi ni, sayang. Tidur. Baca Ayatul Qursi tu,” tegah Haris seraya merebahkan tubuh isterinya itu, selimut di letakkan paras dada.
Nadira masih ingin meluahkan rasanya tapi Haris sudah baring semula membelakangkannya. Nadira juga menukar posisi dan mengiring ke arah pintu.
‘Aku tak pernah mimpi macam tadi. Betul. Aku yakin, aku memang tak pernah mimpi macam tadi. Kenapa boleh tiba-tiba pula?’ Soalnya yang susah hati.
‘Ya Allah, kau lindungi aku dengan suami ku dari segala pandangan orang berniat jahat. A…min…’ Doa dipohon dan mulutnya berkumat-kamit membaca ayat-ayat lazim sambil kelopak mata perlahan-lahan dilabuhkan.
Share this novel