KMDA BAB 2 : PANGGILAN DARIPADA IBU

Romance Series 3201

ELYARA MAYSARRAH berdiri di tengah taman yang sedang dibangunkannya, memandang sketsa dan pelan yang dipegang erat dalam genggamannya. Sebagai seorang pereka landskap, setiap hari baginya adalah tentang mencipta keindahan—mencampurkan elemen flora, seni, dan harmoni alam dalam satu susunan. Untuk projek rumah agam milik Armeel Rychal, fokusnya adalah mencipta taman bergaya Mediterranean yang dipenuhi pepohon zaitun, lavender, dan pancuran air marmar di tengahnya.

Di sebelah taman itu, terdapat gazebo kayu bergaya kontemporari yang Elyara rancang untuk menjadi tempat santai eksklusif bagi pemiliknya. Dia menghabiskan hampir seluruh paginya memeriksa pemasangan batu-bata untuk laluan pejalan kaki yang menuju ke gazebo, memantau kedudukan pasu seramik besar, dan memastikan penanaman tanaman dilakukan dengan rapi oleh para pekerja.

Namun, panggilan daripada ibunya, Puan Norhaili, telah mengganggu fokus Elyara.

"Yara, kesihatan ayah kamu semakin merosot. Doktor kata dia perlukan pemerhatian rapi," suara ibunya kedengaran cemas di talian.

Elyara terdiam, seluruh tubuhnya kaku. Dia memegang telefon erat, air mata mula bergenang di pelupuk matanya.

“Mak... Yara balik nanti. Yara kena habiskan kerja sikit di sini.”

Talian tamat, namun Elyara masih termanggu di situ. Dia menatap sketsa taman di tangannya tetapi mindanya sudah jauh, memikirkan ayahnya di kampung yang semakin uzur. Hatinya diselubungi rasa bersalah dan risau.

Ketika itulah Armeel muncul, dengan langkah tegas seperti biasa. Lelaki itu memakai kemeja biru gelap yang digulung pada siku, memperlihatkan otot lengannya. Wajahnya kekal serius, auranya dominan. Dia memerhati Elyara yang berdiri kaku dengan wajah sendu.

“Elyara!” tegurnya dingin. “I nak laporan kemajuan projek ini sebelum tengah hari. Kenapa you termenung macam ni? I bayar you untuk bekerja, bukan untuk berkhayal!”

Elyara tidak bergerak. Air matanya yang sudah bertakung kini jatuh perlahan di pipi. Dia tidak mampu menjawab, hanya berdiri membelakangkan Armeel, memeluk dirinya sendiri seolah-olah mencari kekuatan.

Melihat itu, nada suara Armeel mulai berubah.

“Elyara...” panggilnya lagi, kali ini lebih lembut. Dia melangkah mendekati gadis itu, dan kali ini dia melihat jelas mata Elyara yang basah.

Armeel menghela nafas panjang, cuba menenangkan dirinya. Dia menyentuh bahu Elyara dengan lembut, berusaha menahan debar aneh di dadanya.

"Kenapa ni? Apa yang berlaku?" tanyanya perlahan.

Elyara menoleh, matanya merah, dan bibirnya bergetar.

“Ayah saya... di kampung. Kesihatan dia makin merosot. Saya rasa serba salah. Saya nak balik tengok dia, tapi saya ada tanggungjawab di sini...” suaranya tersekat-sekat, penuh dilema.

Melihat gadis itu dalam keadaan begitu membuatkan hati Armeel seolah-olah dicengkam sesuatu. Lelaki dingin yang biasanya berperisai dengan sikap profesionalisme kini berasa hangat simpati.

“You nak balik sekarang?” tanyanya dengan suara penuh prihatin.

“Tapi projek ni...” Elyara memandang sekeliling taman yang masih belum siap.

“Projek ni, i boleh tunggu,” potong Armeel. “Apa yang lebih penting sekarang adalah keluarga you tu.”

Elyara memandangnya dengan mata bercahaya, tidak menyangka lelaki itu mampu bersikap begitu memahami.

“Tapi—”

“No, now... i tak nak dengar apa-apa alasan daripada you. I akan uruskan semua pekerja di sini sementara you balik kampung,” katanya tegas. “Dan satu lagi...” dia berhenti sejenak, nadanya menjadi lembut. “Kalau ada apa-apa masalah, you boleh beritahu i. I akan tolong.”

Elyara menunduk, air matanya mengalir lagi.

“Terima kasih, Encik Armeel...”

Armeel mengeluh kecil, mengusap tengkuknya dengan rasa canggung.

“Hati-hati di jalan, Elyara. Kalau you perlukan seseorang untuk hantar you balik, i boleh suruh pemandu i.”

Elyara menggeleng perlahan, senyuman kecil mula terukir di bibirnya. Dia berasa sedikit tenang. Lelaki yang selama ini dilihatnya seperti batu keras sebenarnya menyimpan sisi yang sangat prihatin.

Di bawah bayangan pepohon zaitun yang belum matang, keduanya berdiri dalam suasana hening, seolah-olah ada ruang kecil yang hanya mereka berdua fahami. Hati yang dingin kini sedikit mencair, menandakan permulaan sebuah kisah yang mungkin tidak terjangka.

Langkah Elyara terhenti di depan pintu belakang rumah agam milik Armeel Rychal. Fikirannya bercelaru. Tiba-tiba dia teringatkan keretanya yang masih di bengkel sejak beberapa hari lalu. Bagaimana dia mahu pulang ke kampung dalam keadaan seperti ini?

Dia menggenggam erat telefon bimbit di tangannya, air mata yang tadi reda mula mengalir semula. Pelbagai rasa bercampur-baur di hatinya. Risau, sedih, dan tertekan. Matanya merenung kosong ke arah taman yang hampir siap, tetapi jiwanya jauh melayang.

Dari ruang dalam rumah, Armeel yang sedang memantau pekerjanya ternampak Elyara berdiri kaku di ambang pintu. Langkahnya terhenti sejenak, memerhatikan gadis itu yang kelihatan tenggelam dalam emosinya. Wajah Elyara yang basah dengan air mata sekali lagi mengusik hati lelaki dingin itu.

Tanpa berfikir panjang, Armeel melangkah mendekatinya.


“Elyara,” panggilnya perlahan.

Elyara tidak menjawab, hanya menggeleng kecil dengan tubuh yang sedikit terhuyung-hayang. Rasa bersalah dan kerisauan dalam dirinya membuatkan dia seolah-olah kehilangan tenaga.

Armeel menarik nafas panjang, lalu tanpa berkata apa-apa, dia mendekatkan tubuhnya pada Elyara. Kedua tangannya memegang bahu gadis itu, dan dalam sekelip mata, tubuh ramping Elyara berada dalam pelukannya.

“Elyara, tenang,” suaranya lembut, tetapi tegas. “You kenapa lagi ni? Kalau you rasa tertekan, lepaskan saja. I ada untuk bantu.”

Elyara terpaku. Badannya kaku dalam pelukan Armeel, tetapi di sebalik kejutan itu, ada rasa hangat yang menjalar di hatinya. Rasa itu aneh, asing, tetapi menyenangkan. Tangannya terkulai, membiarkan dirinya larut dalam detik itu.

Namun, detik itu tidak bertahan lama.

“Ya Allah, Armeel! Apa yang kamu buat ni?” suara lantang Mak Embun memecah keheningan.

Elyara segera menjauhkan diri dari Armeel dengan wajah merah padma. Jantungnya berdegup kencang, bukan sahaja kerana pelukan tadi, tetapi juga kerana malu 'ditangkap basah' oleh pembantu rumah yang telah lama bekerja dengan keluarga Armeel.

“Mak Embun... saya—” Armeel cuba menjelaskan, tetapi wanita tua itu sudah menuding jari ke arahnya.

“Armeel Rychal! Kamu ingat kamu boleh buat sesuka hati sebab ini rumah kamu? Elyara tu anak dara, Armeel! Apa pula pandangan orang kalau mereka tahu kamu buat macam ni?” Mak Embun berkata dengan nada penuh amarah, tetapi terselit juga rasa kecewa.

“Mak Embun, saya tak berniat apa-apa. Elyara cuma—”

“Jangan kamu cuba cari alasan, Armeel! Dari kecil lagi Mak Embun jaga kamu, mak ajar kamu adab, mak ajar kamu hormat perempuan. Ini ke balasan kamu? Malu mak kalau arwah Puan Sri tengok perangai kamu ni!”

Armeel terdiam. Kata-kata Mak Embun seperti tikaman ke jantungnya. Dia tahu Mak Embun bukan sekadar pembantu rumah. Wanita itu sudah dianggap seperti ibunya sendiri, seorang yang selalu memarahi dan menasihatinya sejak kecil.

“Mak Embun, jangan salahkan Encik Armeel,” Elyara mencelah dengan suara bergetar. “Dia cuma nak tenangkan saya. Saya yang terlalu emosional tadi.”

Mak Embun memandang Elyara, air mukanya sedikit lembut.

“Kamu tak salah, Cik Elyara. Tapi kamu kena hati-hati. Orang luar boleh salah anggap. Armeel ni pula... dia memang keras kepala. Tak pernah nak fikir panjang.”

“Mak Embun,” Armeel akhirnya bersuara, nadanya rendah. “Meel minta maaf. Meel cuma nak bantu Elyara. Dia tengah ada masalah, dan jujur, Meel tak boleh tengok dia menangis macam tu.”

Mak Embun menghela nafas panjang, memandang kedua-duanya dengan mata yang penuh makna.

“Kalau kamu betul-betul nak bantu Elyara, buat dengan cara yang betul, Armeel. Jangan biarkan orang lain salah faham. Kamu anak sulung keluarga besar ni, tanggungjawab kamu berat.”

Armeel mengangguk perlahan.

“Meel faham, Mak Embun.”

Elyara hanya tertunduk, malu bercampur segan. Namun, dalam hatinya, dia tahu Armeel Rychal yang digambarkan dingin dan keras rupa-rupanya menyimpan sisi lain yang hangat dan peduli. Mungkin, hanya Mak Embun yang tahu bagaimana melembutkan hati lelaki itu.

***

Elyara menatap wajah tegas Armeel Rychal yang bersandar di dinding kereta mewahnya, enggan berganjak walau berkali-kali Elyara menolak tawaran lelaki itu untuk menghantarnya pulang ke kampung.

“Encik Armeel, ini keterlaluan. Saya tak boleh terima,” ujar Elyara sambil menggenggam beg kerjanya erat.

Armeel mengangkat kening, sebuah senyuman sinis tersungging di bibir.

“Elyara, jangan keras kepala. Kalau you degil, i boleh panggilkan pengawal keselamatan untuk hantar you balik. Tapi i rasa lebih baik i sendiri yang pastikan you selamat sampai.”

Elyara menghela nafas panjang.

“Tapi... ini masalah keluarga saya, tak sepatutnya Encik Armeel libatkan diri.”

“Masalah you adalah masalah i juga, Elyara. I ni majikan you. Kalau sesuatu berlaku pada you, siapa yang akan siapkan projek landskap i?” Armeel memberi alasan sambil menyandarkan dirinya lebih santai.

Elyara mengerutkan dahi, tetapi sebelum sempat dia membalas, Armeel menambah,

“Lagipun, you tahu tak bahaya gadis seperti you balik kampung sendiri? Ada bermacam-macam cerita tentang perompak di lebuh raya, atau... mungkin ada orang niat tak baik bila tengok perempuan cantik macam you?”

Mendengar itu, Elyara terdiam, jantungnya berdegup laju. Dia memandang Armeel dengan mata membulat. Lelaki itu tersenyum puas.

“Masuk kereta, Elyara. I janji, I tak akan buat you rasa tak selesa.”

Akhirnya, Elyara mengalah. Dengan langkah berat, dia membuka pintu kereta dan duduk di sebelah tempat pemandu.

“Tapi biar saya bayar duit minyak,” ujar Elyara tegas.

“Minyak? Kalau begitu, you bayar dengan hasil kerja you nanti,” jawab Armeel sambil menekan pedal minyak, meninggalkan kawasan rumah agam itu.

***

Perjalanan ke kampung Elyara diiringi pemandangan sawah padi yang terbentang luas dan pohon kelapa melambai di tepi jalan. Hati Elyara sedikit lega, tetapi rasa rendah diri kembali menghantui apabila kereta mewah Armeel memasuki kawasan rumah kayu keluarganya yang sederhana.

Puan Haili yang sedang menyapu halaman terhenti. Matanya terbeliak melihat kereta hitam berkilat itu berhenti di depan rumahnya. Dia menyilangkan tangan di dada, menanti siapa gerangan yang keluar dari kereta itu.

Ketika pintu terbuka dan Elyara melangkah keluar, Puan Haili memandang dengan dahi berkerut.

“Yara, siapa pula ni? Kau bawa lelaki kaya ke kampung ni kenapa? Kau tahu tak, orang kampung boleh salah faham!”

“Mak, bukan macam tu...” Elyara tergagap, cuba menjelaskan, tetapi Armeel yang sudah keluar dari keretanya memintas.

“Puan, saya Armeel Rychal. Saya majikan Elyara. Dia tak berapa sihat tadi, jadi saya fikir lebih baik saya hantar dia pulang sendiri,” ujar Armeel sambil tersenyum penuh keyakinan, tangannya diseluk ke dalam poket seluar.

Puan Haili terdiam seketika, tetapi nada suaranya melembut. “Majikan?”

“Betul, Puan. Saya hanya ingin pastikan Elyara sampai dengan selamat,” jawab Armeel.

Elyara menunduk, hatinya sedikit lega dengan cara Armeel menjernihkan keadaan. Tetapi sebelum sempat dia merasa tenang sepenuhnya, bunyi batuk kuat dari dalam rumah menarik perhatian mereka.

“Mak, ayah!” Elyara berlari masuk ke dalam rumah. Di ruang tamu, Encik Emran kelihatan semakin lemah, tubuhnya terbaring dengan nafas yang tersekat-sekat.

Tanpa berfikir panjang, Armeel masuk dan mendekati Encik Emran.

“Uncle perlu ke hospital sekarang juga.”

“Tak payah, kami tak nak menyusahkan,” kata Puan Haili perlahan, tetapi Armeel memandangnya dengan mata tajam.

“Ini bukan tentang menyusahkan atau tidak. Uncle perlukan rawatan segera,” tegas Armeel sebelum mendukung tubuh kurus Encik Emran dengan mudah.

Elyara hanya mampu memandang dalam diam, hatinya berkecamuk melihat lelaki dingin itu tiba-tiba bertukar menjadi begitu prihatin. Ketika Armeel membawa ayahnya ke kereta, Elyara menyusul di belakang dengan air mata yang bergenang.

***

Di hospital, Elyara duduk di bangku menunggu dengan Puan Haili di sisinya. Hatinya masih terasa berat, tetapi bila teringatkan bagaimana Armeel mencempung ayahnya ke kereta tadi, ada sesuatu yang bergetar di dadanya.

“Dia nampak keras luarannya, tapi hati dia baik,” ujar Puan Haili perlahan, memecah kesunyian.

Elyara hanya mengangguk, tidak tahu bagaimana mahu menjawab. Di balik kaca tingkap, dia melihat Armeel berdiri di luar, bercakap dengan seorang doktor. Lelaki itu memandangnya sekilas, dan kali ini, Elyara tidak mengelak.

Ada sesuatu pada Armeel Rychal yang membuatkan hatinya tersentuh. Elyara yang sedang termenung di sudut ruang menunggu, terkejut apabila terdengar suara yang cukup dikenalinya.

“Elyara? Ini kau, kan?”

Dia mendongak, mendapati seorang lelaki berjubah putih berdiri di depannya. Wajah lelaki itu masih sama seperti yang diingatinya sewaktu zaman sekolah dahulu.


“Joe?”

Dr. Joehairy tersenyum lebar. “Ya, aku. Tak sangka boleh jumpa kau di sini. Lama tak dengar khabar.”

Elyara sedikit tersipu, berdiri untuk menyambut salam lelaki itu.

“Aku tak sangka kau jadi doktor sekarang. Tak sangka kau masih kenal aku.”

“Mana mungkin aku lupa kawan zaman sekolah. Kau Elyara, budak seni yang selalu bawa sketchbook ke mana-mana, kan?” Joe tergelak kecil.

Armeel Rychal yang sedang berdiri berhampiran, memandang ke arah mereka dengan dahi berkerut. Melihat senyuman lebar Elyara terhadap lelaki itu membuatkan hatinya terasa seperti dicucuk jarum halus. Perlahan-lahan dia meninggalkan ruangan itu dan terus ke kafe hospital.

Elyara hanya mampu berdiri kaku , memandang punggung Armeel yang berlalu pergi dengan perasaan yang bercampur-baur. Di dalam hati, dia tidak pasti sama ada dia berhutang budi atau hati kepada Armeel.

Assalamualaikum dan hai semua... done update new chapter..kisah selanjutnya antara Armeel, CEO dingin yg jatuh hati pndang pertama pd Elyara. Jgn lupa follow and comment gaiss..tq for support. Happy reading gaiss...

Share this novel

AlZahra06
2025-02-01 20:15:28 

Alahaiii...Armeel dah suka tu cakap je lah..buat Elyara tu tahu..nnti kot melepas...


NovelPlus Premium

The best ads free experience