Pagi itu, cahaya matahari menyelinap masuk melalui langsir nipis berwarna krim. Medina Atalia sedang melipat telekung selepas menunaikan solat Subuh, duduk tenang di sisi jendela sambil memandang taman kecil di luar bilik mereka.
Mikael masih lena, wajahnya damai dalam lena seorang suami yang penat tapi bahagia.
Namun, ketenangan itu tak lama.
Ketukan perlahan di pintu menggugah benaknya. Medina bangkit, membuka pintu perlahan.
Maria Elena berdiri di hadapannya, bergaya seperti biasa berpakaian kemas, bibir dilukis merah terang, dan mata tajam yang seolah sedang menilai.
"Selamat pagi... isteri kedua," ucap Maria dengan senyum sinis yang dibalut formaliti.
Medina menunduk sedikit.
"Selamat pagi, Kak Maria."
"Boleh kita bercakap? Sekejap saja," pinta Maria sambil memandang ke dalam bilik.
Medina menoleh.
Mikael masih tidur.
Dia keluar perlahan, menutup pintu di belakangnya.
Di ruang tamu, Maria duduk bersilang kaki sambil merenung wajah Medina lama.
Suasana sunyi, hanya deru penghawa dingin menemani.
“Aku tahu kau rasa sekarang ni semuanya indah. Bahagia. Tapi percaya cakap aku, Medina… lelaki tu cuma perlukan anak daripada kau,” kata Maria, tenang tapi tajam.
Medina diam. Matanya tetap menatap wanita di hadapannya.
“Lepas kau lahirkan anak dia, dia akan cari alasan untuk ceraikan kau. Sama macam ayah dia buat dulu.“
”Sejarah berulang, sayang…” Maria menyilangkan tangan, senyuman nipis di bibirnya kelihatan seperti bisikan iblis yang penuh racun.
“Kak Maria… saya tahu kenapa akak cakap macam ni,” balas Medina akhirnya, suaranya lembut tapi penuh makna.
Maria mengangkat kening. “Oh, ya?”
“Sebab akak belum maafkan dia… Mikael. Dan mungkin akak belum maafkan diri sendiri juga.”
Riak wajah Maria berubah sedikit.
Tapi dia pantas menutupnya dengan gelak kecil.
“Pandai kau bercakap, ya? Tapi jangan lupa… aku yang pertama. Aku yang tahu siapa Mikael. Aku yang tahu apa dia sanggup buat untuk dapatkan apa dia nak.”
Medina hanya tunduk. Tapi hatinya berkecamuk.
“Kalau betul pun... saya cuma nak satu perkara,” ucap Medina perlahan.
“Apa?”
“Anak saya… kalau betul saya mengandung nanti, biarlah dia datang dari cinta. Bukan dari kebencian. Dan saya akan jaga dia… walaupun satu dunia buang saya.”
Maria terkedu.
Sekilas, dia nampak cahaya kekuatan dalam mata Medina yang tak pernah dia sangka.
Medina kembali ke bilik, menutup pintu perlahan dan bersandar di belakangnya. Nafasnya berat.
Dia tidak tahu sampai bila dia mampu bertahan dalam rumah yang ada dua hati wanita yang tercedera, dan seorang lelaki yang cuba menyatukan semuanya dengan kasih yang belum cukup kuat.
Mikael menggeliat perlahan di atas katil, tersenyum melihat Medina.
“Dah solat? Marilah sini, temankan abang…”
Medina tersenyum lemah dan menyertai suaminya. Tapi jauh di sudut hatinya, dia tahu ujian sebenar baru bermula.
Comment lah kalau lalu di fyp korang bye.. ;)
Share this novel