Sekujur tubuh yang terbaring tidak sedarkan diri sejak beberapa jam lalu mulai kelihatan bergerak sedikit dan perlahan posisi tubuh diubah, dari baring melentang ke baring mengiring lalu mengekerot.
“Sejuknya…” Tubuh yang sedang menggigil dipeluk. Perlahan, mata yang tertutup rapat terkuak luas lalu bergolek laju mentelaah sekeliling.
“I hate you Deila Araferro!” Suara nyaring buat gegendang telinga berdengung lama itu kembali terngiang di telinga. Otak yang lumpuh kembali aktif apabila sel-sel otak mulai berhubung dan menayangkan kembali peristiwa yang berlaku sebelum dia jatuh pengsan akibat kelelahan beberapa jam yang lalu.
Pantas, Deila bangun lalu duduk di atas lantai. Sekali lagi dia pandang sekeliling. Keadaan bilik gelap gelita. Ternyata matahari dah lama membenamkan diri, hanya bulan yang menghiasi awam gelap dengan cahaya malu-malu kucingnya menyinari bumi. Deila bangun dan mendapatkan suis lampu. Selepas biliknya terang benderang, bebola mata meliar lagi. Kelibat manusia yang dicari tiada, hanya dia seorang di situ. Pintu bilik hotel tertutup rapat. Pasti gadis bernama Zara itu telah lama pergi! Dasar pengecut!
Seluruh tubuh terasa sakit, seolah dia barusan digilis oleh lori besar. Namun Deila kuatkan semangat, melangkah menuju ke bilik mandi. Selepas membersihkan diri, Deila cuba menghubungi Rhett. Dia mahukan kepastian. Telefon bimbit akhirnya dilepaskan dan jatuh terhempas di atas tilam.
Buatlah beribu panggilan pun, kalau memang lelaki itu punya niat mahu mengelak, sampai kiamat pun panggilan tidak akan bersambut. Deila menyumpah dalam hati lalu menangis teresak-esak. Dia cuba pujuk hati dengan menganggap yang Rhett disekat untuk berjumpa dengannya. Ya, pasti Dato’ punya kerja berdasarkan apa yang dikatakan oleh Zara kepada dia. Mereka dapat tahu tentang hubungan dia dan Rhett. Seperti sebelum ini, Dato’ mungkin telah kurung Rhett dan rampas telefon bimbitnya. Itu yang cuba Deila yakinkan pada diri. Dia tidak mahu buat sebarang tuduhan sebelum dia dengar sendiri dari mulut Rhett.
Tapi, nalurinya menolak keras. Kalau betul, bagaimana Zara boleh muncul di situ? Bukankah itu bermaksud yang Zara ada bertemu dengan Rhett? Ah, dia lupa! Zara adalah menantu pilihan keluarga Rhett. Tangisan Deila bertukar jadi tangisan pilu, menyayat hati. Kalau memang Rhett sudah nekad dengan keputusan itu, siapalah dia untuk menghalang. Dia sedia undur diri. Dia bukan perempuan murahan. Dia bukan perampas. Zara silap!
Tangisan Deila spontan terbantut apabila pintu biliknya tiba-tiba diketuk. Deila mengerut dahi. Zara? Apa perempuan tu tak penat lagi ke nak bergelut dengan dia? Deila melangkah perlahan menghampiri pintu. Telinga ditekap di daun pintu. Untuk hotel murah macam hotel yang dihuninya itu, tidak jadi masalah untuk dia teka apa yang berlaku di luar kerana bilik hotel murah itu terpaling tidak kalis bunyi. Even bunyi tapak kasut manusia yang sedang berjalan di koridor hotel pun boleh dia dengar dari dalam bilik.
“Ya, puan. Kami dah berada di depan bilik. Tak puan, pintu belum dibuka. Tak pasti dia ada dekat dalam ke tidak. Baik puan, kami akan lakukan seperti yang diarahkan.”
Deg!
Jantung Deila mengepam laju bila dengar suara seorang lelaki asing sedang bercakap di luar biliknya. Apakah bala yang datang? Deila memandang tombol pintu. Menyirap darah bila lihat tombol tak berkunci. Cepat-cepat dia tekan pengunci. Ya Allah! Nasib baik manusia di luar tidak terus memusing tombol pintu. Mungkin mereka ingat ianya berkunci. Tidak cukup dengan mengunci tombol, Deila tarik pengunci manual yang dipasang di pintu untuk extra keselamatan. Dapat dia duga manusia di luar biliknya itu punya niat jahat.
“Cik Deila Araferro?! Kalau cik berada di dalam, buka pintu ni. Saya ke sini kerana diarah oleh Rhett.”
Rhett? Tegak kuping telinga Deila bila dengar nama lelaki itu dipetik. Hampir dia mahu percaya tetapi akal warasnya melarang dia buka pintu. Deila diam membisu, tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Tak mungkinlah dia mahu buka pintu, lebih-lebih lagi manusia di luar itu ialah lelaki. Dia perempuan dan dia cuma seorang di dalam bilik. Kalau berlaku apa-apa, tak mungkin dia mampu melawan tenaga lelaki. Paling selamat, jangan buka pintu!
“Cik Deila? Saya perlu bersemuka dengan cik. Rhett mahu saya sampaikan pesanan. Err.. perkara ini sulit, saya tak nak orang lain dengar.”
Deila termangu. Mulai rasa ragu dengan keputusan dia. Apakah itu tentang rancangan Rhett untuk bawa dia balik kampung? Hati Deila mulai berbelah bagi. Kalau betul, dia harus mendengarnya. Dia tidak mahu rosakkan rancangan mereka seandainya betul lelaki itu adalah utusan Rhett dan segalanya berantakan kerana dia menolak untuk berjumpa dengan lelaki itu.
“Cik Deila? Oh Cik Deila!! Err… dia keluar ke? Tapi tadi perempuan di kaunter tu kata dia ada dalam bilik kan?”
“Dia ada tu. Kalau cara lembut tak jalan, tukarlah cara. Kau kan pakar dalam hal ni?”
Dada Deila bergelombang mendengar perbualan dua lelaki itu. Dia undur beberapa langkah. Terasa bahaya sedang menantinya. Melihat tombol pintu dipulas kasar, Deila berlari mendapatkan telefon bimbitnya. Tidak tahu pada siapa harus mengadu, nombor Rhett didail berulang kali walau pun dia tahu panggilan itu hanya sia-sia. Air mata berjujuran jatuh ke pipi saat dia dengar tombol pintu seolah tercabut dari daun pintu.
Dengan jemari terketar-ketar, Deila menggeser skrin telefon, meneliti setiap nombor yang disimpan dalam memori telefon. Pada siapa harus dia minta pertolongan? Melihat nama Tok Teh, tanpa fikir panjang Deila terus membuat panggilan. Dia sendiri tidak pasti sama ada orang tua itu masih mahu bercakap dengan dia selepas tahu semuanya, tapi dia tidak punya pilihan. Dia terdesak dan sangat perlukan pertolongan ketika itu.
Deila menangis pilu bila panggilan yang dibuat tidak bersambut. Ah, nampaknya tok pun dah berpaling dan mungkir janji kononnya mahu menjaga dan melindungi dia. Tangisan Deila semakin meleret bila dia sedar yang dia sudah tidak punya sesiapa di dunia ini untuk dia hubungi saat-saat getir macam ni. Dia hanya seorang diri berjuang di dunia yang fana dan dipenuhi manusia yang pentingkan diri.
“Ibu… ayah… opah… Del tinggal sebatang kara… tolong selamatkan Del… Del takut…” Deila merintih pilu lalu menangis teresak-esak.
Tubuh menggeletar hebat saat Deila dengar bunyi sesuatu terhempas ke lantai. Tidak berani dia mahu berpaling untuk melihat kerana dapat dia duga benda yang jatuh itu ialah tombol pintu yang telah dirosakkan oleh lelaki-lelaki asing itu. Sekarang dia hanya mampu berharap pada kunci pengait pintu.
“Ya Allah! Ibu… ayah… opah… someone… tolong selamatkan saya, tolonglah…”
Deila merintih lagi. Tahu tiada sesiapa yang akan muncul, tangisan mulai kendur. Dia pasrah.
“Kenapa pintu masih tak boleh dibuka?”
“Celaka! Ada kunci pendua dalam bilik!”
Deila dengar jelas pertengkaran lelaki-lelaki di luar biliknya. Dia menggeleng laju. Tak! Dia takkan mengalah. Deila bingkas bangun lalu mengesat air mata.
“Cis! Menyusahkan betul. Tendang jelas pintu ni biar hancur bekecai!”
Deila pandang sekeliling. Dengan segenap kudrat yang ada, dia mulai menolak meja solek bersaiz sederhana itu ke pintu. Masih tak cukup. Dengan sekali tendang, pasti meja kecil itu terpelanting. Deila berlari menghampiri katil. Berpeluh-peluh dia tolak katil saiz queen yang diperbuat dari kayu jenis keras itu menuju ke pintu.
Deila terjerit halus kerana terkejut bila dia dengar bunyi daun pintu dihentak dengan kuat. Deila bersandar di sisi katil sambil mencekup mulut. Seluruh tubuh kembali menggeletar. Bagaimana jikalau lelaki-lelaki itu berjaya menerobos masuk? Apa yang harus dia lakukan?
Deila berlari lalu menyambar beg tangan dan telefon bimbitnya di atas lantai. Dia menghampiri jendela dan menguak tingkap jenis sliding itu seluasnya lalu memandang ke bawah. Aduh! Tinggi sangat! Dia berada di aras empat. Kalau dia paksa terjun, tak mati pun dia pasti cacat seumur hidup. Apa harus dia lakukan?
Air mata kembali berguguran. Dia buntu. Wajah berserabut dan penuh ketakutannya diraup kasar. Deila terduduk di bawah jendela dan mulai menangis teresak-esak.
Telefon bimbit di atas lantai tiba-tiba berdering. Deila kelam kabut mengesat air mata. Namun, sebaik saja melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya, air mata mencurah jatuh bak hujan lebat di tengah hari.
“Del!”
Raungan Deila terlepas saat dia dengar suara yang menyapa di hujung talian.
“Del… kau di mana?!”
Deila tidak mampu menjawab. Tangisan kegembiraan, kelegaan serta ketakutannya buat dada sesak dan sukar untuk dia menarik oksigen masuk ke paru-paru. Perasaannya berkecamuk ketika itu. Banyak yang mahu diluah, banyak yang mahu dikatakan, tetapi suara seolah tersekat di kerongkong.
“Del! Berhenti menangis okay? Kau buat saya risau gila! Beritahu saya, kau di mana sekarang?”
“Ho… tel… k… kau… kau di… argh! To… tolong…” Begitu sukar mahu melontar kata! Tangisan Deila pecah lagi. Dada ditumbuk beberapa kali, cuba untuk tenangkan diri.
“Apa berlaku, Del? Kau ketakutan sangat! Siapa bersama kau? Eh, tak perlu jawab. Beri saya location kau, sekarang Deila Araferro!!!”
“B… baik!” Dengan jemari menggeletar, Deila menggeser skrin telefon dan melakukan seperti yang dipinta.
“Kau tunggu saya datang, Del!”
“Tung… tunggu!” Deila menjerit kaget.
“Kenapa, Del?”
“To… tolong jangan matikan panggilan… saya… ta…kut!”
“Saya kena dapatkan kau secepat mungkin!”
“Tapi… itu mustahil. Kau tak mungkin dapat selamatkan saya. Kau terlalu jauh dan tak mungkin sempat sampai. Pintu dah retak. Tidak lama lagi, pasti hancur bekecai. Mereka mungkin akan bunuh saya.”
“Deila! Jangan cakap macam tu, please! Kau bukan perempuan lemah! Jangan mengalah kepada mereka! Dengar baik-baik. Saya nak kau cari apa-apa benda yang boleh kau jadikan senjata untuk lindungi diri kau sementara saya datang. Kau kena lawan mereka! Saya janji… saya akan selamatkan kau!”
Deila geleng sambil menangis sebak. Oh tidak! Lelaki di luar itu bukan seorang. Dia yakin tentang itu! Mungkin ada beberapa orang. Sekejap saja, dia pasti ditewaskan.
“Saya tak mampu. Sebab itu saya nak kau dengar permintaan terakhir saya. Tolong uruskan…”
“Deila Araferro! Please jangan cakap yang bukan-bukan. Please Del, not now when I tried really hard to come to you!!!”
Tangisan Deila semakin menjadi-jadi bila dia dengar kata-kata itu. Ya Tuhan, alangkah murninya hati budi manusia itu walau pun kemungkinan untuk datang tepat pada masanya terlalu tipis dan sesungguhnya dia juga sudah pasrah dengan apa yang bakal berlaku kepada dia.
“Terima kasih… at least now I know… saya tidak berseorangan…”
PANG!!!
Deila terpaku. Bunyi pintu terhempas buat jantung seakan berhenti berdetak.
“Wahhh! Perempuan memang menyusahkan!” Satu suara bengis bergema, membuat tubuh Deila menggigil ketakutan.
“Tolong uruskan jenazah saya. Jasad saya semadikan di sisi opah, ibu dan ayah. Tolong ya!”
“Deila!!!”
Wah, siapa sang penyelamat tu?
Share this novel