PROLOG – Ini Aku

Other Series 3789

Aku ini seorang pendosa.

Penuh dosa.

Dosa yang tidak semua dapat kau lihat dengan mata kasar. Dosa yang kadang aku sendiri tak tahu di mana ia bermula dan bila akan berakhir.

Dosa yang bukan sahaja melekat di kulit dan tubuh, tapi yang meresap masuk ke daging, mengalir dalam darah, dan bersarang dalam fikiran. Dosa yang aku tak pinta… tapi aku pelihara.

Aku lahir dalam keluarga kelas pertengahan. Bunyinya biasa, tapi percayalah, tak ada satu pun tentang hidup aku yang boleh kau panggil 'biasa'.

Ibuku seorang suri rumah sepenuh masa. Ayahku pula, secara rasmi, guru muzik di sebuah sekolah rendah.

Secara tidak rasmi, raja kecil dalam dunia harta pusaka yang tak semua orang tahu. Kalau kau dengar cerita luar, nampak kami macam keluarga bahagia yang serba cukup. Tapi kau silap.

Kau nampak bingkai gambar keluarga di ruang tamu, baju sedondon, senyum plastik. Tapi kau tak tahu yang di belakang pintu bilik, mama menangis tanpa suara malam, malam, sambil peluk bantal macam peluk harga diri yang makin hari makin reput.

Aku malas nak buka cerita tentang mereka. Tentang mama, tentang bapa. Aku bukan tak sayang. Tapi dah terlalu lama aku berhenti cari jawapan untuk luka, luka yang bukan aku cipta.

Biar aku ceritakan cukup ringkas: aku anak dari broken family. Dan broken family bukan cuma istilah, ia luka terbuka yang tak pernah kering, sebab tiap hari ada yang korek balik.

Kata orang, kesetiaan wanita diuji bila lelaki tak punya apa-apa. Dan kesetiaan lelaki? Saat dia punya segalanya.

Dan di situlah semuanya bermula, manisnya, dan ngerinya.

Bapa bawa mama kahwin lari.

Masa tu mama masih bertunang dengan orang lain. Bapa menang, menang sebab mama cantik. Tak tipu bila aku cakap, mama tu macam pelakon klasik hitam putih, darah Sepanyol, Filipina, dan Melayu menjadikan dia eksotik luar biasa. Kulit sawo terang, mata sedikit bundar, dan senyum yang boleh buat lelaki tersungkur.

Mama macam bunga yang mekar sebelum waktunya, dan bapa, dia nampak bunga tu dan dia tak rela orang lain petik. Jadi dia rebut.

Mereka tinggalkan kampung. Tinggalkan semuanya. Mama ikut bapa ke dunia asing, dari rumah batu ke pondok kayu, dari bilik berhawa dingin ke bilik berlantaikan papan.

Dari hidup sebagai puteri ke hidup sebagai isteri orang biasa, mandi perigi, masak kayu api, makan ulam hutan. Tapi itulah cinta, katanya dulu. Cinta yang dipilih, bukan cinta yang datang dengan jaminan bahagia.

Tapi bapa… bapa bukan lelaki yang cukup tahu.

Dia cuma guru muzik, tapi itu topeng. Harta turun-temurun hasil warisan pusaka buatkan dia lebih dari sekadar cikgu. Tiap bulan masuk beratus ribu, itu pun minimum. Rumah kami besar, kereta silih berganti. Tapi dalam rumah besar tu, jiwa kami makin sempit.
Bapa mula main kayu tiga. Mama mula hilang suara.

Kami, anak, anak, mula hidup dalam ruang senyap yang penuh rahsia dan bisik, bisik.

Masa kecil, aku fikir semua keluarga macam tu. Aku fikir semua ibu menangis diam-diam dalam bilik. Aku fikir semua bapa keluar malam dan balik bila matahari dah tegak di langit. Tapi bila aku besar… baru aku tahu, tak semua budak ada malam yang sepi macam aku.

Aku mula nampak bayang-bayang, bapa ada perempuan lain.

Kadang dua, kadang lebih.

Aku dengar dari mulut orang, dari jiran, dari mama yang tak sengaja lepas bicara waktu fikir kami tidur. Setiap kali aku dengar, hati aku koyak sedikit demi sedikit. Tapi aku diam. Sebab… apa gunanya bersuara bila suara kita selalu dipadam?

Mama tetap bertahan. Untuk kami, katanya.

Tapi aku... aku yang membesar dengan rasa kehilangan yang tak bernama, aku mula hanyut.

Mula berdosa.

Tak, ini bukan salah mereka sepenuhnya. Aku tak tuding jari. Mereka pun manusia. Mereka pun tak pinta semua ni. Tapi jangan bohong, semua luka yang orang dewasa cipta dalam diam, jatuhnya tetap pada anak-anak.

Aku? Aku salah satu darinya.

Dan sekarang aku di sini. Menulis. Mengaku. Mencari ruang untuk bercerita. Bukan untuk cari simpati, tapi sebab aku dah penat simpan semuanya dalam dada.

Aku seorang pendosa.

Dan ini kisah aku.

Share this novel

DHIA AMIRA.
2025-04-20 13:25:12 

sdap gaya bhsa pov1 nya


NovelPlus Premium

The best ads free experience