CASSIAN melabuhkan punggung ke atas kerusi empuk dalam pejabat luasnya. Mata kelabu peraknya melirik papan tanda besar yang tergantung di belakangnya:
"Pinjam bila perlu, bayar sebelum kami cari kamu. Noctis Financial—kami tak kejam, tapi kami pun bukan malaikat."
Dia menyeringai kecil. Filosofi syarikatnya cukup mudah—jangan lupa bayar hutang kalau tak mahu hidup jadi neraka.
Dia mengeluh panjang sambil menyelak fail tebal di hadapannya. Wallace Unpy, nama lelaki yang hilang secara misteri, masih berada dalam senarai penghutang yang belum menjelaskan bayaran. Dan dia bukan satu-satunya. Senarai ini lebih panjang daripada skrip drama bersiri.
Belum sempat dia menarik nafas untuk menahan sakit kepala, telefon atas mejanya berdering kuat. Pandangannya jatuh pada skrin. Nama pemanggil muncul dalam tulisan besar:
OYAJI GENZOU.
Cassian memejamkan mata. Lima saat. Dia kira dalam hati. Empat. Tiga. Dua.
Akhirnya, dengan helaan nafas berat, dia menekan butang jawab.
"Oi, budak degil!" suara kasar lelaki tua di hujung talian bergema, lebih kuat daripada sepatutnya.
"Apa kau buat sampai hutang orang bertimbun macam gunung? Dua puluh juta! Dua puluh juta, Cassian! Kau nak tunggu aku mati dulu baru kau urus semua ni?!"
Cassian menyandarkan kepala ke belakang, memandang siling. "Konnichiwa, Oyaji Genzou. Wah, tak pernah-pernah telefon cucu sendiri melainkan nak membebel, ya?" Suaranya bersahaja, sengaja mencampur bahasa Jepun dan Melayu seperti datuknya selalu buat.
"Jangan buat main, budak! Ini masalah besar! Kau tahu berapa banyak duit itu?!"
Cassian menahan senyum, jarinya mengetuk perlahan meja. "Kalau Oyaji nak duit, saya boleh hantar dua puluh juta sekarang, tapi saya kira Oyaji lebih suka melihat orang yang berhutang merangkak ke pejabat saya dulu sebelum saya kutip setiap sen, kan?"
Di hujung talian, datuknya terdiam. Tapi hanya sekejap.
"Jangan cuba nak tunjuk pandai! Aku tak peduli kau buat apa, selesaikan! Kalau tak, aku datang sendiri ke sana!"
Cassian menutup mata, menyandarkan kepala ke belakang kerusi. “Jangan susah payah, Oyaji. Saya dah uruskan. Percayalah pada saya.”
"Percaya? Dengan kerja lembab kau ni?"
Cassian mengetap bibir, cuba menahan bebelan yang lebih panjang. Dia menekan butang loudspeaker, menolak telefon ke sisi, dan membiarkan suara Oyaji Genzou berkumandang di pejabatnya.
Pekerja di luar yang kebetulan lalu-lalang memasang telinga, wajah mereka pucat.
Selepas beberapa minit mendengar datuknya membebel, Cassian mengangkat telefon kembali. "Baik, Genzou-sama. Saya akan buat kerja saya."
"Hah?! Apa kau panggil aku tadi, budak?!"
Cassian memutuskan talian sebelum lebih banyak sumpah seranah Jepun berterbangan ke arah telinganya.
Sepi.
Lima saat kemudian, dia mengangkat tangan dan menumbuk meja kuat. “B**i betul! Pagi-pagi dah naikkan darah aku!”
Cassian mengusap wajahnya sebelum mencapai fail Wallace Unpy semula. "Baik. Kau satu, aku satu. Kalau kau masih hidup, kita tengok siapa dapat cari siapa dulu."
Pintu pejabat diketuk lembut sebelum seorang wanita berkaca mata, berpakaian serba ketat dan seksi, masuk dengan langkah penuh keyakinan. Elisa.
"Boss, ada pelanggan. Seorang wanita. Nak buat pinjaman. Pelanggan macam biasa." Elisa melapor dengan nada profesional, dengan senyuman menggoda.
Cassian mengangkat dagu, matanya menjeling sekilas ke arah pakaian Elisa, blazer ketat dengan butang hampir meletup, skirt singkat yang kalau dia tunduk sikit, mungkin Tuhan pun tutup mata.
"Elisa, ini pejabat money lender atau rumah GRO?" Cassian bersuara malas, matanya tajam tapi penuh sindiran.
"Aku tak kisah seksi, tapi biar nampak mahal. Kalau aku nampak baju kau ada labuci berkilat lepas ni, aku suruh Encik Jang carikan kau uniform baru."
Elisa mengetap bibir. Wajahnya masih cuba mengekalkan senyuman, tapi jelas dia geram.
"Baiklah, boss. Saya akan pertimbangkan nasihat fesyen dari tuan CEO." balasnya sinis sebelum berpusing keluar.
Cassian hanya menghela nafas dan menunggu. Tak sampai seminit, Elisa kembali membuka pintu, kali ini dengan seorang wanita melangkah masuk.
Cassian yang awalnya hanya mahu berdepan dengan pelanggan biasa, tiba-tiba mengangkat kening sedikit. Dia kenal wajah ini.
Wanita berbaju pink dari kondo pagi tadi.
Perempuan yang menjerit mengutuk suaminya. Yang suaminya pukul sebelum…
Matanya sedikit menyepet, meneliti wanita itu yang nampak lebih tenang sekarang. Tiada lagi ekspresi marah seperti pagi tadi. Dia berdiri tegak, membawa aura wanita yang dah bulatkan tekad.
"Nama saya Beatrice." wanita itu bersuara.
Cassian memutar pen di jarinya sekali lagi, kali ini lebih perlahan.
"Menarik..." dia bergumam sebelum tersenyum nipis. "Duduk. Ceritakan kenapa kau ada di sini."
Cassian bersandar di kerusinya, mendengar permintaan Beatrice dengan wajah kosong. Dia dah jangka macam-macam, mungkin wanita ni nak pinjam puluhan ribu untuk bayar hutang suami, mungkin dia nak duit untuk lari ke luar negara, tapi...
"RM100?"
Mata Cassian sedikit terbeliak. Dia ingat dia salah dengar.
Beatrice menggenggam tangan di atas riba, wajahnya penuh harapan. "Ya... saya cuma perlukan RM100 untuk pulang ke kampung. Saya boleh mula berniaga kecil-kecilan di sana. Saya janji akan bayar balik."
RM100? Untuk apa pinjam RM100?!
Dalam hati, Cassian dah membebel panjang. Syarikat money lender paling kaya di dunia, tapi ada orang datang nak pinjam duit macam ni tempat charity? RM100 ni apa... modal beli tepung goreng pisang ke?
Dia urut dahi, menahan gelak sinis yang hampir terlepas. Nak mengutuk, tapi hati dia berat. Dia hanya mengangguk perlahan, memikirkan sesuatu.
Tapi sebelum dia sempat buka mulut, Elisa yang dari tadi memerhati dari tepi dah melangkah ke depan, menyilangkan tangan dengan ekspresi sinis.
"RM100? Habis tu, interest kau nak bayar macam mana? RM100 tu baik minta sedekah je." Elisa mendengus kecil.
"Kalau nak pinjam, pinjam la RM5 ribu ke, RM10 ribu ke, baru berbaloi. Ini money lender, bukan tempat tukar syiling!"
Cassian, matanya naik perlahan ke arah Elisa. "Elisa..."
"Boss, saya cakap benda logik. Tak ada money lender nak entertain RM100. Kita ni bukan…"
"DIAM!"
Suara Cassian bergema, membuat seluruh pejabat sunyi serta-merta.
Elisa tersentak, mulutnya terus terkunci. Beatrice juga mengecilkan tubuh sedikit, mungkin terkejut dengan suara Cassian yang bariton dan tajam.
Cassian menuding jari ke arah Elisa, matanya tajam. "Siapa bos? Aku ke kau?"
Elisa mengetap bibir. Dia menunduk sedikit, tapi matanya masih membara dengan protes yang dia tak boleh luahkan sekarang.
“Kau keluar sekarang!”
Elisa mendengus kecil. “Baik, bos.” Terus dia keluar sambil diperhatikan oleh Cassian.
Kemudian, Cassian mengalihkan pandangan kembali ke Beatrice.
"Beatrice, aku tak buat charity. Tapi aku ada syarat untuk RM100 tu."
"Apa saja, saya sanggup. Tolonglah."
"Aku tak nak duit kau. Aku nak maklumat."
"Maklumat apa?"
Cassian menyandarkan dagu ke jari-jarinya, matanya bersinar gelap.
"Suami kau."
Beatrice tergamam. Kenapa Cassian nak tahu pasal suaminya?
Matanya berkedip beberapa kali, cuba mencari logik di sebalik soalan lelaki itu.
Cassian mendongak sedikit, menyilangkan tangan di dada. “Kau tak ingat aku ke?”
Beatrice menelan liur. "Kita pernah jumpa?"
Cassian menyandarkan tubuh ke kerusi, menyeringai kecil. "Kau terserempak dengan aku pagi tadi, dekat kondo. Atau lebih tepat, kau serang seorang lelaki di sana. Lelaki tu suami kau, kan? Dia curang di belakang kau, dengan seorang perempuan seksi cantik, muda daripada kau."
Beatrice terkedu. Wajahnya berubah sekelip mata. Dia menunduk, jarinya mengusap lengan dengan gelisah.
Cassian perhati setiap gerak-geri wanita itu. Ada sesuatu yang tak kena.
Tanpa sepatah kata, Beatrice tiba-tiba bangun dan cepat-cepat mengatur langkah ke pintu.
"Saya tak jadi nak pinjam duit. Saya pergi dulu." Wajahnya dengan expresi takut dan gerakan tangan yang gelisah.
Cassian mengangkat sebelah kening. Lari? Macam ada rahsia besar yang dia tak nak cakap.
"Beatrice."
Langkah wanita itu terhenti di ambang pintu, tapi dia tak berpaling.
Cassian mengetuk jarinya di atas meja, kemudian dengan nada tenang yang beracun, dia berkata,
"Aku bagi kau... RM5,000." Dia bersandar ke kerusi, senyum tipis. "Free of charge."
Beatrice terkaku. 5 ribu? Mata dia membulat sedikit. Mana nak cari duit sebanyak tu kalau bukan di tempat macam ni?
Dia memejam mata seketika, hatinya berperang dengan ketakutan dan keinginan.
Akhirnya, dia berbalik perlahan. “Apa yang encik nak tahu?”
Cassian tersenyum tipis. "Semuanya."
ELISA sedang leka bergosip dengan staf di sebelahnya, sambil jari lentiknya memutar-mutarkan pen di tangan. Matanya melirik ke arah Beatrice yang keluar dari pejabat Cassian dengan wajah menunduk, jelas ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.
"Kau tengok tu, muka penuh rahsia. Mesti kena ayat dengan bos tu." bisik Elisa kepada rakan sekerjanya sambil menyeringai kecil.
Rakannya hanya mengangkat bahu, malas nak masuk campur.
Elisa menyilangkan tangan di dada, mendengus kecil. “Entah-entah kena perli macam aku. Bos tu, muka je hensem, tapi perangai buruk macam nak makan orang! Asal aku pakai seksi sikit, kena bebel. Salah ke aku nak nampak seksi sikit? Ha, kalau aku pakai macam makcik jual kuih, dia suka kot.”
“Aku sedang kira, siapa nak kena buang kerja sebab mengutuk bos dari belakang.”
Suara Cassian yang dalam dan dingin itu serta-merta mematikan ketawa di bibirnya.
Elisa membulatkan mata, perlahan-lahan menoleh ke belakang, sejak bila dia ada di belakangnya???. Cassian berdiri di situ, menyilangkan tangan sambil merenung tajam ke arahnya. Wajah lelaki itu kosong, tapi matanya penuh sindiran.
Elisa menelan liur.
“Saya… saya cuma…”
Cassian menghela nafas, kemudian menjeling sekilas. "Bebel boleh, tapi kalau nak hidup lama dalam syarikat ni, tahu batas."
Tanpa menunggu jawapan, Cassian berlalu pergi, bersedia untuk keluar dari pejabat.
Elisa hanya mampu menggigit bibir dan menghentak kaki kecilnya ke lantai. “Ugh! Bos ni… menyampah!”
Tapi jauh di sudut hati, dia tahu Cassian bukan lelaki biasa. Dan sebab itulah, walau garang macam mana pun, semua orang tetap tunduk padanya.
CASSIAN melangkah keluar dari syarikatnya, menekan butang di earphone tanpa banyak fikir. Bunyi "Papercut" dari Linkin Park berkumandang di telinganya, liriknya menggema di benak, cukup untuk menenggelamkan kebisingan kota.
Langkahnya santai, tapi tak sedar bahunya terlanggar seseorang. Seorang lelaki tua, sekitar 50-an, rambut sedikit beruban dengan jambang nipis. Lelaki itu terkial-kial meminta maaf beberapa kali, suara lembutnya seolah-olah biasa meminta maaf pada dunia.
Cassian hanya mengangguk kecil, tapi matanya masih mengekori langkah lelaki tua itu yang bergerak menuju ke sebuah pusat game bersebelahan syarikatnya.
Di dalam pusat game yang riuh rendah dengan bunyi tembakan digital dan muzik elektronik, lelaki tua itu menarik lengan seorang remaja lelaki—pakaian seragam sekolahnya sedikit kusut, mungkin baru keluar dari kelas, mungkin juga dah lama ponteng.
Cassian berhenti sejenak di luar tingkap kaca pusat game itu, memerhati.
Dia melihat bagaimana lelaki tua itu bercakap dengan nada perlahan, tapi remaja lelaki itu membalas dengan suara tinggi, jelas marah. Satu dua mata memandang, tapi tak ada siapa ambil peduli.
Cassian mendengus kecil. “Biasalah... jiwa remaja.”
Remaja lelaki itu akhirnya menepis tangan lelaki tua itu dengan kasar, melangkah keluar dengan wajah masam, penuh ego yang rapuh.
Cassian, yang masih bersandar di dinding luar, hanya mengiringi langkah remaja itu dengan pandangan kosong.
“Kecil-kecil tak nak mampus, bila besar menyusahkan orang tua...”
Petikan dialog P. Ramlee terlepas dari bibirnya, separuh berbisik.
Sinis.
Matanya sempat menjeling semula ke dalam pusat game. Lelaki tua itu masih berdiri di tempat tadi, menunduk sedikit, kelihatan letih.
Cassian menghela nafas. Entah kenapa, perasaan yang jarang bertamu tiba-tiba menyelinap di hatinya.
Tapi dia malas nak fikir.
Dunia memang macam ni.
Cassian masih bersandar di dinding luar pusat game, matanya kembali ke arah jalan yang sibuk dengan deretan kenderaan yang bersimpang siur. Dari seberang jalan, di tengah-tengah kesibukan kota, dia terlihat gadis misteri itu lagi.
Baju hitam. Wajah tenang. Mata yang redup tapi menusuk jauh ke dalam.
Tapi kali ini, dia tidak memandang Cassian.
Sebaliknya, pandangan gadis itu terpaku pada remaja lelaki yang tadi keluar dari pusat game—remaja yang baru sahaja menepis tangan lelaki tua itu dan kini menyeberang jalan dengan laju tanpa menoleh kiri kanan.
Cassian sempat melirik jam di pergelangan tangannya.
Sial.
Hatinya bergetar dengan firasat yang aneh.
Dalam fikirannya, terngiang lagi suara Beatrice.
“Aku tak boleh beritahu... Tapi kalau kau nak tahu juga, kau tekan nombor ajal pada tepat jam 12 tengah malam.”
Cassian mengerutkan dahi.
Nombor ajal?
Beatrice telah mencatat sesuatu pada sehelai kertas dan menyerahkannya kepada Cassian sebelum beredar. Dia belum sempat melihatnya.
Jari-jemarinya menyeluk poket jaket, mengeluarkan kertas kecil itu dan membuka lipatannya.
999-0426.
Cassian mengulang nombor itu dalam hati.
Angka yang... pelik.
999—kod kecemasan.
0426—April 26? Atau... nombor rawak?
Atau mungkin... ada maksud lain?
Dia menggenggam kertas itu erat.
Dari seberang jalan, gadis berbaju hitam itu berjalan semakin perlahan, masih memerhatikan remaja lelaki tadi yang hampir sampai ke bahu jalan.
Cassian rasa ada sesuatu yang tidak kena.
Share this novel
bestt
yakuza ek?