ENTAH kenapa, setiap kali aku lihat wanita ini, dia seperti bunga lily yang bergemerisik di tiup angin.
Lama aku merenungnya. Meskipun dalam tidur, wajahnya yang cantik itu tegang. Dahinya berkerut. Adakah dia sedang bermimpi buruk?
Bolehkah kalau aku, ingin menyentuhnya?
“Hm…” Suara si bunga lily dalam tidur.
Hujung jarinya yang tadi cukup hampir, kini dia biarkan tangannya terapung di udara tanpa menyentuh. Akhirnya, dia kembali menjauh ketika tersedar si bunga lily hampir terjaga.
Lelaki itu, Tengku Saif Adam. Dan tangannya yang tadi hampir menyentuh wajah si bunga lily, kini beralih ke pakaian tidurnya yang bertaburan di lantai. Tubuh sasanya yang tak berbaju kini siap bersarung pakaian. Tanpa menoleh lagi, Saif meninggalkan kamar tidur.
Di luar, hujan mencurah dan guruh berdentum. Langsir baldu merah yang berjuntaian kini berkibar ditiup angin.
Melangkah keluar dari pintu, Tengku Saif disambut pembantu rumahnya.
“Selamat pagi Tengku Saif,” Puan Dija, pembantu rumah menyapa sambil merendahkan badannya tanda hormat. Saif memandang wanita berusia itu. “Buatkan secawan kopi dan bawa ke bilik kerja saya,”
“Baik Tengku Saif,”
Belum sempat Puan Dija menoleh, Tengku Saif menghentikannya lagi.
“Sekejap,”
“Tengku?”
Tengku Saif diam sejenak. Kemudian memandang Puan Dija dengan wajah tanpa sekelumit perasaan. “Malam semalam, saya terlupa nak… Ah, tak apa. Nanti kalau Nigina dah terjaga, awak suruh dia ambil pil tu.”
Faham maksudnya, lantas Puan Dija mengangguk.
NIGINA dah lama terjaga sejak ruang sebelah kamarnya kosong. Dia hanya menunggu untuk derap langkah kaki itu menjauh untuk dia benar-benar membuka mata.
Tapi adakah dia sedar Tengku Saif hampir menyentuhnya? Dah tentu tidak.
Bzzz… Bzzz…
Telefon pintar Nigina bergetar dua kali. Nama pemanggil terpapar dengan jelas.
‘Dr. Zul’
“Hello doktor.,”
“Puan Nigina. Ini berkenaan ibu puan.”
Wajah Nigina bertukar mendung. “Ada apa-apa perkembangan dengan ibu saya ke doktor?”
“Puan Nigina. Keadaan ibu puan menunjukkan tanda-tanda rintangan terhadap ubat yang sedang digunakan sekarang. Jika kita tidak menukar rawatan, kita mungkin perlu mempertimbangkan untuk mengaturkan pembedahan atau kemoterapi dalam masa terdekat. Namun, saya bimbang tubuh ibu puan mungkin tidak cukup kuat untuk menanggung risiko pembedahan atau kesan sampingan kemoterapi. Ada juga pilihan ubat import baharu, ZERO-1, tetapi kosnya sangat tinggi. Saya harap puan dapat berbincang dan buat keputusan secepat mungkin.”
“Baik, doktor. Terima kasih.”
Panggilan ditamatkan sekadar di situ. Mendengar perkhabaran tentang ibunya, Nigina terasa semakin longlai seperti tak mahu bangkit dari katilnya. Tapi dia gagahkan juga kakinya untuk melangkah.
Dia menyarungkan jubah mandi dan selipar, keluar dari kamar tidur hanya untuk bertembung dengan Puan Dija yang membawa secawan kopi.
“Puan Nigina, selamat pagi,”
Nigina hanya mengangguk sedikit tanpa memandang. Cawan kopi di tangan pembantu rumahnya ditenung seketika lalu cawan itu bertukar tangan. Nigina mengambilnya dan terus bawa ke bilik kerja Tengku Saif seperti kebiasaan.
TOK! Tok! Tok!
Tanpa menunggu jawapan, Nigina terus menolak pintu kayu yang memisahkan bilik kerja TengkuSaif dengan ruang-ruang lain dalam rumah. Bersamanya secawan kopi yang disediakan oleh Puan Dija.
Nigina memandang suaminya yang sikit pun tak terganggu dengan kehadirannya. Bahkan tak peduli. Lelaki itu fokus dengan komputer riba dan beberapa dokumen di tangan.
“Kopi awak,”
Nigina meletakkan cawan itu berdekatan tangan Tengku Saif dengan berhati-hati. Tanpa sedikit pun memandang, Tengku Saif ambil cawan kopi itu dan mula menghirup dengan perlahan.
“Abang,”
…
Tiada jawapan. Nigina mengeluh perlahan. “Abang masih ingat, perjanjian kita masa awal-awal berkahwin dulu?”
Nigina melihat otot tangan lelaki itu macam mengeras sesaat, mungkin kerana soalannya yang tiba-tiba. Tapi Tengku Saif matanya masih terkunci pada skrin komputer.
“Abang janji akan bayar saya setiap bulan dan hanya balik ke rumah 5 hari dalam setiap bulan, kan? Tapi, abang dah meniduri saya lebih daripada yang abang janjikan, jadi…”
“Gina nak abang bayar lebih sebab tiduri Gina?” Tengku Saif melepaskan tawa halus yang menyindir selepas soalan itu.
“Abang… Ini perjanjian kita, persetujuan kita… Saya izinkan abang sembunyikan identiti saya sebagai isteri. Dan saya juga tak pernah masuk campur hal hubungan abang dengan sesiapa di luar.”
Kenyataan itu cukup pedih buat Nigina. Mengetahui kecurangan suami, tapi tidak boleh masuk campur atas persetujuan bersama. Dia raih kekuatan semula untuk menyambung, “Saya juga tak pernah buka mulut depan datuk, dan… Saya tak akan mengandung, macam yang abang minta…”
Perkataan ‘mengandung’ buat tubuh Tengku Saif seakan mengeras lagi. Dia melepaskan dokumen di tangan dan mula bersandar dengan santai di kerusinya. Wajahnya tegang seketika, sebelum dia tersenyum nipis. Matanya perlahan beralih, dari skrin komputer ke wajah si bunga lily. Pandangan itu dengan emosi bercampur baur.
“Okay, so Gina nak duit lebih? Gina, abang tak tahulah… Kita ni sebenarnya berkahwin atau, abang sebenarnya beli tubuh Gina.”
Nigina tersentak dengan kata-kata Tengku Saif. Lelaki itu dengan santai menyilangkan tangan.
“Abang pernah dengar seseorang bercakap yang, perkahwinan ni macam… Pelacuran yang panjang. Seumur hidup, mungkin? Apa pendapat Gina?”
Nigina dapat rasa matanya mula berkaca. Bukan itu yang dia cuba sampaikan, tapi… Bukan mereka sudah berjanji sebegitu? Sejak lima tahun lepas?
Perkahwinan ini pun bukan kerelaannya, tapi dia harus berlakon sebagai isteri paling sempurna buat Tengku Saif Adam depan semua orang. Di belakang pintu? Pelacur seumur hidup? Adil ke macam tu?
Nigina berundur setapak, tak lagi mahu berhadapan dengan Tengku Saif. Cukuplah penghinaan yang dia dengar dari mulut lelaki itu hari ini. Nigina tak lagi memandangnya. Dia sudah bersedia untuk keluar dari situ.
“Gina. Gina nak abang bayar lebih untuk hari ni?”
Nigina tak menjawab. Langkah laju ke pintu. Tapi, belum sempat dia keluar, Tengku Saif menangkap pergelangan tangannya dan tarik dia ke belakang semula. Nigina terhumban ke belakang dan jatuh terbaring di atas meja. Entah bila lelaki tu kosongkan mejanya, dia pun tak perasan.
“Seriously, Gina? RM berapa untuk ni?”
“Hm…” Nigina cuba bersuara, tapi bibirnya sudah disambar terlebih dahulu. Sampai dia hampir hilang nafas, baru Tengku Saif lepaskan kucupannya.
“Okay, kalau ni pulak? RM berapa?” Tengku Saif membiarkan tangannya meneroka tubuh Nigina, dan sebelah tangan lagi menanggalkan pakaian wanita itu satu persatu, tinggalkannya tanpa seurat benang.
“Abang! Lepas!”
“Bukan ke abang akan bayar untuk semua ni, kenapa Gina melawan?”
Seberapa kuat pun Nigina bergelut, kudratnya memang tiada tandingan dengan Tengku Saif yang nyata lebih kuat. Sehingga dia kini keletihan, tetapi lelaki itu masih belum berhenti meratahnya. Pusingan demi pusingan.
Akhir Tengku Saif berundur selangkah dan melepaskannya. Matanya sempat bergerak dan menikmati pemandangan indah di depannya. Lelaki itu membuka t-shirt yang bersarung pada tubuhnya lalu dicampak ke wajah Nigina.
“Dah. Keluar.”
NIGINA termenung dalam bilik. Dia masih bersarung dengan pakaian lelaki itu selepas… Ah, baik jangan ingat semula.
Puan Dija masuk ke dalam kamar tidur dengan membawa segelas air kosong dan sebiji pil perancang.
“Puan Nigina. Tengku Saif arahkan…”
Nigina terus merampas gelas dan pil tersebut dari tangan Puan Dija. Tanpa membuang masa, dia telan pil tersebut. Puan Dija hanya mematung, memandang Nigina dengan perasaan simpati. Dia sejujurnya tak berkecil hati kalau Nigina terkadang acuh tak acuh dengannya.
“Sarapan dah siap ya kalau Puan nak makan,” Pembantu rumah itu berbasa-basi. Nigina hanya mengangguk tanpa berkata apa-apa lagi.
Ding!
Notifikasi masuk telefon pintarnya.
[Appointment at 10 : Pelanggan gedik]
Nigina mendengus. Dengan penuh keterpaksaan, dia bersiap untuk pergi bekerja. Dan dia tahu apa yang menantinya di sana.
Share this novel