QAIL ADRIAN hanya diam membisu di dalam kereta menadah telinga mendengar bebelan gadis yang mula memandu sebelahnya. Mulut gadis itu macam bertih jagung tapi Qail Adrian hanya masuk telinga kiri keluar telinga kanan! Jadi bertambah geramlah si tukang bebel!
“Kau dengar tak apa aku cakap ni?”
“Hmm…dengar la…” jawab Qail Adrian acuh tidak acuh.
Tak puas kena bebel dalam kedai mamak tadi. Hampir sejam lebih mereka bertapa dalam kedai mamak gara-gara hujan turun dengan lebat dan sekarang Aralyn sambung bebel dalam kereta pula.
“Bagus la kalau dengar so kau masih ada masa nak ubah fikiran sebelum buang masa dan tenaga kau,” bebel lagi Aralyn. Nada suara kekal sama. Tetap rasa tidak puas hati dengan keputusan Qail Adrian yang tak masuk akal.
Malam ini saja Qail Adrian berpeluang menukarkan keputusannya yang sudah tentu akan menggembirakan seluruh keluarga mereka. Terutama Tan Sri Ahmad, datuknya. Orang yang paling bangkang sekali dengan keputusan Qail Adrian.
“Hmmm…apa kata kau letakkan syarat juga pada atuk. Kalau kau masih risau.”
Qail Adrian mengalih pandangannya ke arah Aralyn. Nada suara gadis itu juga sudah kembali normal. Mungkin penat nak berterusan marah dengan orang yang tak dengar cakap seperti Qail Adrian. Jadi lebih baik mereka berbincang secara toleransi.
“Kau tak sayang Q.A ke? Tu hasil titik peluh kau juga. Dari kau lepas pada tangan orang lain lebih baik terima saja bantuan atuk. Bukan duit orang lain? Duit kita juga!”
Q. A Management salah satu bukti Qail Adrian langgar perancangan Tan Sri Ahmad untuk masa depannya. Dan kini Qail Adrian diminta menerima bantuan Tan Sri Ahmad yang sudah pasti bukan bantuan kosong. Bantuan dihulur untuk menyekat kembali kebebasan Qail Adrian.
“Buat syarat hanya terima NADI Group sebagai pelabur utama saja dan kau tetap manage Q.A tanpa perlu diri kau jadi cagaran pada company luar mahupun NADI Group.”
Puas Aralyn memikir cara untuk bantu Qail Adrian cari jalan keluar.
“Atuk paling takut kau kembali jauh dari kitorang semua je… Jadi aku rasa atuk akan ikut syarat macam tu asalkan kau berada depan matanya,” tokok Aralyn lagi.
Memanglah Tan Sri Ahmad berkeras mahu Qail Adrian mengambil alih NADI Group sebagai pewaris lelaki tunggalnya dari membuka syarikat sendiri. Tapi datuk mereka lebih mahu Qail Adrian tinggal bersama mereka jadi Tan Sri Ahmad pasti akan melabur dalam Q.A Management tanpa banyak bunyi asalkan cucu lelakinya itu tidak ke mana-mana.
Walaupun Qail Adrian masih diam membisu tetapi otaknya tetap mencerna idea Aralyn. Dia tahu Tan Sri Ahmad sanggup melakukan apa saja deminya. Walau terpaksa mengorbankan impian datuknya sendiri.
Bukan Qail Adrian tidak mahu bekerja dalam NADI Group, cuma belum tiba masa lagi. Dia mahu mencari pengalaman dengan usahanya untuk buktikan pada mereka semua betapa layak dirinya untuk menyandang jawatan penting dalam NADI Group. Qail Adrian tidak mahu dirinya menjadi cakap-cakap orang yang tidak berpuas hati dengannya nanti.
“Kau masih belum terlambat lagi tukar fikiran.” Sekali lagi Aralyn mengingatkan Qail Adrian. Dan ini mungkin kali terakhir.
“Hmmm…tak sama la…”
“Q.A Management akan kekal sama. Kau tak payah risau. Company mungkin hanya hilang aku saja tapi masih ada orang-orang yang aku percaya untuk teruskan urus company tanpa aku nanti.” Akhirnya Qail Adrian bersuara.
Qail Adrian ada tim yang dipercayainya untuk terus majukan Q.A Management. Agensi pengurusan atlet tajaan Qail Adrian yang ditubuhkan hampir dua tahun setengah yang lalu. Qail Adrian sudah jatuh bangun bersama tim dia untuk menubuhkan Q.A Management cuma kali ini saja Qail Adrian terpaksa berundur diri demi menyelamatkan Q.A Mangement dari hilang pelabur terkuat.
Salah seorang pelabur terbesar ingin menjualkan sahamnya kepada syarikat pesaing. Oleh itu Qail Adrian membuat cagaran di mana dia akan bekerja di syarikat pesaing itu sebagai ganti untuk syarikat tersebut membatalkan niat untuk membeli saham kerana Qail Adrian tahu pemilik syarikat tersebut hanya mahu memiliki dirinya untuk berkhidmat dengan syarikat mereka.
Aralyn tersenyum sumbing mendengar kata-kata Qail Adrian. Selagi lelaki itu menggunakan perkataan ‘mungkin’ jadi masih ada harapan untuk mengubah fikiran Qail Adrian.
“Hmmm…kau singgah jap kat kedai kek depan tu,” tunjuk Qail Adrian dalam kereta. Dari jauh dia nampak logo kedai kek yang berada di kawasan yang sama dengan mereka.
“Ha? Kedai kek? Sugar and You ke?” tanya Aralyn yang memang sudah biasa dengan kedai kek tersebut.
Kalau bukan kerana terpaksa ikut Qail Adrian melepak di kedai mamak sekitar kawasan ini, Aralyn tetap tahu kedai kek tersebut kerana pernah datang buat tempahan beberapa kali. Jadi Aralyn sangat biasa dengan kawasan sini dan boleh agak kedai kek mana yang Qail Adrian mahu singgah.
Aralyn menoleh Qail Adrian di sebelah kirinya. Malam ini dia terpaksa mencemar duli lepak kedai mamak semata-mata mahu terus memujuk sepupu lelakinya ini ubah fikiran. Entah apa ada dalam kepala Qail Adrian. Nasib baiklah muka kacak, kalau campak di mana-mana pun orang tetap peduli juga walau tak tahu latar belakang sebenar lelaki ini.
Qail Adrian memilih hidup secara low profil sedangkan dia punyai segalanya.
“Nak buat apa singgah sana? Kau teringin nak makan Pecan Butterscotch ke?” tanya Aralyn sekali menyebut nama kek kegemaran Qail Adrian.
Siapa sangka sepupu dia yang kacak lagi maco ini ada kek kegemaran tersendiri? Jarang lelaki nak suka makan kek. Tapi Qail Adrian hanya suka kek Pecan Butterscotch kerana punyai kenangan sendiri.
“Aku nak order kek untuk atuk. Lusa kan birthday atuk,” jawab Qail Adrian selamba.
“Birthday kek pakej sekali farewell kek ke ha?” usik Aralyn sambil gelak kecil.
Qail Adrian sudah buang tabiat tiba-tiba mahu jadi cucu paling sweet.
“Kau pergi la…Aku tunggu sini jelah. Malas la nak pusing-pusing cari parking.”
Aralyn berhentikan kereta di tepi jalan yang tak jauh dari kedai kek tersebut. Qail Adrian terus keluar dari kereta dan menapak pergi ke kedai tersebut.
Sampai di hadapan kedai kek tersebut, Qail Adrian pandang pintu kaca lut sinar yang tertera tulis waktu operasi kedai ini. Jadi Qail Adrian masih sempat buat tempahan. Harapnya kedai ini masih terima tempahan walau saat akhir kerana hati Qail Adrian tiba-tiba saja rasa mahu buat tempahan kek hari jadi untuk ulang tahun Tan Sri Ahmad.
Qail Adrian disapa mesra oleh pekerja kedai kek setelah kakinya melangkah masuk ke dalam kedai tersebut. Pelbagai jenis design dan dekorasi kek yang cantik-cantik telah dipaparkan dalam kabinet kaca lut sinar untuk menarik perhatian pelanggan.
Termasuklah Qail Adrian lebih-lebih lagi matanya terpaku melihat sepotong kek yang masih tinggal berbanding kek yang lain di satu kabinet kaca lut sinar yang berada berhampiran kaunter.
Pecan Butterscotch! Kek kegemarannya.
Tinggal sepotong saja? Mesti laku keras sebab sedap!
ENJIN kereta sudah lama dimatikan. Tiada tanda-tanda Naira Iris mahu keluar dari keretanya yang diparkir tidak jauh dari lorong kedai kek milik dia bersama rakan kongsinya. Biarlah Naira Iris duduk bersendirian di dalam kereta dulu. Apabila waktu operasi kedai keknya sudah tamat barulah Naira Iris keluar kerana ada seseorang yang risau sedang menunggunya.
Naira Iris tidak mahu lebih ramai orang risau akan dirinya setelah dia muncul di kedai dengan keadaan teruk. Cukuplah selama sebulan ini hanya riak wajah simpati yang sering Naira Iris terima setiap kali pulang dengan perasaan kecewa apabila tidak dapat bertemu dengan Encik Nazli.
Masih terngiang-ngiang lagi rayuan Naira Iris sebentar tadi. Walau sakit di tangan sudah rasa mencucuk-cucuk, Naira Iris tetap memeluk kaki Naem untuk meminta simpati.
“Abang…tolong la jangan buang Iris…Iris cuma ada abah dengan abang je dalam dunia ni,” rayu Naira Iris yang sudah terenjut-enjut bahunya menahan esakan tangisan.
Kalau Naira Iris tidak boleh pertahankan haknya dengan keberaniannya jadi Naira Iris sanggup tunduk egonya demi merayu pada abangnya.
Mengalir lagi air mata Naira Iris apabila mengenangkan rayuannya langsung tak dipedulikan oleh Naem. Malam ini Naira Iris diisytihar dibuang keluarga.
Telefon bimbit Naira bergetar lagi. Kali ini bukan Puan Amna yang hubunginya berkali-kali selepas dia pulang tadi.
Naira Iris menggesek ikon berwarna hijau setelah tertera nama Diana pada skrin telefon bimbitnya.
“Iris…Iris kat mana ni,” tanya Diana dengan suara yang penuh kerisauan.
Dari tadi Diana menunggu kepulangan Naira Iris. Dia juga mahu menemani adik sepupu merangkap rakan kongsi di Sugar and You. Diana merupakan kakak saudara Naira Iris sebelah ibu kandungnya jadi wanita itu lebih tahu terperinci apa yang berlaku pada Naira Iris.
“Iris nak Kak Dee datang sana ambil Iris ke?” tanya Diana lagi. Kalau bukan Naira Iris yang halang dia dari ikut, sudah lama Diana turut ikut serta untuk pertahankan adik saudaranya itu.
“Hmmm…Iris dah sampai.” Lemah saja suara Naira Iris seperti tubuh fizikalnya.
Sedaya upaya Naira Iris memandu dengan sebelah tangan yang rasa sakit. Nasib baik kereta yang dipandunya adalah auto bukan kereta manual. Dan sekarang ini tubuh badannya pula mula rasa lemah dan sakit.
“Akak tunggu Iris dalam ofis. Staf dah ramai balik.” Beritahu Diana yang seperti dapat agak yang Naira Iris tidak mahu terserempak dengan mana-mana pekerja mereka.
“Hmmm…okey…” jawab Naira Iris pendek.
Naira Iris rasa perlu keluar sekarang kerana tubuh badannya mula menggigil. Rasa sakit di tangannya mula mencengkam kuat. Kalau apa-apa terjadi padanya lebih baik berlaku berhampiran di kedainya berbanding di dalam keretanya yang gelap dari luar tidak boleh dilihat sesiapa.
Di luar suasana mula sunyi tanpa lalu lalang orang mahupun kereta di kawasan itu. Lampu jalan pun bukan semuanya berfungsi jadi menambahkan lagi kegelapan malam yang dingin sesudah hujan berhenti.
Kaki Naira Iris melangkah sangat perlahan. Sugar and You terlalu jauh dan kabur dari pandangannya ketika ini. Kakinya terlalu lemah untuk meneruskan langkahnya sehingga melorot tubuhnya terjelepok jatuh ke atas jalan tar.
Naira Iris terbaring tanpa daya. Matanya hampir saja tertutup walau telinganya mendengar derapan langkah kaki seseorang yang laju berlari ke arahnya.
“Cik…cik…” panggil lelaki itu dengan nada risau.
Naira Iris hanya biarkan saja panggilan lelaki itu. Dia masih tidak mahu membuka mata untuk melihat gerangan siapakah yang bersama dengannya ketika ini.
Ya Allah! Kau jauhi diriku dengan orang-orang yang tidak baik.
Lelaki itu juga tidak dapat melihat gerangan wajah perempuan yang sudah terbaring di hadapannya kerana muka perempuan itu telah tertutup dengan rambut panjangnya.
Dan lelaki itu ialah Qail Adrian. Dalam hatinya risau kerana tiba-tiba saja perempuan ini jatuh tidak jauh daripadanya.
Aralyn pula mana pergi? Kata nak tunggu tempat tadi tapi bila Qail Adrian keluar dari kedai kek boleh pula kereta Aralyn tiada di tempat yang sama. Hampir 15 minit juga Qail Adrian berdiri di luar Sugar and You menunggu Aralyn. Pekerja-pekerja kedai tersebut pun sudah beransur pulang seorang demi seorang. Baru saja Qail Adrian mahu hubungi Aralyn tiba-tiba matanya tertangkap tubuh badan perempuan itu jatuh ke tanah.
“Cik…cik…cik okey ke?”
Qail Adrian akan terus hubungi ambulans jika masih tiada sahutan.
“Hmmm…saya okey…”
Qail Adrian terus lega apabila mendengar suara perlahan itu.
“Cik ada rasa sakit mana-mana.”
Qail Adrian cuma mahu tahu keadaan perempuan ini.
“Saya penat…”
Tergamam Qail Adrian dengar suara lirih perempuan ini.
Betul ke perempuan ini tak ada cedera di mana-mana?
Hakikatnya Naira Iris melorot jatuh kerana tubuh badannya sudah rasa lemah dan tak berdaya. Bukannya dia terbaring kerana dilanggar kenderaan sampai cedera di mana-mana tubuh badannya. Rasa penat dan sakit seperti telah sebati sampai Naira Iris tak dapat bezakannya.
“Saya tolong angkat cik ya.”
Qail Adrian minta izin kerana rasa kesian pula melihat perempuan ini terbaring lemah. Mungkin tak larat untuk bangun. Jadi takkan dia nak biarkan perempuan ini terus terbaring di atas jalan tar. Perempuan ini pasti baru lepas ditimpa hujan lebat tapi kenapa teruk betul keadaannya.
Baju dan seluar perempuan ini bukan setakat baru lepas lencun. Ada juga kotoran pasir yang melekat pada hujung baju dan seluar perempuan ini.
Terselit rasa kesian dalam hati. Gaya seperti orang gelandangan kalau orang tak boleh bezakan kotoran pada pakaian perempuan itu masih baru.
Perempuan ini ada berguling dekat pasir mana-mana ke? Fikir Qail Adrian.
“Cik tak boleh terus baring kat sini. Bahaya!” Qail Adrian bersuara lagi apabila tiada sahutan.
“5 minit. Saya cuma mahu 5 minit je.” Suara serak-serak basah itu berkumandang walau perlahan saja bunyinya.
Geleng kepala Qail Adrian. Boleh pula perempuan ini buat permintaan pelik-pelik. Ada ke nak baring atas jalan tar. Fikiran perempuan ini sudah tidak waras ke? Gara-gara penat dengan kehidupan.
Nak tak nak terpaksalah Qail Adrian jadi teman bercangkung di tepi perbaringan perempuan itu. Tak sampai hati nak biarkan saja perempuan ini dan Qail Adrian turut melayankan sahaja kehendak perempuan yang masih belum nampak lagi wajahnya.
Tiba-tiba Qail Adrian terfikir sesuatu sampai naik seram bulu romanya. Terus pipinya ditampar perlahan untuk elak dari terus fikir bukan-bukan.
Takkanlah makhluk lain pula yang sedang terbaring di hadapannya sekarang ini.
Mana ada hantu bagi tahu dia penat sampai pilih landing atas jalan tar? Boleh pula Qail Adrian terfikir sampai ke situ.
“Okey cik, 5 minit je ya. Lebih dari 5 minit saya akan terus angkat cik kalau cik masih tak nak bangun lagi. Tak nak saya kena jadi saksi kejadian kalau apa-apa berlaku pada cik.”
Qail Adrian yakin perempuan ini tidak cedera di mana-mana kerana dia tidak dengar perempuan ini mengerang kesakitan pun. Kalau ada cedera, Qail Adrian tidak boleh suka hati mengalihkan posisi perempuan ini.
Tiba-tiba Naira Iris bangun dan duduk menegak. Fikirannya kembali waras setelah mendengar gertakan lelaki itu. Tadi masa terbaring, Naira Iris sudah tak fikir apa-apa. Otak dan badannya sangat penat dan lemah jadi dia hanya mahu baring tanpa peduli di mana dia berada.
Qail Adrian hampir saja jatuh terduduk gara-gara terkejut dengan tindakan spontan Naira Iris.
Sudahlah rambut Naira Iris mengerbang ditiup angin malam. Makin seram pula rasa.
Laju Naira Iris menoleh ke arah lelaki yang bersama dengannya ketika ini. Akhirnya pandangan mata mereka bertemu. Malam yang gelap mula kelihatan terang apabila lampu jalan tiba-tiba menyala di sekeliling mereka.
Wajah kedua-duanya jelas kelihatan antara satu sama lain dan ada jantung yang berdetak kencang tika ini kerana rasa terkejut.
“Naira…”
Perlahan nama itu meniti di bibir Qail Adrian. Matanya terpaku melihat Naira Iris berada di hadapannya sekarang ini. Tapi kenapa dia bertemu semula dengan Naira Iris dalam keadaan yang tidak disangkakan. Wajah Naira Iris yang sembap itu dipandang dengan rasa sayu.
Sesuatu telah berlaku pada Naira Iris, fikir Qail Adrian. Kalau tidak masakan gadis ini mahu terbaring di atas jalan tanpa sebab. Rasa terkejutnya sudah berlalu pergi dan kini rasa risau yang bertandang dalam hatinya.
Baru saja Qail Adrian mahu buka mulut tiba-tiba Naira Iris bangun kelam kabut apabila bunyi telefon bimbitnya berdering.
“Auch!” Naira Iris sentuh tangannya. Terlepas telefon bimbitnya.
“Awak okey…” tanya Qail Adrian prihatin sambil hulur telefon bimbit Naira Iris yang sempat disambut dari terjatuh atas jalan.
Naira Iris mula rasa malu. Lagi-lagi mengenangkan lelaki itu melihat dia melakukan perkara gila tadi. Perlahan-lahan Naira Iris ambil telefonnya.
“Tangan awak cedera ke?” tanya Qail Adrian dengan nada kesal. Tadi dia yakin yang Naira Iris tidak cedera di mana-mana.
Wajah Naira Iris bertukar mendung bila menyentuh tangannya. Pantas teringat pergelutannya bersama Naem tadi.
“Terima kasih tolong saya, encik.” Naira Iris tidak betah lama-lama lagi di situ lalu mengucapkan terima kasih pada Qail Adrian dan pergi meninggalkan lelaki itu yang masih setia menemaninya.
“Dari hujan kita boleh belajar bahasa air bagaimana berkali-kali jatuh tanpa sedikitpun kita mengeluh pada takdir. Saya harap sinar matahari esok boleh buat awak bangkit semula agar awak dapat lihat pelangi yang cantik nanti.”
Langkah kaki Naira Iris terhenti mendengar kata-kata kiasan lelaki itu yang cuba memberi semangat padanya.
“Terima kasih pinjam kan 5 minit awak.” Naira Iris pusing melihat Qail Adrian yang masih berdiri di tempat yang sama.
“5 minit awak itu sangat bermakna untuk saya lepaskan segala kepenatan supaya saya boleh terus bangkit semula.”
Naira Iris lemparkan senyuman. Tanda dirinya baik-baik saja dan tidak mahu lelaki itu berfikir bukan-bukan.
Pandangan Qail Adrian mengikut langkah kaki Naira Iris pergi sehingga matanya tidak dapat melihat gadis itu lagi.
Sugar and You.
Jadi tak salah Qail Adrian buang tabiat datang ke kedai kek ini untuk jadi cucu paling sweet bak kata Aralyn kerana di sini dia dipertemukan semula dengan Naira Iris yang sememangnya tidak mengingati Qail Adrian.
Share this novel