"Saya merokok kat belakang dengan kawan saya yang kerja kedai dobi belakang restoran."
Chot dongak dari memandang muka meja. Wajah tegas pegawai polis yang menyoal memandangnya lekat. Kemudian memberi isyarat supaya dia teruskan cerita.
"Saya dengar suara suami Mek. Kemudian dia orang bertekak pasal duit."
"Saya biar ajelah. Benda biasa kalau suami dia datang restoran mesti mintak duit Mek."
Chot teruskan bercerita apa dia dengar.
"Habis sebatang rokok budak dobi tu balik kedai dia, jadi saya nak masuk restoran semula ikut pintu belakang."
"Masa tu saya nampak laki Mek piuh tangan Mek ke belakang. Nak ambik duit Mek dalam kocek apron."
"Laki dia suruh Chah tolong. Mek meronta-ronta. Habis semua benda dekat Mek berterabur."
"Chah hempuk lutut Mek dengan dulang. Mek jatuh, Chah dapat ambik duit tu."
"Lepas tu laki Mek tolak Mek ke dinding, Mek terselit celah tong sampah."
"Kemudian..."
Chot sekali lagi memandang wajah pegawai yang menyoal. Menilai sesuatu di wajah tegas itu. Rasa Chot cerita dia laku setakat itu.
"Kemudian...?"
"Chah tergelincir terpijak keledek goreng. Terjatuh, laki Mek nak menolong..."
Chot jeda lagi... dia kena teruskan. Kena cuba sahaja.
"Masa tulah kuali goreng pisang yang dah senget atas dapur masa dia orang bergelut nak merampas duit Mek tu telungkup atas dia orang."
Chot tunjuk wajah ngeri.
Jujur cakap masa hari jadi menghadap beruk dua ekor yang mengelupur dia langsung tiada rasa ngeri. Dia rasa sangat puas hati.
Pegawai polis menulis sesuatu di dalam bukunya di atas meja. Kemudian mematikan mesin rakaman di sebelah.
@@@@@@@
Perut Mek berkeriut lapar. Lapar yang teramat sangat. Pedih!. Malangnya selera Mek hilang sejak peristiwa di dapur restoran seminggu yang lalu.
Ada juga dia makan sesuap dua. Makan yang terpaksa. Terlalu banyak urusan sejak seminggu ini. Balai polis, hospital, anak-anak dan yang terakhir ini rumah mayat dan pihak pengurusan jenazah serta liang lahat.
Mek kesat air mata yang tidak berhenti mengalir. Matanya cengkung dan sembab. Menangis susah hati dan tidak dapat tidur juga kerana susah hati dengan apa yang sudah terjadi.
Ada juga Mek terlelap bila sudah terlalu letih, malangnya dia akan nampak suaminya dan Chah datang mendekat. Datang marahkan dia dengan muka yang bengis dan mengerikan seperti yang dia hadap ketika dua orang itu mengeletik di atas lantai dapur.
"Ibu."
"Ibu..."
"Ibu!".
Mek tersentak. Orang yang tadinya berkeliling di liang lahat untuk urusan pengebumian dan bacaan talkin sudah surut. Tanah merah pun sudah menimbus liang.
Entah bila siap dia memang langsung tak perasan. Hanya tinggal dua orang yang rasanya pengurusan tanah perkuburan mengemas itu ini.
"Jom bu..."
Suara Along lagi. Berserta memaut lengannya kemudian menariknya untuk bangun berdiri. Mek bangun dengan susah payah.
"Ibu kena kuat. Ibu kena lupakan semua yang dah jadi. Along dengan adik-adik sayang Ibu."
Air mata yang sudah berhenti terbit semula. Ya, dia kena kuat. Dahulu mereka, anaknya yang bertiga bergantung dengan dia sekarang terlebih lagi.
Along tarik Mek melangkah di antara batas perkuburan. Kakinya terasa lembik bagai jelly. Bagai berjalan di awangan.
"Ton..."
Ibunya yang berkerusi roda menunggu di tepi kereta. Menyapa dan memandangnya dengan sayu. Dia mahu menyahut tapi suaranya entah hilang ke mana.
"Allah..."
"Ini ke anak akak?".
Seorang lelaki berkopiah datang mendekat. Memandang wajahnya yang dia yakin sangat kusam dan hodoh.
"Ya ustaz."
Sahut ibunya dengan suara susah hati.
"Dah berapa lama macam ni?."
"Sejak hari jadik. Kami mulanya tak perasan. Sibuk uruskan madu dia yang meninggal masa hari jadik. Urusan polis lagi. Lepas tu sibuk uruskan suami dia kritikal."
"Semalam sibuk-sibuk uruskan jenazah suami dia baru makcik perasan."
"Kenapa ke kubur?"
"Bawa balik terus. Jangan menyinggah ke mana."
"Nanti saya menyusul dengan orang rumah. Saya yakin ni badi mayat ni."
Lelaki itu menerangkan. Dia dengar dengan jelas dan dia mahu sangat menyampuk. Mahu memberitahu ada ketidak selesaan yang amat sangat pada dirinya tapi dia tidak mampu untuk meluahkan.
@@@@@@@
'Black Maria' meninggalkan perkarangan mahkamah. Keputusan hakim sebentar tadi, dia didapati bersalah kerana melakukan pembunuhan tanpa niat di bawah Seksyen 304(1) Kanun Jenayah.
Chot tunduk sahaja sepanjang perjalanan. Memandang lantai besi 'Black Maria'. Okaylah tu penjara sahaja. Puas hati apa dapat membalas sakit hatinya ditipu perempuan $und@l tu.
Dia bertahan bekerja dengan Mek kerana Chah. Chah cinta hatinya. Buah hati pengarang jantung ketipak ketipung. Hanya Chah yang mahukan dia yang tiada rupa. Terharu sungguh dia kerana sebelum Chah semua perempuan 'rijek' dia pada pandangan pertama.
Dahulu dia membaca Chah yang memang terang nampak pemalas dan semberono tapi baik hati. Chah kata kesian Mek berniaga untuk menanggung keluarga tapi susah dapat pekerja.
Chot okaykan saja cakap Chah padahal dia tahu Chah tak mungkin boleh bekerja di tempat lain dengan perangai semberononya itu berganding pula dengan pemalas ya ampun.
Sebelum bekerja dengan Mek sudah banyak tempat Chah kerja. Paling lama tiga bulan. Paling sekejap pernah sehari sahaja. Esoknya majikan kata tak payah datang lagi.
Maka bekerjalah dia dengan Mek yang bermulut petir dan culas asal boleh membayar gaji. Dia di situ kerana Chah. Suka sungguh dia Chah cemburukan dia yang mengurat pekerja paling rajin pernah Mek dapat. Si Khaleeda budak bendul yang mengandung tak berlaki.
Rupanya Chah otek-otekkan dia. Chah bukan di situ kerana dia, bukan juga baik hati kasihankan Mek. Chah mampu bertahan dengan Mek dan tak kisah Mek bayar gaji tidak mengikut hari bulan kerana bermadu dengan perempuan tua itu.
Dialah yang bodoh, yang malang. Dipermainkan perempuan $und@l itu!. Perempuan itu laki Mek bagi duit, dengan Mek buat kerja malas pun tetap ada gaji. Dia pula.... berkongsi gajinya dengan Chah. Untung besar sungguh!.
Tak mengapa...
Sakit hatinya sudah berbalas.
Mengingatkan dia dibodohkan Chah selama beberapa tahun maka sangat puas hatilah apa dia sudah buat masa hari kejadian. Rasanya sikit sangat dia balas. Hujung kuku saja nak dibandingkan sialnya perangai Chah buat pada dia.
'Rhauu!!!'
Tersenyum Chot melayarkan lagi ingatan pada hari kejadian.
Bunyinya indah sungguh.
Seindah bunyi yang dia dengar ketika senyap-senyap datang ke bilik Chah pada hari Chah kata tidak dapat tidur di bilik sewanya.
Bunyi yang Chah hasilkan dengan laki yang $und@l tu kongsi dengan Mek.
Membunuh tanpa niat.
Hebat betul polis Malaysia, dari keadaan ruang kejadian dan kecederaan mangsa boleh tahu minyak tu disimbah bukan tertumpah.
Patutnya dia belajar rajin-rajin dulu. Boleh jadi pakar forensik.
TAMAT
Share this novel