BAB 1

Romance Series 54745

"AYAH dah meninggal, jadi aku akan uruskan penceraian kita. Kau boleh buat tuntutan. Kalau munasabah, aku akan tunaikan."

Nada itu dingin. Tidak berubah sejak dulu. Dua tahun bersama dalam sebuah ikatan perkahwinan, tidak langsung mengubah perasaan Ikmal terhadapnya. Malah semakn dingin dan jauh.

Ikmal toleh, memandang Luna yang diam tidak menyahut kata-katanya. Tentu dia faham kenapa Luna begitu. Dua tahun wanita itu cuba menarik perhatiannya, tidak jemu berusaha membuat dia jatuh cinta, namun tiada satu pun usahanya berhasil. Hari ini kata cerai terlafaz dari bibirnya, tentu Luna sangat kecewa.

"Sebab tu aku dah ingatkan kau dulu. Jangan letakkan apa-apa harapan dalam perkahwinan ni. Sebab aku takkan berpatah balik dengan kata-kata aku. Aku kahwin dengan kau atas permintaan ayah. Bila dia meninggal, beban tu dah lepas dari bahu aku."

Luna toleh, pandang Ikmal dengan tatapan jengkel.

"Kita masih depan kubur. Tak boleh tunggu balik rumah ke, kut ya pun tak sabar nak bercerai?" ketus Luna.

Ikmal terdiam. Sedikit berkerut wajahnya menentang tatapan garang Luna. Bukan ini reaksi yang dia jangka daripada Luna. Fikirnya Luna akan menangis dan merayu supaya tidak diceraikan, namun tidak. Luna nampak tidak terganggu dengan kata cerai dari bibirnya. Malah nampak tenang, seolah-olah dia juga menunggu saat itu.

.
. .

SELESAI urusan lafaz cerai, Luna segera melangkah keluar dari mahkamah tanpa menunggu Ikmal. Untuk apa juga menunggu. Antara dia dan Ikmal sudah selesai dan tidak ada apa-apa yang mengikat mereka.

"Luna!"

Suara Ikmal itu membuat langkah Luna terhenti. Dia menoleh. Tidak bertanya, hanya wajahnya dikerutkan menzahirkan pertanyaan.

Ikmal melebarkan langkah mendekati wanita yang baru bergelar bekas isteri itu.

"Dalam minggu ni aku settlekan nafkah mutaah," ujarnya.

"Okey." Luna memutar tubuhnya untuk kembali melangkah, namun lagi-lagi suara Ikmal menahannya.

Dia toleh lagi. Masih tanpa bertanya, dia hanya memandang Ikmal yang nampak seperti masih mahu menyampaikan sesuatu.

"Kau boleh terus duduk rumah tu. Nanti aku uruskan pertukaran hak milik."

"Tak payah. Saya dah ada rumah. Bagi saya masa seminggu. Nanti saya clearkan semua barang saya," balas Luna.

Ikmal terdiam. Sedikit ternganga mulutnya memandang Luna. Halkum turun naik menelan liur. Entah kenapa, dia kurang senang dengan reaksi Luna itu. Bukan hanya hari ini, tetapi sejak kali pertama dia menyebut tentang cerai di depan tanah kubur ayahnya yang masih merah. Luna menanggapinya dengan tenang dan santai. Tidak menangis atau merayu.

"Kalau takde apa-apa, saya nak balik office," ujar Luna.

"Kau masih nak kerja kat situ ke?" tanya Ikmal tiba-tiba.

Wajah Luna berkerut, tidak faham dengan maksud pertanyaan itu.

"Kalau kau nak pindah ke stesen lain, atau...nak tukar jabatan, aku boleh tolong aturkan."

Luna tertawa. Ringan dan sedikit sinis. Ya, jika Ikmal tidak salah mentafsirkan.

"Kenapa saya kena pindah?"

"Kau tak rasa awkward ke kerja sebumbung dengan bekas suami? Tengok bekas suami kau dengan perempuan lain..."

"Tak." Cepat Luna menjawab, tanpa menunjukkan sedikit pun keraguan pada wajahnya.

Kali ini tawa Ikmal pula meletus sinis.

"Kau yakin ke?"

"Ikmal...tak ada sesiapa kat situ tahu siapa suami saya. Yang dia orang tahu, saya dah kahwin dan hari ni ke mahkamah untuk pengesahan lafaz cerai. Itu pun cuma kawan-kawan terdekat je yang tahu. Saya tak rasa awkward dan tak ada sebab untuk saya ada rasa macam tu. Masa kita masih suami isteri pun awak tak segan silu tunjuk kemesraan dengan Helena depan saya. Dah cerai, awak nak expect saya cemburu ke? Dan awak ingat ni drama pendek Cina ke? Kena cerai lepas tu lari pergi luar negeri, mulakan hidup baru dan lahirkan anak senyap-senyap? Lima tahun, sepuluh tahun kemudian muncul semula dengan penampilan baru. Lebih glowing, lebih cantik, and dah jadi somebody? Heh!" Luna terkekeh sinis. "Saya tak payah tunggu lima tahun atau sepuluh tahun atau tunggu kena cerai. I am somebody now."

Ikmal jongket kening. Egonya tercalar, namun dia cuba berlagak tenang. Menganggap Luna hanya berpura-pura untuk menyembunyikan rasa kecewanya selepas diceraikan.

"Hidup saya dah cukup baik even tanpa awak. Saya ada kerjaya yang bagus, saya ada duit, dan saya ada segala-galanya yang terlalu berharga untuk saya tinggalkan semata-mata sebab kecewa kena cerai. Perbuatan awak belum cukup melukakan saya untuk saya ambil keputusan melenyapkan diri sendiri dari muncul depan awak."

"Really?" Nada Ikmal berbaur sinis.

"Awak bukan terlalu berharga untuk saya simpan apa-apa perasaan atau untuk saya kenang lepas kita bercerai. Dah cerai...tutup buku lama. Saya bukak buku saya, awak bukak buku awak, dan kita tulis cerita kita tanpa ada watak kita dalam cerita masing-masing. Okey?"

"Just like that?"

"Yeah." Luna mengangguk yakin.

Ikmal tertawa tidak percaya. Tidak mungkin begitu mudah Luna membuang perasaannya. Dia yakin Luna hanya berpura-pura.

"Look Ikmal..."

Ya, panggilan abang yang dulu lancar meluncur di bibir, kini sudah terganti dengan nama. Begitu cepat? Ah, tidak mungkin!

"...macam mana orang tak tahu siapa suami saya, macam tu juga orang tak tahu yang awak dah kahwin. Yang semua orang tahu, awak masih bujang dan bakal kahwin dengan Helena. Jadi, kita teruskan hidup macam biasa. Tak ada apa yang berubah kecuali status kita yang hanya kita dan Tuhan saja yang tahu."

Ikmal terdiam buat ke sekian kali. Kata-kata Luna tidak ada yang salah, namun entah mengapa bagai ada sesuatu yang tersangkut dalam dadanya.

Ada yang tak lepas.

Kata-kata Luna itu sepatutnya melegakan. Bukankah itu yang dia mahukan selama ini? Sebuah penamatan yang bersih, tanpa drama, tanpa air mata, dan tanpa rayuan untuk kembali. Tetapi kenapa rasanya seperti dia yang ditinggalkan?

"Lepas ni kita jangan ganggu hidup masing-masing. Awak teruskan hidup awak, saya teruskan hidup saya," lanjut Luna sebelum memutar tubuhnya dan berlalu.

DARI mahkamah, Ikmal terus kembali ke pejabat. Dia sampai bertepatan dengan Luna yang juga baru keluar dari kereta. Dia membiarkan Luna masuk dahulu sebelum menyusul. Sepi menyelubungi saat mereka sama-sama berdiri di depan lif.

Pintu lif terbuka, mereka sama-sama melangkah masuk. Luna di depan, Ikmal di belakang, bersandar pada dinding lif. Luna tekan nombor sembilan, tingkat yang menempatkan jabatan berita.

"Sementara dalam iddah ni, kau duduklah rumah tu." Ikmal bersuara terlebih dahulu.

"Kan saya dah cakap tadi, saya dah ada rumah."

"Bila kau beli rumah tu?"

"Lama dah. Sebelum kita kahwin lagi. So, tak boleh tuntut dalam harta sepencarian."

Ikmal berdecih sinis. "Kau ingat aku hadap dengan harta kau?"

"Baguslah..."

Ikmal berdesis geram. Sejak dulu, ada-ada saja jawapan Luna yang buat dia panas hati.

"Setakat rumah macam sarang burung, takde siapa yang nak," ketusnya.

"Kalau hati senang, rumah macam sarang burung pun boleh rasa macam syurga. Tapi kalau hidup sengsara, rumah sebesar istana pun rasa sempit macam lubang kubur," balas Luna, tidak mahu kalah.

"Oh...maksudnya selama ni kau rasa rumah aku tu macam lubang kubur la?"

"Yalah kut. Sebab tu awak jarang balik kan?"

Ikmal terdohok. Fikirnya Luna bercakap tentang diri sendiri, rupanya tidak. Dia yang dimaksudkan.

"Rumah tu rasa sempit sebab ada kau," jawabnya, tidak mahu kalah.

"Bukan. Rumah tu rasa sempit sebab awak cuba bawak penghuni lain masuk. Rumah tu sepatutnya cuma ada kita. Bila bawak masuk orang ketiga, memang la jadi sempit."

"Kau la orang ketiga tu."

"Itulah. Jadi betullah tindakan saya keluar dari rumah tu." Luna yang sejak tadi berbicara dengan Ikmal tanpa memandangnya, menoleh. "Semoga awak kerap balik rumah lepas ni. Sebab sekarang rumah tu dah luas."

Pintu lif terbuka. Luna melangkah keluar. Ikmal pula menarik nafas mengatur riak wajah terlebih dahulu sebelum menyusul.

Namun bunyi letupan party popper bersama jeritan teruja kakitangan jabatan berita membuat dia terkejut hingga terundur langkahnya.

"Happy divorce, Luna Amani!" Beberapa orang menjerit diiringi tiupan party blower.

Ikmal yang masih belum pulih dari rasa terkejutnya, diserang darah tinggi tidak semena-mena.

"Happy...what?!!' Melengking suaranya dalam ruang pejabat yang luas itu.

Hai semua. Calyta is back. muehehe. satu bab je dulu buat raso2. bila update lagi? erm...tak tentu. tengok pada kelapangan. hehe. enjoy reading semua.

Share this novel

User26796
2025-10-17 18:51:51 

❤️❤️

Salbiah Bie
2025-10-13 19:56:27 

wahhh....intro pun dh best...❤️❤️❤️❤️

Nur Aliah
2025-10-12 20:42:00 

Wah cerita baru ???


NovelPlus Premium

The best ads free experience