Bab 26

Romance Series 59840

PURNAMA mengambang penuh. Suasana kampung pada waktu malam begitu mendamaikan. Tidak ternoda dengan kebingitan suara ekzos daripada kenderaan sebagaimana di bandar. Rizal bersendirian, berdiri di hadapan jendela sambil menikmati keindahan bulan yang tergantung di langit. Suara cengkerik dan belalang yang beralun terasa memikat dan menyenangkan sebagai halwa pendengaran. Lelaki itu kemudian menutup jendela dan berjalan perlahan menuju ke arah sofa yang sudah usang. Punggungnya dilabuhkan di sana. Rizal merasa keletihan dan seluruh tubuhnya terasa pegal. Otot pada bahagian bahu dan tangannya turut menahan rasa sakit. Lelaki itu kemudian mengurut sendiri lengan dan bahunya untuk mengurangkan rasa tegang yang bersarang.

Seketika kemudian, Amira muncul lantas duduk di sebelah suaminya itu.

"Kenapa? sakit urat ke?" Amira bertanya lantas memijat bahu dan lengan Rizal.

"Ah, letih betul.. tangan, bahu ni pun rasa sakit.. tak tahan duk pikul mesin rumput tu.." ujar Rizal.

"Emm..biasa la.. dah lama tak buat kerja kan.." Amira cuba menyenangkan hati suaminya.

"Dulu saya tak pernah buat kerja berat ke? Letih lain macam je.. baru mesin sikit je semak tu, dah habis sakit tubuh badan ni.." Rizal ingin tahu. Fikirnya, dia dahulunya mungkin seorang lelaki yang pemalas dan tidak pernah melakukan kerja-kerja berat. Di sebabkan itu, dia mudah keletihan dan sakit seluruh tubuh setelah bekerja seharian.

Mendengar pertanyaan Rizal, Amira hanya tersenyum simpul.

"Kalau awak tak buat kerja, pemalas, takkan la saya kahwin dengan awak.. Awak seorang yang rajin, bertanggung jawab, suka berusaha.. Dulu pun awak tak malu bekerja sebagai cleaner sebab nak bantu keluarga awak.. siap jual burger lagi untuk tambah pendapatan.." Amira menjelaskan dari sudut pandangnya. Namun wanita itu tiba-tiba terdiam dan menjatuhkan pandangannya.

"Kenapa ni?" Rizal terperasan dengan perubahan riak wajah isterinya.

"Emm.. takde apa-apa.. cuma saya agak kesal sikit.. saya tak mampu nak cari keluarga awak.. nak maklumkan keadaan awak.. mungkin keluarga awak tengah risau sekarang, sebab takde apa-apa berita pasal awak.." Amira meluahkan rasa.

"Sudah la.. jangan fikirkan lagi pasal keluarga saya.. awak pun dah berusaha.. nak buat macam mana lagi.. sekarang ni, yang penting awak ada disisi saya.. hanya awak je keluarga yang saya ada sekarang.. kita fokuskan kehidupan kita dulu. Insyaallah, ada rezeki, Allah akan pertemukan kembali saya dan keluarga saya dan kembalikan semula ingatan saya.." Rizal membalas. Lelaki itu lantas mencium pipi isterinya.

"Hishh, nampak kat Tok ma, malu la.." Amira menepuk lengan suaminya.

"Tok ma kan dah masuk tidur.."

"Kalau dia keluar dari bilik tu macam mana?"

"Mana ada.. selama ni pun dia tak pernah keluar dah kalau dah masuk tidur.. nanti pukul 2,3 pagi je dia akan bangun kencing.." Rizal menjawab.

"Eh, tahu pulak awak masa mana Tok ma bangun.." Amira tertawa kecil.

"Laa.. dah memang macam tu pun setiap malam.. dah, kita pun, jom la masuk tidur.. saya pun dah letih, mengantuk ni.." Rizal yang keletihan sudah hampir tidak mampu untuk terus menahan matanya dari terus berjaga. Kerjanya siang tadi sudah banyak menguras tenaga.

"Emm.. abang nak tidur dah ke?" Amira berbisik sambil mendekatkan mulutnya ke telinga Rizal. Wanita itu kemudian mengucup leher suaminya dengan lembut.

Rizal tersentak.

"A..abang?" Rizal kaget dengan panggilan yang diberikan oleh Amira kepadanya. Selama ini, isterinya itu belum pernah memanggilnya sebegitu.

"Kenapa? abang tak suka ke sayang panggil macam tu?' Amira bersuara perlahan sambil tangannya mula merayap ke dada Rizal. Aksinya yang menggoda itu mula membuatkan Rizal berdebar-debar. Matanya yang sudah kuyu tadi kini kembali terasa segar.

"Ah, setan apa pulak yang merasuk ni?" Ujar Rizal. Amira mula ketawa terbahak-bahak sambil menepuk dada suaminya.

"Mana ada setan rasuk.. kita nak bunuh setan ada la.." Amira masih ketawa terkekek-kekek.

"Patut la rasa segar balik.. nak kena membunuh.."

"Dah, jom la masuk bilik.. sayang urutkan badan abang yang sakit ni.." Amira bangkit berdiri seraya menarik tangan Rizal untuk mengikutinya. Namun Rizal masih kaku di tempat duduknya. Matanya terpaku menatap Amira yang sedang menarik tangannya.

"kenapa? tak suka ke saya panggil abang, sayang?" Amira mula berubah riak wajahnya. Dia seakan kecewa suaminya itu tidak menyukai panggilan yang baru dia berikan. Rizal kemudian berdiri dari duduknya. Tangan lelaki itu pantas merangkul pinggang isterinya.

"Ada ke abang cakap tak suka? kekalkan panggilan macam tu... selamanya.." Rizal berbisik. Amira mula mengulum senyum.

"Jom masuk bilik.. sayang urutkan.." Amira kembali mengajak suaminya.

"Urut je? kata nak bunuh setan.." Usik Rizal.

"Kata sakit badan.. larat lagi ke nak bunuh setan?"

"Mata dah hilang mengantuk.. siapa suruh mulakan.." Rizal melepaskan pelukan pada isterinya dan dengan pantas menggendong Amira dengan kedua belah tangannya.

"Ahh.. kata sakit.." Amira menjerit kecil setelah terperanjat dengan tindakan Rizal. Tangan wanita itu segera merangkul leher Rizal apabila kedua belah kakinya diangkat oleh suaminya itu.

Tiba di dalam bilik tidur mereka, Rizal segera berbaring dan meniarap di atas katil setelah meletakkan Amira dari dukungannya. Amira kemudian meletakkan kedua belah telapak tangannya di belakang badan suaminya itu. Jari jemari wanita itu kemudian ditekan-tekan untuk memberikan urutan.

"Nak buat kebun tu, abang nak tanam apa nanti?" Tanya Amira.

"Hmm.. rasanya mula-mula, nak tanam kangkung dulu.. sebab kangkung sekejap je dapat hasil.. sebulan dah boleh kutip.. lepas tu, tanam la lagi sayur lain.. cili, timun, kacang panjang, bendi, terung.. Tanam banyak jenis, senang sikit nak jual sendiri.. kita nak makan pun tak kena beli dah.. Kalau tanam sejenis je, nanti susah nak jual sendiri.. kena jual borong kat peraih.. kalau jual borong, harga pun akan dapat lebih murah." Rizal menyuarakan pendapat. Walaupun sudah kehilangan ingatan, namun kemahirannya dalam merancang dan menguruskan perniagaan masih dapat dilihat.

"Serai pun boleh.." Amira memberi pendapat.

"Ah, abang ingat nak tanam serai sekeliling kebun tu nanti.. biar jadi pagar dengan serai je.. abang pun nak anggur pokok limau kat belakang rumah tu.. buat tiga atau empat anak pokok limau lagi.. tanam kat kebun tu.."

"Kalau pisang, taknak tanam?" Tanya Amira lagi sambil tangannya masih mengurut bahu Rizal.

"Pisang lambat dapat hasil.. sekarang ni baik fokus kat sayur-sayuran je dulu.. dapat hasil cepat.. kangkung, timun, kacang panjang tu, sebulan ke 45 hari dah dapat hasil.. cili dekat 3 bulan.. tapi kalau beli anak cili kat kedai, singkat sikit masa nak tunggu berbuah.."

Amira terdiam. Dia kagum dengan pengetahuan Rizal mengenai pertanian. Perancangan suaminya itu ada asasnya dan tepat untuk mendapatkan hasil secepat mungkin. Rizal sendiri sebenarnya tiada pengalaman. Namun lelaki itu gemar membaca dan mengambil tahu pengetahuan baru. Selama berkurung di dalam rumah sejak lima bulan yang lalu, banyak buku dan majalah yang terdapat di dalam rumah nenek Amira itu dibacanya bagi mengisi masa.

TIGA bulan berlalu. Kini kebun Rizal sudah penuh dengan pelbagai jenis tanaman dan mengeluarkan hasil. Bahkan dia sudah pun mendapatkan pendapatan sebelum ini dengan menjual kangkung, sawi, bendi, kacang panjang dan timun. Kini cili pula sudah pun mengeluarkan buah dan warna merah mulai mewarnai kebun sayur-sayuran lelaki itu.

Pertanian dengan cara tradisional itu terasa memenatkan namun hasilnya tetap dirasakan berbaloi. Rizal berpuas hati dengan hasil usahanya membangunkan kebun tersebut. Hasil tanamannya sentiasa mendapat permintaan daripada orang kampung dan habis terjual setiap hari. Setiap jenis sayuran diikat dan dibungkus dengan rapi sebelum diletakkan di warung Shima, di mana Amira bekerja. Malah terdapat juga beberapa orang kampung yang langsung menuju ke rumah dan kebun untuk mendapatkan bekalan sayur-sayuran yang segar secara langsung daripada Rizal.

Selain itu, Rizal juga turut membangunkan sebuah rumah cendawan dimana tempat yang dia jadikan untuk membiakkan cendawan tiram. Bangsal yang dilitupi oleh jaringan hitam itu hanya berukuran beberapa belas kaki namun mampu menempatkan ratusan botol yang mengandungi benih cendawan tiram.

Petang itu, Rizal baru selesai mengutip hasil dari kebunnya termasuklah cendawan yang sudah mula mengeluarkan hasil. Lelaki itu turut dibantu oleh Halimah, nenek kepada isterinya. Wanita tua yang kebosanan itu teruja dengan hasil usaha Rizal dan turut ingin menghulurkan bantuan di kebun. Setiap pagi dan petang, dia akan menemani Rizal untuk sama-sama memetik hasil dari kebun tersebut.

Selesai menuai hasil kebun, Rizal dan Halimah duduk di tangga rumah, menghilangkan lelah bersama hasil tuaian mereka yang diletakkan di samping. Beberapa raga yang penuh dengan sayur-sayuran diletak dan disusun di anak tangga. Tidak lama kemudian, Amira yang baru pulang kerja tiba di rumah sambil membimbit satu beg plastik berwarna biru.

"Apa yang kau bawa tu Mira?" Sapa Halimah kepada cucunya.

"Mira ada beli ayam tadi.. Nanti Tokma masak ye.. dah lama tak rasa ayam abu-abu yang tokma masak.." Amira tersengih.

"Ah, padahal kau sendiri pun boleh masak.." balas Halimah.

"Ala.. Mira nak makan yang Tokma masak.. dah lama tak rasa air tangan tokma.."

"Dah tu semalam tu apa? Bukan aku ke yang masak?"

"Eh, tu lain.. Mira nak Tokma masak ayam abu-abu.. boleh la tokma.. please.." rayu Amira kepada neneknya.

"Ah, malas aku nak layan tekak kau.. Haa.. tu ada cendawan, timun, cili dari kebun.. boleh la buat.. tapi kau kena siapkan semua bahan-bahan tu.." balas Halimah.

"Yeaayy.. sayang Tokma.. okey.. nanti semua bahan tu Mira siapkan.. tokma masak je.." Amira gembira.

"Habis, kalau aku tak masak, kau tak sayang la kat aku ni?" Halimah membalas lagi.

"Sayang jugak.. tapi kalau tokma masak, Mira sayang lebih lagi.." Amira menghamburkan tawa.

"Ish, budak ni!" Halimah menampar lengan Amira, melepaskan geram setelah dipermainkan oleh cucunya.

SELESAI solat maghrib, Rizal menuju ke dapur. Amira dan neneknya sudah siap memasak hidangan untuk mereka makan malam. Rizal yang duduk di meja makan melihat lauk yang sudah terhidang. Amira kemudian mendatangi Rizal sambil menatang satu mangkuk besar di tangannya dengan hati-hati.

"Okey, menu utama malam ni dah siap.. masakan special dari Tokma.." Amira meletakkan mangkuk yang berisi ayam yang sudah di masak ke atas meja makan.

"Hmm.. masakan apa ni? tak pernah tengok pun.." Rizal tertanya-tanya.

"Haa.. ni la menu istimewa Tokma.. resepi Tokma sendiri.. memang takde kat tempat lain." Amira tersenyum memberi penjelasan. Dia melanjutkan lagi ucapannya.

"Cuba la rasa.. pasti akan terpikat."

Amira kemudian mengambil pinggan dan mengisi nasi lalu dihulurkan kepada Rizal. Masakan ayam dan sayur-sayuran turut dicedok oleh perempuan itu dan diisi ke dalam pinggan Rizal. Dia kemudian menyenduk nasi ke dalam pinggan untuk dirinya sendiri. Perlahan-lahan Rizal mencubit isi ayam dan dimasukkan ke dalam mulut. Tidak cukup mengecap makanan tersebut, Rizal menyuap sekali lagi lauk tersebut bersama nasi.

"Wah, sedap betul.. apa nama makanan ni?" Rizal teruja dengan rasa yang sedang bermain di dalam mulutnya.

"Haa.. kan dah cakap.. masakan ni memang sedap.. Tokma sendiri yang cipta resepinya.. awalnya tokma tak bagi nama pun untuk masakan ni.. tapi kami sekeluarga panggil masakan ni ayam abu-abu." Amira tertawa kecil sambil memberi penerangan.

"Ayam abu-abu?" Rizal merasa pelik dengan nama tersebut.

"Sebabnya, sayang masa kecik-kecik dulu nak la tolong tokma masak kat dapur.. dulu rumah tokma ni mana pakai dapur gas.. masih pakai kayu api untuk masak.. sebab nak bagi cepat masak, sayang tolong la tiup api kat bawah periuk tu.. sekali, habis berterabur naik abu kat dapur tu.. masuk dalam masakan tokma.. punya la marah tokma masa tu.. sebab masakan tu dah penuh masuk abu, kami gelar la ayam abu-abu.." Amira tertawa tatkala mengenangkan masa lalunya dan bagaimana nama menu tersebut tercipta.

"Tapi.. memang sedap betul la ayam abu-abu ni.." Rizal mengulangi pujian terhadap masakan tersebut.

"Ah, lagi sedap kalau makan dengan sayur timun dan cendawan.. ngam betul.." Amira menambah kata. Rizal pula termenung seketika sambil mengunyah makanan di dalam mulutnya. Rasa masakan yang sedang dimakannya itu memang sangat unik dan lazat. Rizal benar-benar menikmati.

"Hmm.. kan bagus kalau kita jual nasi, pakai menu ni.. masakan macam ni unik.. takde kat tempat lain.. jadi mudah la untuk kita tarik orang nanti.. orang mesti suka." Rizal memberikan pendapat. Amira yang mendengar langsung terkejut.

"Jual nasi? Ayam abu-abu ni?" Amira mulai teruja dengan pemikiran Rizal.

"Ah, cuba la buat dulu.. kalau tak yakin nak buat banyak, sayang cuba buat dulu sikit.. letak kat warung Kak Shima tu.. kalau dapat sambutan, kita buat lebih banyak dan buka gerai sendiri." Rizal terus menyampaikan akal fikirannya.

"Kita tukar nama menu untuk nampak lebih komersial dan menarik.. nama yang orang mudah sebut dan ingat.." Rizal melanjutkan kata. Amira terpegun. Kata-kata Rizal ada benarnya dan mungkin perniagaan tersebut akan mengubah hidup mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience