BAB 4

Action Series 2151

LAMPU pijar kuning di tengah rumah hanya berkelip-kelip, cahayanya menari lelah atas lantai papan. Bunyi cengkerik dan katak bersahut-sahutan di luar, menambah hening yang menyesakkan dada.

Leha duduk di atas tikar mengkuang lusuh. Tubuhnya condong sedikit ke depan. Jemarinya menggenggam erat tangan Raihana yang sejuk seolah kalau dilepaskan, anak gadisnya itu akan hilang dibawa gelap.

“Hana… duduk dekat mak sikit, nak. Hati mak ni dah berat sangat. Dari tadi mak simpan tapi mak rasa, kalau mak tak luah sekarang... mak boleh mati tersekat.”

Raihana tarik nafas panjang, bibirnya diketap. Dia merapat pada ibunya kepala ditundukkan. Dalam dada, gelombang gundah sikit lagi mahu pecah.

“Pasal Tok Penghulu Baharom tu… kan mak?” tanyanya macam orang takut tersalah cakap tapi dia memang pasti itulah perkaranya. Suaranya bergetar.

Leha tarik jemari Raihana Syafeeqah, pegang dua-dua dalam pangkuannya. Mata berkacanya merenung redup dalam kelip lampu.

“Iya, nak… dia datang tadi. Bawa hajat besar. Katanya dia ikhlas. Nak meminang Hana, nak bela nasib kita. Nak angkat kita keluar dari hidup sempit ni. Katanya, dia akan bagi rumah lain… kita tak payah duduk rumah buruk ni lagi. Tak payah takut kalau Tauke Lok datang buat kacau," jelas Leha cuba tersenyum biarpun ia hambar.

Raihana angkat muka, mata putihnya sudah mula dipanjat akar-akar merah. Air mata bergenangan tapi tetap bertahan di tubir.

“Mak… dia tu dah tua, mak. Dah tiga orang isteri. Hana ni nak jadi apa nanti? Nak duduk rumah orang, jadi perempuan keempat, mak? Malam-malam tunggu giliran macam tunggu belas. Hati Hana, mak… siapa nak jaga?”

Leha tak mampu menjawab. Jemarinya bergerak mengusap belakang tangan anak gadisnya perlahan, seakan memujuk walau dia sendiri sudah retak.

“Hana… mak faham. Tuhan saja tahu betapa mak faham. Mak pun perempuan, mak tahu rasa tu. Tapi Hana, mak takut. Kalau bukan Tok Penghulu, nanti Tauke Lok datang ambik kau macam dia ambik budak-budak lain tu… mana mak nak letak muka? Mana mak nak cari anak mak, kalau dia bawak kau lari?”

Air mata Raihana tumpah akhirnya. Dia geleng perlahan cuba meredam esak.

“Mak… hidup dengan orang macam Tok Penghulu tu, Hana takut mak. Hana takut nanti Hana benci mak. Sebab mak yang serah Hana…” jawab Raihana kian ketar bibir tahan amarah dan sesal.

Leha terhenyak, dadanya macam dipalu. Dia tarik Raihana rapat dan tubuh itu dipeluk erat-erat. Air mata mereka bertemu di bahu.

“Hana… kalau mak boleh ganti tempat kau, mak sanggup. Biar mak yang kahwin, yang duduk rumah tunggu giliran tapi mak dah tua, Hana… dia nak kau. Kalau mak tolak, dia tetap Tok Penghulu. Kita siapa? Nanti dia marah, lagi susah hidup kita. Nanti dia biar Tauke Lok buat suka hati," jelas Leha juga semakin sayu.

Raihana pegang muka maknya dengan dua tangan, paksa emaknya pandang tepat.

“Mak… Hana rela kerja teruk, mak. Kita jual kuih sampai malam pun tak apa. Hana boleh ikat perut, boleh tahan. Tapi Hana tak boleh, mak… Hana tak boleh bayang, malam-malam kena tidur sebelah lelaki setua tu, yang dah tiga isteri. Hana tak sanggup mak. Tak sanggup. Tolong mak jangan paksa, Hana mak..."

Leha teresak, peluk muka anaknya ke dadanya. Jari-jarinya masuk ke celah rambut Raihana yang lembut.

“Mak tahu sayang… mak tahu, Hana. Jangan cakap macam tu, nak... tolong fikirkan juga keselamatan kita. Kalau kau kena dengan Tauke Lok, entah ke mana dia bawak. Entah macam mana nasib kau, nak…”

Raihana terdiam. Leha jua dan kini, hanya bunyi tangis perlahan dua hati yang sama retak bersenandung. Sesekali, Raihana kesat air mata yang degil itu secara kasar.

“Mak… bagi Hana masa fikir. Jangan buat janji lagi dengan Tok Penghulu tu, tolong Hana. Hana tak nak mak serahkan Hana, macam barang jualan.” Bukan sengaja Raihana nak berkata kasar macam itu tapi dia juga tak mahu maknya itu, terlalu lembut hati.

Leha angguk tapi tak mampu sembunyikan rembesan air bening yang terus luruh. Dia pegang lagi jemari anaknya, genggam sampai sendi terasa.

“Mak janji, Hana… mak takkan paksa. Tapi mak mohon, jangan benci mak. Apa pun keputusan kau nanti… mak ikut. Asal jangan kita pisah, nak.”

Dan dalam hening rumah yang hanya diterangi lampu pijar kuning hampir padam itu, dua perempuan saling berpaut. Saling cuba menguatkan, walau sama-sama sudah reput dalam ketakutan akan hari esok.

Malam merangkak tua.
Bunyi cengkerik seakan meratap sama, menjemput sunyi yang menikam.
Di celah zink bocor, cahaya bulan mengintai malu-malu, jatuh di lantai papan reput.

Raihana berbaring di atas tilam koyak. Tubuhnya hanya berselimutkan kain batik lusuh yang makin menipis. Matanya terbuka luas menatap siling gelap yang penuh parut masa. Dadanya bagai dihempap batu, nafas pendek-pendek menanggung resah yang entah bila, mahu surut.

Diam-diam, air mata tumpah lalu berlari meniti tepi pipi lalu hilang dalam kelam.

'Ya Allah... kenapa Kau pilih jalan begini untuk aku? Apa sangatlah dosa aku sampai Kau timpakan semua ni serentak…'

Dia pejam mata rapat-rapat cuba padamkan wajah-wajah yang muncul. Tapi makin dikejar pergi, makin jelas datang menghantu.

Bayangan Tok Penghulu Baharom datang dulu dengan senyum separuh sinis, misai tebal mengerbang beserta kata-katanya mengekek dalam kepala.

“Hana… kalau kau dengan aku, hidup kau takkan kenal susah. Rumah baru, makan pakai semua cukup. Tak payah takut siapa-siapa…”

Belum sempat hilang, bayangan itu diganti pula dengan wajah Tauke Lok. Mata sepet penuh nafsu. Bibir birat berasap cerut. Ketawa dia pula mencakar gegendang.

“Lu jangan lari, sayang. Lu tetap jadi wa punya… suka ka tak suka, wa tetap ambik…”

Raihana terkejut, cepat-cepat buka mata. Tangan terus tekan dada yang terasa mahu pecah. Dadanya naik turun dengan laju. Lidahnya kelu.

Kalaulah dia boleh menjerit sudah lama dia menjerit tapi yang lahir hanya tangisan bisu, mengalir diam bersama air mata yang tak mahu berhenti.

Matanya kini teralih pada Leha yang tidur meringkuk di penjuru bilik, diselimuti kain tebal sampai kepala. Nafas ibunya juga deras, nyata tak lena. Mungkin tidur Leha pun dihantui ketakutan yang sama.

“Mak… Hana tak kuat sebenarnya… Hana takut sangat. Kalau Hana jadi milik Tok Penghulu, hidup Hana habis terkurung dalam sangkar emas. Kalau tak… Hana jatuh juga dalam perangkap Tauke Lok, habis hancur maruah Hana…” ujarnya perlahan.

Bibir Raihana bergetar, sedu datang menolak-nolak dada. Dia tutup muka dengan hujung kain batik, pendam bunyi tangis yang berombak.

'Tuhan… kalau benar Kau nak cabut nyawa aku, cabutlah sebelum tubuh ni jadi milik lelaki yang aku tak cinta… biarlah Hana pergi, asal jangan Kau pisahkan Hana dengan mak… jangan Kau biar mak tinggal sorang-sorang menunggu hari tua dia…'

Tangisnya pecah akhirnya. Tubuh bergegar, dada tersengguk. Dan malam terus berjalan angkuh, membiarkan dua insan malang itu bertarung dengan derita masing-masing.

Seorang ibu. Seorang anak. Dua hati retak yang sama-sama sanggup hancur demi melihat yang lain terus hidup.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience