Bab 1

Romance Series 14906

Tubuhnya terasa seperti terbakar, panas yang meluap-luap seolah-olah lava gunung berapi mengalir dalam nadinya. Dan lelaki itu… dia satu-satunya jalan keluar.

Eryna menggenggam erat lengan dingin seperti marmar, naluri ingin hidup menelan segala ragu dan penolakan. Sakit yang bercampur nikmat, membuat setiap denyutan tubuhnya seperti ombak liar, menghanyutkan perahu kecil di tengah lautan api. Naik, jatuh, tenggelam... semuanya begitu melelahkan, namun, begitu sukar untuk dilepaskan…

.

.

.

.

“Cik, bangun... Kat sini sejuk, nanti awak sakit.”

Tekanan lembut pada bahunya membangunkan Eryna serta-merta. Dia terkebil-kebil, pandangannya yang kabur bertemu dengan wajah jururawat yang kelihatan cemas. Dalam sekelip mata, realiti kembali menyerang, wajahnya memerah macam udang direbus. Dia ingin lenyap di tempat itu, jauh daripada pandangan jururawat yang jelas sekali sedang menahan senyum simpul.

Sial. Mimpi lagi. Malam panas itu, malam bersama Samir, masih menghantui fikirannya. Sudah berbulan-bulan berlalu, tapi ia masih muncul seperti adegan filem yang enggan tamat.

“Ini result ujian pemeriksaan kandungan awak,” jururawat itu berkata, menghulurkan kertas di tangannya. “Doktor Chau pesan, minggu depan datang lagi, ya?”

Eryna menerima laporan itu dengan senyuman manis yang dibuat-buat, lalu menyimpannya dalam beg tangan dengan penuh hati-hati, walaupun hatinya bercelaru. Samir. Dia akan pulang malam ni. Selepas sekian lama tiada khabar kerana dia berada di tempat yang hampir mustahil dihubungi, akhirnya lelaki itu akan kembali, dan dia perlu berdepan dengan kenyataan bahawa dia sekarang… hamil tujuh bulan.

Eryna menghela nafas panjang. Bila teringatkan bagaimana dia akhirnya berjaya menghubungi Samir beberapa minggu lepas, hanya untuk mendengar suaranya yang lebih terkejut daripada gembira, perasaan gundah datang lagi. Mungkin kehamilan ini membuatkan dia jadi terlalu sensitif? Tapi, takkan soal anak sendiri pun dia tak bahagia? Doktor cuba menenangkan dengan berkata bahawa lelaki selalunya lambat ‘nampak’ realiti, terutama anak pertama. Tapi… bab kahwin pun dia kena ambil inisiatif ke?

Eryna menggeleng, cuba membuang fikiran itu jauh-jauh. Matahari terik menimpa wajahnya sewaktu dia melangkah keluar dari hospital. Tangannya menyokong pinggang yang makin berat sambil dia melambai teksi. Tiba-tiba, satu bunyi enjin kereta yang garang membelah udara, memaksa Eryna menghentikan langkah.

Kereta sport merah menyala meluncur deras, memecut ke arahnya tanpa sebarang tanda akan berhenti. Jantung Eryna berdegup kencang. Dia melangkah mundur, tetapi kereta itu berhenti dengan brek mengejut, cukup hampir hingga hujung bajunya sedikit lagi tersentuh.

“Hey!” Nafas Eryna tersekat, kedua-dua tangannya memeluk perutnya. Selepas beberapa saat menenangkan diri, dia menoleh ke arah pemandu kereta.

Seorang wanita melangkah keluar. Gaun merah ketat mencengkam tubuhnya, rambut bergelombang panjangnya dilambai-lambai oleh angin, seperti sedang dalam penggambaran filem. Dengan gaya yang terlalu dramatik untuk keadaan itu, dia mengangkat kacamata hitam dari wajahnya, memandang Eryna dengan satu senyuman yang kurang menyenangkan.

“Natasha, kau dah gila ke?”

Eryna menatap wanita itu dengan mata membara. Tapi Natasha, dengan tawa kecil penuh sindiran, hanya berdiri di hadapannya. Dengan tangan bersilang di dada, langkahnya seperti model di pentas peragaan, kasut tumit tingginya mengaum di atas aspal. Dia berhenti tepat di depan Eryna, memandang rendah dengan senyuman sinis.

“Apa? Takut I ‘tersilap langkah’ dan ‘bunuh’ anak haram dalam perut you tu?”

Darah Eryna berderau. Dengan naluri seorang ibu, tangannya segera melindungi perutnya, langkahnya perlahan-lahan mundur ke belakang. Dia menggigit bibir, menahan kemarahan yang mendidih. “Natasha! Jangan melampau!”

Natasha mengangkat bahu, wajahnya selamba seolah-olah apa yang dia katakan tadi hanya sekadar ‘lawak bodoh’. “Melampau? Please. You yang melampau. Mabuk, tidur dengan lelaki entah siapa, lepas tu mengandung, dan sekarang nak seret Samir masuk jadi bapa budak tu? Kak Eryna, tak payah tunjuk muka tak malu sangatlah.”

Kata-kata itu seperti petir yang menyambar dada Eryna. Mulutnya ternganga, cuba menafikan, tapi lidahnya kelu. “Apa benda kau merepek ni?” akhirnya dia bersuara, walaupun suaranya lemah, seperti kehilangan keyakinan.

Natasha mendekat, ketawa kecil sebelum menjongketkan kening. “Eh, jangan cakap you betul-betul percaya lelaki yang tidur dengan you malam tu adalah Samir?” Dia menunduk sedikit, cukup dekat untuk melihat wajah pucat Eryna dengan jelas. “Kata you kenal Samir sejak kecil, cinta zaman kanak-kanak konon, tapi… you tak kenal badan dia?”

Kata-kata itu seperti belati, menikam tanpa hati perut. Wajah Eryna semakin pucat. Matahari terik di atas kepala tak mampu menghalang tubuhnya daripada menggigil.

Malam itu. Ya, lelaki malam itu...

Dia fikir Samir cuma kelihatan lebih sasa sekarang, lebih matang. Tapi sekarang, dengan suara jahat Natasha memecahkan pertahanannya, bayangan itu mulai runtuh. Ada sesuatu yang memang tak kena. Lelaki malam itu… dia berbeza.

“Fine, I terus terang jelah!” Natasha mengangkat dagu, nada suaranya tajam, seperti kaca pecah. “Malam tu, I campurkan sesuatu dalam wain you, you know, untuk ‘bantu’ you relax sikit. Dan, atas dasar ‘baik hati’, I carikan dua lelaki sasa untuk hiburkan you. Tapi you ni… bodoh. Entah macam mana you boleh sesat masuk bilik lelaki lain, and... tada! You ada budak dalam perut you sekarang.”

Eryna memandang Natasha dengan mata membulat, separuh tak percaya, separuh mahu membunuh di tempat itu juga.

Natasha terus menyambung dengan nada sinis. “You know what? Abang Samir tu baik hati sangat, dia tak sampai hati nak tengok you patah hati. Jadi dia pura-pura jadi lelaki malam tu.” Dia tertawa kecil. “Lelaki macam tu mana nak jumpa lagi sekarang, kan?”

“Kau…” Tubuh Eryna menggigil menahan amarah yang meluap-luap. Dia melangkah ke depan dan mencengkam pergelangan tangan Natasha dengan kuat. “Kenapa kau buat aku macam ni? Kenapa?” suaranya bergetar. Air matanya hampir tumpah, tapi dia terus menahan, menggenggam maruahnya yang tinggal sisa. “Tak puas lagi ke kau dah hancurkan hidup aku?”

Natasha merenung tangan Eryna pada pergelangannya, matanya penuh dengan ejekan. “Hidup you? Please. Hidup you tak pernah ada apa-apa nilai pada I.”

Eryna hanya berdiri di situ, cuba memahami kata-kata kejam itu, sambil tubuhnya terus gemetar, bukan kerana ketakutan, tapi kemarahan yang sudah tak mampu dibendung lagi.

Natasha mengangkat kening, wajahnya berkerut penuh amarah, dan tangannya sudah bersedia untuk menolak Eryna. Tetapi kemudian dia nampak sesuatu, lebih tepat, seseorang, tidak jauh di belakang Eryna.

Samir.

Seketika itu juga, ekspresi Natasha berubah. Wajah yang tadi menyampah kini lembut seperti kain sutera, dan suaranya keluar manja, hampir berbisik. “Kak Eryna, I salah. Kalau Kak Eryna nak marah, nak pukul, silakan. Tapi... jangan salahkan Abang Samir, please…”

Eryna terkaku. Dia masih cuba memahami perubahan nada suara Natasha bila tiba-tiba wanita itu jatuh ke tanah dengan gaya seperti dalam drama bersiri murahan. Tangan terkulai, wajah penuh kesakitan, lengkap dengan hela nafas palsu.

“Eryna! Apa kau buat ni?!” Suara Samir meledak dari belakang, tajam seperti pisau.

Eryna berpaling, terkejut. Samir berdiri di sana dengan wajah dingin, matanya menusuk tepat ke arahnya. Sebelum Eryna sempat menjawab, Samir sudah melangkah melepasinya untuk membantu Natasha bangun.

“Tasha, you okay?” Samir bertanya, nada suaranya penuh kelembutan yang tak pernah Eryna dengar untuk dirinya. Natasha, yang kini hampir melekat sepenuhnya pada Samir, menggoyangkan kepalanya perlahan.

“Abang Samir… Semua ni salah I. Kalau Kak Eryna nak marah, itu hak dia. I cuma… I tak sangka semuanya jadi macam ni…” Tangisan palsunya mula memenuhi udara, cukup kuat untuk membuat Eryna hampir bergulung jari. Pandai betul dia berlakon.

Samir menggenggam bahu Natasha dengan lembut sebelum memandang Eryna. “I akan selesaikan semuanya.” Suaranya dingin, tegas. Natasha disorongnya masuk ke dalam kereta dengan penuh hati-hati, seperti seorang pahlawan yang melindungi seorang puteri.

Fikiran Eryna seperti layar kosong. Dia hanya berdiri di sana, memerhatikan Samir berjalan kembali ke arahnya. Bibirnya bergerak-gerak, kata-kata keluar dari mulutnya, tetapi bagi Eryna, semuanya hanya bunyi angin berlalu.

“Eryna, terus terang I cakap, I dah cuba, tapi hati i dah pilih Natasha.”

Eryna mendengar setiap perkataan, walaupun hatinya berharap dia boleh mematikan bunyi seluruh dunia

“I tak sangka semua rancangan dia... dan I rasa bersalah sebab malam tu. I fikir dengan mengaku itu I, I boleh jaga perasaan you. Tapi sebenarnya…” Samir menarik nafas panjang, seolah-olah dia baru selesai mendaki gunung. “I tak boleh tipu diri I lagi. I tak boleh kahwin dengan you, bukan sebab malam tu atau… anak ni. Tapi sebab I tak nak kehilangan Natasha. Dan I tak nak terus berpura-pura…”

‘Pura-pura? Jaga perasaan aku?’ Dadanya sesak. Dia cuba bernafas, tapi setiap udara yang masuk terasa berat.

Samir melanjutkan, suaranya seperti pisau tajam yang menghiris setiap inci kepercayaan Eryna. Dengan nada yang dingin dan tanpa rasa bersalah, dia menceritakan bagaimana dia dan Natasha menghabiskan masa bersama di luar negara, bukan hanya sekadar rakan, tetapi dengan keintiman yang perlahan-lahan membentuk hubungan lebih mendalam.

“Natasha… dia berubah. Dia jadi… seseorang yang I tak sangka akan I cintai. Dia buat I rasa hidup, rasa difahami. I tak dapat tolak perasaan itu.”

Dia menarik nafas seolah-olah cuba menekadkan keputusannya, tetapi itu hanya menambahkan keperitan pada setiap kata-katanya. “I yakin Natasha adalah cinta sejati I.”

“I tak nak keluarga awak salah faham atau harapkan sesuatu daripada I. I perlu mereka tahu yang I… memilih Natasha.”

Eryna memandang Samir dengan pandangan kosong, tubuhnya seakan-akan tidak mampu berdiri tegak lagi. Tetapi Samir tetap melanjutkan, dengan nada yang seolah-olah menganggap semuanya adalah keadilan yang tidak dapat dielakkan.

“Natasha memang salah sebab rancangan dia malam itu, tapi I percaya dia menyesal. Semua orang berhak dapat peluang kedua, termasuk dia. Dan I percaya, awak pun faham itu.”

‘Dia yakin aku faham? Faham apa?! Faham bagaimana cinta zaman kanak-kanak aku hancur depan mata? Faham bagaimana aku dipermainkan dalam permainan diorang?’

Eryna memandang Samir dengan mata yang mulai berkaca. Akhirnya, dia mendapatkan suaranya kembali. Dengan nada yang gemetar tapi penuh tekad, dia berkata, “Jadi, Samir... kau tahu semua ni rancangan Natasha? Kau tahu dia yang hancurkan kehormatan aku, dan kau masih sanggup berdiri kat sebelah dia, cover dia dan bohong kat aku?”

Samir tidak menjawab, tapi pandangannya tetap dingin. Diam itu lebih menyakitkan daripada apa pun. Eryna memandang lelaki di depannya, yang kini terasa seperti orang asing. Seolah-olah lelaki yang dia kenal sejak kecil telah lenyap, digantikan oleh seseorang yang sanggup mengorbankan segalanya demi seorang wanita lain. Tambahan pula wanita itu, adalah adik kandungnya sendiri.

“Samir…” Suaranya hampir berbisik. “Kau ni manusia ke?”

“Eryna, Tasha tak sengaja,” Samir bersuara, cuba kedengaran menenangkan. “Dia masih muda… bertindak melulu…”

Eryna mendongak perlahan, matanya kosong tapi penuh keputusasaan. Bibirnya mengukir senyuman yang lebih mirip luka. “Aku macam mana, Samir?” Suaranya bergetar. “Kau ada fikirkan perasaan aku, tak?”

Samir terdiam. Hanya angin yang membelai mereka, panas terik terasa semakin menyesakkan. Selepas beberapa saat, dia menghulurkan tangan, seperti cuba mendekat. “Cuaca matahari terik sangat… mari kita balik dulu.”

“Jangan sentuh aku!” jerit Eryna, tangannya menepis dengan kasar. Dia kemudian tertawa, kuat, tawa yang membuat Samir dan Natasha terkedu. Tawa yang bukan kerana kelakar, tapi kerana luka.

Seluruh hidupnya terasa seperti sebuah jenaka murahan. ‘Aku buat semua ni untuk apa? Untuk kau, Samir? Untuk apa?!’

Demi berada di bandar yang sama dengannya, Eryna telah membanting tulang belajar siang dan malam, berjuang keras untuk diterima masuk ke Universiti. Demi menggembirakan Samir, dia mengorbankan impiannya menjadi pelakon, impian yang pernah menjadi dunia kecilnya.

Dan kini? Apa yang dia dapat? Hanya satu ayat: “Natasha adalah cinta sejati I.”

Natasha. Perempuan yang telah merampas semuanya. Identiti Eryna, ibu bapa kandung Eryna, dan sekarang… lelaki yang dia cintai.

“Dia masih muda,” Eryna mengulang dengan suara yang perlahan tapi penuh sinis. “Jadi dia boleh buat sesuka hati dan kau tetap maafkan dia?” Dia memandang Samir dengan mata yang dipenuhi kebencian. “Siapa yang akan tanggung kesakitan aku, Samir? Siapa?! Aku tak tahu pun siapa lelaki malam tu. Kau faham tak betapa menjijikkannya perasaan ni?”

Tangan Eryna menutup wajahnya, tetapi tubuhnya mula menggigil. Dia seperti gunung berapi yang hampir meletus, penuh dengan keputusasaan yang terlalu berat untuk ditanggung.

Samir hanya berdiri di situ, lidahnya kelu. Dalam diam, dia melihat Eryna melangkah ke tepi jalan, langkahnya perlahan dan kosong, seperti berjalan di bawah pengaruh hipnosis.

“Eryna…” Samir ingin mengejar, tapi Natasha memegang lengan bajunya.

“Abang Samir, you nak pergi mana?” Natasha bertanya dengan suara lembut, seperti sengaja menekan tombol kesabarannya.

Samir terhenti sejenak, teragak-agak. Tetapi detik itulah yang merubah segalanya.

Bang!

Bunyi rempuhan kuat memecahkan suasana. Samir berpaling dengan wajah pucat. Di lintasan pejalan kaki, tubuh Eryna tercampak ke udara, seolah-olah boneka tanpa jiwa, sebelum jatuh dengan kuat ke atas jalan.

“Tolong! Tolong! Wanita mengandung kena langgar!” Jeritan orang ramai bergema di udara.

Samir berdiri kaku, dunia di sekelilingnya seperti melambat. Natasha menjerit kecil di belakangnya, memegang dadanya seolah-olah dia yang tercedera.

Eryna terbaring di atas jalan, cahaya matahari yang menyilaukan menyelubungi pandangannya. Dalam kesakitan yang mencekam, dia melihat bayang-bayang bergoyang di sekelilingnya, dua wajah yang membuatkan dia mual. Natasha dan Samir.

Sakit dari perutnya terasa seperti pisau yang mencincang isi tubuhnya. Darah mengalir dari dahi, menyusur ke matanya, membutakan pandangannya yang semakin kabur.

Dia mengerdipkan matanya sekali, nafasnya tersekat-sekat, dan dunia perlahan-lahan tenggelam dalam kegelapan.

Gelap. Sunyi. Kosong.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience