28 Macam Bibik

Family Series 57531

Kerana Tok Teh, kehidupan berubah 360 darjah buat Deila Araferro. Kerana kemunculan Tok Teh bersama Rhett di kampung, Deila terpaksa menurut permintaan Tok Teh untuk berpindah ke bandar dan tinggal bersama Tok Teh.

“Tok tak paksa, cuba dulu. Kalau rasa sesuai, teruslah tinggal bersama tok. Kalau tak sesuai, kau boleh balik ke kampung. Tok takkan paksa. Tok ni cuma risaukan kau sorang-sorang kat kampung ni. Kalau terjadi perkara yang tak baik, macam mana? Bukan dekat tau jarak bandar ke kampung terperosok ni.”

Deila kehabisan kata untuk terus menyanggah. Dia tahu niat Tok Teh baik. Tapi dia rasakan berpindah ke rumah tok bukan perkara baik buat dia mahu pun keluarga tok. Lebih-lebih lagi, keluarga mereka masih belum tahu tentang hubungan dia dan Rhett. Tetapi, dia kalah bila berdebat dengan Tok Teh. Mulut orang tua tu memang power gila. Tak hairanlah arwah opah pun boleh tertewas.

“Tengok macam hari ni… mau terbongkar tulang punggung reput tok ni bila Rhett bawa kereta macam sedang berada di litar F1. Semua risaukan kau, Del! Kalau kau bersama tok, taklah menyusahkan Rhett terkejar sana terkejar sini andai kau ada masalah nanti. Rhett ni pengurus syarikat keluarga. Dia bukannya selalu punya masa untuk datang menolong kau nanti.” Tambah Tok Teh lagi, semakin buat Deila terkelu tidak mampu menjawab.

Semua kata-kata tok benar belaka. Deila tahu macam mana dia membantah sekali pun, Tok Teh tidak akan mengalah. Melihat wajah tok sahaja, dia sudah dapat menilai bagaimana sikap orang tua itu. Kalau tak, mana mungkin tok mampu pisahkan ibu dari papa Rhett suatu waktu dahulu.

“Deila, ikut tok ke bandar.” Tu dia, arahan berkuasa veto Tok Teh.

“Arwah Mardhiah dan arwah opah tu pun pasti bersetuju dengan tok dalam hal ini. Jangan risau, tok akan tanggung semua perbelanjaan kau. Tak payah susah-susah nak kerja, nak cari duit. Minta saja dengan tok atau Rhett kalau kau perlukan apa-apa.” Itu kata-kata tok bertujuan mahu senangkan hati Deila. Malangnya, tok tak kenal siapa Deila sebenarnya. Dia bukan jenis suka meminta-minta, menyusahkan orang lain. Dia lebih suka berusaha sendiri.

Tapi dia sudah malas mahu menyanggah. Dia berniat mahu ikut Tok Teh seminggu dua je, sekadar untuk puaskan hati tok. Lepas tu dia akan blah. Kehidupan bandar sudah tentu menyeronokkan, benda baru sudah pasti menerujakan. Tetapi sekiranya diberi pilihan, dia tetap mahu berada di kampung. Berbakti pada orang kampung, memajukan kampung sendiri terlebih dahulu.

Rhett yang sedari awal hanya berdiam diri tersenyum-senyum di samping Tok Teh. Sesekali Rhett curi-curi mengenyit mata kepada Deila. Gedik! Rhett pasti suka kalau Deila tinggal bersama tok. Senanglah lelaki tu nak menggeletis nanti. Sebab itu kot Rhett langsung tidak buka mulut. Tidak menyokong tok, tidak juga cuba membela Deila. Menyampah!

Setibanya di banglo mewah keluarga Rhett, mereka disambut dengan tatapan berapi Dato’ Razif, papa Rhett yang sememangnya tidak berganjak dari ruang tamu sejak mula dia jejakkan kaki di dalam rumah tersebut kerana mahu menunggu kepulangan Rhett dan Tok Teh. Menggeletar seluruh tubuh Dato’ Razif saat melihat kelibat Rhett melangkah masuk dengan tenang, seolah tiada apa-apa berlaku.

Menggelegak darah naik sampai kepala melihat perangai satu-satunya anak teruna dia itu. Belakang tengkuk yang tiba-tiba terasa kebas Dato’ Razif picit-picit perlahan.

“Abang okay tak ni? Takpe bang, biar saya je uruskan hal Rhett tu. Abang berehat dulu.” Isteri di sebelah segera menegur apabila melihat keadaan Dato” Razif.

“Rhett Raffendy!” Panggilan mama buat Rhett mematikan langkah. Niat mahu mengelak dan terus naik ke bilik terbantut. Dia kena jaga air muka di depan Deila meski pun dia tiada mood mahu bercakap dengan kedua orang tuanya ketika itu. Tahu apa yang bakal disembur keluar. Dia tidak mahu bergaduh di depan Deila.

“Bukankah kau patut terangkan kepada mama dan papa mengapa kau pergi tinggalkan majlis macam tu je?” Mama masih mampu mengawal suara meski emosinya turut terbakar saat itu. Malu! Tak terkata bertapa malunya dia dan suami di depan keluarga Zara dan semua tetamu yang hadir.

Rhett melepaskan nafas kasar. Perlahan, tubuh dipaling menghadap mama dan papa yang pada ketika itu sedang memandangnya seperti singa mahu menerkam mangsa. Tok Teh dan Deila yang berada di ruangan yang sama hanya diam memerhati.

“Saya tak boleh teruskan. Tolonglah fahami saya. Hati saya tak boleh dipaksa! Tindakan papa dan mama cuma akan buat saya dan Zara menderita, faham tak?!”

“Kau yang memulakan semua ini, Rhett Raffendy!!! Sekarang kau fikir semudah itu kau nak tarik diri bila satu negara dah tahu tentang kau dan Zara?! Kau dah gila ke?! Mana papa nak letak muka papa hah?! Semua orang sedang mentertawakan papa sekarang, kau nak macam tu ke hah?!” Papa menengking sambil menaikkan jari telunjuk tepat ke wajah Rhett. Jelas kelihatan tangan papa menggigil kerana marah yang teramat.

“I don’t think it’s a big deal papa! Keributan itu cuma seketika. Let’s say perkahwinan ni tetap diteruskan dan kami berpisah tidak lama kemudian. Bukankah itu lebih teruk? Let them judge us! It doesn’t matter, papa! Yang merasainya adalah saya dan Zara. Tegakah papa lihat kami berdua menderita semata-mata kerana mahu jaga air muka kedua belah pihak keluarga?”

“Rhett Raffendy!!! Kau memang anak tak guna!!!” Papa meluru pantas dengan sebelah tangan terangkat tinggi di udara. Rhett tidak berganjak. Seolah sudah bersedia untuk menerima habuan akibat perbuatannya.

“RAZIF, BERHENTI!!!” Jeritan lantang Tok Teh hampir buat Deila jatuh tertonggeng akibat terkejut amat. Tok Teh berdiri begitu rapat dengan dia kut. Mahu tercabut kuping telinga dia dengar jeritan maha nyaring itu.

“Ini semua kerana ibu!!! Rhett jadi macam ni semua disebabkan ibu kan? Saya tahu ibulah yang menyokong semua perbuatan Rhett selama ini! Ibu langsung tak kisah tentang maruah keluarga kita ke hah?! Yang bakal terima segala cemuhan, cacian itu saya ibu! Tolonglah jangan masuk campur dan terus pengaruhi Rhett untuk bertindak sesuka hati!”

Pulak! Deila pandang Tok Teh dan papa Rhett silih berganti. Dasar lelaki tua tak guna! Cemuh Deila dalam hati. Saat itu dia benar-benar bersyukur kerana tok dah pisahkan ibu dan lelaki itu.

“Berani kau salahkan ibu?! Kau yang tak cuba memahami anak kau, Razif! Apa tak cukup jelas lagi ke permintaan Rhett tu hah?! Dia dah tak suka pada budak Zara tu! Kau tak faham? Perempuan tu pernah abaikan cucu saya dan ikut sebuah agensi kononnya nak jadikan dia model terkenal. Apa jadi? Dia ditipu bulat-bulat! Rhett yang kebetulan mahu ke luar negara untuk belajar terpaksa selesaikan masalah perempuan tu kan? Lepas tu, tau pula perempuan tu kejar Rhett ke luar negara. Tapi bila Rhett ajak kahwin, macam-macam alasan dia bagi. Hah, ini semua kifarah buat Zara yang tak reti bersyukur! Padanlah muka dia. Masa orang nak, jual mahal sangat!”

“Tok, kisah lalu tak payahlah nak ungkit lagi.” Rhett menegur laju. Kurang senang bila Tok Teh membuka aib Zara. Dalam hal ini, dia yang salah. Bukan Zara. Jadi tak perlulah tok ceritakan keburukan Zara demi mahu membela dia.

“Tok cuma nak sedarkan papa kau yang terlalu mengagungkan keluarga Zara tu! Macamlah keluarga tu terpaling suci di alam semesta sampai keluarga kita berdosa masuk neraka kalau tak berbesankan mereka tu!” Sindiran Tok Teh pastinya bagai sembilu tajam menghiris hati papa dan mama Rhett. Terkelu Dato’ Razuf mendengarnya. Hanya sebentar. Rasa marah kembali membuak-buak. Perbuatan Tok Teh yang sungguh-sungguh mahu menangkan Rhett bagi dia adalah tidak adil.

“Ini sungguh tak adil, ibu! Kenapa dahulu ibu tidak bersikap seperti ini? Pernahkah ibu cuba memahami saya? Sebagai mana ibu didik saya dahulu, begitulah juga saya akan mendidik Rhett!”

“Itu dulu! Zaman kekhilafan ibu kerana terlalu memandang darjat dan harta. Tapi sekhilaf-khilaf ibu, taklah sebodoh kau yang sikit pun tak cuba berjuang demi gadis yang kau cintai. Tak macam Rhett, tegas dengan keputusan dia walau pun kau cuba menghalang! Ingat sikit Razif, Rhett adalah satu-satunya pewaris keluarga ini. Jangan sampai tindakan kau buat Rhett tinggalkan keluarga kita!”

Terpukul sekali lagi! Berbunyi gigi geraham Dato’ Razif menahan rasa marah yang sudah hampir sampai ke kepala. Mengapa kisah yang dah lapuk itu diungkit semula? Dato’ Razif menjeling isteri di sebelah. Nafas lega dibuang melihat sang isteri tetap tenang di sampingnya.

“Suka tok ingatkan, ini ialah Deila, cucu tok!” Tangan Deila Tok Teh sambar, dia elus lembut sebelum menarik Deila lebih rapat ke arahnya. “Mulai hari ini, Del akan tinggal di sini bersama tok. Jangan siapa pun berani ganggu apatah lagi sakitkan hati Del. Tok takkan teragak-agak untuk usir sesiapa yang cuba kacau Del keluar dari rumah tok. Mengerti?” Usai berkata, Tok Teh terus menarik Deila untuk beredar dari situ. Sempat Tok Teh menoleh, memandang Rhett sambil ukir sengih penuh makna.

“Rhett, kau pergi berehat. Kau dah letih sehari suntuk temankan tok menghadiri upacara pengebumian teman sekampung tok tadi.” Sengaja Tok Teh tinggikan suara, nak bagi kedua ibu bapa Rhett dengar. Masanya masih belum sesuai untuk dia dedahkan siapa Deila sebenarnya. Jadi, alasan yang satu itu sudah cukup untuk mengusir rasa curiga penghuni di rumah itu.

“Baik tok!” Macam.lipas kudung Rhett berlalu. Tak dia pedulikan pekikan maha kuat papa. Setegas-tegas papa, tak mungkin mampu melawan kuasa veto Tok Teh.

DEILA terjaga dari tidur lenanya bila telinga menangkap sayup-sayup keriuhan dari tingkat bawah. Deila terus pandang ke sisi. Kosong! Ah, tok pasti sudah terjaga dan kini sedang berada di tingkat bawah.

Ya, macam tok cakap. Dia ke situ untuk berada di sisi tok. Dan itulah yang tojk lakukan. Dia kena sentiasa ada di sisi tok sampai dia kena tidur sekatil dengan tok. Keluar mesti ditemani tok, tak boleh orang lain apatah lagi keluar rumah sorang-sorang. Dia takde masalah pun tentang itu. Cuma Rhett yang asyik tarik wajah kelat setiap kali mereka terserempak di dalam rumah. Semakin muncung bibir Rhett bila tok mesti ada di sisi dia.

Kerana rasa penasaran, turun-turun je dari katil Deila meluru keluar. Niat hati hanya mahu intai sekejap apa yang berlaku di bawah. Deila jalan berjengket menuruni anak tangga. Melihat salah seorang pembantu rumah melintas di depannya sambil membawa sedulang pinggan yang telah kosong menuju ke arah dapur, Deila cepat-cepat menahan.

“Bu Narti, ada tetamu penting ke?” Pembantu rumah Tok Teh yang sudah mencecah ke kepala lima usianya itu hanya mahu dipanggil Bu Narti oleh Deila. Tapi tok selalunya memanggil semua pembantunya dengan gelaran bibik sahaja.

“Eya cik muda.” Balas Bu Narti sambil menundukkan sedikit kepala sebelum berlalu ke dapur. Deila mengejar di belakang. Sejak jadi penghuni di banglo besar itu, teman-teman berbual dia rata-rata adalah pembantu rumah tok.

Deila jarang bertembung dengan papa dan mama Rhett. Begitu juga dengan Rhett. Masing-masing sibuk. Kalau bukan Tok Teh, bibik-bibik itulah jadi penghibur di rumah besar tetapi sangat sunyi itu. Sekarang dia mulai faham mengapa tok begitu mendesak dia untuk tinggal bersama. Tok pasti kesunyian.

“Bu kenal ke dengan tetamu tu?” Deila menyandarkan punggung di salah satu kabinet dapur lalu menyambar sepotong epal di dalam sebuah pinggan. Begitu rakus dia mengunyah. Langsung tak sedar yang dia belum basuh muka dan berus gigi.

“Kenal banget… mereka itu bakal besan Dato’.”

Deila terbatuk keras. Terasa seketul epal bersaiz besar menyangkut di kerongkong. Bu Narti kelam kabut mengambil sebotol air mineral kecil dari dalam peti sejuk lalu diberikan kepada Deila.

“Terima kasih, bu!” Ucap Deila setelah separuh air di dalam botol itu diteguk rakus. Bebola mata kembali fokus ke wajah Bu Narti.

“Kenapa mereka datang?” Risik Deila dengan lagak ala-ala polis penyiasat. Bu Narti jongket bahu.

“Bu ngak tahu, iya pastilah tentang pernikahan tuan muda dan Cik Zara tu.”

Tergamam Deila dengar. Mungkinkah perkahwinan itu tetap mahu diteruskan? Entahlah. Dia tiada kuasa untuk membantah. Sedang statusnya juga mati-mati Rhett mahu rahsiakan dari keluarga.

“Oh, macam tu.” Ujar Deila dengan suara lemah. Langkah dibuka untuk pergi. Tak mahu terserempak dengan siapa pun yang sedang berada di ruang tamu sekarang. Zara Adelia… adakah gadis itu turut berada di ruang tamu? Teringin mahu lihat gadis itu. Bagaimana pula dengan Rhett? Kalau ada Zara di situ, dia yakin Rhett juga pasti berada di situ.

“Maaf! Ada tisu tak?” Langkah Deila mendadak terhenti apabila satu suara lunak menegur dari arah belakang. Terbuntang mata saat bertentang empat mata dengan seorang gadis jelita yang sedang tersenyum ramah kepada dia.

“Tisu?” Deila tanya kembali, otak tiba-tiba blank bila lihat gadis cantik itu.

“Err… iya. Saya tertumpah air di baju. Boleh bagi saya tisu?” Deila terkebil sekejap. Melihat bahagian dada gadis itu sedikit basah, Deila angguk lalu bergerak menuju ke dapur.

“Terima kasih.” Ucap gadis cantik itu setelah Deila menghulur sekotak tisu kepadanya. “Oya… err… bibik boleh lapkan air yang tertumpah di meja ruang tamu tu?”

Hampir melongo Deila dengar. B… bibik katanya? Muka begini punya cantik dikata bibik? Tapi kan, banyak je bibik yang cantik-cantik!

“Bik! Boleh ke tak?” Terkejut Deila bila gadis cantik itu menggerak-gerakkan tapak tangan di depan muka dia.

“B… boleh, tapi saya bukan…”

“Thank you!” Belum sempat dia habiskan kata, gadis itu memusing badan dan beredar dari situ. Deila terpinga sebentar. Dia bukan bibik okay! Tu yang dia nak cakap tapi dipangkas laju oleh gadis cantik itu. Cis!

Deila kembali semula ke dapur mencari Bu Narti. Malangnya, tiada seorang pun yang berada di situ. Semua sibuk agaknya melayan tetamu terhormat Dato’ Razif dan isterinya. Deila termangu sekejap memikirkan permintaan gadis cantik itu. Ah, lantaklah! Dia bukan ada kena mengena dengan keluarga tok! Deila pusing badan, mahu naik dan berkurung semula di dalam bilik Tok Teh.

“Bik! Bawa mop dan kain lap. Pergi bersihkan ruang depan tu. Cepat sikit!”

Baru berkira-kira mahu blah dari situ, suara mama Rhett bergema di ruang dapur. Deila pandang sekeliling. Bibik mana pula yang dimaksudkan oleh mama Rhett ni? Cuma dia seorang je kot di ruang dapur ketika itu.

“Aunty, saya bukan…” Sambil berkata, Deila putar tubuh menghadap ke arah pintu gerbang dapur. Terkejut mama Rhett saat pandangan mereka bertaut. Deila panggil aunty dan uncle je mama dan papa Rhett kerana mereka yang pinta macam tu. Awalnya dia nak panggil Dato’ dan Datin je tetapi kata tok melebih pula nak guna gelaran tu dalam rumah.

“Del? Dah kenapa kau muncul berpakaian macam bibik ni?” Mama Rhett menegur. Sempat meneliti Deila dari atas ke bawah sebelum mengalih mata, meninjau sekeliling.

Deila pandang diri sendiri. Baju kelawar corak moden ni dikatakan pakaian bibik? Mau mengamuk tok kalau dengar. Baju ni tok yang beri dan sungguh-sungguh mahu dia pakai. Ikut hati dia lebih selesa pakai baju tee dan seluar longgar je kalau tidur malam.

“Mana semua bibik ni? Takpe, kau tolong aunty je. Tolong bersihkan ruang depan tu. Setakat bersihkan tumpahan air tu pasti tak sukar untuk kau kan? Kau tu kan orang kampung, kerja-kerja macam tu dah biasa kau buat kan?”

Sungguh pun kata-kata mama Rhett itu benar belaka, Deila tetap terasa sesuatu menusuk pedih di dada. Nada suara, cara mama Rhett memandangnya buat dia terasa hati. Seperti orang macam dia ni tiada nilai, tiada harga diri di depan orang berharta macam keluarga tok.

“Ya, saya orang kampung aunty. Semua kerja-kerja asas macam tu budak kecil kalau di kampung pun boleh je buat. Takpe, untuk hari ini saya dengan rela hati akan tolong aunty meski pun tok dah larang keras saya buat kerja-kerja rumah ni. Tok juga pesan, jangan terima arahan orang lain di rumah ini kerana hanya tok yang layak mengarah-arah saya.”

Pedas sindiran. Berasap telinga mama Rhett mendengar. Belum sempat mama Rhett buka mulut untuk membidas, Deila bergegas mendapatkan mop dan kain lap. Dia takkan bersikap kurang ajar kalau orang tak cari pasal dengan dia dahulu. Meski dia kurang senang dengan cara mama Rhett berbicara dengannya, tak sampai hati pula mahu menolak mentah-mentah permintaan wanita itu.

Mama Rhett merenung tajam ketika Deila melintas di depan dia sambil menarik mop dan sebelah tangan lagi memegang kain lap.

“Saya pergi bersihkan ruang depan tu dulu ya aunty.” Deila meleretkan senyum sebelum berlalu pergi.

Deila muncul di ruang tamu dengan wajah jatuh menekur lantai. Dia mahu cepat-cepat selesaikan kerja membersih lantai itu dan cepat-cepat naik ke bilik.

“Bik, dah siap nanti bawa pinggan dan cawan kotor ni ke dapur.” Kedengaran satu suara wanita yang begitu asing mengarah Deila dengan tiba-tiba.

Deila ketap bibir. Amboi, ni nak ambil kesempatan atas kebaikan dia ke apa? Wajah didongak, cuba melihat wanita mana yang tak segan silu mengarah-arah dia itu.

“Eh? Dato’ ambil pembantu baru ke? Muda dan cantik betul pembantu Dato’ ni tau. Tak takut Datin tu cemburu ke?”

Berlapis-lapis dahi Deila saat bertentang mata dengan seorang wanita asing pertengahan usia yang masih kelihatan begitu anggun bergaya, sedang duduk dengan kaki terlipat di salah sebuah sofa. Mengapa dia asyik dikata bibik hah? Apa hodoh sangat ke dia hari ni? Eh… ya tak ya, dia bangun-bangun tadi terus turun pula. Tak basuh muka, tak berus gigi. Rambut kusut mengurai kerana baru bangun tidur. Pakai pula baju kelawar yang sangat colourful. Hurm… ni bukan lagi macam bibik, ni macam kuntilanak versi baru mendaftar masuk kubur!

“Eh? Kenapa kau pula yang buat semua ni, Del?” Dato’ Razif memandang Deila dengan wajah terkejut. Pantas dia pandang sekeliling. Mujur tok keluar awal pagi tadi dan belum balik lagi. Kalau tak, habislah satu rumah dia amuk.

“Takpe, uncle. Del tolong sikit-sikit je.”

“Bukan bibik? Siapa gadis ni, Dato’?” Wanita tadi kembali bertanya sambil merenung Deila dengan penuh minat.

“Eh, bukan. Dia ni…”

“Del! Naik atas, sekarang!” Batang mop yang dipegang oleh Deila terlepas lalu terhempas di atas lantai. Terkejut bukan kepalang dia bila satu suara menempelak. Nyaring dan kasar!

Deila menoleh. Rhett! Rupanya Rhett berada di ruang tamu. Sudah terpacak tegak sambil cekak pinggang. Merenung Deila dengan mata marak dipenuhi percikan api. Di sebelah Rhett, masih sedang duduk tenang ialah gadis cantik yang mula-mula memanggil dia dengan panggilan bibik tadi. Gadis cantik itu pasti Zara Adelia, bakal isteri Rhett.

Deila memandang Rhett dan gadis cantik itu silih berganti. Ada rasa sakit menyucuk-nyucuk dada. Cemburu? Itu normal bagi seseorang yang mencintai. Siapa pun pasti akan merasa cemburu bila lihat orang yang dicintai sedang duduk berdua-duaan dengan orang lain. Saat itu, Deila benar-benar rasa rendah diri. Dia dan Zara betul-betul seperti itik dan merak. Macam mana make over sekali pun, dia tetap takkan mampu menyaingi Zara.

Rhett meluru menghampiri Deila bila lihat Deila hanya tercengat di situ.

“Kenapa kau buat semua ni?” Rhett bertanya dengan suara kasar.

“Saya tolong je.”

“Tolong? Apa tak cukup lagi ke pembantu di rumah ni?”

“Tak, mereka kata saya… bibik… err…” Tak sampai hati pula mahu sebut orang-orang berkenaan di depan Rhett.

“Kau sedar tak kau memang macam bibik? Kenapa muncul dengan pakaian macam ni? Keadaan tak terurus macam ni? Kau memang nak samakan diri kau dengan pembantu rumah ke?”

Dasar bajingan amat lelaki ini!

Deila kacip gigi, menahan geram yang mulai menggumpal di dada. Ingatkan Rhett tampil mahu membela, rupanya lelaki itu turut mengeji penampilan dia.

“Kenapa? Hodoh sangat ke saya di mata kau hah?! Tak boleh ke saya pakai baju kelawar pemberian tok ni? Kalau kau rasa malu sangat, baik… saya takkan muncul depan kau lagi! Saya akan beritahu tok yang saya nak balik. Sejak awal lagi saya memang tak pernah setuju mahu berpindah ke sini kerana saya sedar siapa diri saya!”

Rhett terpempan bila Deila menjawab tenang tetapi pandangan pedih dilempar.

“Serius Dato’ Razif… siapa gadis tu?” Wanita tadi kembali mengasak, menuntut jawapan dari papa Rhett. Semakin berminat bila lihat cara Rhett beriak sebaik sahaja gadis itu muncul.

“Oh, nama dia Del. Salah seorang ahli keluarga juga. Tok bawa dia tinggal di sini sebaik saja keluarga dia meninggal baru-baru ni.” Terang Dato’ Razif. Wanita itu tersenyum-senyum memandang Deila.

“Oh… that’s mean Tok Teh tu memang sayangkan budak ni ya?” Wanita itu bergumam, seolah bercakap dengan diri sendiri. Renungan tak berganjak dari Deila.

“Del, tunggu!” Rhett memanggil kaget apabila melihat Deila memutar tubuh dan mahu berlari naik ke tingkat atas. Barang-barang yang Deila bawa tadi dibiarkan bergelimpangan di atas lantai.

“So, kiranya budak tu dah macam adik beradik Rhettlah.” Ujar wanita itu lagi sambil terangguk-angguk. Dato’ Razif tidak beri perhatian pada kata-kata wanita itu. Dalam fikirannya sekarang cuma mahu selesaikan masalah dua keluarga berpengaruh itu. Semua kerana Rhett tetap bertegas tidak mahu teruskan perkahwinan mereka.

Melihat Rhett bergegas mahu kejar Deila, Dato’ Razif bingkas berdiri.

“Rhett Raffendy, stop! Perbincangan kita belum selesai!” Suara keras papa berjaya mematikan pergerakan Rhett. Argh! Dia terfikir sesuatu bila dengar suara papa seolah sedang mengugutnya. Kalau dia bertindak sembarangan, pasti Deila yang mendapat ulahnya nanti. Dia tidak mahu itu terjadi. Sambil mengetap rahang, Rhett paksa diri untuk berpaling. Sempat lagi bebola mata melirik ke arah Deila yang sudah hampir separuh memanjat anak tangga. Langsung tak toleh ke arahnya. Dengan hati berat, Rhett melangkah kembali menuju ke arah papa.

“Saya dah kata, saya tak bersedia mahu kahwin!” Rhett bersuara tegas. Papa memandangnya seperti mahu menelan dia saat itu.

“Ya Allah, kenapa bertempiaran ni? Del mana? Saya suruh dia bersihkan tempat ni tadi.” Mama yang tiba-tiba muncul dari arah dapur sambil membawa sedulang buah-buahan yang telah dihiris terus merungut bila lihat keadaan di ruang tamu. Mop, besen dan kain lap berselerak di atas lantai.

“Serius, mama?” Rhett bertanya kasar, wajah tidak puas hati ditayang. Rupanya mama yang buat onar!

“Kau buat apa pada cucu saya?!”

Suasana tiba-tiba jadi sunyi sepi apabila satu suara menjerkah dari arah pintu utama. Mama memandang Rhett dengan mata terbuntang luas. Rhett mendengus. Sakit sungguh hati dia dengan perbuatan mama.

“Apa kau suruh Del buat?” Tok Teh terus meluru ke arah mama dengan mata terbeliak. Berani sungguh menantunya itu mengarah-arah darah daging dia?

“Bukan macam tu, ibu. Saya tak suruh pun. Del sendiri yang tawar diri nak buat.” Mama kelam kabut terangkan. Cuba tersenyum tenang kerana mahu jaga air muka di depan tetamu tetapi senyuman jelas terlihat janggal dan terpaksa.

“Mana Del?!” Tok Teh bercekak pinggang depan mama. Bola mata meliar memandang sekeliling.

“Dia dah naik ke atas. Merajuk kot sebab Rhett panggil dia bibik!” Tiba-tiba wanita asing itu menyampuk. Semakin marak mata tok dengar. Zara menyenggol lengan wanita itu.

“Mummy…” Tegur Zara, kurang senang dengan sikap wanita itu.

“Kau kata Del macam bibik?!” Tengking Tok Teh sambil melontar pandangan marak berapi ke arah Rhett. Tergamam Rhett dibuatnya.

“Dahlah, Tok Teh… cuma salah faham je. Pertama kali saya lihat budak tu tadi pun dah tahu dia bukan bibik di sini. Wajah bersih dan cantik malah kepintarannya jelas terpancar. Saya mahu berkenalan lebih dekat dengan budak tu. Apa kata tok bawa dia ke majlis yang dianjurkan dengan usaha sama syarikat kita nanti?” Wanita yang merupakan ibu kepada Zara sekali lagi bersuara penuh yakin.

“Kenapa? Kau ada rancang sesuatu ke? Deila walau pun nampak polos dan kekampungan, dia bukan bodoh! Korang semua dengar ya, saya takkan benarkan siapa pun buli cucu saya, amaran ini untuk kau juga Rhett! Kau sepatutnya lindungi Del. Buat sekali lagi Rhett, dan tok takkan teragak-agak untuk bertindak. Mengerti?!”

Rhett terkesima. Hanya mampu memandang pemergian tok dengan wajah bersalah. Sudahnya mereka semua salah di mata tok.

Tok Teh terus naik mendapatkan Deila di dalam bilik. Deila ketika itu sedang baring meniarap, membenam wajah di bantal empuk. Melihat bahu Deila terenjut-enjut, Tok Teh memandang sayu. Dia tahu Deila sedang menangis. Menyesal pula dia tinggalkan Deila seorang diri tadi. Niat asal memang mahu ajak Deila temankan dia ke rutin pemeriksaan kesihatan dia. Tapi bila lihat Deila tidur nyenyak pagi tadi, tak sampai hati pula dia mahu kejutkan.

“Del…” Tok Teh memanggil lembut. Deila bingkas bangun dan duduk sambil kelam kabut mengesat air mata.

“Tok, rasanya Del tak betah duduk di bandar ni lama-lama. Del rindukan kampung, rindukan rumah pusaka opah. Del nak balik kampung, tok.”

Terharu sungguh Tok Teh saat itu. Sikap Deila banyak mewarisi Mardhiah. Tidak suka memanjangkan isu. Lihat saja alasan yang diberi. Padahal dia sudah tahu apa yang buat gadis itu menangis. Tetapi Deila pilih untuk tidak ceritakan apa yang berlaku, sebaliknya memberi alasan lain supaya dia tidak naik darah.

“Tok tahu, maafkan tok kerana terlalu pentingkan diri sendiri. Tok masih belum puas bersama kau, Del. Sejak kau datang, tok sentiasa rasa gembira. Tak sunyi. Tok tahu apa yang dah Rhett dan mama dia tu buat pada kau, Del. Jangan mengalah kepada mereka. Tok tak nak apa yang berlaku pada arwah ibu kau berulang ke kau. Tunjukkan siapa diri kau. Biar mereka semua terlopong nanti. Tok akan bantu kau. Nak ke? Sebagai balasan, temankan tok sedikit masa lagi.”

Deila memandang Tok Teh beberapa saat. Tok mahu dia buat apa? Dia datang bukan kerana mahu tonjolkan diri.

“Tok nak bantu saya? Tapi saya tak…”

“Ikut tok ke satu majlis nanti. Tok akan pastikan selepas itu tiada yang akan panggil kau bibik lagi.”

Berkaca mata saat Deila memandang Tok Teh. Hanya tok yang memandang dia dengan tatapan penuh kasih sayang di rumah itu. Dia rasa terharu. Terasa kerinduan pada opah sedikit terubat dengan kehadiran tok.

Bersinar terang mata Tok Teh bila lihat Deila mengangguk sambil tersenyum kecil. Dia akan pastikan cucunya itu dapat layanan lebih baik. Dia mahu tebus kesalahan yang telah dia lakukan di masa lampau. Dia akan pastikan Deila bahagia sebelum dia turut mengikuti jejak Murni.

“TOK! Tak melebih ke Del tampil macam ni?” Deila bertanya dengan rasa ragu-ragu. Masih terpacak di depan cermin, merenung biasan diri dengan rasa tidak percaya. Tok Teh menghampiri dengan senyuman meleret-leret hampir ke telinga.

Puas hati betul Tok Teh melihat hasil tangan di butik kecantikan terkemuka itu. Hanya sedikit touch up dan pakaian cantik, Deila kelihatan seperti seorang puteri jelita. Ah, anak itu memang cantik. Secantik ibunya!

“Taklah… tok suka. Pakaian ni pun tak melampau, sopan tetapi elegan. Dah, jom kita tunjukkan siapa cucu Puteh di depan manusia-manusia berlagak itu!”

Deila tergamam apabila Tok Teh menarik tangannya pergi dari situ.

Double chapter kerana lama x hupdet hihi, sibuk kerja smpi x sempat jenguk rumah merah huhu. Now, izinkan saya bagi tumpuan dulu pada Tuan Abe yg dh lama terperam tu ye, hope you enjoy... c u soon, muah

Share this novel

Hashim
2024-04-30 21:59:20 

Senyap jer lama xupdate beraya lagi ke

Zainabzety
2024-03-27 02:51:34 

sian del ada laki bukan nk backup biar ada lelaki yg suka dkt del ms majlis tu nnti biar padan muka si rhet tu


NovelPlus Premium

The best ads free experience