Di dalam sebuah bilik hospital, satu jeritan nyaring penuh keterujaaan bergema, memecah keheningan di petang hari.
“Mi… Mirul?”
“Del! My Pepero!!! Kau akhirnya jumpa jalan untuk kembali ke dunia, thank you! Thank you so much, Miss Pepero!”
Urgh! Hodohnya permandangan bila Amirul menangis teresak-esak di depan mukanya. Deila kelam kabut membuang wajah. Tak sanggup dia nak tengok!
“Del… Deila… saya tahu! Saya yakin kau pasti akan kembali! Saya tak kisah tunggu biar beribu tahun kerana saya tahu kau kuat! Kau takkan menyerah dengan mudah!”
Deila kembali memandang wajah basah dek air mata itu. Beribu tahun? Ah, mamat ni dah terlebih dah! Masa tu dia dah jadi arwah pun. Tapi melihat Amirul menangis, dia turut terkesan. Dia mulai rasa sebak dan terharu. Dia mahu menangis tapi sedaya upaya ditahan.
“Mirul… kau… kau ke yang selamatkan saya?”
Amirul berhenti menangis lalu cepat-cepat seka air mata. Muncung terus panjang sedepa.
“Ya, ni… Amirul Bin Aman yang selamatkan Kau, bukan Rhett Raffendy lelaki perasaan hebat tapi tak guna satu sen pun itu! Di mana lelaki tu saat kau hampir maut hah? Pergi dating dengan bakal madu kau ke?”
Tersayat hati mendengar sindiran Amirul. Menyakitkan tapi kata-kata itu ada benarnya. Dia tak dipedulikan. Ada suami tapi sibuk dengan perempuan lain!
“Saya bertarung nyawa selamatkan kau, Del! Lelaki itu bukan hanya pandai berlawan, tapi ada senjata api! Nasib baik polis datang. Tapi penjenayah tu berjaya lolos, huh! Tiga peluru dikeluarkan dari tubuh kau tu, tau tak? Mujur tak kena organ penting!”
Jatuh sebutir demi sebutir air mata bila lihat sebelah lengan Amirul berbalut kain kasa. Lelaki itu pasti tercedera ketika cuba selamatkan dia.
“Mirul… kau cedera!”
Wajah bengang Amirul berubah bila lihat Deila menangis. Mata ala Chinese yang tadinya marak menyala mendadak bertukar jadi redup.
“Laa… luka kecil jer, tak perlu nangis pun. Kau ingat tak saya pernah terseliuh tangan gara-gara kau tolak saya dari atas pokok rambutan? Itu lebih sakit berbanding luka ni!”
Tangisan Deila diselangi tawa sebaik sahaja dengar kata-kata Amirul. Ya, dia masih ingat. Dia memang jahat dan suka buli Amirul waktu kecil dulu. Anehnya, Amirul tak pernah jera. Suka ikut dia ke hulu ke hilir walau pun sering berakhir dengan raungan kesakitan Amirul.
“Saya tahu luka kau lebih teruk dan sangat menyakitkan, Del… saya tahu semuanya.”
Deila tertunduk. Tak! Dia tidak mahu menangis lagi. Cukuplah air mata yang dia tumpahkan buat lelaki bernama Rhett.
“Tinggalkan Rhett, Deila! Lelaki itu tak mungkin mampu buat kau bahagia. Cinta tak menjamin kebahagiaan. Ikut saya, Del! Kita tinggalkan kampung dan mulakan hidup baru di tempat lain. Saya yakin dengan kemahiran kita berdua, kita mampu membina empayar perniagaan kita sendiri.”
Deila diam beberapa saat. Gigih dia fikir tentang idea Amirul.
“Saya suka idea tu. Tapi… kenapa perlu tinggalkan kampung? Saya berat hati nak tinggalkan opah.”
“Sebab saya tak nak Rhett atau siapa pun yang berkaitan dengan lelaki itu datang ganggu kau lagi, Del. Tak nampak? Kau hampir maut, Del. Sebab siapa? Truth is… orang suruhan tok datang jumpa saya di kampung dan ceritakan semuanya. Tok minta saya datang ke bandar dan bawa kau balik sebab dia risaukan keselamatan kau selepas bapa kandung kau tahu semuanya. So, kau pasti boleh teka onar siapa kan? Siapa lagi yang mahu menghapuskan kau kalau bukan anak tok?”
Deila gigit bibir bawah. Tak mustahil semua itu angkara Dato’. Tapi dia dengar dengan jelas perbualan lelaki jahat itu ketika dia berada di bilik hotel. Lelaki itu sebut ‘puan’ dan bukan ‘tuan’. Adakah mama Rhett juga terlibat? Ah, otaknya berserabut saat itu.
“Saya akan transfer kau ke hospital desa kalau luka kau hampir sembuh, Del. Bahaya kita berada lama-lama di sini. Sebelum itu, saya nak kau minta cerai dengan Rhett. Kau tak perlu buat apa-apa, biar saya je yang uruskan.”
Deila tersentak. Ada rasa pedih di ulu hati dengar perkataan cerai itu. Walau pun dia sudah bersedia mahu undur diri, ianya tetap menyakitkan. Perkahwinan dia dan Rhett tak sampai setahun jagung. Dia tak berpeluang bermanja dengan suami seperti pasangan lain kerana status mereka yang perlu dirahsiakan. Sampai saat ini, dia masih tak kecapi nikmat alam berumahtangga seperti yang sering diperkatakan. Alangkah sedih kisah hidupnya.
“Tapi… saya mahu bercakap dengan Rhett sebelum ambil keputusan.”
Bebola mata Amirul kembali marak. Bergerak rahang menahan rasa marah.
“Sedarlah diri, Deila Araferro! Saat-saat macam ni, kau ingat Rhett nak ke jumpa kau? Cuba call jantan tak guna tu. Kalau semudah itu, kau takkan cedera teruk macam ni! Kau nak buat apa? Datang nangis-nangis merayu di depan rumah agam tu kemudian diusir macam kucing kurap? I won’t let you, Del! Jangan ulang kesilapan yang pernah arwah ibu kau buat! Bagi orang kaya macam Rhett, kehilangan kau tak beri kudis pun. Sekelip mata tempat kau akan digantikan. Itu yang berlaku kepada arwah ibu kau suatu waktu dahulu.”
Akhirnya, jatuh jua air mata bila dengar bebelan Amirul. Dia nangis bukan kerana Rhett, tapi kerana dia cuba bayangkan keadaan ibu yang sedang mengandungkan dia, menangis merayu di depan Tok Teh tetapi bukan simpati, hanya caci maki, penghinaan yang diterima bila ibu diusir macam binatang. Adakah dia akan mengulangi apa yang pernah arwah ibu buat? Adakah dia juga bakal diperlakukan seperti mana ibu?
“Mirul… kau buatlah apa yang patut. Saya serahkan semuanya kepada kau. Saya akur apa pun keputusan kau.” Pasrah, Deila beri kata putus. Amirul angguk perlahan. Lega dengan jawapan itu. Dia tahu ada hati yang bakal terluka. Tapi apa-apa pun, dia buat semua ini untuk melindungi Deila. Takkan dia biarkan Rhett terusan menghancurkan Deila.
“Kalau macam tu, saya nak kau turunkan tanda tangan pada surat ni. Saya akan beri surat ni pada Dato’ Razif dan minta dia supaya jangan ganggu kau lagi.”
Deila merenung selembar kertas putih yang sudah terlipat kemas itu. Hanya bahagian bawah yang Amirul tunjukkan. Dia tidak mahu Deila lihat isi kandungan kertas tersebut.
“Surat apa ni, Mirul?”
“Kau tak perlu baca. Yang pasti, ianya menjelaskan tentang apa yang berlaku antara kau dan Rhett, antara sebab mengapa kau minta perkahwinan dibubarkan.”
Deila angguk. Dia malas mahu ambil tahu. Dia yakin dengan Amirul. Dia tahu Amirul buat semua itu demi keselamatan dia. Penceraian adalah jalan terbaik.
“Be strong, Del… I’m with you… always! You are not alone, bear that in mind.”
Terharu sangat dia dengar kata-kata tulus Amirul. Sesungguhnya lelaki itu teramat baik walau pun dia selalu tidak betah berlama-lamaan dengan Amirul yang sangat cerewet, banyak songeh dan kuat merajuk. Tambah lagi, kuat membebel macam arwah opah. Eih, dia memang tak boleh! Sebab itu kot dia dan Amirul macam anjing dengan kucing, tak pernah berngam!
Tapi serius… dia terhutang nyawa dengan lelaki itu!
“Kau okay tak saya tinggalkan seorang diri sekejap? Saya nak selesaikan semuanya secepat mungkin dan bawa kau pergi dari sini.”
Terkejut Amirul bila lihat wajah Deila basah dek air mata. Bingkas dia merapatkan wajah ke wajah Deila.
“Ya Allah, Del… kau tak penat lagi nangis ke? Sayang air mata tu. Cukuplah… saya penat tengok kau asyik nan…”
“Shut up, Mirul!” Terkedu Amirul bila mulutnya ditekap dengan kasar oleh tapak tangan Deila.
“Saya bukan nangis kerana lelaki tu tapi kerana kau, Mirul!”
Mata sedikit sepet itu membulat. Dada sendiri ditunjuk dengan jari telunjuk kerana Amirul tidak dapat buka mulut.
“Kau dah bertaruh nyawa selamatkan saya, Mirul. Dan sekarang, kau sedang bergadai nyawa mahu selesaikan masalah saya sedangkan saya hanya mampu lihat. Tak mampu buat apa-apa.”
Berjujuran air mata tika Deila menutur kata. Dia tidak dapat tahan air mata. Dia rasa terharu dengan perbuatan Amirul.
“Ish lepaslah! Kau nak saya mati kehabisan oksigen ke apa?!” Tangan Deila ditarik dengan tenaga sederhana kerana Amirul tidak mahu menambah kesakitan Deila. Wajah mencuka ketika dia renung Deila.
“Kau cedera, nak bergerak pun susah. Saya faham. Kalau kau tak cedera, mana mungkin kau dok diam macam orang cacat atas katil ni kan? Silap-silap kau tengah peluk kaki Rhett sambil nangis merayu-rayu pada lelaki tu, huh!”
Cis, bedebah punya jantan! Sia-sia air mata terharu yang dia tumpahkan. Laju Deila kesat air mata. Untuk lelaki berlidah ular macam Amirul, tak perlu nak rasa terharu bagai. Buat sakit hati je dengar kata-kata dari lidah berbisa itu!
“Dah, rehatlah. Saya pergi dulu!” Amirul tergelak bila lihat Deila tarik wajah ketat. Bingkas dia angkat punggung lalu mengorak langkah menuju ke pintu. Kerjanya pasti tak akan selesai selagi punggungnya melekat di situ.
Ketika berada di muka pintu, langkah Amirul terbantut. Bebola mata mengerling ke arah Deila yang sudah baring dan menutup mata.
“Ianya sangat menyakitkan… tapi semuanya akan berlalu. Terus kuat, Del…”
DATO’ Razif yang sedang meneliti beberapa helai dokumen penting langsung meletakkan lembaran kertas itu di atas meja sebaik sahaja melihat seseorang melangkah masuk ke dalam pejabatnya selepas dia sendiri beri kebenaran untuk masuk.
“Masih ingat saya, Dato’?”
Dato’ Razif mengerut dahi dan berfikir sebentar.
“Kau yang datang ke rumah bersama Del hari tu kan?”
“Ya, Dato’. Saya Amirul, rakan sekampung Del.”
Amirul terus duduk bertentangan dengan Dato’ Razif selepas dia dijemput untuk duduk. Mereka dipisahkan oleh sebuah meja mewah, meja kerja Dato’ Razif.
“Apa tujuan kau nak jumpa saya?” Tanya Dato’ Razif dengan sedikit rasa curiga. Kalau berkenaan Del, dia tak nak dengar! Dia tahu Deila menghilang secara tiba-tiba. Ribut satu rumah bila ibu dapat tahu tentang kehilangan Del. Tak dinafikan, jauh di sudut hati dia turut rasa risau. Tapi rasa itu segera dibuang jauh. Dia tiada kaitan dengan anak itu. Yakni selepas Mardhiah pilih untuk tinggalkan dia!
Hancur hati dia saat tahu yang Mardhiah menikah dengan pemandu peribadi keluarga ibu Zara. Begitu mudah hati Dhiah berubah! Terasa deritanya selepas perpisahan itu hanya sia-sia. Dia seorang je yang rasa nak mati sedangkan Mardhiah bahagia dengan lelaki lain. Betul kata mak, Mardhiah bukan perempuan baik! Sikap itu menurun ke Deila. Anak beranak itu sama saja!
“Lepaskan Del. Tolong jangan sakiti Deila lagi, Dato’. Dia sudah cukup menderita sejak dia lahir ke dunia. Dato’ nak mereka berpisah? Tak jadi masalah. Deila sanggup undur diri, tapi Dato’ kena pastikan yang Rhett juga mahu melakukan hal yang sama. Suruh Rhett berhenti buat fikiran Deila bercelaru. Suruh Rhett berhenti beri harapan palsu pada Del. Paling penting, suruh Rhett jangan muncul depan Deila lagi dan membolak-balikkan perasaan Del.”
Dato’ Razif tersandar di penyandar. Wajah ketatnya sebentar tadi perlahan mengendur.
“Bagaimana kehidupan Del sebelum ini? Saya dengar kedua-dua orang tuanya dah meninggal.”
Amirul tersentak. Sungguh tak dia duga yang Dato’ Razif akan bertanyakan tentang itu. Sangkanya lelaki tua itu tak berminat mahu tahu apa pun tentang Deila.
“Deila bahagia dan cukup kasih sayang, Dato’. Deila gadis yang tabah, berdikari dan sangat pintar. Dia buka kedai runcit di kampung dan dapat sambutan menggalakkan. Semuanya berjalan lancar sebelum kemunculan Rhett!”
Dato’ Razif menggangguk perlahan. Dia tahu semuanya. Dalam diam, dia hantar penyiasat peribadi untuk mengetahui lebih lanjut tentang Deila.
“Del ceria budaknya, persis ibu dia.” Tiba-tiba Dato’ Razif bersuara. Begitu sebak di pendengaran. Amirul pandang kebingungan.
Tak mungkin!
Lelaki kejam itu… masih punya rasa tersisa buat ibu Del?
“Amirul, saya lepaskan Del kepada kau. Tolong jaga Del baik-baik. Sekiranya ada masalah, kau boleh terus hubungi saya. Ni kad saya. Jangan beritahu Del tentang ini kerana saya tahu Del sangat bencikan saya.”
Amirul terpempan. Kelu lidah mahu jawab. Habis berkecaian plan asal yang sudah dia rancang dengan teliti sebelum ke situ tadi.
“Dato’… apa maksud Dato’? Saya tak faham. Dato’ cuba cederakan Del.”
“Saya tahu saya bersikap tegas. Tapi saya buat semua itu demi kepentingan anak-anak saya. Tegas tapi tidak sampai membahayakan nyawa walau pun saya bertindak berlebihan terhadap Rhett. Saya silap dan terlalu ikut perasaan hingga mencederakan Rhett. Saya seolah melihat diri saya semasa muda ketika saya lihat pemberontakan Rhett.”
“Tapi Dato’ cuba bunuh Del!” Bentak Amirul. Dato’ Razif memandang dingin.
“Saya belum gila untuk bunuh darah daging saya sendiri.”
“Well said when you almost killed your own son!”
Berubah terus wajah Dato’ Razif bila dengar jawapan sinis Amirul. Dia turut terkejut bila dengar ada yang cuba bunuh Deila. Siapa? Deila punya musuh ke?
“Get out, Amirul!”
Amirul tersenyum sinis. Takut ke? Dia masak benar dengan perangai orang kaya. Dah terciduk, cara mahu lepaskan diri ya pastilah diusir macam pengemis. Lepas ni, nyawa dia pasti dalam bahaya.
“Saya akan pergi, Dato’. Tak perlu nak usir saya. Ni, surat ni tolong sampaikan pada Rhett. Surat yang ditulis oleh Deila. Jangan risau, ini bukan surat memujuk atau cuba meraih simpati. Ini surat Del meminta Rhett lepaskan dia dengan cara baik.”
Dato’ Razif tergamam. Jauh di sudut hati, dia rasa terpukul dengar kata-kata Amirul. Dia salah sangka pada anak itu tapi cuba ditepis. Sangkanya Deila pasti akan terus mengejar Rhett, mencuba pelbagai cara untuk buat Rhett kekal di sisi. Betul, Deila menyerupai perangai Mardhiah. Cuma anak itu tampak lebih berani dan lantang bersuara. Tak seperti Mardhiah, lebih banyak diam dan mengalah!
“You know Dato’… bapa saya juga macam Dato’, sangat tegas orangnya. Kalau memukul, hampir saya jumpa pintu ke alam barzakh. Berhari-hari juga saya tak dapat bangun. Tapi… bapa saya tak pernah halang pada apa pun pilihan yang saya buat. Dia cuma bagi nasihat dan sokongan sekiranya saya gagal.”
Dato’ Razif tersandar lemah di kerusi selepas Amirul pergi. Dia terkesan dengan kata-kata anak muda itu. Budak kampung, tapi kata-katanya menyucuk sampai ke kalbu. Surat bersampul putih yang diberi oleh Amirul dibelek sebentar. Otaknya ligat memikirkan sesuatu. Gagang telefon di atas meja digapai.
“Cari penyiasat peribadi yang pernah saya upah dulu. Saya nak dia siasat tentang satu perkara.”
Amirul yang sudah keluar dari bangunan gergasi itu terus menahan teksi untuk membawanya ke hospital. Dia harus bertindak cepat. Andai dia mati dikerjakan oleh orang Dato’ Razif, bagaimana dengan Deila kelak? Siapa yang akan melindungi Del nanti?
“Del! Kau boleh bangun tak?”
Deila cuba bangun dibantu oleh Amirul tetapi kesakitan luka torehan peluru di beberapa tempat di tubuh buat dia meraung kesakitan. Amirul mengalah dan membaringkan semula Deila.
“Kenapa, Mirul? Kau nampak ketakutan.”
Amirul tersenyum lalu cepat-cepat menggeleng.
“Takdelah, saya cuma terkejut dengar kau jerit tadi.” Amirul beralasan. Hakikatnya dia risau orang-orang Dato’ dapat tahu di mana Deila dirawat dan menyerang mereka berdua.
Dia sudah lakukan yang terbaik. Menukar teksi beberapa kali sebelum turun agak jauh dan sembunyi-sembunyi masuk ke hospital itu. Dia risau ada yang dalam diam mengekori.
“Kau nampak resah, Mirul.”
“Of courselah saya tak senang duduk bila nampak kau macam orang cacat asyik terbaring di situ. Saya tak nak hilang kawan bergaduh.”
Cis!
“Kau pergi jumpa Dato’ Razif kan? Dia ugut kau ke?”
“Eh, mana ada! Ya, saya ada jumpa orang tua tu dan beri surat kau. Tu je! Dia tak ugut saya, jangan risaulah.”
“Tipu! Orang tua tu pasti sakit hati bila tahu saya masih hidup kan?”
Amirul termangu. Teringat wajah Dato’ Razif saat menyebut nama Deila dan ibunya. Sedih, kecewa dan kesal. Mengapa? Bukankah lelaki itu mahu lenyapkan Deila?
“Dah, tak perlu kau susahkan otak fikir tentang itu. Selagi saya ada, kau akan selamat. Jangan risau.”
Baru mahu rasa terharu, baru mahu berkaca mata…
“Nak nangis ler tu! Ni la orang perempuan, sikit-sikit nangis! Tak payah! Jatuh setitik air mata kau, saya bagi leteran dari surga!”
Cis, badigol!
Andai saja dia sihat, pasti dah terpelanting sekujur tubuh Amirul lalu melekat di dinding dia kerjakan!
“Del… janji dengan saya…”
“Apa?”
“Lupakan semuanya. Buka buku baru. Kau cuma ada seorang ibu dan seorang bapa. Lepaskan yang berlalu, hanya pandang ke hadapan kerana saya yakin, ada bahagia menanti kau.”
Well… bukan semua kata-kata Amirul tak boleh pakai. Amirul teman di kala suka duka Deila, sejak kecil! Tiada siapa paling memahami Deila selain Amirul.
“Saya dah pernah mungkir janji, Mirul. Kau masih nak saya berjanji?”
“Takpe, kalau kau mungkir janji saya sumpah kau jadi bini saya seumur hidup!”
Huish!!!
Share this novel
Sambung lagi please tqvm