Adakah Hati Itu Berdegup Untuk Aku?

Drama Completed 450849

Di dapur yang serba luas dan moden itu, langkah Medina Atalia perlahan namun tetap. Dia cuba menenangkan degup jantungnya yang berlari laju sejak Tuan Mikael Lutfi mengekori dari belakang.

Lelaki itu jarang sekali menjejakkan kaki ke dapur. Kalau ada pun, hanya untuk mengambil air atau memberi arahan ringkas. Tapi malam ini lain.

Sangat lain.

“Tuan nak makan apa ya? Medina boleh buatkan.” Suaranya sedikit bergetar, tangannya pantas menyusun bekas lauk yang baru dibeli tadi.

Mikael Lutfi menyandarkan tubuh di kaunter bar. Pandangan matanya tidak lekang dari memerhati setiap gerak geri Medina.

Sesuatu dalam dirinya seakan bergolak. Wajah itu... tenang, tulus. Tapi malam ini, ada cahaya lain yang dia lihat dalam mata Medina.

Kepenatan.

Keletihan.

Dan mungkin... kedukaan yang dia sendiri tak mampu tafsirkan.

“Medina…” panggilnya perlahan.

Gadis itu menoleh.

“Ya, Tuan?”

“Awak okay ke sejak balik dari Jepun?” Soalan itu mengejutkan Medina.

Dia mengangguk perlahan.

“Alhamdulillah, Medina okay. Cuma penat sikit…”

“Penat sikit tapi kerja terus tanpa henti? Awak ni manusia ke robot?” Suara Mikael sedikit meninggi namun masih dalam kawalan.

Medina tunduk. Dia tahu Tuan Mikael bukan marah, cuma… risau mungkin?

“Medina tahu tanggungjawab Medina. Lagipun Medina tak nak Puan Maria susah hati.”

“Dan awak takut saya potong gaji awak, kan?” Mikael menyoal lagi, kali ini lebih serius.

Gadis itu terdiam.

“Bukan itu niat Medina…”

“Medina.” Suaranya kali ini mengandungi desakan.

“Saya tanya, awak takut saya potong gaji?”

Medina menelan liur.

“Medina cuma tak mahu dianggap mengambil kesempatan, Tuan.”

Mikael mendekat, membuatkan Medina melangkah setapak ke belakang. Tapi ruang dapur itu terhad. Punggungnya sudah tersandar pada kaunter.

“Tuan…”

“Awak tahu tak, saya kagum dengan awak.”

Medina tersentak.

“Apa?”

“Saya kagum… sebab dalam banyak-banyak pekerja saya, awak yang paling kuat, paling sabar, paling ikhlas. Dan paling diam menahan segala.”

Mata Medina mula berkaca.

Dia tak mahu menangis, tapi hati yang digaru lembut oleh kata-kata itu terasa terlalu rapuh untuk menahan lama.

“Awak fikir saya tak tahu apa Mama saya buat pada awak?” Suara Mikael perlahan namun menyakitkan.

Medina Atalia memalingkan wajah. Cuba menyembunyikan air mata yang mula menitis.

“Saya tahu semuanya, Medina. Tapi saya tak boleh lawan Mama saya secara terang-terangan. Awak tahu siapa dia...”

Medina hanya mengangguk. Dia tahu. Sebab dia sendiri telah menelan hinaan demi hinaan tanpa balas hanya kerana dia tahu… dia cuma seorang maid.

“Saya janji saya akan lindungi awak.” ucap Mikael penuh tekad.

Medina memandang wajah lelaki itu. Jarak mereka hanya beberapa inci. Bahangnya terasa. Nafasnya pun bergetar.

“Tuan jangan janji sesuatu yang Tuan tak mampu tepati.” Suaranya lemah namun tajam.

Mikael terkedu.

“Medina dah lama redha dengan hidup sebagai pembantu rumah. Tak layak untuk dilindungi, tak layak untuk dikasihi… apatah lagi dihormati oleh keluarga bangsawan seperti Tuan.”

Wajah Mikael berubah.

Ada sesuatu dalam hati lelaki itu yang seolah dihentak keras.

“Siapa kata awak tak layak?”

Medina menggeleng.

“Semua orang. Dari awal Medina masuk ke rumah ni pun, Puan Maria tak pernah pandang Medina macam manusia. Tuan pun... selalu nampak Medina bila ada kerja. Tak pernah lebih dari itu.”

“Tapi sekarang saya nampak.” Ujar Mikael perlahan, namun cukup jelas untuk membuat dada Medina berombak hebat.

“Saya nampak awak sebagai wanita yang kuat. Dan jujur. Dan layak.”

Medina berpaling.

“Tuan, tolong jangan buat begini…”

“Kenapa? Takut saya jatuh hati pada awak?” Mikael mengangkat kening.

Medina memandangnya lama.

“Medina takut… Medina pula yang jatuh hati pada Tuan.”

Sepi menyelubungi dapur itu. Hanya deru kipas pengudaraan yang bersuara.

Beberapa detik kemudian, Mikael tersenyum tipis.

“Medina, awak tahu tak… dari hari pertama saya tengok awak jaga Mama saya walaupun dia layan awak macam sampah, saya tahu awak ada sesuatu yang tak semua orang ada.”

“Medina tak ada apa-apa, Tuan…”

“Awak ada hati yang bersih. Itu yang saya tak jumpa dalam kalangan wanita sekeliling saya.” Suara Mikael benar-benar menggetarkan jiwa Medina kini.

“Tapi Tuan dah ada Puan Maria…”

“Itu urusan lain. Dan saya tak pernah bandingkan awak dengan dia. Awak dan dia… dua dunia yang berbeza.” Nada suara Mikael tegas.

Medina mula berundur.

“Medina kena keluar… kucing Puan Maria belum makan.”

“Medina.” Tangan Mikael menahan pergelangan tangannya.

Hangat.

Tegap.

“Medina mohon… jangan tambah dosa Tuan. Medina tak mampu hadapi fitnah.”

Mata mereka bertaut.

Tapi Medina sudah pun membuat pilihan. Dia menarik tangannya perlahan.

“Tuan orang baik. Tapi Medina bukan untuk Tuan. Medina tak layak.”

“Siapa yang tentukan kelayakan tu?” Mikael memandangnya dengan pandangan yang tak pernah dia lihat sebelum ini.

“Tak perlu siapa pun. Medina sendiri tahu tempat Medina.”

Langkah Medina Atalia pantas.

Dia keluar dari dapur, meninggalkan Mikael Lutfi terdiam sendiri. Lelaki itu menutup mata dan menarik nafas panjang. Hatinya sesak. Lidahnya kelu. Untuk pertama kali… dia rasa kalah.

Di ruang tamu, Maria Elena masih duduk termenung. Wajahnya jelas menunjukkan keraguan. Kata-kata ibunya masih berdengung di minda.

“Lelaki ni bila dah mula pandang maid, tandanya hati dia dah mula berubah. Jaga-jaga Maria…”

Tiba-tiba, pintu dapur terbuka.

Medina Atalia keluar dengan wajah kelat, tapi masih menutup dengan senyuman palsu.

Maria Elena perasan.

“Eh, dah siap ke makanan untuk Tuan Mikael?” Soalnya dengan suara mendatar.

“Dah puan. Medina minta diri ke bilik dulu ya, nak solat.”

Maria hanya mengangguk, tetapi matanya tajam mengekori langkah Medina Atalia. Sekelip mata, muncul Mikael Lutfi dari arah dapur.

Riak wajahnya sukar dibaca.

“Biy… you okay?” Soal Maria dengan suara lembut.

Mikael mengangguk.

“I okay. You tidur dulu ya, I nak keluar ambil angin kejap.”

“Keluar malam-malam?” Maria cuba senyum.

Mikael hanya mengangguk, lalu berjalan ke arah pintu utama.

Maria memejam mata sejenak. Hatinya bergoncang.

Dia tahu... sesuatu sedang berubah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience