Bab 2 - Lebih daripada itu

Mature Content Series 2587

TEPAT jam 10.00 malam, Wafi Zahin tiba di rumah. Wajahnya kelihatan lesu dan langkahnya kaku. Kehilangan seseorang yang amat disayangi betul-betul membuatkannya separuh jiwanya pergi.

“Wafi…” Datin Zakiah yang sudah menunggu sejak tadi segera memeluk anak lelakinya.

Datuk Syukri semua tahu betapa dalamnya sayang Wafi Zahin terhadap Aama. Mereka faham betapa peritnya kehilangan yang sedang ditanggung oleh Wafi Zahin. Walaupun, mereka selalu kata hanya berkawan. Namun sebagai keluarga rapat dia tahu anaknya menyimpan perasaan kepada Aamna.

“Wafi tak apa-apa. Tak perlu risau,” kata Wafi Zahin.

Datin Zakiah melepaskan pelukan dan memegang wajah anaknya dengan kedua-dua belah tangan.

“Oh ya, Kak Aamal mana?” tanya Fatin Amani, adik Wafi Zahin.

“Aamal?” Wafi Zahin mengerutkan dahi. “Aduh, tadi abang suruh dia balik dulu.”

“Balik mana? Dia tak balik sini pun.” Fatin Amani berkata dengan hairan.

“Mungkin balik rumah mak long dia kut,” ujar Datuk Syukri

Wafi mengeluh panjang. Dalam hati dia menyalahkan dirinya kerana terlupa akan Aamal. “Abang pergi ambil dia kejap.”

“Tak payah, Wafi baru balik. Wafi berehat je, biar Pak Mat pergi jemput,” kata Datin Zakiah sambil menahan tangan anaknya.

“Tak boleh macam tu, ma. Sekarang Aamal dah jadi isteri Wafi. Wafi sendiri yang patut jemput dia.”

Wafi Zahin mahu pergi, namun sekali lagi Datin Zakiah menahannya.

“Ya, mama tahu. Tapi keadaan Wafi sekarang tak sihat. Mama tak mahu apa-apa terjadi pada Wafi kat jalan nanti.”

Wafi Zahin ingin membantah, tapi papanya menepuk bahunya.

“Betul cakap mama Wafi tu. Keadaan Wafi sekarang tak mengizinkan. Wafi pun mesti penat, dari semalam belum tidur kan?”

“Ya, bang. Betul cakap mama dan papa. Lebih baik abang rehat dulu. Nanti adik temankan Pak Mat pergi jemput Kak Aamal. Kak Aamal mesti faham keadaan abang.”

Wafi Zahin menghela nafas panjang. Bila semua orang sudah bersetuju begitu, dia tak mampu menolak lagi. Dia pun sedar dirinya memang tidak sihat.

Terus terang, dia sangat mengantuk dan badannya terasa terlalu letih. Dia hanya mahu tidur atas katil. Tapi dia juga tidak pasti sama ada dia mampu tidur kerana fikirannya sarat tentang Aamna.

“Okey. Adik temanlah.”

Setelah mengucapkan selamat jalan, Fatin Amani masuk ke dalam kereta bersama Pak Mat. Fatin Amani mengeluh kecil selepas memikirkan apa yang bakal terjadi akan datang nanti.

“AAMAL.”

Aamal yang sedang duduk di serambi rumah mendongak memandang ke langit malam, lalu menoleh ke belakang.

“Abang Harith.”

“Aamal belum makan kan? Mak long suruh abang panggil Aamal makan.” Harith hanya bersandar pada tiang luar rumah, tempat kegemaran Aamal untuk bermenung.

“Kenyanglah, bang.”

“Dari semalam tak makan, takkan tak lapar. Nak kenyang dengan angin ke?”

Aamal tersenyum nipis. “Aamal betul-betul dah kenyang.”

Harith mengeluh panjang lalu duduk di sebelah Aamal. Duduknya berjarak, tidak seperti dulu. Dulu, sebelum Aamal berkahwin, Harith bebas rapat dengan Aamal. Tapi sekarang, setelah Aamal berkahwin, Harith perlu menjaga batas.

Meskipun mereka sepupu, mereka bukan mahram. Haram hukumnya untuk Harith menyentuh Aamal. Dan secara jujurnya, itu sangat menyakitkan bagi Harith.

“Nah…” Harith hulurkan coklat. “Abang tahu Aamal mesti tak lalu nak makan, so abang belikan coklat ni untuk Aamal.” Harith menghulurkan sambil tersenyum manis.

Tergelak kecil Aamal. Terus saja dia memuncungkan bibirnya. Sememangnya dia memang rapat dan manja dengan abang sepupunya ini.

“Nak kena cium dulu ke baru nak ambil?”

“Eh, tak boleh!” Aamal menggeleng sambil tergelak kecil.

Harith tersenyum. “Jadi ambillah.”

Meskipun berat hati, Aamal tetap menerima. “Terima kasih.”

“Sama-sama.”

Suasana kembali sepi. Aamal sibuk makan sambil memandang ke langit, manakala Harith pula sibuk memandang wajah Aamal dari sisi.

Bagi sesetengah orang, masa berlalu dengan cepat. Tapi bagi Harith, menunggu Aamal membesar dari remaja hingga umur 25 tahun terasa terlalu lama. Dan bila Aamal sudah dewasa, belum sempat Harith mendekati gadis pujaannya, takdir sudah menukar haluannya.

Sungguh kejam. Tapi apakan daya. Semuanya sudah pun berlaku.

“Abang Harith nak?” Aamal menghulurkan coklatnya.

“Taklah.”

“Habis tu, kenapa dari tadi abang asyik pandang coklat ni?”

Harith tersenyum dan secara spontan tangannya mengusap rambut Aamal dengan manja.

“Abang…” Berdecit mulut Aamal dan segera menjauh supaya tangan Harith tidak menyentuh rambutnya lagi.

“Sorry, sorry. Abang lupa Aamal dah kahwin dah.”

Aamal mengangguk dan menyambung makan lagi dengan perasaan canggung. Aamal sudah menganggap Harith seperti abang kandung sendiri. Aamal juga sayangkan Harith sebagaimana dia sayangkan Aamna. Dan sekarang, setelah berkahwin, Aamal perlu menjaga batas.

“Kak Aamal.”

Aamal dan Harith menoleh.

“Fatin?” Aamal berdiri dan memandang adik iparnya dengan wajah terkejut.

Wajah Fatin Amani kelihatan seperti muka yang tidak mesra.

“Fatin buat apa kat sini?” Aamal menghampiri adik iparnya itu.

“Abang Wafi suruh Fatin jemput Kak Aamal. Abang Wafi tak dapat datang. Dia penat.” Fatin Amani menjawab dengan keluhan yang seperti tidak suka berada di situ.

Aamal mengangguk. “Okey, akak ambil barang kejap.”

“Tak perlu banyak-banyak. Nanti-nanti je ambil barang semua tu.”

“Okey, okey.”

Aamal meminta diri untuk masuk ke dalam rumah. Fatin Amani tidak terus mengikut Aamal, sebaliknya dia memandang tajam ke arah Harith.

“Apa?”

“Kak Aamal tu isteri abang saya. Jangan dekat-dekat.”

Harith berpaling dan berlalu begitu sahaja.

Fatin Amani memandang geram ke arah belakang tubuh lelaki yang dia tahu adalah sepupu Aamna, yang bermakna juga sepupu Aamal. Walaupun mereka sepupu, mereka bukan mahram dan masih boleh berkahwin.

Fatin Amani tak suka Aamal dapat perhatian daripada mana-mana lelaki.

“Aamal nak balik dulu ya, mak long.”

“Ya, Aamal. Hati-hati ya.”

Aamal dan Fatin Amani mencium tangan Azizah lalu masuk ke dalam kereta, dan Pak Mat memandu pergi.

“Macam mana keadaan abang? Dia okey tak?”

“Sepatutnya Kak Aamal tak patut tinggalkan abang sorang-sorang kat kubur tadi.”

“Abang yang suruh balik.”

“Tapi sebagai isteri, Kak Aamal kena lebih memahami. Suami tengah tak okay, takkan nak tinggal macam tu je,” marah Fatin Amani, kemudian berbisik perlahan, “Lepas tu lepak dengan lelaki lain pulak tu.”

“Fatin cakap apa tu?” tanya Aamal kerana dia tidak jelas dengar ayat akhir Fatin Amani.

“Tak ada apa-apa,” balas Fatin Amani dengan nada tak puas hati.

Sebenarnya Fatin Amani bukanlah suka sangat dengan Aamal, mahupun Aamna. Dia tidak suka sesiapa yang mendekati abangnya. Dalam masa yang sama dia tidak suka dengan perangai Aamal yang nampak seperti perempuan mudah dengan lelaki.

Aamal juga tak mahu tinggalkan suaminya, tetapi suaminya sendiri yang menyuruhnya pulang. Aamal cuba menjadi seorang isteri yang memahami dengan memberi ruang kepada suaminya.

“Fatin?”

“Hmm…”

Aamal tidak jadi untuk bersuara. Dia hanya mendiamkan dirinya. Dia tahu dia bukan Aamna.

Tanpa sedar, mereka sudah pun tiba di rumah.

“Kitorang tidur sini malam ni.”

Aamal baru nak membalas, tapi Fatin Amani terus keluar dari kereta dan berlari masuk ke dalam rumah.

Pak Mat pula keluar dari kereta dan menurunkan beg dari bonet kereta.

“Tak apa, Aamal. Ingat pesan mak long kamu. Kamu kuat, kamu mesti boleh lalui semua ni.”

Aamal menarik nafas panjang sebelum keluar dari kereta.

Aamal membawa begnya sendiri masuk ke dalam rumah. Di dalam rumah tiada siapa pun di ruang tamu, mungkin semua sudah tidur. Lagipun sudah pukul 12.00 malam. Aamal terus menuju ke biliknya di tingkat dua. Pintu bilik terbuka sedikit. Tidak mahu mengganggu suaminya yang mungkin sedang tidur, Aamal masuk tanpa mengetuk.

Memang benar, Wafi Zahin sedang tidur di atas katil.

Aamal meletakkan beg, kemudian menghampiri suaminya dan membetulkan selimut pada badan suaminya.

“Aamna?” gumam Wafi Zahin.

Aamal berhenti seketika dan merenung wajah suaminya. Mata suaminya masih tertutup, tapi nama Aamna yang disebut. Dia tahu selepas ini hidupnya akan menjadi lebih susah dan akan menjadi tanggungjawabnya untuk menggembirakan Wafi semula.

“Aamna… jangan…” Wafi Zahin memeluk bantal peluknya erat.

Hati Aamal digasak dengan perasaan sedih yang bercampur. Namun di sebalik persahabatan mereka yang sangat rapat ini. Adakah Aamal kuat untuk sentiasa menafikan tentang apa yang dia rasa tentang Wafi dan Aamna.

Entah kenapa dia yakin yang mereka bukan sekadar bersahabat baik, tetapi lebih daripada itu…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience