Teja Untuk Arjuna 2

Short Story Series 2756

“Teja lambat hari ni.” Gadis itu tersenyum mendengar rungutannya. Tanpa berkata-kata, satu bekas makanan berisi nasi goreng berencahkan ayam dihulur kepadanya. Dan dia makan tanpa berbicara.

“Arjuna marah?” Dia menggeleng kepala. Gadis itu masih tekun memerhatikannya yang sudah selesai menyuap makanan.

“Kenapa duduk jauh?” Dia mengesot mendekati gadis itu, dan seperti kebiasaannya, gadis itu menariknya ke pangkuan, dan diusap perlahan kepalanya yang berlabuh di paha gadis itu. Dia senang diperlakukan begitu. Jemari gadis itu dicapai, dikucup dan diletakkan pada dadanya, mata dipejamkan menikmati usapan gadis itu sehingga terlelap.

* * *

“Kenapa dengan jari?” Jemari kecil itu dicapai, ada kesan merah dan terluka pada hujungnya. Gadis itu tersengih.

“Arjuna, hari ni Teja nak Arjuna kenal dengan seseorang.” Wajah gadis itu berseri-seri, namun peliknya hatinya seakan terhiris.

“Sekejap lagi dia datang. Teja minta dia ke mari, Arjuna tak kisah kan?” Dia hanya menangguk kepala. Apa lagi yang boleh dikatakan?

“Tu dia dah sampai.” Gadis itu menariknya mendapatkan satu susuk tubuh lelaki yang sedang berjalan menghampiri mereka dengan wajah ceria.

“Arjuna, ini Abang Tuah. Abang Tuah, ni la Arjuna.” Lelaki yang bernama Tuah itu tersenyum lebar. Dan dia merasakan kedudukan dalam hati gadis itu sedang dirampas oleh lelaki yang bernama Tuah itu. Pedih dan tidak rela.

“Abang Tuah ajarkan Teja main biola. Tapi Teja tak pandai lagi. Nanti bila Teja dah pandai, Teja mainkan lagu untuk Arjuna, okey?” Dia menangguk kepala lagi.

“Teja tak boleh lama, Teja nak belajar cepat-cepat supaya Teja pandai cepat. Nanti lagi cepat Arjuna boleh dengar Teja mainkan untuk Arjuna.” Dia hanya membiarkan gadis genit itu mengusap pipinya. Pedih hatinya melihat wajah gadis itu yang berseri-seri bukan kerana dirinya. Dipandang gadis itu dengan pandangan yang berbalam.

“Arjuna jangan sedih tau, Teja tak pergi mana-mana. Teja belajar main biola je. Untuk Arjuna juga tau. Teja akan datang hari-hari ke sini, Arjuna jangan risau. Teja pegang janji Teja dulu. Teja sayang Arjuna tau.” Dibiarkan saja telapak tangan gadis itu melekap elok pada pipinya, memaksanya memandang tepat pada gadis itu. Satu kucupan pada dahi diberikan kepadanya sebelum gadis itu meninggalkannya mengikuti lelaki bernama Tuah itu.

* * *

Hari – hari menjadi sunyi dengan kehadiran gadis itu yang seperti biskut. Datangnya tiba-tiba, membawa bekal makanan untuknya seperti yang telah dijanjikan, dan menidurkannya seperti selalu. Dia cuba menguatkan diri untuk menerima bahawa kehadiran lelaki yang bernama Tuah itu benar-benar membahagiakan gadis itu.

“Arjuna, Teja minta maaf tau? Bukan Teja sengaja nak tinggalkan Arjuna, tapi Teja cuba belajar cepat-cepat. Teja dah boleh main biola dah tau Arjuna. Nanti esok Teja mainkan Arjuna lagu ya?” Dia hanya menganggukkan kepala. Melihat senyum lebar gadis itu, dipaksa dirinya untuk gembira dengan kegembiraan gadis itu.

Dan seperti yang dijanjikan, petang itu kehadiran gadis itu bersama dengan biola di tangan. Biarpun dia tidak memahami lagu yang dimainkan oleh gadis itu, sesungguhnya dia bahagia kerana ada di sudut hati gadis itu masih mementingkan dirinya. Walau hanya secebis, namun cukup. Besar baginya. Dia sudah pasrah untuk merebut tempat lelaki yang bernama Tuah dalam hati gadis itu.

“Teja tengah cuba nak main lagu yang Abang Tuah selalu main. Lagu tu sedap tau Arjuna, tapi Teja tak pernah dengar pun lagu tu. Arjuna temankan Teja berlatih ya?”

* * *

Berhari-hari gadis itu berlatih tanpa henti. Saban petang dia disajikan dengan lagu yang tidak pernah didengarinya. Dan gadis itu sudah kembali seperti keadaan pertama kali dia bertemu dulu. Tidak berkata-kata, hanya anggukan dan gelengan sebagai jawapan. Dia buntu. Melihat gadis itu sudah meletakkan biola ke tepi, dia menghampiri. Gadis itu tersenyum, namun hambar. Pilu hatinya melihat wajah gadis itu yang sudah kehilangan sinar. Tiada lagi cerita lelaki bernama Tuah itu menjamu bibir mungil gadis itu. Apa yang tidak kena? Ke mana lelaki bernama Tuah itu? Soalan itu hanya dibiarkan bergema di dalam kepalanya. Dia tidak mampu untuk menyuarakannya.

Dari wajah yang suram itu, matanya meluruti jemari gadis itu yang sudah luka-luka. Ada kesan darah pada hujung jemarinya, dan terpalit sedikit pada gaun putih yang dipakainya. Sakit. Dia menghampiri gadis itu. Perlahan tangannya mencapai jemari gadis itu dan diusap perlahan. Seperti tadi, gadis itu tersenyum hambar.

“Sakit?” Gadis itu menggeleng kepala. Dia tidak berhenti mengusap jemari gadis itu dengan harapan rasa sakit pergi menjauh walaupun gadis itu mengatakan tidak sakit. Hujung jemari yang runcing itu sudah keras menunjukkan usaha gigih gadis itu memainkan lagu untuk lelaki yang bernama Tuah itu.

“Jari Teja dah tak cantik kan?” Dia hanya membiarkan gadis itu bersuara. Jemari gadis itu dikucup lembut, luka – luka dijilat dengan harapan luka-luka itu cepat pulih. Dan sejujurnya dia lega apabila gadis itu tidak membantah tindakannya walau permulaannya gadis itu terkaku. Seketika kemudian dia tersentak, perbuatannya terhenti apabila mendengar esakan kecil dari gadis itu.

“Arjuna, Abang Tuah dah tinggalkan Teja.” Dan dia terasa jantungnya terhenti. Sampai hati lelaki bernama Tuah itu meninggalkan gadis itu. Tubuh gadis itu dihampiri, bahu gadis itu ditepuk perlahan. Apa lagi yang boleh dilakukannya? Dan gadis itu semakin kuat teresak. Tubuh gadis itu dibawa rapat ke dadanya, semakin kuat gadis itu teresak. Terasa lembap tubuhnya dengan air mata gadis itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience