BAB 10

Humor Completed 12819

“Assalamualaikum” Seorang gadis terus sahaja masuk dan melabuhkan punggung di hadapan Amyra tanpa menanti salamnya disambut. Wajahnya masam mencuka. Muncungnya panjang sedepa. Amyra tergelak kecil melihat gadis itu. “Kenapa ni, Ika? Bergaduh dengan siapa lagi hari ni?” soal Amyra dengan suara yang lembut setelah menjawab salam dalam hati. Dia memandang Zulaikha dengan penuh kasih seorang kakak. “Midah tu, Kak Myra. Dia cakap Ika tak pandai buat kuih. Dia cakap lagi Ika ni kaki bangku sebab tak pandai guna mesin jahit tu. Benci la kak. Dia selalu kutuk Ika,” adunya dengan wajah tidak puas hati. Kepalanya tunduk sahaja. Amyra menahan gelak mendengar simpulan bahasa yang digunakan oleh Midah pada tempat yang salah itu. “Midah tu memang macam tu. Tapi hatinya baik tau? Mungkin sebab Ika baru lagi di sini, jadi Ika rasa tidak selesa. Perlahan-lahan la, nanti lama-lama mesti okey punyalah. Percaya cakap akak.” Amyra cuba memujuk. Namun, tiada respon dari gadis tinggi lampai itu. Amyra bangun mengambil tempat di sebelah Zulaikha. Dia menarik tangan gadis itu dan menggenggamnya. “Ika, pandang akak. Kalau betul Ika tak pandai buat kuih, akak boleh ajarkan. Pasal mesin jahit tu pun akak boleh mintak Mak Yam tolong tunjukkan kat Ika macam mana nak guna. Ika tak payah la risau. Lama-lama nanti mesti Ika mahir buat semua tu.” Amyra memandang tepat ke arah gadis itu. Zulaikha sudah boleh dijinakkan. Tidak seperti ketika dia mula-mula ditinggalkan di Sinar Iman dahulu. Bukan main dia mengamuk jika ada sesiapa yang memanggilnya Ika. Dia lebih suka panggilan Zulaikha tampak berani katanya. Ika terlalu lembut baginya. Tapi kini tidak lagi. Dia sudah mula selesa dengan Ika. Tiba-tiba Ika memeluk Amyra. Amyra tersenyum mengucap syukur dalam hati. Sambil itu tangannya mengusap lembut kepala Ika. “Jom, kita tolong kawan-kawan buat kuih,” usul Amyra. Ika meleraikan pelukan dan lantas matanya menjilat keseluruhan wajah bujur sirih itu. Dia tersenyum sambil menarik tangan Amyra. Amyra memerhatikan Midah menggoreng donut dalam kuali. Ada gaya. Patutlah dia selalu sahaja mengejek Ika. Amyra merapati gadis itu. Sudah hampir satu tahun Midah dalam jagaan Sinar Iman. “Midah, nanti dah siap semuanya angkat masuk dalam kereta akak okey?” “Yelah. Kak Myra, hari ni lebih sikit kuihnya. Semalam Kak Mai restoran tu mintak buat lebih sebab selalu je tak cukup. Pelanggan yang lewat mesti kempunan,” Midah memberitahu dengan penuh semangat. Gembira benar nampaknya apabila semua hasil jualan laris.
Sebenarnya, remaja di sini diasuh untuk melakukan pelbagai kerja. Mereka dilatih untuk hidup berdikari. Mereka menyediakan hidangan harian secara bergotong-royong selain mencuci pakaian mereka sendiri. Mereka turut dibantu oleh Mak Yam, seorang wanita 40-an yang turut menguruskan remaja di situ. Mak Yam adalah antara kakitangan yang terpenting.

Dia mengajar mereka menjahit, memasak dan membuat kuih. Kuih donut adalah salah satu daripada lima jenis kuih lain yang dipasarkan di kedai dan pasaraya berhampiran Sinar Iman. Hasil jualan kuih ini adalah bertujuan untuk menampung perbelanjaan harian remaja di sini. Begitu juga dengan pendapatan hasil tempahan baju. Semuanya akan digunakan untuk membeli makanan basah dan kering, pakaian serta kelengkapan yang lain.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience