Bab 2

Romance Completed 26635

“Baya.” Suara garau yang memanggil namanya membuatkan Nurbaya terus kaku. Tangan yang baru hendak membuka pintu kereta keras di situ. Dia tidak berani berpaling. Nurbaya kenal sangat dengan suara itu walaupun sudah sedekad tidak mendengarnya. Tidak pernah berubah nadanya. Sinis dan menakutkan. Jantungnya yang sudah kembali normal sekali lagi berdegup kencang. Matanya liar memerhati keadaan sekeliling. Suasana agak sunyi dan keretanya yang diletakkan di tempat agak tersorok. Memang menempah penyakit.

“Baya. Dah tak sudi nak tengok muka aku ke?”

“Sa..sa..saya bukan Baya. Encik salah orang. Saya kena balik dulu.” Pantas dia menjawab tanpa berpaling. Pintu kereta terus dibuka tetapi sepantas itu juga Fikri menutup kembali.

“Kau tak pandai menipu Baya. Kau ingat aku tak nampak kau depan MPH tadi.” Nurbaya masih tidak berpaling. Nafas Fikri dirasakan amat dekat. Serta merta peristiwa 10 tahun lalu kembali bermain diingatan.

“Betul encik. Saya bukan Baya. Tolonglah encik. Saya nak balik.” Nurbaya masih cuba merayu. Masih lagi tidak berpaling.

“Kalau kau bukan Baya, agaknya birthmark kat bahu sebelah kanan kau pun tak adalah ye?” Umpan Fikri kali ini mengena. Nurbaya segera berpaling dan…’pang’. Pipi kiri Fikri menerima habuan. Mata Nurbaya sudah berkaca. Cuma menanti masa untuk luruh.

“Apa kau nak setan?” Makinya dengan suara yang bergetar menahan sebak apabila disedari Fikri mahu mengungkit kisah lalu.

“Aku nak kau.” Tegas Fikri menjawab. Sekali lagi pipi kirinya menerima tamparan.

“Tak jemu-jemu lagi kau nak musnahkan hidup aku, ha? Kau jangan ingat aku ni tak ada harga diri. Kau pergi berambuslah Fikri. Jangan harap aku nak terima kau. Aku dah ada orang lain.” Tegas Nurbaya menjawab sambil matanya memandang tepat ke wajah Fikri.

Namun keberanian itu tidak lama. Tindakan Fikri yang semakin mendekatinya membuatkan Nurbaya kecut perut. Dia tersandar pada kereta dan kedua-dua tangan Fikri berada di kiri dan kanannya. Tiada cara untuk dia melarikan diri.

“Kau jangan harap dapat larikan diri daripada aku. Aku dah sentuh kau. Aku tak akan benarkan lelaki lain sentuh kau.” Fikri bersuara tegas. Dia tiba-tiba menggeselkan hidungnya pada hidung Nurbaya dan tanpa disedari aksi itu sudah terakam dalam telefon bimbit lelaki itu.

“Hujung bulan ini aku akan hantar pinangan. Kalau kau berani menolak, gambar ni akan sampai ke tangan mak, ayah kau. Kawan-kawan kau. Apa agaknya reaksi ayah kau bila dapat gambar ni? Aku juga akan hebahkan apa yang terjadi 10 tahun lepas. Bagaimana aku tahu kat bahu kanan kau ada birthmark. Apa agaknya pandangan orang kampung? Anak dara Dr Haji Zainudin main laga hidung dengan lelaki bukan muhrim? Sekarang kau boleh balik tapi ingat apa akan jadi kau berani tolak pinangan aku, Baya.” Selesai melontarkan ugutan itu, Fikri menarik tangannya dan Nurbaya pantas masuk ke dalam kereta dan memecut laju. Airmatanya bagaikan tidak mahu berhenti. Buat kali kedua, lelaki itu muncul membawa bersama penderitaan untuknya.

Senyuman sinis yang sengaja dilemparkan kepada Nurbaya lenyap bersama deruman enjin kereta gadis yang semakin menjauh. Fikri mengeluh lemah.

“Maafkan aku Baya. Cukuplah sekali aku hilang kau. I’m not going to lose you again. Maafkan aku kerana terpaksa guna cara kotor untuk dapatkan kau. Aku dah tak ada cara lain.” Dia berkata sendiri sambil melangkah menuju ke arah keretanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience