BAB 6

Romance Completed 4092

“Maaf, saudara,” ucapku perlahan sambil meneguk air liur. Perasaan aku ketika ini sungguh berdebar-debar. Dia masih membelakangi aku. “Nombor saudara ni lima ke?” soalku lagi. Apabila terdengar ada orang menegurnya, Syed Aidil pantas berpaling memandangku.

“Ya, benar,” balasnya lembut. Sebaik sahaja dia memandang wajahku, tiba-tiba dia terbatuk-batuk kecil lalu membesarkan matanya.

“Eh…badak air. Apa yang kau buat kat sini, hah?” soalnya sedikit keras. Walaupun nada suaranya tidak berapa kuat, namun masih dapat didengari oleh pelajar-pelajar yang lain.

Aku tidak mempedulikan pandangan orang lain ketika itu. Apa yang lebih penting, aku perlu berhadapan dengan bapa naga yang perasan hensem ini terlebih dahulu. Rasa geram kerana dia masih memanggilku dengan nama badak air, membuatkan aku bertambah sakit hati. Dia ini memang lelaki sombong yang sukar sangat nak maafkan kesalahan orang lain. Apa lagi yang tak beres sebenarnya? Hati kecilku bertanya-tanya.

“Tak payah nak ambil tahulah kenapa aku kat sini. Mulut kau tu jaga-jaga sikit, ya. Jangan suka hati saja nak panggil aku badak air. Apa lagi yang kau tak puas hati kat aku, hah?”herdik aku pula.

Aku cuba mengawal nada suara agar tidak terdengar oleh pelajar lain. Jarak aku dengannya hanya beberapa meter sahaja. Mujur, suaraku agak perlahan untuk menutup rahsia antara kami berdua. Memang dasar bapa naga betul mamat ini tau, kutukku dalam hati.

“Ish, memang badan kau macam badak air. Dahlah muka macam badut tak siap, ada hati nak tegur aku pula. Pergi mampuslah.”

Amboi, sedapnya dia mengutuk aku. Ish, geramnya aku. Ada orang yang nak makan sup terompah ni kejap lagi. Panas betul hati ini apabila Syed Aidil menyamakan aku dengan badak air. Lagi-lagi, perkara itu juga yang dia nak sebutkan. Yang paling aku geram, dia sanggup kata muka aku macam badut tak siap. Kau ingat, muka aku ni tak laku sangat ke, hah?

“Eleh, muka kau tu lagi teruk macam bapa naga tau tak. Perasan hensem,” sindirku lagi tepat ke mukanya.

Oleh kerana tidak tahan mendengar sindiranku, akhirnya dia berlalu pergi ke arah ahli kumpulan kami yang lain. Aku malas nak ambil pusing lagi. Kalau ikutkan sangat rasa marah aku ini, tak pasal-pasal kecoh satu kolej ini nanti. Namun, apabila teringatkan semula kata-kata ibu pagi tadi, hati aku kembali sejuk seperti sediakala.

Tidak ada gunanya aku melayan manusia cetek akal macam Syed Aidil itu. Buang masa dan tenaga sahaja. Rancangan Syima awal pagi tadi seolah-olah memaksa aku untuk cepat-cepat melaksanakan misi jahat aku kepadanya. Buat apa aku nak berbaik-baik dengan dia.

Aku perlu berbuat sesuatu untuk memulihkan keadaan. Biar dia tahu diri nanti. ‘Tak mengapa, Yasmin. Nombor lelaki sombong itu, kan sudah ada kat dalam simpanan kau. Kalau boleh, malam ini kau terus jalankan misi rahsia kau tu. Jangan lambat-lambat, nanti menyesal.’

Suara halus dari hati kecilku bergema lagi di sanubari. Malam ini, aku akan memulakan misi aku itu. Semakin lama aku berdiam diri, semakin mudah Syed Aidil nak pijak kepala aku. Sebelum keadaan menjadi lebih parah, lebih baik aku bertindak cepat. Lelaki sombong itu perlu diberi pengajaran supaya tidak merendah-rendahkan martabat orang lain seperti aku. Kau tunggu sajalah, Syed Aidil. Aku akan hadir dalam hidup kau tidak lama lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience