Dengungan irama memenuhi layar, semakin kuat dan galak menyentuh gegendang telinga dengan lembut.
Dari tepi rumah batu, seorang lelaki berbaju perisai muncul. Larian kaki yang laju terus menendang pihak lawannya. Apabila ada yang menyerang atas, dia menunduk dan mematahkan kaki mereka. Sesiapa yang menyerang bawah akan dipenggal kepalanya.
Bagai seekor harimau bintang, Antoninus tangkas bermain dengan mangsanya. Setiap serangan, tiada yang dapat lari dari hunusan pedang lagenda itu.
"Ketua!" seorang pahlawan mara mencampuri pertarungan satu lawan satu dengan ketua pasukan.
"Pergi dari sini!" gesaan tegas itu penuh kebimbangan.
"Tidak." pahlawan bersifat degil itu laju menghunus pedang, menghalang jeneral kejam itu terus menjatuhkan ketuanya. Peringatan ketuanya supaya membawa kumpulan wanita dan kanak-kanak ke utara telah dilaksanakan awal. Keselamatan kumpulan kecil itu telah dijamin di luar sempadan negara. Kini, dia kembali untuk membantu pasukan pertahanan di kubu kecil mereka.
Hadrian menolak ketuanya ke tempat selamat sebelum pedang dihunus ke arah jeneral itu.
Antoninus melangkah setapak, kemudian mara dengan kuat. Tangan dilibas ke kepala Hadrian namun sempat dielak menyebabkan posisinya terdedah.
Hadrian mengambil kesempatan memotong tangannya, walaupun Antoninus sempat mengelak, luka tetap terhasil dan darah pekat mengalir dari atas bahu hingga ke bawah lengannya. Belum sempat memproses serangan itu, wajahnya dipotong tetapi sekali lagi sempat dielak dan serangan itu hanya memotong sedikit kulit pipinya sehingga darah mengalir keluar.
Antoninus terketawa. "Akhirnya, lawan yang sepadan. Apa nama kau?"
Hadrian menyerang dengan ganas. Hanya apabila kakinya dikuis lawan, dan dia jatuh ke tanah, dia menjawab pertanyaan itu. "Kau tidak layak untuk tahu nama aku."
Antoninus yang berang dengan jawapan itu dengan pantas menyerang balas lebih ganas.
Hadrian menutup helmet yang ingin terbuka. Antoninus yang perasan membuat kesimpulan bahawa wajahnya ialah satu kelemahan. Dia laju menukar strategi dan mula menyerang bahagian kepala.
Hadrian melompat jauh. Antoninus tidak berhenti menyerang dengan sengaja menujah bahagian kepala!
Apabila Hadrian terleka dengan tujahan berterusan, Antoninus dengan tangkas menyerang kaki lawannya itu.
Hadrian tersungkur, helmetnya terkuis. Segera dia ingin menutupnya tetapi Antoninus menikam tangan itu dan laju menarik helmet yang menutupi wajah.
Wajahnya terbakar, dengan luka panjang di mata kanan. Rambut pahlawan itu diikat tinggi dengan tali baju, dan sebelah telinga sedikit putus. Pahlawan itu kelihatan kasihan, tetapi Antoninus tidak ingin bersimpati.
"Ini saja peluang kau untuk diingati. Apa nama kau?"
Jawapan egois sama yang diberikan. Kali ini bukan suara keras yang kedengaran, tetapi suara yang mengembalikan kenangan silam. Suara yang seakan dikenali Antoninus.
Teringatkan memori lampau, Antoninus tidak terus membunuh pahlawan itu tetapi kedua kakinya dipijak sehingga patah.
Jeritan kuat Hadrian memenuhi dataran perang itu.
Antoninus berpaling melihat kejayaan tenteranya. Kemudian dia kembali melihat pahlawan saingannya, kini sudah tahap nyawa-nyawa ikan.
Tiba-tiba seorang tenteranya datang dengan berita tidak disenangi. Tentera risikan telah kembali dengan panglima perang atasan!
Panglima perang atasan itu melangkah gagah ke tengah medan tempur, hunusan pedangnya tajam dan cepat.
"Jeneral Antoninus."
Antoninus menoleh, langsung memberi tanda hormat.
"Kenapa tikus ni masih hidup?" tangan Hadrian yang luka dipijak kuat.
Erangan nyaring yang kedengaran dianggap muzik di telinga.
"Hukuman akan segera dilaksanakan." Antoninus menjawab.
"Tidak usah terlalu menekan pada polisi. Habiskan dia di sini sementara tentera kau lakukan rondaan. Kita akan balik ke markas secepat mungkin."
"Baik."
Antoninus tidak teragak-agak ingin menikamnya, sebelum dia melihat gelang kayu di pergelangan tangan pahlawan itu. Spontan bibirnya menyeru, "Adriana?"
Mata mereka bertembung. Merenung mata coklat itu, maka Antoninus berhenti menikam.
Panglima perang atasan melihat ini sebagai satu kelemahan. "Kau kenal tikus ni?"
Hadrian yang mengetahui konspirasi yang tidak diketahui Antoninus mulai risau. Dia melarikan matanya dan laju memberi alasan, "Untuk membunuh wanita yang lemah itu dan mengambil perhiasannya bukanlah sesuatu yang sukar."
Antoninus berang mendengar kata-kata cabul pahlawan itu, menikam jantungnya berkali-kali.
Hadrian menahan air matanya daripada mengalir, akhirnya terlepas jua setelah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Dialu-alukan untuk share.
Share this novel