MEMANDANGKAN Pak Deris tiada kereta, kereta masuk bengkel terpaksalah Adlia menebalkan mukanya dengan meminta bantuan Mamat. Adlia terpaksa walau dia kurang selesa dengan orang tua tersebut yang seringkali cuba mengambil kesempatan memegang mana-mana bahagian tubuhnya dengan alasan tidak sengaja!
Dari jauh, Adlia sudah dapat nampak kereta Proton Saga warna merah yang sedikit kusam warnanya. Adlia dengan segera memapah ibunya supaya Mamat tak perlu naik ke rumah. Mak Ziah, Adlia arahkan agar memegang bahunya dengan kuat. Mak Ziah mencubanya walau dia sakit kuat.
Salah dia juga terlupa nak beli ubat, ubat sudah habis tapi dia tidak boleh meminta bantuan anaknya itu kerana Adlia tidak tahu tentang sakitnya itu, sudah lama. Mak Ziah sengaja merahsiakannya. Dia tak mahu fikiran anak tunggalnya itu terganggu semasa masih bersekolah.
Sehingga kini...
Masih di rahsiakan. Biarlah dia sahaja yang menanggungnya. Mak Ziah tak mahu Adlia semakin penat dengan ke sana dan ke mari. Sepatutnya Adlia menyambung pengajian memandangkan SPM 1999, Adlia mendapat pangkat satu namun kerana kehidupan mereka seperti ini...
Adlia sendiri yang enggan, dia mahu membantu Mak Ziah dalam perniagaan kuih-muih serta sawah padi yang sekangkang kera itu. Itu sahaja arwah hadiahkan buat mereka berdua sebelum dia meninggal dunia.
Keluar sahaja dari dalam kereta. Mamat sudah tersengih-sengih dengan melajukan langkahnya ke arah mereka berdua. Dia menapak ke sebelah kiri lalu spontan dan sengaja dia letakkan tangannya atas tangan Adlia kononnya mahu membantu memimpin bakal mentuanya itu!
Adlia terpaksa menahan sabar serta amarah dengan tindakan Mamat atau Pak Cik Mamat songkok senget. Memandangkan dia sedang memimpin Mak Ziah. Setelah sampai, Mamat terus membuka kereta sebelah belakang. Mamat mahu masukkan bakal mentuanya itu ke dalam tanpa bantuan Adlia, biar dia seorang yang melakukannya. Adlia memusingkan tubuh ke arah sebelah, juga di tempat duduk belakang.
“Adlia duduklah depan sebelah abang,” ujar Mamat sempat lagi dia mendongak serta membiarkan Mak Ziah antara baring dengan tidak di atas bangku tempat duduk belakang.
Adlia geli-geleman mendengarnya. Tak padan dah ada tiga isteri masih lagi menggatal. Lelaki seperti itu yang Loyah mahu Adlia jadikan sebagai suami?
Mamat kembali semula menunduk. Adlia tetap kaku di situ namun dek kerana Mamat sedang menunduk, Adlia dengan langkah pantas bergerak ke arah tempat duduk belakang juga iaitu pintu sebelah Mamat tutup sahaja pintu, Adlia terus buka pintu dan masuk ke tempat duduk belakang.
Mamat tidak boleh buat apa lagi sekadar mengeluh. Menapak ke arah depan tempat duduk pemandu buka pintu dan masuk.
‘Takpe, takpe hati perempuan bagai kerak...’ bisik hati kecil Mamat yang sedang menghidupkan enjin sambil tersenyum sebelum dia memandang cermin atas kepalanya. Terus dia kenyitkan mata sebelah kanan pada Adlia yang masa itu tak sengaja terenung cermin.
Terus Adlia melarikan pandangan. Mamat terus menekan minyak. Adlia hela nafas kelegaan. Dia sudahlah risau akan keadaan ibu boleh pula lelaki bersongkok senget itu bermain mata dengannya. Tahulah isteri-isteri tiada di sebelah!
“Bu, bertahan ya ibu... kita nak pergi dah ni,” ujar Adlia perlahan. Manakala Mak Ziah pula hanya mampu mengangguk dengan lemah tanpa bersuara. Adlia pula serba-salah sekarang ini. Adakah dia perlu menelefon saudara-mara atau pun tak?
‘Telefon sahajalah bila sampai nanti, mereka nak lawat ke tak terpulang, janji aku dah bagi tahu.’
Setelah kereta Mamat sudah jauh. Remy dan Pak Uda tauke warung pula hadir ke rumah Adlia, bila Pak Uda melihat keadaan gadis itu tergesa-gesa seakan ada sesuatu yang berlaku. Jadi, setelah menutup kedai lebih awal dia minta Remy pergi sekali dengan dia ke rumah Adlia.
Remy meletakkan raga atas pangkin serta melihat keadaan rumah kosong, pintu tertutup.
Pak Uda tahu memang ada kecemasan. Langsung dia mengeluarkan telefon jenama Siemens dan mencari nombor telefon Adlia. Remy pula makan hati, orang tua itu pun ada telefon sedangkan dia anak muda tak ada.
‘Tak boleh jadi ni, aku mesti minta bapak aku duit nak beli telefon yang sekarang orang tengah dok heboh tu.’
Pak Uda terangguk-angguk sambil mengeluh. Remy makin mendekat. Dia mahu dengar sama. Setelah pihak sana menamatkan percakapan, terus dia tutupkan telefon bimbitnya dan masuk ke dalam poket seluar slack sentengnya itu dan mengarahkan Remy untuk ikut dia ke hospital, Mak Ziah sakit.
Dengar sahaja tentang itu Remy dengan laju mengangguk. Bakal mak mentua sakit tu!
Setelah sampai, Mamat laju keluar dahulu dan menemui jururawat yang sedang mahu keluar itu dengan menyatakan ada orang sakit tenat dalam kereta dia itu. Jururawat terus mengarahkan beberapa orang ahli paramedik membantu dia. Mereka berlari ke arah tempat duduk belakang.
Buka pintu tanpa sempat Adlia bersuara. Ahli paramedik itu dengan berhati-hati serta pantas menarik keluar Mak Ziah untuk diletakkan atas stretcher. Pabila tubuh Mak Ziah sudah mereka baringkan, dengan laju mereka menyorong katil beroda itu ke arah bilik kecemasan.
Mamat mengarah Adlia untuk pendaftaran dahulu dan Adlia akur serta ikut sahaja apa yang Mamat pinta. Dia tidak tahu sangat tentang prosedur. Maklumlah, semasa arwah bapanya meninggal dia masih lagi kecil dan arwah tak meninggal di hospital pun.
Segalanya dilakukan dalam rumah papan itulah. Dari memandikan jenazah sehingga di solatkan. Mungkin ruang depannya terhad namun Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar menurut kata Mak Ziah dahulu.
Di meja pendaftaran, Adlia hanya mampu melihat setelah dia memberikan kad pengenalan ibunya itu. Dalam hati, Adlia merasa kagum dengan simpati yang lelaki tua itu berikan pada ibunya.
Kerana Mamat mahu mengambil hati seorang Adlia untuk dia sunting menjadi bidadari rumah yang keempat!
“Sayang, mari kita duduk di ruangan menunggu,” ujar Mamat tanpa segan memanggil gadis sunti tersebut dengan panggilan sayang. Merah pipi Adlia saat mata jururawat itu tertunak pada dia.
‘Hai lah muda beno isteri, dia nya tua. Entah-entah bini muda’ Hati kecil jururawat yang sedang memasukkan maklumat ke dalam komputer berbisik mengumpat. Adlia sempat berpaling belakang semula bila dia lihat susuk tubuh tersebut.
Remy sudah nampak wajah kesayangan hambanya lalu dia mencuit tangan Pak Uda. Mereka yang baru sampai terus meluru mengikuti Adlia serta Mamat. Remy merasa tercabar dengan kehadiran Mamat OKB itu.
Bukannya dia tak pernah dengar, Mamat mahu menyunting bunga taman hati dia itu untuk di jadikan isteri keempat. Remy meminta Pak Uda supaya laju jalannya kerana dia tak sanggup meninggalkan Adlia dengan Mamat sahaja.
MATA Adlia dan matanya saling bertatapan buat seketika pada masa gadis berbaju kurung lusuh itu sedang melalui di hadapan dia yang tak sengaja mendongak itu. Tertegun dia sebentar dengan redup pandang mata Adlia sebelum dia menunduk semula dan Adlia juga memalingkan wajahnya ke depan semula tanpa ada rasa apa-apa.
Dalam hatinya kini, dia risaukan akan keadaan Mak Ziah yang sakit secara tiba-tiba itu. Mesti ada sesuatu yang berlaku, ketika dia tiada di rumah. Jika tidak, tak mudah juga ibunya itu mahu tumbang. Mak Ziah seorang yang kuat dan cekal. Adlia amat tahu tentang perkara tersebut.
Tak sempat melabuh punggung mereka berdua ditegur oleh Pak Uda dan Remy. Remy pula mencelahkan dirinya antara Adlia dengan Mamat biar pun menerima jelingan dari Mamat songkok senget. Pak Uda dan Adlia pula saling berbicara dan mereka berdua iaitu Mamat dengan Remy berbicara dengan panahan mata masing-masing.
“Sabar Lia, Pak Uda yakin mak kamu tu tak apa-apa. Mak kamu tu kuat orangnya.”
“Betul apa Pak Uda katakan tu, Lia. Abang Remy yakin mak tak apa-apa.”
Mendengar sahaja sebutan ‘mak’ yang Remy lafazkan tanpa segan membahangkan lagi hati Mamat. Mamat pasang tekad dia harus cepat bertindak sebelum bunga milik dia itu dirampas oleh Remy mahu pun jantan lain.
Mamat tak rela!
Dia harus cari Loyah!
Wanita gemuk itu, harus dia tambahkan lagi jumlah sogokkan duitnya!
BAB 3
WALAUPUN doktor telah mengesahkan Mak Ziah hanya mengalami sakit dada akibat tekanan. Adlia tetap merasa ada yang tidak kena. Selama ini, Mak Ziah tidak sedikit pun menunjukkan sebarang tanda-tanda dia sedang mengalami tekanan. Mahu pun merusuh.
Marah-marah juga tiada. Entah kenapa, fikiran Adlia jauh melayang. Dan wajah-wajah yang sedang terpampang di layar mindanya itu, yang paling membuatkan dia rasa sesuatu adalah Mak Cik Loyah, penjual kain!
Masih segar lagi di kotak ingatannya...
‘Ziah, Ziah sampai bilalah kau nak bela budak tu. Bagi je dia kawin senang. Bukannya budak kecik lagi...’
‘Kau ni Loyah, anak aku tu sekolah lagi... tahu tak? Nak amik SPM tahun ni...’
‘Huh, macam lah anak kau tu pandai melangit, last-last masuk ceruk dapur jugak dia. Kau tu yang susah-susah nak jaga dia...’
‘Dah la dia tu a...’ Tak sempat Loyah sambung kata-kata pedas dia itu, Mak Ziah dengan pantas membuat isyarat tutup mulut.
Kini semula...
Adlia tertanya-tanya sehingga ke saat itu...
“Kenapa makcik Loyah tu macam tak sukakan aku jer? Nak kata aku ada buat apa-apa kesalahan pada dia pun, tak juga. Kenapa dia benci sangat pada aku? Ibu pun ibulah... kenapa nak berahsia sangat dengan aku?” bebel Adlia seorang diri.
“Cik Adlia ke ini?” tegur satu suara. Adlia dari meliarkan pandangan ke segenap sudut dari arah bangku tempat dia menunggu, seraya bangun kerana di depan dia itu doktor.
Dari jauh Mamat serta Remy seakan saling melajukan langkah masing-masing. Di tangan mereka juga ada bungkusan nasi bungkus serta air. Pak Uda pula ke tandas sebentar. Seandainya dia nampak perlumbaan dua orang lelaki sudah tentu-tentu dia gelengkan kepala sahaja.
Berebut bunga kampung nan sekuntum!
“Puan, kemungkinan esok sudah boleh balik. Tapi, malam ni dia perlu kami pantau dahululah. Boleh?” soal doktor berwajah ayu itu. Remy dan Mamat sama-sama sampai di tepi Adlia, turut serta memasang telinga.
"Boleh tak saya mahu temankan ibu?" soal Adlia resah. Tak akan dia nak balik seorang diri. Sudahlah, jarak pekan masuk ke kampung serta jalan ke rumah dia itu berbatu. Kalau ada Pak Deris tadi, boleh juga Adlia, minta tumpang tidur memandangkan ada anak isterinya.
Kenal rapat dengan ibunya itu. Jadi Adlia tak rasa segan. Dia lebih sanggup bermalam di rumah orang lagi dari terpaksa menahan telinga, mendengar bebelan mak-mak saudaranya.
“Bukan saya tak bagi dik... tapi ibu adik tu, kami letakkan dalam bilik kecemasan sahaja. Bilik tu memang tak di benarkan sesiapa pun menemani pesakit, ruangan terhad, kan?” sambung doktor berwajah ayu itu. Adlia mengangguk dan dia faham.
‘Hai lah Adlia ku sayang, kalau lah Adlia terima lamaran abang... tak ke jadi macam ni. Abang boleh je temankan Adlia...’ Hati kecil Remy terus berkata-kata sambil mata tak berpaling langsung dari memandang Adlia.
‘Sayang abang, kalau abang tahu... dah lama abang pinang kau sayang’ Mamat songkok senget pula berbicara dalam hati.
Adlia lantas melabuhkan punggungnya atas bangku penunggu. Termangu seketika. Bagaimana dia mahu pulang sedangkan dia keseorangan. Takkan dengan Remy|? Pak cik songkok senget tu, memang tadi dia menumpangnya tetapi ada ibu, sekarang dia dah seorang diri?
“Abang, ada beli makanan ni. Abang tahu tentu Lia lapar. Ambil makan dahulu,” ujar Remy dengan segera dia membuka bekas polisterin lalu dia hulurkan pada Adlia. Adlia memang lapar dia merenung Remy buat seketika. Remy mengangguk.
Manakala Mamat pula tahan marah, plastik digenggam seerat mungkin. Dia juga ada belikan makanan untuk wajah kesayangan hambanya itu tapi Remy yang mendahului.
‘Tak apa Mamat, tenang...’ getus sukma yang agak merana itu. Namun tak lama kemudian, muncul mentol atas kepala Mamat.
“Adlia balik sahaja dengan abang Mat ya. Jangan khuatir abang tak akan buat apa-apa dekat gadis kesayangan hamba abang ni. Abang hantar Adlia balik rumah Adlia, nanti abang minta salah-seorang pekerja abang temankan Lia di rumah, mahu?”
Remy pula menahan amarah. Kecil besar sahaja orang tua bersongkok senget itu di mata Remy.
“Biar dia balik dengan aku,” celah Pak Uda melebarkan senyuman Remy. Mamat pula membuat muka kurang bersetuju. Dah kenapa pula?
“Tadi ada Mak Ziah. Sekarang ni, Adlia seorang. Gadis sunti pula tu. Kamu tu laki orang. Tak manis. Biar dia balik dengan aku. Lia, kamu tidur rumah Pak Uda, Mak Uda kamu ok saja.”
Adlia tersenyum serta berasa amat lega walau tak sepenuhnya memandangkan dia akan pulang dengan Remy. Biar pun, Pak Uda pemandu. Segan juga dia dengan mereka berdua itu.
“Adlia, makan dulu,” ujar Pak Uda meminta Remy pergi beli makanan mereka pula. Sementara itu, Mamat mengambil kesempatan yang ada, merenung Adlia makan. Kenyang dia kini walau sekadar melihat wajah ayu milik Adlia.
“Mat oii! Tak sejuk ke nasi kamu tu? Kenyang tengok?” Pak Uda menyindir membuatkan rona muka Mamat Songkok Senget bertukar merah. Tahan malu. Kelam-kabut dia minta diri mahu pulang memandangkan tiada guna tunggu lagi.
“Kirimkan salam aku pada Arfah, Suhara dan Rayya,” sindir Pak Uda sengaja menuturkannya dalam nada menekan serta di kuatkan untuk Adlia dengar dan empunya tubuh yang makin mencuka roman wajahnya itu.
“Herm...Yalah!” sahut Mamat antara ikhlas dengan tidak sahaja. Pak Uda sudah tersenyum kerana tidak mampu nak bertahan lagi. Bila Adlia yang sudah habis makannya itu menoleh. Barulah dia berubah raut semula.
“Kalau kamu nak lawat sementara kami tengah makan ni, pergilah dahulu,” ujar Pak Uda apabila Remy sudah datang dekat sambil menghulurkan makanan. Adlia yang sudah mahu ke tandas itu terus mengangguk. Dia sempat memandang ke arah Remy. Remy kenyit mata. Mengaduh sakit apabila ketam Pak Uda dapat kepit pahanya.
Nasib paha kalau yang tu...
Adlia membuka langkah gontai menuju ke arah tandas dahulu sebelum terus ke wad kecemasan.
“Apa Pak Uda ni sakitlah orang!” keluh Remy seraya menyapu-yapu pahanya yang sakit akibat cubitan kuat orang tua sebelah dia itu.
“Itu makannya. Gatal sangat! Naik ketumbit baru kau tahu.”
“Hai Pak Uda, bila masanya saya intai anak dara orang?” soal Remy yang sudah membuka bekas polisterin dan menyudu nasi. Belum sesuap masuk ke mulut dah kena lagi.
“Ingat tadi kamu sakit mata sebab mengintai anak dara orang asyik terkenyit-kenyit pada Adlia tu...” sela Pak Uda lalu menyuap nasi ke dalam mulut. Remy tahan geram. Buka mulut luas-luas dan ngap!
“IBU, Lia minta diri dulu ya,” pamit gadis berkurung lusuh itu setelah setengah jam menemani si ibu dalam wad kecemasan.
“Kalau ada Deris ibu tak risau sangat. Lia balik dengan siapa nanti?” soal Mak Ziah resah jikalau anaknya itu kata akan pulang dengan Mamat Songkok Senget. Sudahlah di rumah tiada sesiapa yang menemani anaknya itu.
Adlia panggung kepala setelah menyalami tangan ibunya itu sambil tersenyum.
“Pak Uda ada sekali ibu. Dia datang dengan Remy ke rumah selepas kita gerak untuk hantar raga kuih. Pak Uda telefon Lia, Lia cakaplah Lia berada di sini ibu rebah.”
“Pak Uda minta Lia tidur rumah dia. Dia dah minta izin Mak Uda,bu...” terang Adlia lagi. Mak Ziah menghelakan nafas lega setelah mendengarnya. Bersyukur sangat-sangat.
“Elok sangat-sangatlah tu Lia...” sahut Mak Ziah. Adlia memaut semula tangan si ibu lalu memberitahu esok dia akan datang semula bawa Mak Ziah pulang. Mak Ziah mengangguk dan tersenyum. Namun jauh dalam sudut hatinya kata-kata doktor serta Loyah memburu kembali.
Mak Ziah yang meminta doktor yang merawat dia tadi agar jangan beritahu perkara yang sebenar mengenai penyakitnya itu. Cukuplah sekadar cakap tekanan. Selagi tubuhnya itu mampu bertahan dengan sakitnya itu. Selagi itulah dia zipkan mulutnya.
Adlia tersenyum seraya melepaskan pegangan tangan dan mulai membuka langkah ke arah pintu manakala Mak Ziah hanya mampu menemani anak gadis pinggitannya itu dengan renungan sayunya sahaja.
‘Ya Allah, aku benar-benar berharap agar ada insan baik hati, sudi serta dapat menjaga anak aku tu... seandainya aku tiada...’
BAB 2 DAN 3
Share this novel