BAB 5

Romance Completed 4092

PROGRAM Minggu Wawasan Siswa pada pagi itu berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Terdapat lebih kurang 85 orang pelajar hadir mengikuti program ini. Kebanyakkannya pelajar perempuan yang memonopoli jumlah itu. Manakala bagi pelajar lelaki pula hanya ada 30 peratus sahaja.

Dari jauh, aku nampak Fuad sudah duduk bersama pelajar-pelajar lelaki yang lain. Kasihan pula aku tengok dia. Nasib baik dia agak peramah orangnya. Mudahlah bagi dia mencari kawan baru di kolej masakan ini.

Di sebalik keriuhan pelajar yang asyik berbual sesama sendiri, aku sibuk mencari kelibat Syed Aidil di situ. Aku yakin, dia sudah tiba bersama pelajar-pelajar yang lain. Kat mana pula dia duduk ni? Takkanlah tak sampai lagi. Ah, biarlah dia. Mesti dia ada di situ, cuma aku saja yang tidak perasan kehadirannya.

Aku dan Syima sempat juga berkenal-kenalan dengan kawan perempuan di sini. Ada juga di antara mereka ramah-ramah belaka. Hanya ada segelintir sahaja pelajar yang kelihatan sombong terutama gadis gedik, kekasih Syed Aidil itu.

Aku menyampah melihat tingkahnya yang perasan cantik itu. Mentang-mentanglah muka macam model, tak payahlah nak tunjuk lagak. Meluat benar aku dengan sikapnya. Walaupun dia bertudung, namun aku dapat cam lagi wajahnya. Kalau dulu, aku tengok dia tidak bertudung semasa datang ke tempat aku bekerja tempoh hari. Mungkin kerana kolej ini mewajibkan pelajar perempuan memakai tudung, sebab itu dia terpaksa memakai tudung. Kalau tidak, aku yakin dia sendiri pun tak mahu bertudung.

“Perhatian semua!” Lamunanku terhenti seketika apabila terdengar suara Fasilator sedang berucap di hadapan. Aku memberikan perhatian penuh kepada ucapannya itu supaya tidak salah menerima arahan selanjutnya.

“Sebentar sahaja lagi akan diadakan program suaikenal di antara kamu semua. Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama pelajar tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan. Cuma ada batas-batas yang perlu dijaga antara kalian semua. Sebagai permulaan, saya selaku ketua Fasilator di sini akan memperkenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya ialah Mohd Khuzaini. Kamu semua boleh panggil saya Abang Long. Sekiranya ada sebarang masalah ketika berada di kolej ini, kamu boleh berurusan terus dengan saya. Ada apa-apa soalan?” soal Abang Long memulakan bicara.

Semua pelajar hanya membisu tanpa bersuara. Masing-masing menggelengkan kepala sebagai tanda tidak mempunyai sebarang soalan untuk diajukan. Setelah itu, beberapa orang Fasilator lagi memperkenalkan diri kepada semua pelajar. Ada lebih kurang sepuluh orang Fasilator yang ditugaskan untuk memimpin pelajar-pelajar baru pada pagi itu. Aku agak tekun mendengar penerangan mereka satu per satu.

Fasilator yang bertugas itu kebanyakkannya merupakan pelajar semester lima. Semuanya sudah mempunyai pengalaman yang cukup besar dalam bidang masakan ini. Mereka ada asas kukuh untuk membimbing semua pelajar. Aku menganggap Fasilator-Fasilator itu sebagai senior kami kerana mereka sudah merasai pahit manisnya menempuh dugaan sepanjang bergelar pelajar hampir 3 tahun di sini.

Aku juga berjanji pada diri aku untuk mengikut jejak langkah mereka. Walau apa jua cabaran yang mendatang, aku akan cekalkan hati. Aku masih fokus mendengar arahan selanjutnya dari Abang Long.

“Selepas ini, kami akan agihkan beberapa helai kertas yang ada tertulis nombor pada setiap kertas. Nombor-nombor itu akan menentukan kumpulan manakah kamu berada. Setiap kumpulan sekurang-kurangnya mempunyai sepuluh orang ahli. Manakala baki selebihnya itu akan ditentukan kemudiannya.” Begitu arahan penuh yang disampaikan oleh Abang Long.

Fasilator-Fasilator itu segera mengedarkan kertas kepada para pelajar. Masing-masing dapat satu helai kertas yang mencatatkan nombor kumpulan. Sebaik menerima kertas itu, aku pantas melihat nombor yang tertera di situ. Emm..aku dapat nombor lima. Syima pula dapat nombor tiga. Agak-agak, Fuad dapat nombor berapa, ya?

Minta-mintalah, Fuad dapat nombor yang sama seperti aku. Dapat juga aku kawan nanti. Entah siapalah yang akan menjadi kumpulan aku. Kami diminta saling bekerjasama semasa berada di dalam satu kumpulan. Setiap kumpulan akan diterajui oleh seorang ketua sebagai pemimpin. Beberapa minit kemudian, kami diarahkan untuk berpecah sambil mencari kumpulan masing-masing.

Aku terpaksa berpisah dengan Syima buat sementara waktu. Aku segera mencari pelajar yang memiliki nombor lima. Dalam beberapa langkah aku berjalan, tiba-tiba aku terserempak dengan Fuad. Aku lihat, Fuad sedang sibuk mencari kumpulannya.

“Kau dapat nombor berapa, Fuad?” soalku sebaik sahaja bersua muka dengannya.

“Aku dapat nombor tiga,” jawab Fuad spontan. “Kau?” tanya Fuad pula.

“Nombor lima,” balasku lagi. Aku ingat, Fuad dapat nombor lima tetapi nombor tiga.

Nampaknya, tak dapatlah aku satu kumpulan dengan dia. Dalam hati, aku agak berdebar-debar memikirkan semua kemungkinan yang bakal terjawab sekejap lagi. Untuk memudahkan kerja aku, aku pantas mengangkat kertas tinggi-tinggi supaya senang mencari pelajar yang sama kumpulan denganku. Reaksi aku sebentar tadi agak berkesan kerana mereka dapat mengecam nombor yang tertera di atas kertasku.

Kami berkumpul apabila sudah dapat mencari ahli kumpulan masing-masing. Terdapat lapan orang yang akan menjadi kumpulan aku. Rata-rata, pelajar perempuan seramai enam orang termasuk aku. Pelajar lelaki pula ada dua orang sahaja. Aku rasa macam ada yang tidak cukup lagi. Sepatutnya, ada sepuluh orang ahli seperti yang dikatakan oleh Abang Long tadi. Mana pula perginya pelajar yang seorang lagi?

“Siapa lagi sorang ni? Abang Long cakap, ada sepuluh orang ahli dalam setiap kumpulan.” Aku pantas bertanya kepada rakan-rakanku. Mereka hanya menggelengkan kepala apabila aku mengajukan pertanyaan itu.

“Tak pastilah,” ucap salah seorang dari mereka.

Aku memandang keadaan sekeliling, cuba mencari makhluk yang dimaksudkan itu. Tiba-tiba, mata aku tertancap pada susuk tubuh seseorang yang amat aku kenali. Aku pasti dialah orangnya. Siapa lagi, kalau bukan Syed Aidil. Kertas yang masih berada dalam genggamannya aku lihat sepintas lalu. Seakan tidak percaya dengan nombor yang tertera di situ. Aku cuba memastikan apa yang aku lihat sebentar tadi bukanlah igauan semata. Takut juga kalau tersilap pandang. Alamak! Dia dapat nombor lima jugalah.

Macam mana ini? Aku tak ingin dia satu kumpulan dengan aku. Tak selesa pula apabila kami berdua berada dalam satu kumpulan yang sama. Keresahan aku itu tergambar jelas di wajahku saat ini. Ingin sahaja aku menukar kertas aku ini kepada Fuad supaya aku berada dalam kumpulan yang lain daripada dia. Namun, aku tak boleh berbuat begitu kerana Fuad dan kumpulannya sudah sibuk berbincang sesama sendiri. Mungkin, mereka sedang mencari ketua kumpulan yang layak memimpin mereka.

Mahu tidak mahu, aku terpaksa akur dengan ketentuan ini. Kenapalah dia juga yang jadi ahli kumpulan aku. Kenapa tidak orang lain? Ish, tak faham betul aku. Sepatutnya aku gembira sebab dia satu kumpulan dengan aku. Ini tidak, asyik nak salahkan diri sendiri sahaja. ‘Baguslah dia satu kumpulan dengan kau, Min. Bukankah ini yang kau inginkan sejak dulu?’ Tiba-tiba terdengar satu suara halus yang lahir dari hati aku. Suara itu seakan mengejek diri ini serta mentertawakan aku. Pergi jahanamlah! Bentakku lagi.

Aku tengok Syed Aidil masih sibuk ke hulu ke hilir mencari ahli kumpulannya. Kasihan pula melihat keadaannya itu. Bukankah aku sudah berjanji dengan Syima untuk berkenal-kenalan dengan dia. Walaupun untuk hari ini sahaja, namun aku perlu mencuba. Manalah tahu, hatinya lembut tatkala memandang wajah ini. Aku cuba memberanikan diri menegurnya. Aku tidak boleh tersasul menyebut namanya agar dia tidak menaruh syak pada aku nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience