DDJ 3: NAK KAHWIN

Romance Completed 62315

Pap!

"Woi, Kaif!" tegur satu suara berserta sekilas tepukan yang datang dari belakang bahu Kaif.

Kaif mengerling pada seorang lelaki yang tinggi lampai bak galah itu lalu melemparkan segaris senyuman.

"Erm, dah sampai?" tanya Kaif. Dia meletakkan telefon bimbitnya ke atas meja kerana selesai dalam menunggu.

Srettt..

"Sorry bro, lambat sikit. Pergh, orang Jordan ini dah balik Malaysia eh!" tegur lelaki itu lagi sambil tersengih melabuhkan punggungnya di atas kerusi.

"Kau balik kejap ke balik terus ini?" soal Hilal yang merupakan sahabat baik Kaif juga merangkap sebagai orang kuat Kaif yang diamanahkan untuk menjaga anak syarikatnya di Malaysia ini.

Kaif menolak satu gelas jernih di depannya dekat pada Hilal.

"Herm, minumlah. Aku dah order tadi. Aku.. huh entahlah. Ikutkan hati aku, aku nak balik kejap jelah tengok abah dengan nenda. Tapi, nenda beriya pula nak aku kahwin.." luah Kaif sebagai pembuka bicara. Dia pejamkan kedua matanya sejenak kerana permintaan nendanya itu tersangatlah meresahkan jiwa.

"Baguslah. Kau kahwin jelah Kaif. Kau boleh terus stay sini, kerja sini. Hah, bila kau nak masuk pejabat ini?" soal Hilal lagi. Dia sedia maklum jika Kaif itu pulang ke tanah air sudah pasti lelaki itu mahu menjengah pejabatnya di sini secepat mungkin.

"Esok aku masuklah.." jawab Kaif malas-malas. Air kopi susunya yang terhidang di atas meja diteguk perlahan.

Hilal tersengih kerana tepat tekaannya. Dia menggeleng kecil dan meneruskan perbualan mereka di suatu sudut restoran itu. Menghabiskan lewat malam mereka dengan cerita-cerita peribadi yang belum sempat dicanang lagi.

Klak!

Layka melangkah turun seusai keluar dari biliknya di tingkat dua itu. Sepanjang dia menapak menuruni anak tangga, bola matanya tertumpu pada Dato' Haleem dan dua orang lelaki yang turut berada di ruang tamu rumahnya itu. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini papanya itu sering berada di rumah. Sudah berada di rumah ini pun masih juga sibuk membawa pulang kerja dari pejabat itu!

"Huh! Tidak habis-habis dengan kerja dia!"" bisik Layka dengan sinis.

"Layka! Nak pergi mana?" tegur Dato' Haleem sebaik sahaja melihat anak tunggalnya itu di muka pintu.

"Erm, jumpa Kinah.." jawab Layka mendatar tanpa menoleh pandang. Kakinya terus sahaja dilangkah keluar.

Bam!

Dato' Haleem hanya mengeluh kecil melihat pemergian Layka. Kemudian, dia menatap semula dua orang lelaki muda yang duduk di sisinya.

"Betul ke Dato' nak jual semuanya? Pasti?" soal seorang lelaki yang berkaca mata.

Dato' Haleem mengangguk seberat rasa hati yang terkandung.

"Jual. Jual semuanya sampai semua hutang itu langsai. Saya tak nak susahkan Layka kalau dia kena hadap semua itu nanti. Jadi, setakat ini itu sahaja jalan terbaik yang kita ada.." balas Dato' Haleem sambil mengimbau kembali segala usaha dan kudrat yang telah dicurahkan dalam membangunkan syarikatnya sehingga ke hari ini.

"Baiklah, kalau itu yang Dato' mahukan. Kami akan selesaikan semuanya secepat mungkin." ujar seorang lagi lelaki yang berkemeja biru.

Dato' Haleem sekadar mengukir senyum nipis. Bukan pintanya untuk jadi begini. Dan, bukan mahunya juga untuk membohongi Layka. Jauh di sudut hati, dia selalu berdoa agar anaknya itu bisa berubah dan boleh menerima segala takdir yang sudah tertulis ini dengan hati yang terbuka.

Chik!

Chik!

Batu kerikil di celah kasut sneakers hitam Layka itu disepak-sepak. Sesekali Layka mengerling pada Sakinah yang berdiri di depan trak makanan yang tidak jauh.

"Nah, air kau!"

"Thanks." ucap Layka sambil mencapai huluran cawan plastik berisi air tembikai di tangan Sakinah.

Sakinah turut melabuhkan punggungnya di sisi Layka di atas tembok batu berwarna kelabu itu. Hari ini Layka mengajak Sakinah untuk keluar makan tengah hari bersama di sekitar tempat kerja kawan baiknya ini.

"Herm, kenapa ini? Dari kita makan tadi aku tengok kau macam tidak ada mood je Layka.." tegur Sakinah dengan kerut. Raut wajah Layka itu tampak jelas ada masalah.

"Aku.. aku nak kahwin."

Purffff!

"Uhuks! Uhuks! Erghm.."

Buk!

Buk!

Buk!

Laju Sakinah menepuk-nepuk dadanya selepas tersedak kecil sewaktu meneguk air mangganya kerana mendengar kenyataan yang tidak berasas dari Layka itu.

"Ish, kau ini Kinah! Minumlah elok-elok!" pesan Layka sambil mengusap belakang tubuh Sakinah.

Tajam pandangan Sakinah pada Layka. Hujung selendang yang terjatuh tadi disangkut kembali ke atas bahu.

"Kau.. kau cakap apa tadi? Kahwin?! Dengan siapa?! Kenapa kau tiba-tiba nak kahwin pula ini?" bertubi soalan yang diajukan oleh Sakinah.

Tidak ada hujan, tidak ada ribut. Tidak ada teman lelaki jua sebarang crush pun. Masakan hal nikah kahwin ini boleh tertutur lancar di mulut Layka?

"Aku baru nak ceritalah ini Cik Sakinah oi.. Betul, aku nak kahwin. Lebih tepat, aku kena kahwin juga kalau nak dapatkan semua harta papa aku itu. Well, bila aku fikirkan balik yeah why not?"

Sakinah masih terkedip-kedip menghadam.

"Jap! Jap, jap. Jadi, kau kahwin sebab nak harta papa kau je?" Sakinah mengerling Layka di sisi.

"Herm.."

"Then, lepas kau dah dapat harta?"

"Cerailah!"

Sakinah terlopong. Dia agak kelu dengan jawapan membuta tuli dari Layka itu. Seakannya perkahwinan itu bagaikan satu urusan jual beli di kedai mamak gamaknya!

"Okay. Kau.. nak kahwin dengan siapa?" tanya Sakinah meski fikirannya masih belum dapat mempercayai kata-kata Layka itu sepenuhnya.

"Ini, calon papa aku. Tapi, aku dah putuskan yang aku nak kahwin dengan Kaif. Kaif Umar." jawab Layka seraya menyerahkan Iphonenya pada Sakinah.

Bola mata Sakinah melolor menatap tiap inci skrin telefon Layka itu. Dibacanya tiap satu biodata calon suami Layka yang sudah diambil gambarnya semalam.

"Kau ini betul ke tidak Layka? Punya ramai yang lagi elok, yang duda itu yang kau pilih kenapa? Dia ada anak pula itu." soal Sakinah yang seribu kali tidak mengerti.

Layka mendekih kecil.

"Itulah, kau tidak tahu. Dalam ramai-ramai itu memang si duda itulah calon suami yang paling afdhal buat aku. Kau tengoklah umur dia. Dah baya pak cik-pak cik aku kut. Dah pernah kahwin siap ada anak lagi. Dia pun bukan stay kat Malaysia ini pun. Hah, lagi mudahlah aku nak minta cerai kat dia nanti. Kalau dia tahu aku tidak suka layan anak dia lagilah confirm weh dia mesti ceraikan aku punyalah." terang Layka panjang lebar.

"Kau ini gilalah Layka. Kau ingat kahwin ini mudah macam itu ke? Kenapa kau tidak bercinta je dengan sesiapa lepas itu kahwin? Hah? Harta papa kau dapat, perkahwinan yang bahagia pun kau dapat." cadang Sakinah.

"No! Aku tak kan bercinta dengan sesiapa eh. Lelaki sekarang semuanya tidak guna. Kalau kahwin pun dia orang tak kan sayangkan isteri dia orang itu betul-betul. Aku benci lelaki. Lelaki yang baik dah tidak wujud. Kalau wujud sekalipun, lelaki itu bukannya milik aku.." luah Layka seraya teringat akan papanya dan klien-kliennya yang gatalnya itu bak ulat bulu!

"Laykaaa.." rengek Sakinah sambil mengoncangkan lengan Layka. Entah kenapa dia berasa sebak apabila mengenangkan kawan baiknya ini bakal berumah tangga.

"Relakslah, kau ini Kinah. Aku memang nak kahwin untuk diceraikan. Yang menjanda nanti itu aku. Kau pula yang nak sedih-sedih ini kenapa?" Layka menahan tawa.

Sakinah masih memaut erat lengan Layka.

"Aku doakan kau Layka. Walaupun benda yang kau nak buat ini betul-betul gila, aku harap kau tetap temu bahagia."

"Yalah. Yalah. Terima kasih Kinah."

"Erm, kau dah pernah jumpa si Kaif itu ke belum?" tanya Sakinah seraya menyedut kembali air mangganya.

"Belum."

"Kau tidak kisah ke Kaif itu tua kerepot? Dah beruban penuh satu kepala? Dah tidak ada gigi betul sebab semuanya gigi palsu?" soal Sakinah penuh risau.

"Hahahahaha.. tidak kisah! Mesti tua dia macam Sir Hisham kita itu kan? Kau ingat tidak Sir Hisham? Dahlah pendek, botak tidak ada rambut pula itu. Hahahahah.." Layka galak mengekek tawa membayangkan pensyarah mereka sewaktu pengajian lalu.

Buk!

Laju Sakinah menyiku lengan Layka.

"Eii, kau ini Layka! Tidak baiklah cakap macam itu. Eh, Kaif itu bakal suami kau tahu. Hormatlah sikit. Kalau dia dengar kau kutuk-kutuk dia macam ini hei awal-awal lagi dia memang reject kau tahu?!" Sakinah menggeleng walhal dia juga hampir tewas untuk tertawa kerana geli hati.

"Hahahah.. okay okay. Aku.. hahaha aku tidak boleh bayangkanlah macam mana si Kaif itu nanti. Tidak kisahlah dia tua macam mana pun. Yang pasti dia memang malang sebab bakal isteri dia adalah Layka Tihani!" ujar Layka sambil tertawa yang sukar untuk dihentikan.

Sakinah mengeluh kecil lantas mengukir segaris senyuman nipis. Jika begitu yang sudah dirancang Layka maka tiada siapa lagi yang dapat melunturkan kedegilan dan keras kepala Layka itu.

Srettt..

Pagi yang agak riuh-rendah di kediaman Dato' Yusof. Masing-masing sudah melabuhkan punggung di kerusi makan untuk memulakan sarapan. Senyuman di wajah nenda juga bagai tidak boleh hilang sejak Kaif dan Kash itu sentiasa di depan mata.

"Kash, hari ini Nek Yang masak nasi lemak untuk Kash. Suka tidak?" Nek Yang menyapa cicitnya yang baru duduk.

"Sukaaa! Sedapnyaa.. Kash nak makan banyak-banyakkk!" laung Kash yang sudah teruja memandang lauk-pauk yang terhidang di atas meja.

Masing-masing tertawa kecil kerana sedia maklum anak tunggal Kaif itu memang hobinya makan. Kerana itu, tidak hairan langsung jika badannya itu lebih berisi dari teman lain yang seusia.

"Herm Kaif, nak pergi pejabat ke?" tanya Dato' Yusof selepas melihat Kaif yang berbaju kerja itu.

"Ya, abah. Kaif nak tengok-tengok pejabat Kaif itu kejap." balas Kaif sambil mencapai sebiji karipap yang masih hangat.

"Apa kata Kaif tengoklah sekali pejabat abah itu juga. Boleh pergi dengan Syakir kejap lagi.." cadang Dato' Yusof dengan segunung harapan.

Sudah pasti dia mahu kedua anak lelakinya mengelolai syarikat yang bertahun dia usahakan itu dengan baik. Namun, sejak Kaif berhijrah lima tahun yang lepas lelaki itu memilih untuk pergi. Pergi dari segalanya yang pernah dia kecapi di sini.

Trang!

Jatuhan garfu dari tangan Syakir ke dalam pinggannya itu mematikan tawa dan sengih masing-masing di meja makan. Syakir menyeringai sinis kerana abahnya yang dahulu memanaskan keadaan.

"Abah nak Kaif tengok pejabat itu buat apa? Hah? Syakir kan ada. Tidak cukup ke nak handle semuanya? Dia dah ada pejabat sendirilah abah. Dah cukup sibuk pun.." bidas Syakir yang meluat dengan layanan dua darjat Dato' Yusof itu.

"Err, ya abah. Kaif sibuk. Syakir kan ada. Cukuplah Syakir dah tolong abah uruskan syarikat abah itu." bela Kaif. Dia tidak mahu bermusuhan dengan adik tirinya itu. Sehabis baik dia cuba untuk menjauhkan diri dari segala perkara yang boleh membangkitkan amarah Syakir.

"Yalah.."

Sretttt!

"Eh, you! Nak pergi mana?" panggil Zafira seusai Syakir melangkah pergi.

"Biarkan dia, Fira. Dari dulu kalau Kaif itu balik macam itulah. Tidak berubah-ubah.." luah Dato' Yusof dengan geleng.

Masing-masing kembali menjamah makanan yang terhidang dengan janggal. Orang kata akrabnya hubungan adik-beradik itu bagai air yang dicincang tidak akan putus. Tapi, kalau ada pihak yang memang sengaja nak putuskan pertalian itu macam mana pula?

"Kash, stay elok-elok ya. Walid nak pergi kerja kejap. Dengar cakap Nek Yang, Tok Abah dan Aunty Fira. Jangan nakal-nakal.." Kaif menitip pesan pada anaknya di muka pintu sebelum berangkat. Macamlah anaknya itu masih lagi kecil dan tidak mengerti apa.

"Okay, walid! Kash tidak nakallah.." jeling Kash selepas menyalam tangan Kaif.

"Abang Kaif! Abanggg!" laung Zafira dari jauh.

Zafira mendekati dua beranak itu dengan senyum simpul.

"Abang Kaif nak pergi dah?"

"Erm."

"Okay. Pergi elok-elok abang. Jangan risaulah Kash ini. Fira akan jaga Kash baik-baik. Kan Kash?" Zafira mengusap lembut kepala Kash bagai anak kecil.

Kash hanya tersengih kekok. Sejujurnya, dia tidak berapa menyukai mak ciknya ini.

"Walid pergi dulu. Bye, Kash.." ucap Kaif seraya melangkah pergi.

"Bye, Abang Kaiffff! Hati-hatiii!" laung Zafira dengan senyum lebar. Tangannya tidak henti melambai kereta Kaif yang sudah beransur pergi itu.

Terk!

Seusai pintu utama itu ditutup, Zafira menjeling pada Kash.

"Firaaa, tolong Bik Yati ini kemas meja. Simpankan baki sambal itu dalam peti sejuk." arah nenda sebaik sahaja melihat Zafira di depan matanya.

"Err, baik nenda." jawab Zafira dengan sengih yang dibuat-buat.

Buk!

"Eh, kau dengar tidak Nek Yang cakap apa? Kau pergi kemas meja sana itu! Makan bukan main pandai, kemas tidak tahu. Pergi! Aku ada hal nak keluar." bisik Zafira pada Kash dengan keras. Dia sempat memukul dan menolak sekilas bahu Kash agar arahannya itu dapat diterima dengan baik.

Kash takut-takut mengangguk dan terus melangkah laju menuju ke dapur semula.

"Eish, orang tua itu kan memang sengaja tahu. Dah ada bibik pun nak suruh aku mengemas. Apa fungsi bibik itu dah kalau aku yang kemas semua? Ingat aku ini bibik dalam rumah ini ke? Erghh!" gumam Zafira seorang diri.

Mengenangkan ketampanan abang iparnya itu sebentar tadi, serta-merta moodnya kembali reda dari terus diselubungi amarah. Cepat-cepat dia menaiki tangga untuk ke bilik. Sebolehnya mengelak dari menuruti arahan Nenda Badariah itu. Eh, tidak kuasa pula nak jadi bibik!

Amboi, seronok kutuk Kaif eh Layka.. Jemput follow, rate dan komen ya gais!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience