Bab 13
Andainya azamnya itu boleh dicapai. Apa pun, usaha ke arah kebaikan, insya-Allah akan dimakbulkan oleh Allah.
Selepas menyambung lagi kata-kata nasihatnya seperti menjaga solat fardu, banyakkan mengaji, rajin melakukan solat jemaah, menjaga percakapan jangan terlalu lantang dan lancang dan sentiasa menjaga pergaulan, akhirnya Pak Sudin meminta satu jug air. Kemudian dia meminta mereka untuk mengikutinya membaca surah Al-Fatehah, ayatul Kursi, At-Takathur, Az-Zalzalah, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas.
Cik Zaiton dan keempat-empat anak gadis itu membaca ayat-ayat tersebut dengan sepenuh hati. Mulut Siti dan Zira terkumat-kamit dengan mata tertutup. Sementara mata Maria pula meliar ke kiri dan ke kanan kerana bulu tengkuknya meremang naik tanpa diarah-arah. Emi pula hanya tunduk merenung lantai.
Lain pula halnya dengan Pak Sudin, biarpun orang lain melihat dia masih duduk di situ, sama-sama membaca ayat-ayat yang dinyatakan tadi, tetapi sebenarnya lain pekerjaannya. Pak Sudin sudah pun meninggalkan tubuhnya di sofa, dan dirinya yang ghaib berada di pintu masuk apartment. Sedang berdialog dengan satu makhluk berwarna hitam gelemat di ambang pintu itu.
“Aku hanya bergurau. Sebab budak-budak tu suka buat bising. Aku memang suka dengan manusia yang suka buat bising.”
“Kau jangan cari pasal! Ni tempat anak-anak buah aku. Aku tak benarkan kau menakut-nakutkan mereka lagi!”
“Janganlah marah-marah Pak Sudin. Aku tahu kau siapa. Aku bukan nak cari hal dengan kau. Aku bosan duduk di hutan. Jadi aku datanglah ke sini, berjalan-jalan.”
“Aku mahu kau balik ke tempat asal kau. Kau balik… sekarang jugak!!!” Pak Sudin bertempik dan terus membaca Al-Fatihah.
Saat lidahnya mengucapkan perkataan ‘Ihdinas sirotol mustaqim’, hatinya memanjatkan doa berupa permintaan kepada Allah Yang Maha Besar untuk memelihara golongan manusia, memelihara penghuni apartment itu, memelihara dia dan isterinya daripada gangguan makhluk jahat yang jelik itu.
Makhluk hitam itu ketawa berdekah-dekah. Lucu sungguh hatinya, andainya hati itu wujud dengannya, mendengar doa Pak Sudin. Dia mengolok-olokkan Pak Sudin dengan melenggok-lenggokkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan beberapa kali.
Di sofa, Pak Sudin membuka mata. “Dah, cukup. Teruskan berzikir dalam hati. Baca Al-Fatihah. Kalau takut terlupa, baca Allahu-Akbar,” katanya lalu berdiri sambil mencapai jug air tadi.
Seterusnya, bermula dari pintu, Pak Sudin merenjis-renjiskan air di dalam jug itu dengan jarinya. Cik Zaiton mengekorinya dari belakang sambil menzikirkan Allahu-Akbar.
Melihat Cik Zaiton mengekori Pak Sudin, keempat-empat gadis itu terus membuntuti Cik Zaiton. Mereka turut membaca Allahu-Akbar sementara Zira dan Maria membaca Al-Fatihah berulang kali.
Di muka pintu, Pak Sudin berdiri kejap lalu berkata, "Aku ingatkan kepada kamu dengan sumpah yang pernah diucapkan oleh Nabi Sulaiman; keluarlah dan pergilah kamu dari rumah kami. Aku sumpah kamu dengan nama Allah, keluarlah kamu dan janganlah kamu menyakiti seseorang pun."
Dia mengulangnya sebanyak tiga kali kemudian dia bergerak menyusuri dinding apartment itu, sambil membaca Al-Fatihah. Dia terus merenjis-renjiskan air di dalam jug itu dan gerabak keretapi di belakangnya, mengekorinya dengan setia.
Biarpun bukan berilmu tinggi, tetapi Pak Sudin yakin, Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang sentiasa menjaga hamba-hamba-NYA, yang tunduk dan patuh kepada-Nya.
Aamiin.
*****
“Ermmm… Pak Sudin.”
“Ha, ada apa Siti?”
“Rumah atas tu macam mana?”
“Kalau ada penyewa nak masuk, seelok-eloknya buatlah pulih rumah dulu. Bukan rumah yang atas tu je, mana-mana rumah pun. Sedangkan nak tidur pun kita kena kebas katil dan ucapkan basmallah.” Terang Pak Sudin dan selepas itu, dia terus meneguk air nescafe yang dibancuh oleh Zira tadi dengan tenang.
Share this novel