LAFH - 23

Romance Series 665607

PINTU bilik Dato’ Tarmizi ditolak kasar daripada luar. Dato’ Tarmizi yang sedang sibuk meneliti fail di atas meja terkejut.

“Haqq?”

Tajam anak mata Haqq merenung papanya. “Apa yang papa dah buat dengan Daneen tadi?” soal Haqq. Kalau Daneen tidak mahu beritahunya apa yang berlaku, lebih baik dia bertanyakan pada papanya sendiri.

Dato’ Tarmizi terdiam sesaat. Pasti Haqq nampak Daneen menangis selepas keluar daripada biliknya tadi.

“Itu bukan urusan Haqq.”

Bam! Meja dihadapannya ditepuk kuat. Dato’ Tarmizi memicingkan mata.

“Haqq Qidran. Jangan melampau.” Perlahan tapi cukup kedengaran sangat tegas.

“Papa yang dah melampau. Berapa kali Haqq nak ulang? Putuskan hubungan papa dengan Daneen. Sudah-sudahlah tu ikutkan hawa nafsu. Papa tu dah tua. Esok lusa entah masih diberi peluang untuk hidup atau tidak. Tolonglah hargai mama. Jangan lukakan hati mama dengan perangai buruk papa ni!” hambur Haqq geram.

Dato’ Tarmizi terdiam. Kata-kata Haqq bagai duri yang dicucukkan ke hati. Pedih. Tidakkah Haqq sedar yang dia sudah melampai batas?

“Berapa kali papa nak ulang yang papa tak ada apa-apa hubungan dengan Daneen. Papa dah anggap dia macam anak sendiri.”

“Liar! Haqq tak percaya. Papa boleh tipu orang lain tapi bukan Haqq.”

Dato’ Tarmizi mengeluh lemah. Apa lagi yang boleh dia lakukan apabila Haqq sudah tidak mempercayainya lagi?

“Kenapa Haqq marah sangat? Sebab Haqq dah jatuh cinta pada Daneen?”

Riak wajah Haqq terus berubah. Sehabis daya wajah cuba dikawal. Dia menggeleng perlahan. “Papa jangan nak ubah topik. Hal ni tak ada kena mengena dengan Haqq.”

“Apa lagi Haqq? Beritahu papa. Apa lagi yang papa perlu buat supaya Haqq kembali percayakan papa macam dulu?” Sayu tatapan mata Dato’ Tarmizi pada Haqq. Jelas garis-garis kekecewaan pada wajahnya.

Haqq bungkam. Hatinya bagai dihentak-hentak. Dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang dia mahukan. Kepalanya berserabut. Lagi-lagi apabila memikirkan perkahwinannya dengan Zira yang sudah diatur tidak lama lagi.

“Haqq...” Dato’ Tarmizi bangun daripada kerusinya. Dia cuba mendekati Haqq tapi Haqq terlebih dahulu keluar meninggalkan biliknya.

Dum! Pintu sengaja dihempas kuat. Dato’ Tarmizi menghela nafas berat. Wajahnya diraup perlahan. Dia bersandar pada meja. Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata Haqq tadi.

“Sudah-sudahlah tu ikutkan hawa nafsu. Papa tu dah tua. Esok lusa entah masih diberi peluang untuk hidup atau tidak.”

Benar. Dia sendiri tidak tahu esok atau lusa dia masih berkesempatan untuk hidup atau tidak. Dunianya seakan terhenti seketika apabila doktor mengesahkan dia menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Perit untuk dia telan kenyataan itu tapi itulah hakikatnya. Dia tidak pernah sedar yang selama ini ada sel-sel kanser di dalam tubuhnya. Sangkanya dia cuma batuk biasa. Patutlah dia kerap sakit dada, batuk berpanjangan dan kadang-kadang dia sesak nafas. Buat masa ini memang tiada cara kos efektif yang boleh mengesan kanser paru-paru pada peringkat awal.

Dato’ Tarmizi redha andai ini jalan kehidupannya yang telah ditulis. Sungguh dia hanya hamba Allah yang tiada daya. Hanya mampu berserah pada-Nya. Ada hikmah yang tersembunyi di sebalik ujian yang Allah berikan padanya. Dia yakin itu.

DANEEN melabuhkan duduknya di birai katil. Matanya kelihatan bengkak. Seharian menangis. Betapa remuk hatinya tadi saat Dato’ Tarmizi memberitahunya dia menghidap kanser paru-paru tahap empat. Dia tak sanggup kehilangan lelaki yang sudah dianggap seperti ayah kandungnya sendiri itu.

Selama ini lelaki itu banyak membantunya. Setiap kali dia perlukan bantuan, lelaki itu yang akan datang membantunya terlebih dahulu. Dato’ Tarmizi terlalu baik. Biarpun difitnah, dia masih mampu bersabar.

Daneen memejam matanya sesaat. Dato’ Tarmizi meminta dia merahsiakan sakitnya pada sesiapa. Dia cuma memberitahu Daneen seorang. Bila Daneen tanya kenapa dia tidak memberitahu ahli keluarganya yang lain, Dato’ Tarmizi hanya diam. Daneen sendiri tidak tahu mengapa lelaki itu tidak mahu memberitahu mereka. Kerana telah berjanji pada Dato’ Tarmizi, Daneen terpaksa merahsiakannya pada Haqq.

DATO’ Tarmizi menghampiri isterinya yang sedang duduk di ruang tamu itu. Datin Mariam sibuk membelek hantaran yang sudah siap digubah. Bersinar-sinar wajahnya.

“Awalnya siapkan hantaran,” tegur Dato’ Tarmizi.

Datin Mariam memandang sekilas ke arah suaminya. “Hujung minggu ni I nak tunangkan Haqq dengan Zira.”

Dato’ Tarmizi melabuhkan duduknya di atas sofa. “Haqq setuju ke?” soalnya.

“Haqq sanggup buat apa saja untuk I. Tentulah dia setuju,” balas Datin Mariam yang sibuk mengambil gambar hantaran itu. Tak sabar mahu tunjukkan pada Zira.

“Mariam, janganlah gunakan kuasa you untuk Haqq ikut apa yang you nak.”

Datin Mariam menjeling. Tak puas hati. “I yakin Haqq akan bahagia dengan Zira. I cuma nak tengok Haqq bahagia. Itu saja.”

“Kenapa tiba-tiba you nak sangat Haqq berkahwin dalam masa terdekat ni? Sebelum ni you tak pernah kisah pun,” soal Dato’ Tarmizi hairan.

“I tak nak ada perempuan miang ganggu Haqq. Cukup-cukuplah suami I diganggunya.”

“Daneen bukan perempuan macam tu.”

Datin Mariam ketawa mengejek. Dipandang wajah suaminya itu. “I tak sebut nama pun you dah tahu siapa perempuan tu. Hebat!” Dia tepuk tangan.

“Perangai dia dengan mak dia tu sama jer. Patutlah mati kena langgar.”

“Mariam!”

“Apa? Salah ke apa I cakap? Dia dengan mak dia memang sama-sama gatal. Gilakan harta. Nak kahwin dengan orang kaya sebab nak hidup senang.”

“Tak elok fitnah orang macam tu Mariam. Lagi-lagi orang yang dah meninggal dunia,” nasihat Dato’ Tarmizi. Dia cuba untuk tidak bertengkar dengan isterinya itu. Dia sudah penat. Setiap kali mereka bercakap pasti akan ada pertelingkahan yang berlaku.

“Sebab perempuan tu bekas kekasih you. Sebab tu you backup dia kan? You masih cintakan dia ke?”

“Itu kisah lama Mariam. Sekarang ni I dah berkahwin dengan you. Tentulah I cuma cintakan you.”

“I tak percaya. Kalau cinta, you tak akan menggatal dengan anak bekas kekasih you tu. Tak dapat mak, anak pun jadi. I jijiklah!”

Dato’ Tarmizi terdiam. Mata dipejam menahan sakit yang menghiris hati. Tajamnya lidah yang tidak bertulang itu mampu membunuh jiwa.

“Bila kita nak pergi jumpa dengan keluarga Zira?” soal Dato’ Tarmizi mengubah topik. Dia tidak mahu terus bergaduh dengan isterinya itu. Kalau boleh detik-detik akhir hidupnya dia mahu menciptakan kenangan yang manis-manis saja.

“Haqq dan Zira akan bertunang dekat sini. Keluarga Zira tak dapat sertai. Jadi semua urusan berbincang melalui telefon saja.” Walaupun dingin, Datin Mariam masih menjawab soalan suaminya itu.

Dahi Dato’ Tarmizi berkerut halus. Takkanlah keluarga Zira langsung tak ambil tahu? Sibuk benar sehingga tak sempat nak menguruskan majlis pertunangan anak sendiri.

“Betul ke ni?” soal Dato’ Tarmizi.

“Betul lah tu. Keluarga Zira tu sibuk uruskan chalet dia. Lagipun majlis pertunangan jer kan. Nanti waktu majlis pernikahan, adalah dia orang tu.”

Dato’ Tarmizi hanya diam. Tak berani nak cakap lebih-lebih. Nanti isterinya itu melenting pula. Namun dia masih ragu-ragu dengan Zira. Gadis itu nampak pelik. Sudahlah lama dia berada di Kuala Lumpur. Takkanlah keluarganya langsung tak peduli?

DARIPADA jauh, Daneen terpandangkan Haqq yang berada di lobi hotel. Lelaki itu sedang berbual dengan beberapa orang housekeeping. Saat Haqq memandang ke arahnya, Daneen cepat-cepat memusingkan tubuhnya. Langkah dibawa ke arah lif.

Ditekan butang lif. Ting! Terbuka saja pintu lif, Daneen terus meloloskan dirinya ke dalam. Baru pintu lif nak tertutup, tiba-tiba terbuka semula. Ada seseorang yang menekan butang lif daripada luar.

Daneen tergamam saat melihat Haqq sudah masuk ke dalam lif. Lelaki itu terus tekan butang lif. Pintu tertutup. Lif mula bergerak.

Tubuh dipusing menghadap Daneen. Tajam anak matanya menikam wajah polos itu. Daneen pula berundur setapak demi setapak ke belakang. Tas tangannya dikepit.

“Kenapa? Takut?” Bibir Haqq menyenget sinis. Kening terangkat. Setapak demi setapak dia mara mendekati Daneen. Daneen pula berundur ke belakang sehingga tubuhnya tersentuh pada dinding lif. Dia tidak boleh nak lari lagi.

Haqq tolak lidahnya ke dinding pipi. Kedua belah tangannya dilekapkan ke dinding lif. Mengepung Daneen.

“Jangan nak buat hal Haqq. I jerit nanti.” Daneen memberi amaran. Dada bagai nak pecah bila Haqq sengaja rapatkan jarak antara mereka.

Haqq ketawa. Entah apa yang lucu agaknya. Seronok mungkin dapat lihat wajah cuak Daneen.

“Jeritlah. Tak ada siapa yang akan dengar pun.”

Daneen ketap bibir. Entah apa yang Haqq mahukan daripadanya.

“You nak apa?” soalnya bengang.

“Kenapa you menangis waktu keluar daripada office papa I semalam?” soal Haqq. Selagi dia tidak dapat jawapannya, selagi itulah dia tidak puas hati.

“It's not your problem encik Haqq,” tegas Daneen.

Hujung bibir Haqq ternaik sedikit. “Bukan masalah I? Okay fine. Selagi you tak nak beritahu, selagi tu lah kita duduk dalam lif ni.” Haqq cepat-cepat tekan semula butang lif apabila pintu lif terbuka.

“Haqq! I tak ada masa nak main-mainlah. Banyak lagi kerja yang I nak buat,” marah Daneen.

“I don't care. Kalau you rasa nak terus duduk berdua dalam lif ni dengan I, teruskan.”

Daneen menggenggam penumbuknya. Ikutkan hati mahu saja ditumbuk muka Haqq. Geram sangat dengan si Hulk hijau ni!

“So betul lah you nak terus duduk dalam lif ni dengan I?” soal Haqq apabila melihat Daneen masih lagi diam.

“I tak kisah kalau you nak terus duduk dalam lif ni dengan I,” ujar Haqq lagi. Butang lif ditekan lagi. Biarlah rosak sekalipun lif ni. Selagi dia tak dapat jawapan, selagi itulah dia tak akan lepaskan Daneen.

“Haqq, sudahlah tu. I tak ada apa-apa urusan dengan you.” Daneen sudah letih. Berpeluh-peluh dahinya duduk di dalam lif ini. Waktu-waktu macam ni tak ada pula yang nak gunakan lif. Kalau tak mesti dia dapat lepaskan diri daripada Haqq.

Ting! Pintu lif terbuka. Tak sempat Haqq nak tekan butang lif, Joana sudah masuk ke dalam lif. Daneen cepat -cepat menjauhkan diri daripada Haqq. Nanti tak pasal-pasal Joana salah faham pula.

“Haa dekat sini pun encik Haqq. Puas saya cari,” ujarnya cemas.

“Ada apa?” soal Haqq.

“Ada orang cari encik Haqq dekat bawah. Nampak macam gangster jer. Encik Haqq ada berhutang dengan diorang ke?”

“Hei, hotel ni bapak aku yang punya. Takkanlah aku nak berhutang.”

“Ya tak ya juga kan.” Joana tersengih.

“Diorang masih tunggu aku ke?” soal Haqq lagi.

Joana mengangguk. Haqq terus tekan butang lif. Lif bergerak turun semula ke lobi. Dengan Daneen sekali diheret sama. Entah siapalah lelaki yang mahu bertemu dengannya itu.

“MANA? Mana lelaki tak guna tu?!” terjerit-jerit lelaki itu di lobi. Ada dua orang rakannya yang cuba menenangkannya.

Mereka bertiga berlari keluar daripada lif. Masalah besar bila ada yang cuba buat kecoh di sini. Menganggu ketenteraman pelanggan-pelanggan yang lain.

“Ada apa ni?” soal Haqq.

Lelaki yang menjerit tadi terus menumbuk perut Haqq bertubi-tubi sehingga lelaki itu jatuh tersungkur di lantai.

Daneen dan Joana tergamam. Joana cepat-cepat beredar daripada situ. Ingin mendapatkan bantuan. Silap-silap ada pertumpahan darah pula yang berlaku sekejap lagi.

“Encik ni siapa? Tolong jangan buat kecoh dekat sini. Saya telefon polis nanti,” ugut Daneen.

“Kau jangan nak menyibuklah! Tepi!” Tubuh Daneen ditolak kasar oleh tangan kekar lelaki itu.

Dia terjatuh di tepi Haqq.

“Daneen.” Terpapar riak kerisauan pada wajah Haqq. Dia cuba bangun kembali. Perutnya dipegang.

Daneen mengusap perlahan sikunya yang terhentak kuat di lantai tadi.

Beberapa orang pengawal keselamatan datang menghampiri mereka. Lelaki yang cuba menyerang Haqq tadi ditahan oleh mereka. Begitu juga dengan dua orang kawan lelaki itu.

Haqq cuba membantu Daneen bangun tapi Raja yang datang bersama dengan pengawal keselamatan tadi terlebih dahulu membantu Daneen bangun.

“Kau siapa ha? Apa kau nak?” soal Haqq pada lelaki itu. Perutnya yang masih lagi terasa senak dipegang.

“Aku tunang Zira! Berani kau cuba rampas tunang aku kan. Kami dah nak berkahwin hujung bulan ni. Kau yang bawa dia lari ke sini kan?”

Haqq terpempam. Zira sudah bertunang? Bermakna selama ini dia lari daripada rumah? Patutlah dia mahu bertunang di kediaman Haqq dan setiap kali Datin Mariam ingin berjumpa dengan keluarganya, ada saja alasan yang dia beri. Daneen turut terkejut. Tak sangka Zira sudah bertunang. Apa yang gadis itu cuba lakukan sebenarnya?

Share this novel

Roshasniah Mustafa
2021-08-18 11:40:37 

jahat Zira ni..gatai yak mat


NovelPlus Premium

The best ads free experience