34

Romance Series 93217

3 bulan kemudian...

Sebaik membuat bayaran di kaunter, Aayra dan Dania masing - masing melangkah keluar dari kafe itu dengan wajah yang ceria. Mana tidaknya hampir 3 jam mereka menghabiskan masa dengan mengimbau kembali memori - memori bersama. Persahabatan yang terbina sejak dari kecil itu masih tetap utuh bersama walaupun mereka agak jarang bertemu. Mana tidaknya, masing - masing sudah mempunyai kehidupan mereka yang tersendiri. Jadi peluang untuk mereka bertemu seperti dahulu sudah agak terbatas. Tambahan pula Dania kini menetap di Korea bersama suaminya. Hanya sesekali dia akan pulang ke Malaysia bagi menjenguk keluarganya di sini.

“Entah bila lagilah kita nak jumpa lepas ni kan? Rindu aku dekat kau ni pun tak hilang lagi. Tup tup kau dah nak balik Korea." Ujar Aayra sambil menggenggam tangan Dania.

“Kalau macam tu, kau ajaklah Harraz ke Korea. Bercuti di sana pulak. Bawak sekali anak kembar kau tu." Cadang Dania.

“Boleh tu boleh. Cuma bukan dalam masa terdekat ni kot. Lagipun Abang Harraz tu tengah busy sekarang ni. Aku tak nak ganggu kerja dia." Ujar Aayra tenang.

Sedang mereka asyik berbual sebelum berpisah, tiba - tiba mata Aayra tertancap ke arah satu susuk tubuh yang berada tidak jauh dari mereka. Dia cuba mengamati sedalam - dalamnya wajah itu.

“Ramona." Tiba - tiba nama itu terpacul di bibir Aayra.

Dania memandang wajah Aayra pelik. Lantas dia turut menoleh ke arah yang sama bagi mencari kelibat seseorang yang disebut Aayra tadi. Di hadapan mereka ketika ini kelihatan seorang wanita tinggi lampai sedang berjalan di dalam keadaan terhoyong - hayang. Perutnya membulat tanda dia sedang mengandung. Dari segi fizikal wanita itu pula, kelihatan dia seperti tidak terurus. Tanpa membuang masa, Dania segera mengejar langkah Aayra yang mula mendekati wanita itu. Khuatir juga kalau - kalau ada perkara yang tidak diingini terjadi kepada teman baiknya itu.

“Ramona." Panggil Aayra lembut.

Perlahan - lahan wanita itu mengangkat wajahnya menghadap Aayra. Dia seakan terkejut saat menyedari bahawa Aayra sedang berdiri di hadapannya saat ini. Bibirnya kelu namun tanpa membuang masa, dia segera mengatur langkah meninggalkan mereka berdua dalam keadaan terpinga - pinga. Aayra tidak mengalah. Dia lantas mengejar langkah Ramona sebelum wanita itu hilang dari pandangan mata mereka. Entah mengapa Aayra merasakan keadaan diri Ramona saat itu seperti sedang berada di dalam kesusasahan. Jadi sebelum terjadi sesuatu yang tidak diingini, lebih baik dia cuba membantu.

“Babe, kau nak pergi mana ni? Siapa perempuan tu?" Soal Dania termengah - mengah sambil berlari mengejar langkah Aayra

Namun belum sempat Aayra menjawab, tiba - tiba dia terpandangkan susuk tubuh Ramona yang sudah jatuh terkulai layu menyembah bumi. Aayra panik!

“Allah!!! Ramona!! Dania, cepat tolong aku!!" Jerit Aayra kuat seraya mendekati Ramona.

Kepala Ramona diangkat lalu direbahkan di atas peha Aayra. Berkali - kali Aayra menyeru nama Ramona namun ianya tiada sahutan. Aayra dan Dania masing - masing panik. Orang ramai yang mula menyedari akan situasi itu segera mengerumuni mereka. Dania mula teringatkan sesuatu lantas dia mengeledah beg tangannya untuk mendapatkan air mineral yang dibawanya sejak tadi. Mujurlah air itu masih berbaki setengah lalu dihulurkan kepada Aayra. Aayra menyambut tanpa banyak bicara. Telapak tangannya dibasahkan lalu diusap wajah Ramona perlahan - lahan. Bibirnya tidak henti - henti berselawat dan berdoa agar sesuatu yang buruk tidak terjadi. Melihatkan keadaan Ramona yang tidak
menunjukkan sebarang respon sejak dari tadi, Dania segera menghubungi ambulans untuk mendapatkan rawatan dengan kadar yang segera.

******************************************

Hampir 1 jam mereka menanti di hadapan ruang kecemasan hospital, akhirnya muncul seorang doktor yang memperkenalkan dirinya sebagai Dr Nadhwan. Dr Nadhwan menerangkan satu persatu secara terperinci mengenai kondisi Ramona kepada Aayra dan Dania. Kedua - duanya seakan terkedu saat mendengarkan penjelasan itu terutamanya Aayra. Entah mengapa hatinya tiba - tiba menjadi sedih dan pilu mengenangkan nasib Ramona. Air matanya berjuraian mengalir membasahi pipi.

“Sabar babe. Bawak - bawak mengucap. Sama - sama kita doakan yang terbaik untuk Ramona ok?" Dania cuba menenangkan Aayra.

Aayra tidak menjawab. Air matanya tidak henti - henti mengalir. Jujur Aayra katakan bahawa dia sangat bersimpati dengan nasib malang yang menimpa diri Ramona. Sudahlah kandungannya semakin lemah. Kini dia disahkan menghidap HIV positif pula. Mengikut cerita Dr Nadhwan lagi, jantung bayi yang berada di dalam kandungan Ramona itu memang sangat - sangat lemah. Malah bayi juga tidak menunjukkan tanda - tanda seperti seorang bayi yang aktif. Ini semua kerana bayi itu tidak disalurkan dengan pemakanan dan zat - zat yang sebaiknya. Malah Ramona sendiri mengakui bahawa dia tidak pernah mengambil sebarang ubat atau apa - apa vitamin pun selama 7 bulan kandungannya itu. Jadi tidak hairanlah mengapa bayi di dalam kandungannya itu semakin lemah.

“Aayra.." Panggil Dania lembut.

Aayra menoleh. Wajah Dania ditenung lama. Dia tahu apa yang bermain di dalam fikiran Dania tika ini.

“Kau masih ingat tentang lelaki yang aku pernah ceritakan kepada kau dahulu?" Soal Aayra mengimbau kembali cerita lama.

“Kejap. Siapa ye? Ezmal eh?" Soal Dania.
Aayra mengangguk perlahan.

“Yes, Ezmal. Bos merangkap sepupu suami aku sekarang ni." Balas Aayra.

“Ok. Then apa kena mengena Ezmal dengan perempuan kat dalam tu?" Soal Dania lagi.

“Ramona ni bekas tunang dia. Mereka berpisah selepas Ezmal dapat tahu yang Ramona curang di belakangnya. Sejak dari tu, Ezmal memang tak pernah ambil tahu langsung tentang Ramona sehinggalah sekarang. And one more thing.." Ayat Aayra terhenti di situ.

Dania semakin teruja ingin mengetahui cerita selanjutnya. Lantas wajah Aayra ditenung sedalam - dalamnya. Dania yakin Aayra menyimpan banyak cerita mengenai Ramona.

“What?? Kau ni saja je kan nak buat aku suspen. Ceritalah sampai habis." Omel Dania geram.

Aayra tersenyum nipis. Namun senyuman itu hanya sementara. Wajahnya kembali sugul saat mengingatkan kembali apa yang pernah terjadi antara dia dan Ramona.

“Ramona tak pernah sukakan aku." Balas Aayra pendek.

“Maksud kau?" Soal Dania semakin bingung.

“Hubungan Ezmal dan Ramona pernah renggang sebelum ni. Masa tu aku masih bekerja sebagai PA Ezmal. Kebetulan pula time tu aku dan Ezmal memang agak rapat. So dari situ Ramona mula mengesyaki yang aku cuba nak rampas Ezmal dari dia. Sejak dari tu, Ramona mula tanam perasaan benci terhadap aku. Pelbagai cemuhan yang dia lemparkan kepada aku. Macam - macam tuduhan yang aku terima sampaikan aku sendiri pun dah tak tahan nak hadap cemuhan - cemuhan tu semua. Akhirnya aku pun ditukarkan ke department lain. Semuanya gara - gara Ramona." Cerita Aayra panjang lebar.

Dania mengangguk faham akhirnya. Segala persoalannya sebelum ini akhirnya terjawab. Kini barulah Dania mengerti mengapa Ramona kelihatan agak terkejut saat bersua muka dengan Aayra ketika di awal pertemuan mereka tadi. Rupa - rupanya ada cerita di sebalik perkenalan mereka.

“Oh, macam tu ceritanya rupanya. Jadi siapa sebenarnya bapa kepada bayi yang dikandung Ramona tu?" Soal Dania lurus.

Aayra tidak menjawab. Dia hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu. Sejujurnya dia agak rungsing memikirkan keadaan diri Ramona dan bayi yang dikandungnya itu. Kedua - duanya mempunyai peluang yang sangat tipis untuk terus bertahan. Apakah dia perlu menceritakn semua ini kepada Ezmal dan suaminya? Tapi bagaimana jika penerimaan mereka tidak seperti yang diharapkan? Bisakah dia membantu Ramona walaupun ianya hanya sementara? Akhirnya Aayra mengeluh sendirian. Dia benar - benar di dalam kebuntuan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience