Dance With Me!

Romance Completed 117449

BAB 7

PELUH sejuk memercik ke dahiku tatkala melihat setapak demi setapak Harry menghayun langkah menghampiri kami. Aku mengundur setapak dan Ray menahan dengan menyentuh bahuku. Mataku memandang Ray yang kelihatan amat tenang kemudian mataku beralih melihat Harry yang sudah berdiri terpacak di depan kami. Glup! Aku menelan liur.

            “Apa maksud Encik Presiden yang saya dah terlambat?” Ray mendahului Harry untuk memulakan bicara.

            Harry ketawa kecil. Aku memilih untuk bergerak setapak. Agak-agak kalau aku cabut sekarang singa jadian ni sempat tarik aku tak?

            “Hey!” Harry memandang aku tajam. “Aku tak suruh kau bergerak pun!”

            “Mana ada saya gerak. Kaki saya lenguh jadi gerak-gerak la sikit.” Aku membalas dengan sakit hati. Cis! Sempat dia tengok!

            “Kau ingat mata aku juling ke?!” Harry lantas menarik aku ke arahnya.

            Ray tersentak dengan tindakan kasar Harry.

            “Harry... she is not your pet!” Ray menekan suaranya.

            “Yeap... but she is my girl!” Ujar Harry dengan tegas dan aku terasa genggaman tangannya di lenganku semakin kuat. Berkeriut dahi aku menahan sakit.

            Sekejap! Apa Harry cakap tadi?! Lantas aku menoleh melihat wajah Ray yang sangat terkejut ketika itu. Si bedebah! Dah la aku tak ada kawan kat sini, hari ni kau sengaja nak porak-perandakan hubungan silaturahim aku dengan Senior Ray pulak!

            “Senior... sebenarnya,” Aku cuba mencelah namun...

            “Saya dah tahu Aya.” Tiba-tiba Ray memintas kata-kataku. Harry mengangkat keningnya menanti ayat seterusnya dari Ray.

            “Saya dah tahu dari awal lagi... tadi saya bergurau aje. Niat saya cuma nak bagi awak tiket. Tapi saya tak sangka Harry akan bawa awak ke majlis tu.” Ujar Ray perlahan. Wajahnya masih diceriakan.

            “Aku faham... sebab aku tak pernah membawa pasangan selama ni kan?” Harry membalas.

            Ray mengangguk.

            Aku ternganga. “Senior...”

            “Saya okey, Aya. Chaiyok untuk esok!” Ujar Ray sambil berlalu menuju ke pintu di atas bumbung asrama itu.

            Aku mengeluh hampa. Senior Ray maafkan saya!!! Kuat hatiku menjerit.

            Harry melepaskan tanganku dengan kasar. Aku pantas menjeling ke arahnya.

            “Awak memang sengaja, kan?!” Aku menolaknya dengan kasar.

            Harry tergamam dengan tindakan aku kali ini yang ternyata kasar.

            “Kau sedar tak, kau sedang bercakap dengan siapa.” Harry turut menolak bahuku. Seperti samseng sesama samseng pula lagak kami ketika itu.

            “Sedar! Dengan Putera Bongkak paling keji kat sekolah ni! Berlagak nak mampus suka menyusahkan orang tak sedar diri pulak tuh!” aku membalas seperti dirasuk jin.

            Harry ternganga dengan bukaan mulut yang aku rasa cukup satu penumbuk aku. Matanya membulat memandang aku dengan tidak percaya.

            “Ka... kau...” Harry menuding jarinya tepat di mukaku. Terketar-ketar tangannya seperti orang terkena penyakit parkinson.

            “Kenapa? Kasihan betul... kalau saya jadi mak bapak awak dah lama saya bunuh diri sebab ada anak macam awak ni tahu tak!!”

            Harry menurunkan tangannya. Wajahnya ternyata berubah. Tadi sangat bengis tetapi sekarang... kenapa wajahnya begini? Aku terdiam dan terus menutup mulut. Aku dah keterlaluan ke?

            Harry memandang ke kanan. Mengalihkan wajahnya dari aku. Sesaat suasana amat sepi dan tegang.

            “Kau... pergi dari sini sebelum aku ubah fikiran.” Luah Harry sebaris ayat dengan suara yang bergetar. Wajahnya masih dikalihkan, manakala Penumbuknya digenggam erat dan aku tiba-tiba terasa sangat bersalah.

            Namun untuk bersuara aku tidak mampu kerana aku teringatkan kata-kata akhirnya tadi. Kalau aku membuka mulut barang sepatah pasti aku akan membuka mata di hospital esok hari.

            Tapi... aku ingin katakan sesuatu. Aku menarik nafas.

            “Maafkan saya, Tuan Muda Harry!”

            “Pergi dari sini!”

            Aku tersentak. Seumur hidup... aku tidak pernah rasa terkilan seperti ini. Air mataku jatuh setitik.

            “Sa... saya tak akan pergi selagi awak tak maafkan saya.” Hatiku berdegil.

            Harry berjalan menghampiri tembok tanpa mempedulikan aku. Dia menggenggam tangannya di pagar berjeriji.

            Aku sedar Harry benar-benar ingin aku pergi. Aku tak sepatutnya mengeluarkan ayat macam tu kat dia. Mulut! kau ni sejak bila jadi celupar! Aku menampar mulutku beberapa kali dengan perlahan.

**********

            PAGI itu aku bangun dengan perasaan bersalah yang masih bersisa. Apa harus aku buat? Dah berapa kali aku buat salah kepada Harry tetapi dia sentiasa memaafkan aku. Malah Harry tidak pernah mengungkit kes aku bagi penyepak sulung tempoh hari. Bila direnung kembali... Harry seolah-olah sendirian. Dia sangat kasihan... aku tidak pasti kenapa. Tapi sejak pertama kali melihat dia dulu aku sudah merasakan ada sesuatu yang dia cuba sembunyikan. Matanya... penuh kesedihan. Dan semalam mata itu jelas ketara menampakkan kesedihannya. Sehingga aku aku terasa ter... ter... teramatlah bersalah!

            Aku bangun berdiri. Aku tak nak menjadi kejam! Lantas aku melangkah keluar dan menuju ke biliknya di sebelah. Aku ketuk beberapa kali namun tiada jawapan.

            “Presiden...” aku memanggilnya dengan gelaran yang biasa dipanggil warga di sini. Agak tidak sopan aku hanya memanggil namanya sahaja seperti ketika kami hanya duduk berdua.

            Aku mengeluh hampa. Macam mana ni? Aku perlahan-lahan memusingkan badan dan menunduk dengan lemah. Kasut! Aku melihat di lantai, sepasang kasut hitam berkilat di depanku. Perlahan-lahan aku mendongak.

            “Kau ni tak habis-habis nak buat kacau kat depan bilik aku kan!” Harry menempelak.

            Aku menelan liur apabila melihat si pemilik kaki itu.

            “Saya cuma nak minta maaf... ampunkan saya Senior Harry.” Aku memejam celik mataku yang bundar. Dengan wajah sehabis comel aku pamerkan!

            Harry kelihatan tergamam. Dia melarikan matanya dari melihat aku. Wajahnya juga kelihatan serius.

            “Mak cik tolong sapu ‘sampah’ kat depan bilik saya ni sampai bersih.” Laung Harry kepada seorang mak cik cleaner yang ditugaskan untuk mencuci longkang di asrama elit itu. kebetulan ketika itu mak cik itu muncul di depan kami.

            Aku terus berdiri tegak. Apa?! Dia cakap sampah? Aku menoleh kiri dan kanan dan lansung tak ada sampah di depan biliknya. Jadi?

            “Hey...hey... apa awak cakap tadi? Awak maksudkan saya ni sampah ye?!”

            Harry tidak mempedulikan aku dan terus menolak mukaku yang bertentangannya dengannya itu ketepi. Dia membuka pintu bilik dan terus menutupnya. Dan dikunci!

            “Apa?” Aku melopong. “Menyesal aku nak minta maaf kat kau, bedebah!”

            “Adik... jangan panggil macam itu kat Harry. Dia baik orangnya.” Tegur mak cik itu.

            Aku tersentak. Kemudian aku tersenyum sumbing. Malunya... kenapa tunjuk perangai tak senonoh kat depan orang dewasa. Fuh... nasib baik bukan bakal mak mertua aku. Kalau tidak confirm dah kena reject!

            “Maafkan saya, mak cik.”

            Mak cik itu hanya tersenyum dan terus berlalu dari situ.

            Baik? Aku memandang pintu biliknya. “Kau memang baik... sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia!”

*********

AKU dah bersedia ke? Nafas kuhembus dengan perlahan kemudian aku tarik semula. Beberapa kali aku berbuat begitu untuk menenangkan diri. Sekilas aku menilik penampilanku di cermin. Gaun paras betis itu nampak terlalu mahal untuk aku, tas tangan juga dibeli oleh Harry untuk melengkapkan gaya aku pada malam ini.

            Aku teringat petang tadi, ketika aku ingin masuk ke bilik untuk solat asar setelah selesai membantu pekerja lain di dobi. Harry ketika itu baru keluar di biliknya dan kami bertembung. Harry sempat mengingatkan aku perancangan malam ini tetap berjalan seperti biasa. Walaupun sebenarnya ‘mood’ aku memang sudah tiada untuk berlakon menjadi kekasihnya tetapi aku masih akur. Entah kenapa... aku sukar untuk menidakkan segala arahannya! Kau memang lemah Aya!

Aku berjalan keluar dari Asrama Putera Emas dan melihat sebuah Limo yang sama aku naiki dengan Harry kelmarin tersadai di depan lobi asrama. Sebentar aku terpaku di situ.

            “Cik muda, silakan masuk.” Pemandu peribadi Harry keluar dan membuka pintu belakang kepadaku.

            “Eh... eh! Saya bukan cik muda, encik.” Aku pantas menafikan.

            Lelaki itu tersenyum. “Silakan, tuan puteri.”

            Aku lagilah terkejut kali ini namun aku berjalan juga untuk masuk dalam kereta kerana tidak mahu berlengah-lengah. Nanti dicop lembap lagi.

            Aku duduk dengan berhati-hati. Apabila aku menoleh ke kiri, aku lihat Harry sedang bermain game di telefon bimbitnya.

            Pakai apapun tetap kacak. Harry kelihatan amat bergaya, sepasang tuxedo berwarna putih menyerlah warna kulitnya yang kemerah-merahan. Aku berdehem beberapa kali untuk menyedarkannya yang aku berada di sebelahnya. Kereta itu mula bergerak dan aku sakit hati melihat Harry yang masih memekakkan telinga.

            Aku menjeling geram. Huh! Kalau aku larikan diri baru padan muka! Berlagak!

*********

            AKHIRNYA malam itu menjelma juga. Kereta-kereta mewah pelbagai jenis berpusu-pusu keluar masuk ke kawasan sekolah tinggi yang berprestij itu. Cik-cik muda yang turun dari setiap kereta mewah itu rata-ratanya sangat bergaya. Ada yang membawa tas tangan Prada, kasut berjenama Jimmy Choo dan pelbagai lagi jenama mewah yang mereka beli semata-mata untuk satu malam ini! Manakala, tuan-tuan muda yang berkot penuh ranggi dan stylo sentiasa menjadi perhatian para gadis. Turun sahaja dari kereta mereka terus diserbu!

            Tetapi, walau macam mana bergayanya mereka. Ahli Persatuan Pelajar tetap menjadi tumpuan utama. Ini kerana tanpa mereka, mustahil majlis penuh gemilang pada malam ini akan berlangsung dengan lancar. Manakala, Dewan Maharani di sekolah itu menjadi tempat berlangsungnya majlis tari-menari tahunan. Dewan yang asalnya kosong mulai dipenuhi para pelajar, dan tetamu yang diundang. Ada seorang petugas di pintu utama untuk memeriksa tiket. Tiada tiket, tiada tempat untuk anda di majlis ini. Begitulah tradisi tahun demi tahun.

            Harry terlebih dahulu turun kereta dari aku. Aku yang mula berdebar-debar ini terasa ragu-ragu untuk keluar.

            “Presiden!!!!”

            Aku menoleh ke kiri. Beberapa pelajar perempuan melambai-lambai kepada Harry sambil terjerit-jerit.

            Harry tidak mempedulikan mereka terus datang ke sebelah pintu kanan. Dia membuka pintu dan menghulurkan tangannya kepadaku.

            Err... aku tengah bermimpi ke ni? Romantiknya Harry...

            “Hei, perempuan lembap! Balik berangan kat rumah nanti. Bukan kat sini. Cepatlah!”

            Dan kini aku sedar... aku tak pernah terjaga dari mimpi buruk!

            Dengan muka yang masam aku menyambut tangannya. Kami keluar dari kereta itu dan gambar kami ditangkap oleh wartawan sekolah yang bertugas untuk majalah sekolah yang dikeluarkan sebulan sekali. Wah... ada red carpet segala. Aku berjalan dengan kekok. Mata-mata mula memandang kami dan aku hampir seratus-peratus yakin yang... kami menjadi tumpuan utama!

            “Presiden dengan siapa tu?”

            “Presiden tak pernah bawa pasangan selama ni.”

            “Aku nak pengsan! Tolong!”

            “Uhuks! Kecewa betul. Siapa ada tisu lebih!”

            Aku cuba bertenang walaupun ada suara-suara kurang enak yang aku mula dengari apabila melangkah memasuki dewan.

            Aku cuba melepaskan tangan Harry, namun lelaki itu semakin kuat pula pegangannya. Sekilas aku menjelingnya.

            “Sampai bila awak nak pegang tangan saya!” Aku membisik keras.

            “Kalau kau tak senyum... aku akan peluk kau sekarang jugak!” Ugutnya.

            Aku berdengus. Memang menyakitkan hati! Sejurus aku terus tersenyum sambil melangkah. Namun, aku sempat melirik ke sekitar kawasan dewan yang amat besar itu. Sam kulihat dikelilingi sepuluh gadis, dia hanya ketawa dan ketawa sambil melayani gadis-gadis yang berpakaian mengalahkan selebriti Hollywood menghadiri Grammy Awards!

            Di satu sudut, kelihatan Will dan beberapa rakan antarabangsanya. Mereka berbual dalam bahasa yang aku mungkin tidak fahami. Mataku mencari lagi... dan aku akhirnya ternampak Ray. Dia kelihatan sangat kacak dan sedang berbual dengan beberapa tetamu kehormat. Mungkin salah seorang dari mereka adalah pengetua sekolah ini. Sungguh, aku terasa kerdil dalam tempat ini. Lututku terasa bergegar. Cemas aku dibuatnya.

            “Kau tunggu kat sini, ataupun pergilah ambil makanan. Pandai-pandailah kau bawak diri. Aku ada kerja sikit.” Serentak itu Harry terus melepaskan tanganku dan dia berjalan sehingga hilang dari pandanganku.

            Aku menggenggam kemas tas tangan yang tiada apa-apa pun isinya. Hanya kad pengenalan dan duit sepuluh ringgit sebagai ‘semangat’ dompet orang tua-tua kata. Aku mengeluh, apa aku nak buat ni. Hah, aku ada idea!

            Sedapnya makanan kat sini. Ikan Salmon pun ada! Wah... aku tersenyum panjang. Sedapnya... cuba yang ni dululah. Tapi, yang ni pun macam best juga. Macam berada di istana! Lalala...

            “Cik Aya!” Sam menegurku.

            “Senior Sam,” Aku melonggo. Di pinggan aku sudah penuh dengan makanan. Lantas aku letakkan di meja. Cover!

“Comotnya mulut...” Sam lantas mengeluarkan sapu tangannya.

Dia menghulurkan sapu tangan itu dan aku menyambut. Segannya!

“Comelnya Cik Aya malam ni... datang dengan siapa?” Soalnya.

“Dengan...” Aku teragak-agak. Dan Sam menanti jawapanku.

“Eh, presiden nak bagi ucapan!”

Aku menoleh ke pentas apabila terdengar beberapa tetamu yang menyebut nama kekasih palsu aku itu. Mereka ramai-ramai menghampiri ke pentas.

Sam tersengih. “Nampaknya Ray tak pernah silap.” Ujar Sam. “Well... bersedialah dapat musuh ye.” Sam ketawa. Lantas berjalan pergi dari aku yang berada di meja panjang yang menempatkan begitu banyak makanan.

“Apa maksud Senior Sam?” Aku termangu.

Ketika itu aku turut melihat ke pentas. Harry memberi ucapan selaku ketua pelajar yang baru. Ramai yang menangkap gambarnya, dan semestinya mereka itu para gadis!

“Presiden macam watak putera dalam komiklah! Sangat kacak!”

“Comellah! Malam ni dapat banyak gambar dia tersenyum!”

Aku menelan liur. Benar kata Senior Sam, aku bakal dapat ramai musuh selepas ini! Kali ini barulah aku fahami maksud Sam. Lelaki itu seperti dapat menangkap yang aku sebenarnya datang bersama presiden!

“Awak pun datang juga.” Tiba-tiba bahuku disentuh dari belakang.

Aku menoleh dan melihat seorang gadis yang cantik seperti puteri dari kayangan sedang tersenyum ke arahku.

“Eh... Cik Muda Sallyna!” Aku pantas memberi senyum hormat.

Dia menghulurkan tangan kepadaku. Aku menyambut. Lembutnya tangan... nak dibandingkan dengan tangan aku ni, memang kasar macam katak puru!

“Cantiknya awak malam ni, Cik Aya.” Sallyna tersenyum.

“Tak... taklah.            Cik Sally nampak macam puteri.” Aku menyatakan dengan ikhlas.

Sallyna hanya tersenyum. Beberapa kawan-kawannya turut tersengih. Ah! Mereka ini yang aku lihat di dewan makan dahulu! Ahli Persatuan Pelajar. Ternyata mereka kelihatan seperti puteri-puteri kayangan!

“Kami pergi dulu...” Ucap Sallyna dan terus berjalan dengan rakan-rakannya yang sungguh elegan.

Aku hanya mengangguk lemah. Apa Sallyna akan cakap nanti... kalau dia tahu akulah perampas Harry. Walau aku hanya kekasih palsu Harry, tetapi... aku tetap kelihatan seperti perampas ke?

Majlis dimulakan dengan persembahan orkestra dari sekumpulan pelajar. Aku dapat melihat Will juga terlibat. Begitu hebat sekali dan aku tidak pernah melihat persembahan orkestra di depan mata sepanjang hidupku.

“Wahh!!! Kau pun datang ke, Aya!”

“Bella!” Aku turut menjerit kecil dan memeluk sahabatku itu.

“Cantinya baju kau! Wei, kau merompak kat pasaraya ye!”

Aku memekup mulut Bella kerana beberapa pasang mata mula memerhati aku dengan pelik.

“Kau ni agak-agaklah nak buat drama pun!” aku membisik.

“Sorry!” Bella mencebik. “Aku akan berebut dengan beratus gadis untuk menari dengan Tuan Muda Harry dan Tuan Muda Ray kejap lagi. So, kenalah bersedia mental dan fizikal!” Ujar Isabella dengan bersemangat.

“Semoga berjaya.” Aku tersengih sambil menggeleng kepala.

Bellla meninggalkan aku apabila ada seorang pelajar sekolah elit ini mempelawanya menari. Aku hanya tersenyum, Isabella sememangnya cantik. Siapapun pasti akan tertarik dengan apatah lagi dengan kehebatannya dalam tarian.

Aku mengundur ke belakang apabila kebanyakan tetamu mula menari dengan pasangan masing-masing setelah pemain piano memulakan rentak. Aku menoleh ke kiri dan kanan mencari kelibat Harry. Aku benar-benar terasa canggung.

“Dance with me?”

Aku terkejut ketika itu apabila Harry tiba-tiba muncul dan menghulurkan tangannya dengan penuh romantik.

 “Come...” Harry tersenyum lembut.

            Aku menggeleng.

            Harry tidak memperdulikan gelengan aku terus menarik tanganku.

            Semua mata hanya memandang kami. Harry memegang pinggangku dan aku memegang bahunya.

            “Saya akan pijak kaki awak! sebab saya betul-betul tak pandai. Percayalah!” Aku membisik keras.

            “Presiden! Jadi... inilah kekasih presiden?” Beberapa pelajar menunjuk ke arahku.

            Aku tergamam. Harry lantas mengangguk.

            “Inilah... kekasih saya.”      

“Kenapa mesti perempuan pendek tu!”

            “Langsung tak sesuai!”

            “Tapi comellah...”

            “Agak secocok... tapi kalau dengan Cik Sallyna mesti lagi sesuai.”

            Sallyna menghampiri kami. Aku semakin cemas pula. Seram sejuk aku dibuatnya.

            “Tak sangka... tapi, tahniahlah.” Ujarnya dengan lemah.

            “Cik Sally... saya minta maaf.” Aku bersuara namun lebih pantas Harry memegang kejap tanganku menghantar amaran.

            “Cik Aya... tak ada orang yang lebih mengenali Harry dari saya.” Tiba-tiba Sallyna menghampiri Harry dan mendekatkan bibirnya di telinga lelaki itu. Aku tidak dapat mendengar bisikannya itu dengan jelas.

            “Harry... janganlah bersusah payah. I tahu you siapa... you boleh tipu semua orang tapi bukan I.” Bisik Sallyna perlahan.

            Sejurus Sallyna terus meninggalkan majlis itu.

            Harry kelihatan tenang.

            Aku mengeluh. Aduh... aku sempat melihat jelingan rakan-rakan Sallyna yang tidak berani bersuara di depan Harry tetapi menyampaikan rasa tidak puas hati dengan pandangan mata yang tajam. Aku tiba-tiba terasa sangat takut!

            “Well... ini adalah pasangan paling hot tahun ni nampaknya.” Will datang sambil menepuk tangan. Sam tersengih turut menepuk tangan. Dan aku tidak dapat melihat Ray.

            Dewan itu gamat dengan tepukan kepada kami walaupun hanya separuh berbuat begitu. Kebanyakan pelajar perempuan memandangku dengan tidak puas hati. Termasuklah... Isabella! Sahabatku itu seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Oh, Tuhan... berikan aku kekuatan.

**********

            AKU mengutuk diriku sendiri kerana terlalu bodoh. Bodoh gila sebab menjadi hamba lelaki itu. Lihatlah... betapa kecewanya Sallyna yang anggun itu sebentar tadi. Harry memang buta hati perut betul!

            Aku menanggalkan kasut bertumit itu dan berjalan perlahan-lahan untuk pulang ke asrama. Malas menunggu Harry yang masih lagi berada di majlis yang masih belum tamat. Sengaja aku pulang awal kerana aku sudah tidak selesa dengan panahan mata gadis-gadis yang seperti ingin menelan aku hidup-hidup! Fuhh... nasiblah aku tak bersekolah di sini. Kalau tidak mesti esok aku akan terima padahnya merampas lelaki pujaan mereka itu. Apa yang dipuja sangatlah singa jadian tu, buang tenaga aje. Harap muka memang aku pun terpikat( Tulah salah satu sebab terima aje jadi kekasih boneka) tapi kalau tengok pada perangai, huh! Seposen pun tak laku.

            Berjalan pada waktu malam begini memang sangat sunyi. Namun cahaya lampu yang cerah membuat aku lebih berani. Sekali sekala aku duduk di kerusi rehat yang ada di tepi jalan. Melepaskan lelah. Aku mengurut kakiku yang sakit dan melecet. Ah! Pakai kasut sekolah esok mesti sakit. Lecehnya jadi perempuan. Aku merenung kasut mahal itu.

            “Kalau kau ni bukan dibeli dengan duit, dah lama aku campak dalam tong sampah. Menyusahkan orang betul!”

            “Janganlah marah kasut tu.” Ray duduk di sebelah aku.

            “Eh! Senoir Ray...” aku terkejut.

            “Kaki sakit ke?” Soalnya.

            “Sikit aje...”

            “Balik nanti sapu ubat ye.” Ujarnya dalam senyuman.

            Aku berhenti mengurut kaki. Dan memandang lelaki itu dengan rasa bersalah.

            “Senior ikut saya?”

            “Nampak aje Aya keluar dari dewan. Saya ikutlah...” Beritahunya jujur.

            “Tapi kenapa?”

            Ray tersenyum lagi. “Sebab... saya nak sentiasa lihat awak selamat. Kan saya nak jadi hero!” Ray ketawa kecil.

            Aku tersenyum malu. “Terima kasih sebab... Senior selalu ambil berat pasal saya.”

            “Awak kena lebih hati-hati lepas ni... mungkin ramai yang tak puas hati dengan Cik Aya. Presiden tu luar biasa sikit popularnya...”

            Aku memandang Ray dengan rasa bersalah. “Senior tak apa-apa kan?”

            “Saya okey, kenapa nampak saya tak okey ke?”

            “Tak...” aku termalu sendiri. Betul juga. Ray tak ada sebab untuk rasa tak okey. Aku yang terlalu kuat berangan!

            Katika itulah kereta Limo milik keluarga Harry berhenti di depan kami.

            “Masuk!” Harry menurunkan cermin tingkap.

            Aku memandang Ray dan lelaki itu mengangguk.

            “Mulai hari ini... ada orang lain yang akan jadi pelindung Cik Aya.” Ray bangun.

            Aku turut berdiri. “Senior... saya tak nak orang lain.” Ujarku separuh berbisik dan aku tidak pasti Ray mendengarnya ataupun tidak. Sungguh aku tidak boleh menipu diri aku yang... aku amat selesa dengan Ray dan aku amat tersiksa bersama Harry!

            “Good night, Aya.” Ray terus memusing badannya dan meneruskan perjalanan.

            “Weh! Lembap pun ada hadnya!”

            Aku menoleh ke arah Harry. “Awak ni boleh tak jangan panggil saya lembap!”

            Harry memandangku dengan marah. Aku membalas renungannya itu tanpa aku sedar kening sebelah kananku terangkat tinggi. 

            “Tam, jalan!” Arah Harry. Dan Limo itu terus bergerak meninggalkan aku.

            “Bedebah! Tunggulah!!” Aku menjerit. Hish! Lelaki ni.

            Terpaksalah berjalan seorang diri. Ray pun sudah menghilang! Apalah malang nasib aku malam ni! Si jin ni memang teruk!!!!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience