Bab 6

Short Story Series 55082

Sheila berlari-lari anak mendapatkan Areen yang sedang bermain badminton bersama Jairiah dan Wawa di gelanggang. Ada berita yang perlu disampaikan kepada Areen. Sudah lama dia menjadi spy tidak bergaji Areen dengan menyampaikan berita mengenai Aqil memandangkan dia adalah salah satu ahli jawatankuasa RPI dan sangat dekat dengan lelaki yang menjadi kegilaan Areen kawan baiknya itu.

"Areen, aku ada cerita hangat ni." Sheila tercungap-cungap ketika duduk di atas kerusi penonton disebelah Areen yang sudah berhenti bermain dan berehat. Dia cuba mengembalikan nafasnya sebelum menyambung perbualan apabila Areen dan yang lain sudah melihatnya. Jairiah dan Wawa turut berhenti bermain dan duduk dihadapan Areen dan Sheila.

"Apa lagi cerita yang kau bawa?" Jairiah menggelengkan kepala apabila melihat gelagat Sheila yang tidak sabar mahu menceritakan sesuatu seperti penting sahaja daripada gayanya.

"Aku sudah tahu siapa bakal zaujah Abang Aqil." Sheila memberikan khabar apa yang dilihatnya tadi sewaktu di dalam bilik mesyuarat Pusal Islam.

"Siapa?" Serentak ketiga sahabatnya bertanya tidak sabar.

"Tadi sewaktu mesyuarat aku pinjam laptop Abang Aqil, secara tak sengaja aku terbuka galeri gambar dan tekalah gambar siapa yang ada disitu?" Sheila menunjukkan riak wajah terujanya apabila melihat sahabatnya yang lain turut teruja kecuali Areen yang berdebar-debar.

"Siapa?" Serentak mereka bertanya lagi. Mereka memang teringin mengetahui siapakah bakal zaujah Aqil yang dikatakan sendiri oleh lelaki itu bahawa dia sudahpun mempunyai seseorang di dalam hatinya beberapa hari yang lalu.

"Rina Altafunisa!" Sheila membulatkan matanya seakan baru saja menyampaikan satu berita yang terbaik di abad itu.

Wawa dan Jairiah saling berpandangan sebelum mereka mengalihkan pandangan mereka kepada Areen yang seperti pucat wajahnya tiba-tiba.

"Kau salah faham agaknya. Tak mungkin hanya ada gambar Rina. Mungkin gambar Rina dengan pelajar-pelajar yang lain. Kelab RPI itu bukan Rina seorang saja." Areen menyedapkan hatinya sendiri wahal ketika itu terasa berhenti degupan jantungnya apabila tekaannya beberapa hari itu benar bahawa Aqil menyukai Rina Altafunisa.

"Kejadahnya, semua gambar Rina seorang saja kau tahu! Aku siap tangkap gambar lagi puisi yang abang Aqil buat untuk Rina." Sheila mengeluarkan telefon pintarnya untuk ditunjukkan bukti dengan apa yang baru dilihatnya tidak menyedari bahawa dia sudah mencerobohi hak peribadi Aqil dengan mengambil gambar puisi di dalam komputer riba milik lelaki itu tanpa sepengetahuan Aqil.

Adakah ini yang dinamakan cinta?
Hari ini lebih dalam dari semalam,
Esok akan lebih dalam dari hari ini,
Itulah perasaan hatiku yang galau,
Setiap aku mengingat wajah indahmu.

Adakah ini yang dinamakan cinta?
Untuk bicara tidak mampu aku luahkan,
Untuk menulis tidak mampu aku tintakan,
Untuk berjanji takut tidak mampu aku tuntaskan,
Itulah aku saat terkenang senyumanmu.

Adakah ini yang dinamakan cinta?
Saat mata terbuka luas,
Saat mata tertutup rapat,
Hanya bayanganmu menjadi igauan ku.
Inilah yang dinamakan cinta!

Ya, inilah rasanya jatuh cinta,
Aku, lelaki yang tidak sempurna,
Kau, wanita yang cukup sempurna dimataku,
Akanku hulur tanganku meminta,
Sudikah kau menjadi zaujah ku?

"Aku nak balik asramalah." Areen bangun tiba-tiba meninggalkan mereka. Hatinya membengkak mendengar bacaan romantik dari mulut Sheila yang dinukil oleh Aqil untuk Rina.

"Aku salah cakap ke?" Sheila bertanya pelik sambil memandang Wawa dan Jairiah. Masih tidak menyedari bahawa dia sudah tersilap langkah dengan mengguris hati Areen.

"Salah tu tidak tapi tak kena waktunya." Jairiah menjungkit bahu. Kasihan pula dia melihat Areen yang kecewa apabila mendapat tahu wanita yang disukai Aqil itu adalah Rina Altafunisa. Gadis yang dikenali hanya sebagai pelajar satu jurusan dengan mereka tetapi berlainan kelas. Jairiah bukan tidak mendukung perasaan Areen terhadap Aqil itu tetapi lelaki seperti Aqil pasti mahukan wanita yang menjaga penampilan dalam dan luarannya.

Areen memang lebih cantik dan bergaya berbanding Rina yang memakai pakaian biasa-biasa saja. Areen juga tidak kalah kepandaiannya. Jika dilihat 'pakej' yang ada pada Areen sangat sempurna. Tetapi sudah namanya pun manusia pasti ada kekurangannya. Ilmu agama yang dimiliki Areen cetek berbanding Rina yang menjadi keutamaan dalam dirinya. Lelaki yang mampu membuatkan Areen jatuh cinta juga merupakan seorang lelaki yang mencari seorang isteri yang sekufu dengannya. Tapi ilmu agama Allah boleh dicari kerana itulah tujuan sebenar manusia hidup di muka bumi ini.

Persoalannya mahukah Areen berubah menjadi seorang wanita seperti Rina? Bukan sehari dua dia mengenali sahabatnya itu. Sudah hampir tiga tahun mereka bersama. Dia tahu benar baik buruk sahabat baiknya itu. Dia yakin Areen tidak akan mampu untuk menjadi seperti yang diinginkan Aqil kerana Areen sudah terbiasa hidup bebas walaupun dirinya tidak pernah terjebak dengan anak muda yang nakal.

“Kasihan Areen. Dia suka sangat dengan Aqil tu. Setiap hari ada saja yang dia akan cakap pasal budak lelaki itu.” Wawa meluahkan rasa kasihannya terhadap Areen ketika itu.

“Sekurang-kurangnya selepas ini Areen sudah boleh berhenti berharap pada Aqil. Sampai bila dia mahu teruskan perasaan yang tak berbalas itu.” Jairiah juga turut berasa kasihan terhadap sahabtnya itu.

“Hish, tak sangka aku perempuan yang Abang Aqil suka itu Rina. Diaorang berdua tak pernah pula aku nampak saling berbual mesra. Kalau cakap pun pasal berkaitan kelab saja. Dalam diam rupanya boleh tahan juga Rina itu goda Abang Aqil.” Sheila berasa tidak puas hati dengan Rina walaupun permasalahan itu bukan berkaitan dengan dirinya.

“Kau ni, kau bukan kawan Rina juga ke? Kenapa cakap macam itu? Kau pernah nampak dia goda Aqil ke?” Wawa mengerutkan keningnya memandang Sheila yang dirasakan talam dua muka apabila dihadapan Rina, Sheila selalu menunjukkan seperti seorang sahabat yang baik tetapi dibelakang Rina gadis itu menunjukkan sikap yang berbeza.

“Tak pernah.” Sheila mencebik kerana Wawa tidak menyebelahi dirinya.

“Aku tahu niat baik kau mahu mempersatukan Aqil dengan Areen tapi kau harus tahu perasaan manusia ini tidak boleh dipaksakan. Kalau Aqil suka dengan Rina dan mahu memperisterikan dia kita tak ada hak untuk menghalang. Cuba kalau kau berada di situasi Aqil ketika ini kau pasti tahu keadaannya. Aku juga yakin Aqil tidak mahu menyakiti hati Areen dengan tidak memberitahu siapa wanita yang dicintainya kerana dia tahu Rina dan Areen berkawan baik.” Jariah menegur lembut kesilapan Sheila itu.

“Itulah kau. Kalau betul tu mengata, kalau tak betul tu fitnah. Dosa besar Sheila oi.” Wawa seperti mengejek Shiela ketika itu apabila ditegur oleh Jairiah.

“Mengadu domba dan menjadi batu api juga salah satu sikap tak terpuji Wawa.” Jairiah menggelengkan kepala memandang ke arah Wawa.

Sheila menjelirkan lidah tanpa dilihat oleh Jairiah ke arah Wawa. Dia berasa puas hati apabila Wawa turut mendapat teguran yang sama daripada Jairiah. Mereka akhirnya berhenti berbual dan meneruskan lagi permainan mereka. Mereka tidak menyusul Areen ke asrama kerana mereka tahu Areen pasti ingin bersendirian ketika itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience