LOCENG akhir berbunyi, Naura bergegas mengemaskan buku-bukunya. Dia perlu balik cepat untuk menyiapkan makan tengah hari, angkat baju yang sudah kering, melipatnya, sebelum dikemas di dalam almari. Salina yang bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah rendah akan pulang pukul lima petang dan Naura perlu memastikan semuanya selesai sebelum ibu tirinya itu sampai ke rumah.
Ketika melangkah menuruni tangga, matanya menancap pada susuk Airel dan Cikgu Rohani yang sedang berjalan menuju parkir kereta guru. Tanpa sedar, kedua-dua sudut bibirnya terangkat. Dia suka melihat interaksi dua beranak itu. Cara Cikgu Rohani berbicara dengan Airel membuat Naura benar-benar rindu dengan sentuhan seorang ibu. Dia tidak pernah bertemu ibunya. Hanya kenal melalui gambar. Ibu yang dia kenal adalah Salina, yang tidak pernah menganggapnya sebagai anak.
Mengatur kembali langkah menuruni tangga, matanya tidak luput memandang dua beranak itu. Cikgu Rohani melingkarkan tangannya ke bahu Airel sambil berbual mesra. Entah apa yang ditanya, namun setiap kali berbicara, Cikgu Rohani akan memberi sepenuh perhatian terhadap apa yang diperkatakan Airel. Dia juga mahukan ibu seperti itu. Dia mahukan hubungan seperti itu. Ditanya bagaimana hari yang dilaluinya di sekolah, apa yang dia belajar, siapa kawan-kawannya. Ya dia mahu seperti itu. Tidak setiap hari pun tak apa. Mungkin sebulan sekali, atau tiga bulan sekali, atau setahun sekali. Tetapi dia sendiri tahu, semua itu tidak akan pernah terjadi.
Dengan langkah gontai, Naura menuju ke tempat letak basikal. Dia letih. Namun untuk berehat, ia mustahil. Paling tidak, malam nanti baru dia dapat merebahkan badan.
“Naura!”
Suara Cikgu Rohani yang melaung namanya membuat langkah Naura terhenti. Perlahan dia menoleh.
“Ya cikgu.”
“Nak balik dah ke? Jom join cikgu dengan Airel makan. Hari ni suami cikgu outstation, kita orang makan kat luar je. Nak?”
“Tak apalah cikgu. Naura kena balik cepat. Terima kasih cikgu.”
Airel yang sempat tarik muka kerana ibunya mempelawa Naura, mendesah lega selepas mendengar penolakan gadis itu. Sempat dia menggerutu dalam hati kerana ibunya mengajak Naura tanpa bertanya dia terlebih dahulu.
“Yalah. Hati-hati ya,” ujar Cikgu Rohani.
Naura angguk dengan senyum tipis. Saat dia kembali melangkah, air matanya menitis. Nada Cikgu Rohani yang terdengar sangat lembut dan penuh perhatian membuat hatinya yang sering merindui belaian seorang ibu dipagut haru.
“IBU kenapa nak ajak Naura tak tanya Rel dulu?” Airel merungut sambil menarik tali pinggang keledar lalu dipasang pada buckle.
“Ibu kesian tengok dia. Dia tu macam…Entahlah. Kadang-kadang ibu tengok dia macam lonely,” jawab Rohani. Brek tangan diturunkan sebelum dia mengundurkan keretanya keluar dari garaj.
“Tahu-tahu je ibu.”
“Ibu pernah ajar dia dulu. Tiga tahun. Dari tingkatan satu sampai tingkatan tiga. Dia pandai tau. Tapi sejak naik form 4 dah merosot sikit.”
“Mana tak merosot, kerja nak mengejar lelaki je.” Airel menjawab sebal.
Rohani tertawa. “Dia kejar Airel je. Dia tak kejar budak lain.”
“Itu yang menyampah tu.”
“Airel walaupun tak suka dia, jangan kata benda-benda yang tak elok. Kalau tak suka bekal yang dia bawak, tolak baik-baik. Jangan hina orang, jangan sakitkan hati orang dengan lidah kita.”
Airel diam. Dia faham nasihat ibunya, namun sangat sulit untuk menahan lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak baik jika berdepan manusia tidak tahu malu seperti Naura.
“Lagipun ibu rasa dia tak pernah paksa Airel pun kalau Airel tolak bekal yang dia bawak. Betul tak?”
Airel hanya menjawab dengan gumaman. Memang benar Naura tidak pernah memaksa, tetapi masalahnya esok dan hari-hari seterusnya gadis itu akan membawa lagi bekal untuknya. Dia rimas dan dia malu.
“Mungkin dia cuma nak berkawan. Tengok tadi, ibu pelawa dia makan sama-sama dengan kita, dia tak ambik kesempatan pun. Kalau dia betul-betul nakkan Airel, mesti cepat je dia ikut kita. Nampak tak?”
Tiada tanggapan daripada Airel, namun dalam hati dia mengiakan kata-kata ibunya.
“Berkawanlah dengan dia, Rel. Kesian dia. Mungkin asbab dia berkawan dengan Rel, dia jadi semangat belajar dan dapat keputusan baik dalam SPM. Tak ke berganda-ganda pahala Rel tu.”
“Tak naklah bu. Nanti dia perasan.”
“Ibu tak suruh Rel bercinta dengan dia. SPM pun tak habis lagi, tak payah gatal nak bercinta.”
“Siapa pulak yang nak bercinta.” Airel menggerutu sebal.
“Kalau tak nak dia salah anggap, Rel berkawan jugak dengan kawan baik dia tu. Sabrina ke apa namanya,” sambung Rohani.
“Tengoklah macam mana,” balas Airel, malas lagi melanjutkan perbualan tentang Naura.
SESAMPAI sahaja di rumah, Naura bergegas membersihkan diri dan solat Zuhur. Selesai kewajiban lima waktu itu, dia segera ke dapur. Tidak lama lagi, adik lelakinya, Fatih akan balik dari sekolah agama.
Pagi tadi dia sudah pindahkan ayam dari bahagian pembeku ke bahagian penyejuk supaya dia tidak perlu menunggu lama untuk memasak. Lebih setengah jam bersilat di dapur, akhirnya seperiuk kari ayam siap dimasak. Terduduk dia kelelahan sebelum dia dikejutkan dengan bunyi hon bas dari luar rumah menandakan Fatih sudah pulang. Cepat-cepat dia berlari ke pintu lalu menekan suis pagar.
“Kakak!” Fatih berlari, menerpa ke arahnya. Ah adiknya yang seorang ini sajalah yang selalu menyejukkan hatinya.
“Sedapnya bau. Kakak masak apa?” tanya Fatih. Kasut yang ditanggalkan segera diletak di rak sebelum dia melangkah masuk.
“Kari ayam. Nak makan?”
“Nak.”
“Tukar baju dulu. Baju sekolah, stoking, masuk dalam mesin basuh.”
“Okey.” Fatih berlari naik ke biliknya, sebelum beberapa minit kemudian turun semula ke meja makan.
Naura sudah siap menyendukkan nasi bersama kari ayam untuk adiknya itu. Tersenyum dia melihat berseleranya Fatih makan.
“Kakak masak lagi sedap dari makcik kantin.”
Naura tertawa. Ayat itulah saban hari keluar dari mulut Fatih setiap kali menjamah masakannya.
“Tadi kat sekolah makan apa?” tanya Naura.
“Sekolah pagi makan nasi lemak ayam merah. Hari-hari lauk sama je. Esok adik nak bawak bekal.”
“Nak bawak bekal apa?” tanya Naura, senang untuk dia menyediakan bahan.
“Mee goreng.”
“Boleh.”
Fatih tersengih sebelum meneruskan suapannya. Naura pula memandang adiknya itu dengan senyuman. Hanya Fatih yang membuat dia rasa ada dan dihargai. Malah kadang-kadang jika dia dimarah Salina atau dibentak Fatin, Fatih akan sentiasa membelanya. Usia Fatih baru sebelas tahun tetapi adiknya itu sangat matang membuat pertimbangan.
PAGI itu, Naura bersiap lebih cepat kerana tidak mahu ditinggal Salina seperti semalam. Ketika semua orang belum keluar, dia sudah tercatuk menunggu di tepi kereta. Kali ini dia akan pastikan Salina tidak ada alasan untuk meninggalkannya.
“Awal kau Bap. Takut kena tinggal ke?” sinis Fatin sambil menyarungkan kasut sekolahnya.
“Tak baik panggil orang macam tu. Panggil kakaklah. Kan dia kakak kita.”
Nah, tanpa perlu dia berkata apa-apa, hero kecil muncul membelanya. Naura tersengih, namun dia tetap mengunci bibir. Bimbang sepatah saja kata keluar dari mulutnya akan membuat Fatin berang lalu dia yang akan menjadi sasaran kemarahan Salina.
“Naura!”
Mendengar suara Salina dari dalam rumah, membuat Naura sontak menegakkan tubuhnya.
“Ya ma!”
“Sini kejap.”
Naura segera menanggalkan kasut lalu bergegas masuk ke dalam rumah. Pantas dia membawa langkah mendekati Salina yang sedang membetulkan rambutnya di depan cermin besar yang memajang di ruang utama.
“Ada apa ma?”
“Tolong ambikkan handbag merah dekat dalam bilik aku. Atas katil. Cepat sikit.”
Tidak membantah, Naura berlari membawa tubuh gempalnya menaiki tangga. Bilik mama dan papanya dia tuju sebelum matanya melingas mencari beg merah yang dimaksudkan Salina. Puas dia melilau sambil mencari di celah bantal, di atas almari solek, di bawah sofa, namun tidak nampak di mana beg merah itu.
Ketika dia masih tercari-cari, deru enjin kereta keluar dari perkarangan rumah membuat tubuhnya menegang. Cepat-cepat dia keluar dari bilik sebelum berlari turun. Terduduk dia melihat anjung tempat Salina memarkir keretanya sudah kosong. Yang tersisa, hanya bau asap. Beg sekolah, fail dan buku-buku yang dia letak di atas but kereta tadi juga berselerak di lantai.
Menitis air matanya tanpa sedar. Terasa hina sekali diperlakukan seperti ini. Harga dirinya lebur, membuat dia rasa kerdil sekerdilnya.
Dikutip beg, fail dan buku di lantai sebelum dia bangun dan mengunci pintu. Terpaksalah dia berbasikal lagi hari ini. Lirik jam di pergelangan tangan, dia mendesah lelah.
Tidak seperti semalam, hari ini dia tidak terburu-buru. Biarlah. Toh, selaju mana pun dia mengayuh, tetap akan terlewat juga. Satu tangan memegang pemegang basikal, satu tangan sibuk menyeka air matanya yang masih tidak segan silu membasahi pipinya. Teresak-esak dia sambil sesekali menyeru nama mama dan papanya.
Sampai di depan pagar sekolah, Cikgu Mazlan sudah bercekak pinggang, memandangnya dengan mata mencerlung.
“Awak lagi!”
Naura diam. Tunduk, tidak berani menentang tatapan Cikgu Mazlan; guru disiplin yang cukup digeruni oleh pelajar-pelajar sekolah itu.
“Dah, masuk cepat!” Melihat bahu Naura yang terhinggut-hinggut, timbul pula rasa kasihan. Amarah yang memuncak kerana geram pelajar yang sama sahaja melanggar peraturan sekolah, sirna seketika. Dalam garangnya membentuk sahsiah pelajar, dia masih ada perasaan timbang rasa.
“Terima kasih cikgu,” ujar Naura lalu menuntun basikalnya masuk melalui pagar tepi.
Usai memarkir basikalnya, dia mengatur langkah ke kelas. Perlahan dan tidak bersemangat kerana dia tahu pasti bagaimana nasibnya selepas ini. Masa pertama adalah masa Matematik. Tentu dia akan ditengking, dimarah, dan disuruh berdiri di depan kelas oleh Cikgu Zawiah.
Langkah anak tangga pertama menuju ke kelas, telinganya sudah dapat menangkap suara nyaring Cikgu Zawiah sedang mengajar. Terasa sesak nafasnya membayangkan kata-kata hinaan dan cacian yang akan keluar dari mulut guru itu kelak. Malu. Pada usia 17 tahun, dimarah dan ditengking di depan 30 pelajar lain.
Namun digagahkan juga langkahnya memijak anak tangga satu persatu. Sampai di depan pintu, dia tarik nafas dan menghembusnya perlahan. Setelah dirasakan cukup kuat, dia mengetuk pintu. Sontak semua mata di dalam kelas menoleh ke arahnya. Naura tunduk meramas jemarinya.
“La, ingat dah mati. Hidup lagi rupanya.” Sinis kata-kata Cikgu Zawiah membuat Naura merapatkan kelopak matanya. Pedih terasa sehingga ke sudut hati yang paling dalam.
“Hari-hari muka engkau je lambat. Dahlah bodoh. SPM nanti bagus tak payah datang!”
Naura diam. Bukan dia tidak marah, bukan dia tidak sakit hati, tetapi dia sedar jika dia melawan, tiada sesiapa akan membelanya. Malah mungkin dia akan digantung sekolah kerana berkurang ajar dengan guru.
“Berdiri kat luar tu sampai pukul lapan!”
Naura akur. Malu hanya Tuhan yang tahu. Tebal mukanya rasanya kalah kulit biawak. Namun dipujuk hati mengingat SPM hanya berjarak dua bulan dan selepas itu dia tidak akan berdepan lagi dengan guru yang menjengkelkan ini.
Airel memandang Naura yang berdiri di luar, mencatat nota di dalam buku tulisnya dengan menjadikan pembatas koridor sebagai alas. Sesekali dia melihat Naura mengesat matanya dengan lengan baju. Entah mengapa, terbit sedikit rasa kasihan. Ibunya juga seorang guru, tetapi rasanya tidak pernah memperlakukan pelajar sebagaimana Cikgu Zawiah.
“Naura, selesaikan soalan ni. Kalau betul, boleh masuk dan duduk,” ujar Cikgu Zawiah sambil menunjuk ke arah soalan di papan putih.
Melangkah masuk, Naura menyambut pen marker yang dihulurkan Cikgu Zawiah lalu menyelesaikan soalan itu.
“Dah,” ujarnya perlahan setelah selesai.
Cikgu Zawiah meneliti jalan kerja dan jawapan Naura dengan wajah berkerut.
“Soalan senang pun salah! Selang kelas ni basic dalam bab 7. Itupun tak boleh buat!”
Naura diam. Namun dia memerhati semula jalan kerja dan jawapan yang ditulisnya pada papan putih. Baru dia sedar dia tersilap menulis nilai data terkecil. Terlepas pandang satu nombor yang merupakan nilai data terkecil dalam kumpulan itu.
“Saya silap nilai data terkecil. Boleh saya tukar tak, cikgu?” ujar Naura.
“Kau ingat dalam SPM nanti kalau dah salah, boleh main tukar-tukar? Dah, berdiri kat luar sampai habis masa Matematik!”
Naura pasrah. Namun saat dia mahu melangkah keluar, bunyi tepukan kuta pada meja membuat langkahnya terpasung. Sontak dia menoleh, sebelum dia melihat Sabrina sudah berdiri dengan bertopang dua tangan pada meja. Turun naik dadanya seperti kesuntukan nafas.
“Awak ni dah kenapa, Sabrina?” sergah Cikgu Zawiah.
“Nak berdiri dengan Naura dekat luar?”
“Cikgu…” Sabrina bersuara.
Seisi kelas sunyi sepi, seolah-olah menunggu drama apa yang bakal dipersembahkan. Namun tidak sukar untuk mereka menebak yang Sabrina cuba membela Naura.
“Tak ada pekeliling yang membolehkan guru mendenda pelajar lewat. Tindakan cikgu suruh Naura di luar tu salah. Dalam panduan tatacara disiplin sekolah untuk pengetua, guru besar, guru disiplin dan guru sekolah, hukuman untuk pelajar lewat ialah…Satu, denda mengikut budi bicara guru disiplin. Dua, amaran direkod. Tiga, jika berulang ibubapa dipanggil tandatangani surat jaminan. Jadi, di mana hak cikgu nak hukum Naura berdiri di luar? Cikgu pun bukan guru disiplin.”
Mencerlung mata Cikgu Zawiah memandang Sabrina dengan kelancangannya itu.
“Awak nak mengajar saya? Awak tahu tak ada pekeliling untuk menghukum pelajar yang biadap dengan guru?”
“Pekeliling iktisas bilangan 9 1975, hukuman untuk berbahasa tidak sopan atau kasar atau mencarut guru. Kesalahan kali pertama, memohon maaf. Kesalahan kali kedua, amaran. Kesalahan kali ketiga, rujuk kaunseling. Kesalahan kali keempat, rotan. Jadi, memandangkan ini kesalahan saya kali pertama, saya minta maaf walaupun saya tak rasa saya berbahasa tak sopan atau kasar atau mencarut cikgu. Yang mencarut tadi cikgu. Cikgu kata Naura bodoh.”
Suasana sunyi sepi tadi kini menjadi sedikit hingar apabila beberapa pelajar mula berbisik-bisik. Sabrina memang terkenal dengan otak yang sangat cekap menghafal. Ya, mungkin itu bisik-bisik kerana kagum dengan pengetahuannya atau mungkin juga takjub kerana Sabrina berani mengkritik Cikgu Zawiah yang terkenal bermulut lancang itu.
“Awak jangan biadab Sabrina! Duduk!!! Sebelum saya suruh awak berdiri di luar dengan Naura!”
“Saya pilih berdiri dengan Naura dekat luar.” Capai buku nota dan buku teks serta alat tulis, Sabrina melangkah keluar sambil menarik tangan Naura.
“Eloklah kau berkawan dua orang. Dua-dua tak ada masa depan!”
Sabrina malas menjawab lagi walaupun masih banyak yang mahu dia perkatakan. Jika Cikgu Zawiah mahu mengambul tindakan terhadapnya, silakan. Bapanya wartawan, ibunya pegawai di bahagian pengurusan sekolah PPD dan dia tahu bagaimana caranya mengajar guru itu jika bertindak melampaui batas. Bukan tidak ada guru yang garang di sekolah ini selain Cikgu Zawiah. Ramai. Tetapi tidaklah sampai memaki dan menghina pelajar dengan perkataan bodoh. Tidak wajar sekali perkataan seperti itu keluar dari mulut seorang pendidik. Naura pun bukan pelajar yang jahat atau suka melawan. Dia cuma terlewat dan Sabrina tahu Naura bukan sengaja. Mengapa Cikgu Zawiah tidak cuba mengerti? Tidak rugi juga bukan, jika berbuat baik dengan pelajar sendiri?
“Kenapa kau buat macam tu?” bisik Naura saat dia dan Sabrina sudah sama-sama berdiri di koridor. Namun mata dan telinga tetap memberi perhatian terhadap penerangan Cikgu Zawiah di dalam kelas.
“Nak harap kau bela diri sendiri? Haram…”
Naura berdecit. Dia bukan tidak mahu membela diri, tetapi jika dia melakukannya, bimbang hukuman lain pula yang akan diterima. Lagipun cuma tinggal dua bulan saja lagi dan dia akan bertahan.
“Macam mana kau tahu semua pekeliling tu?” tanya Naura. Hairan juga dia bagaimana Sabrina boleh tahu dan hafal semua pekeliling yang disebutnya tadi.
“Aku dah buat persediaan awal sebab aku macam ada instinct yang kau akan lambat hari ni. Minggu lepas kau dah kena maki dengan dia, minggu ni tak mustahil kena lagi. So semalam aku mintak mama aku cari pekeliling hukuman pelajar lewat siap-siap. Last-last bukan pekeliling pelajar lewat je, macam-macam pekeliling aku dapat. Aku bacalah semua.”
Naura terkekeh perlahan. Terasa beruntung kerana memiliki sahabat seperti Sabrina. Terlupa dia sejenak dengan kerusuhan hatinya.
WAKTU rehat, Airel cepat-cepat mengemas buku dan mahu segera keluar sebelum Naura mendekatinya. Namun, belum sempat dia mengangkat punggung, Naura sudah tercegat di depan mejanya, memapar sengih kerang busuk sehingga menampakkan barisan gigi yang tersusun rapi membuat pipi tembamnya bertambah bulat.
“Hari ni saya bawak biskut je untuk awak.” Naura meletakkan sebungkus biskut chipsmore di atas meja Airel.
Airel berdecit tidak suka. “Kan aku dah kata, jangan bagi aku apa-apa. Aku tak suka.”
“Hari ni saya bawak mee goreng, tapi awak kan pernah bagitahu awak tak suka mee goreng. Jadi saya bawaklah biskut. Ambiklah,” ujar Naura, tidak peduli dengan penolakan Airel.
“Boleh tak sekali kau jangan jadi bebal? Kau faham tak maksud JANGAN dan TAK NAK?” Sengaja Airel menekan suaranya saat menyebut jangan dan tak nak supaya Naura mengerti. Dia malu. Apatah lagi telinganya menangkap bunyi siulan nakal daripada rakan-rakannya yang sudah menunggu di luar kelas.
“Faham. Tapi yang saya tak faham, kenapa awak tak nak terima? Biskut je kot.”
“Biskut ke, nasi goreng ke, mee goreng ke, pisang goreng ke, apa-apa ke aku tak nak. Aku tak nak apa-apa daripada kau. Faham tak?”
“Dah-dahlah tu Naura. Dia dengan Zawiah tu tak ada beza pun. Dua-dua mulut macam taik. Dua-dua pandang kau macam tak ada masa depan. Baik biskut tu kau bagi anjing. Apa-apa makanan kau bawak pun, baik kau bagi anjing. Anjing yang haram dipegang tu lagi pandai berterima kasih daripada manusia yang nama dalam IC terang-terang Islam. Mencari yang halal itu fardhu bagi umat Islam. Tapi perangai macam haraaaaaam jadah.” Sabrina yang geram dengan Airel dan meluat dengan Naura yang tidak tahu malu, bersuara sambil dengan santai mengunyah nasi lemak bekalnya.
Malas menanggapi sindiran Sabrina, Airel bangkit lalu melangkah keluar sebelum Naura terus mendesak supaya menerima pemberiannya.
“KENAPA kau lambat pagi tadi?” tanya Sabrina setelah tinggal dia dan Naura saja di dalam kelas.
“Mama tinggal aku. Dia suruh aku naik cari beg dia, tiba-tiba aku dengar dia dah start kereta terus pergi.”
“Sial betullah perempuan tu. Tak payahlah panggil dia mama. Panggil betina.”
Naura diam, sambil memutar-mutar mee di dalam bekas bekalnya. “Masa aku sampai sekolah tadi, aku terfikir…Kenapalah aku selamat sampai sekolah? Kenapa aku tak kena langgar lori ke? Biar mati terus. Kan senang. Kalau nak bunuh diri berdosa. Kalau mati kena langgar, tak apa kan?”
“Kau cakap apa ni gila?” Berang Sabrina mendengar penuturan Naura yang seperti orang tidak ada iman.
“Kau ingat kau mati kena langgar lori, kau boleh terus masuk syurga tanpa hisablah? Macam tu?” sambungnya lagi.
“Entahlah. Sepanjang jalan tu aku terfikir…Untuk apalah aku wujud atas muka bumi ni kalau semua orang benci aku. Apa gunanya Tuhan wujudkan aku atas dunia ni kalau setakat untuk jadi hamba dalam rumah aku sendiri.”
“Papa kau balik nanti, kau cerita kat dia.”
Naura mengeluh. Itulah yang dia lakukan sejak dulu, tetapi Salina begitu pandai berpura-pura sehingga dia dianggap sengaja mereka-reka cerita oleh papanya. Sedih, namun dia tiada tempat untuk pergi. Suka atau tidak, dia harus berada di rumah itu setidaknya sehingga dia tamat SPM. Dia akan keluar mencari kerja dan jika keputusannya baik, dia akan sambung belajar. Tidak akan dia balik ke rumah itu lagi.
“Papa pun tak percayakan aku. Aku sedihlah Bina. Kat rumah tak senang, kat sekolah tak tenang.”
Terdiam Sabrina mendengar luahan Naura. Dia bersimpati, namun tidak tahu bagaimana harus membantu. Kemampuan dan keupayaannya terbatas. Dapat membela Naura di depan Cikgu Zawiah dan rakan sekelasnya tadi pun dia sudah cukup berpuas hati.
“Tak apalah. Jangan fikir masalah aku. Lagipun tak lama lagi SPM. Aku harap lepas SPM aku boleh keluar dari rumah tu.”
“Kalau nak keluar dari rumah tu, kena belajar rajin-rajin. Skor A banyak-banyak.”
“Insha’Allah.” Naura mengangguk mantap.
Ketika Naura dan Sabrina masih menikmati makanan mereka, Airel tiba-tiba muncul semula mencari sesuatu dari dalam laci mejanya.
“Awak cari biskut yang saya bagi tadi ke?” soal Naura dengan nada mengusik.
Tiada jawapan daripada Airel. Bahkan dia terus berlalu sebaik sahaja menemui apa yang dicari. Dompetnya.
“Tanya pun tak nak jawab.” Naura menggerutu.
“Aku dah cakap banyak kali kat kau. Jangan bagi apa-apa lagi pada Airel tu. Kau tak nampak dia menyampah dengan kau? Kau tak nampak dia benci dengan kau? Cara dia pandang kau, cara dia bercakap dengan kau, sebijik macam Zawiah. Kau ni memang dah tak boleh beza orang suka dengan tak suka ke?”
“Biarlah. Dia tak suka aku, tu hak dia. Aku suka dia, tu hak aku. Aku tak paksa perasaan dia untuk suka aku dan aku jugak tak boleh paksa perasaan aku untuk berhenti suka dia.” Naura menjawab santai seolah-olah penolakan Airel sedikit pun tidak mengguris perasaannya.
“Habis tu yang kau dok selalu bagi dia bekal, makanan tu, bukan kau paksa dia suka kau?”
“Tu bukan paksa. Tu usaha.”
“Masalahnya usaha kau masih tak nampak hasil. Berhentilah Naura. Jangan nampak terhegeh-hegeh sangat. Kita ni perempuan tau.”
“Mana ada aku terhegeh-hegeh.”
Sabrina memutar bola matanya. Jengkel sungguh dia dengan Naura yang payah menerima nasihat.
“Kau jangan terkejut kalau satu hari nanti kau nampak aku bersanding dengan dia. Tapi masa tu aku dah kuruslah.”
“Allahuakbar.” Sabrina benar-benar mati kata, sehingga sudahnya dia memuji kebesaran Ilahi.
Share this novel