BAB 4

Humor Completed 10496

Aku meronyok surat Fadil dan terus aku baling ke dalam bakul sampah. Sudahlah surat pun ditaip dengan komputer. Nampak sangat pemalas nak tulis surat. Geramnya aku dengan mamat ni. Alasan yang tak munasabah. Hanya kerana “durian crepe?”.

Sedap sangat ke durian crepe tu sampai terpaksa membatalkan perkahwinan dan pertunangan kami. Aku ingatkan dia nak kahwin dengan orang lain. Ataupun ada hubungan dengan Eda atau perempuan lain. Rupanya tidak. Kenapalah aku ada lelaki spesis macam ni. Fadil oh Fadil. Kenapalah engkau buat begini. Sanggup memutuskan hubungan ini semata demi durian crepe? Memang aku tak faham. Dan tidak akan pernah faham!

Aku menggarukan kepalaku. Sesekali alasan Fadil mungkin ada relevennya. Dia sanggup membatalkan perkahwinan kami hanya mahu fokus dalam bisnessnya menjual durian crepe. Pada awalnya aku anggap perkara ini lucu. Namun apabila mengetahui niat dan kesungguhannya mahu membawa bisnessnya di luar negara, baru aku faham.

Pintu bilikku diketuk berulang kali. Aku buka. Muncul muka emak dengan abah di muka pintu. Di belakang Soreya dan Afiq sibuk mengintai apa yang terjadi.

“Kamu dah baca surat Fadil?” aku mengganguk. Tiada rasa sedih mahupun tergelak. Semua perasaan itu tiada setelah aku baca surat Fadil. Apa yang aku rasa sekarang adalah perasaan keliru.

“Abah harap kamu tak berdendam dengan Fadil. Biar apa pun dia buat pada kita. Jangan sesekali kita membenci dia.” Aku diam. Patuh mendengar tazkirah abah. Emak hanya membantu di sebelah abah.

“Laura dah makan ke belum ni? mak ada masak gulai ikan keli. Siang tadi mak dengan abah pergi kedai Pak Mamut beli ikan keli untuk kamu.” Bila sebut pasal gulai ikan keli, air liurku sudah kecur. Sedapnya. Sudah lama tak pekena masakan emak. Asyik rasa masakan sendiri je.

“Nanti Laura turun.” Aku mengganguk lagi sekali memandang emak.

“Jumpa abah lepas ni. Ada hal abah nak cakap.” Tegas abah kemudian terus ke dapur. Diikuti emak. Aku mengarukan kepalaku. Apa lagi lepas ni?

Di meja makan aku banyak berhalusinasi. Tangan tidak habis habis menekan nasi. Rasa selera mulai terbantut. Nasib baik mereka sudah makan. Sekarang tinggal aku seorang sahaja. Aku pandang ikan keli dah serupa wajah Fadil. Macam mana nak makan ni. Anggau betul aku ni.

Aku membuang nasi dan ikan keli yang masih berbaki.

“Siapa ajar kamu membuang rezeki?” aku terdiam. Terpaku. Tak jadi niatku membuang. Suara abah menakutkan aku. Aduhai macam mana nak berdepan dengan abah ni. Aku mesti kena ceramah kaw kaw punyalah.

“Errr, abah. Laura tak habis makanlah bah. Tak lalu nak makan. Macam tulah bah. Laura tak sengaja.” Aku berbata bata bercakap. Hendak memandang raut wajah abah pun aku takut.

“Pasal cinta je tak lalu nak makan. Pasal cinta je mandi tak basah. Apa lagi satu, tidur pun tak lena. Semuanya pasal cinta. Engkau ni kan Laura, Kalau abah tak tegur kamu buat. Bila abah tegur kamu naik muka masam. Jangan biar cinta menguasai diri kau. Kau masih muda. Ada masa depan. Jangan nak gelapkan masa depan kau dengan cinta yang entah apa-apa tu. Nasi yang kamu buang tu, semua rezeki kita. Kamu tahu tak, abah dengan mak dulu susah cari duit nak beli beras. Waktu kamu kecik dulu nasi yang engkau buang itulah yang bagi engkau makan… membesar. Jangan lupa asal usul kita. Dah sekarang abah nak kamu simpan nasi dan ikan keli tu dalam tudung salji. Kang biar Soreya dengan Afiq makan.”

Aku terdiam. Kata-kata abah menusuk hatiku. Memang benar kata abah. Aku yang silap dan buta kerana cinta.

Selepas mengemas dapur, aku menuju di ruang tamu. Nampaknya kak ngah dengan anak-anaknya sudah masuk tidur. Cuma abah saja yang berada di ruang tamu.

“Lupa apa abah cakap tadi?”

“Abah nak jumpa Laura nak buat apa?” soalku. Nampak macam soalan bodoh ku utarakan.

“Mari sini. Abah nak cakap sikit.” Aku kemudiannya duduk di kerusi bertentangan dengan abah. Tiada siaran tv mahupun air kopi. Selalunya abah akan minum air kopi lewat tengah malam. Cuma malam ini nampak sunyi sepi. Lampu bilik semua sudah tutup. Kini perbincangan aku dengan abah sudah bermula.

“Fadil ada cakap dengan abah pasal kamu.” Aku memandang tepat ke arah abah. Apa lagi Fadil ni. Dia nak apa lagi.

“Laura dengan Fadil kan tak ada apa-apa hubungan lagi. Apa lagi yang dia nak?”

“Dia nak kan kamu lah.” Aku mencebik. Nak kan aku tapi putuskan pertunangan dan membatalkan majlis perkahwinan? Sengaja nak main-mainkan perasaan aku.

“Laura tak nak dengar apa-apa lagi penjelasan pasal dia. Kalau inilah yang abah nak bincangkan. Laura rasa simpanlah saja kata-kata abah tu.” Aku berkeras. Hatiku remuk pasal dia. Fikiranku berkecamuk pasal dia. Semuanya pasal dia.

“kamu ni Laura. Dari dulu sampai sekarang tak habis habis keras kepala. Nak kata ikut perangai abah tak ada juga. Mak kamu pun tak juga. Abah bukan apa, kesian dekat Fadil. Pasal kamu dia berkorban. Abah tak nak pergorbanan dia tu sia sia sebab kamu tak hargai apa yang dia dah buat pada kamu.”

“Pergorbanan apa pula abah? Tak faham lah Laura.” Aku memang tak faham apa yang abah sampaikan kepada aku.

“Memang patutlah Fadil putuskan pertunangan dengan kamu.”

“Apa abah cakap ni? abah sukalah tengok Laura menderita?” Rajukku. Sampai hati abah.

“kamu ni Laura, memang kamu hidup untuk cinta manusia saja ke? cinta kadang-kadang boleh menaikkan semangat. Ada manis ada pahit. Tapi bila keadaan macam ni, Laura kena fikir balik. Apa salah Laura pada Fadil selama ini. Kenapa dia merajuk hati. Itu yang abah rasa bila Fadil luahkan masalahnya pada abah. Abah dah anggap Fadil macam anak abah sendiri. Tapi tak kesampaian jadi menantu abah.” Aku melihat abah sedih mengenangkan apa yang terjadi di antara kami.

Aku temanggu di kerusi. Kata-kata abah benar benar mengetuk pintu hatiku. Selama ini Fadil tidak pernah berkongsi masalahnya kepadaku. Sebaliknya hanya aku saja yang berkongsi masalahku kepada dia. Mungkin selama aku berkenalan dengan dia, aku langsung tak menghargai setiap pergorbanan dia kepadaku. Tapi aku tetap setia, cinta dan sayang kepadanya. Sebab hanya dia saja yang berada di dalam hatiku. Adakah ini salahku? Tiba tiba hatiku diragut rasa serba salah.

“Kamu nak tahu apa yang Fadil cakap pada abah masa kamu tak ada kat sini?” aku hanya membisu.

“Fadil kata dia nak kukuhkan kerjayanya dulu sebelum menjadi suami kamu yang sah. Sebab tu dia sahut cabaran kawannya untuk buat perniagaan durian crepe. Sebenarnya beberapa minggu yang lepas, Fadil kena pecat dengan bosnya sendiri. Sebab tu dia ambil keputusan untuk membatalkan majlis perkawinan kamu dengan dia. Sebab dia tak cukup duit lagi. Kamu pulak asyik fikirkan hal sendiri saja. Tak cuba selami hati dia. Hati lelaki ni kalau kita dapat selami dan fahami, dia akan sayang lebih pada kita. Abah dulu masa muda muda pun macam Fadil jugaklah. Abah ni lebih makan asam garam daripada kamu.”

Aku terdiam. Fadil kena buang kerja? Aku langsung tak tahu pasal hal ini. Ya Allah hatiku lagi sekali diragut rasa serba salah. Hatiku mula kasihan dengan Fadil. Dia sanggup buat begini demi aku? Tapi aku? aku langsung tidak hargai setiap pengorbanan dia untukku.

“Bagi masa dia peluang betulkan keadaan. Tak salah kita membenci seseorang itu tapi jangan terlalu menghukum. Abah tak didik anak abah untuk menghukum seseorang. Dah lah pergi masuk tidur. Bila kamu balik Kuala Lumpur?”

“Esok.” Jawabku.

“Kalau jumpa Fadil kirim salam abah pada dia.” Aku tak menjawab. Nak jumpa dia dekat mana? Dia langsung tak munculkan dirinya.

“Ingat masuk tidur. Jangan nak berangan. Tutup lampu kalau tak pakai.” Aku muncungkan bibir. Bila masa pulak aku berangan pasal Fadil? Abah ni ada-ada je.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience