(San Gimignano, Itali - 9 malam)
Sebuah kereta hitam membelok masuk ke sebuah pekan yang bernama San Gimignano. Pekan itu dibina diatas bukit yang teretak dibarat daya Florence, Tuscany, Itali. Jika dilihat, pekan itu terbina cantik dan dikelilingi oleh tembok yang dibina pada abad ke-13. Cuaca pada malam itu agak dingin. Jumlah kepadatan penduduk pekan itu juga tidak terlalu ramai berbanding dikota besar,Tuscany.
Ikram Benjamin memberhentikan kereta ditempat letak kereta yang disediakan. Dia bersandar sambil memandang keadaan diluar. Hari sudah malam. Badan juga minta untuk direhatkan. Dia memandang Anggun Dahlia yang sedang terlena ditempat duduk penumpang hadapan.
Dihadapannya kini terbentang luas pemandangan sebuah pekan yang indah. Lampu-lampu menghiasai pada setiap bangunan dan disepanjang jalan. Dia mengurut tengkuknya yang kian lenguh. Hampir 1 jam 5 minit dia memandu dari kota Tuscany ke pekan San Gimignano. Mujur saja dia menyewa sebuah kereta ketika mereka di Tuscany. Jika tidak sudah pastinya mereka tidak akan dapat meluangkan masa berdua seperti ini.
Bibirnya melorek segaris senyuman. Hatinya senang dapat membawa Anggun Dahlia ke tempat itu. Dia menoleh ke sebelah. Kelihatannya perempuan itu masih pulas dalam lenanya. Dia merapatkan tubuhnya untuk menatap raut bersih itu. Dia mengarahkan jari telunjuknya bermain dibatang hidung Anggun Dahlia. Dia tersenyum sendiri. Dia masih ingat bagaimana dia menarik hidung tersebut sehingga kemerahan. Itulah nakal sangat.
Kemudian, jarinya menari diatas permukaan bibir lembut milik perempuan itu. Bibir itu yang selalu membuat jiwanya menggila. Rasanya jika dia memagut sedikit bibir itu, pastinya itu adalah satu peluang keemasan. Dia tersengih nakal. Selama tiga hari dia bergelar suami kepada Anggun Dahlia, belum pernah sekalipun dia menyentuh perempuan itu. Sentuhan yang bagaimana itu seharusnya difahamkan sendiri.
Perlahan dia mendekatkan mukanya dengan Anggun Dahlia. Semakin lama semakin dekat. Rentak nafasnya tidak teratur. Air liurnya ditelan kasar. Matanya dipejam. Dia inginkan bibir itu. Sedikit saja lagi. Semakin dekat.
Pap!
"Ssss! Aduh!" Ikram Benjamin memegang pipinya sambil mengaduh kesakitan dalam senyap. Perlahan saja suaranya menahan kesakitan. Sekurang-kurangnya tepukan dipipi itu tidak sesakit tamparan awal pagi tadi. Haih!
Dia menjauhkan sedikit tubuhnya ke tempat asal.
Matanya memandang Anggun Dahlia. Perempuan itu masih menggoyangkan tangannya diawangan. Telinganya menangkap bunyi nyamuk.
Ngengg!
"Oh, banyak nyamuk rupanya. Tapi sayang salah tepuk tadi. Yang sayang tepuk tadi pipi abang. Bukannya tepuk nyamuk." Dia melepaskan keluhan. Niat mahu mencuri ciuman pertama perempuan itu terbatal begitu saja. Dia memegang pipi Anggun Dahlia. Pipi mulus itu diusap lembut.
"Sayang." Panggilan pertama itu membuatkan Anggun Dahlia bergerak sedikit. Kemudian, dia senyap semula.
"Hey, kita dah sampai. Lenanya sayang abang tidur ya." Pipi itu diusap lagi. Tangannya mencapai tangan kanan Anggun Dahlia. Lalu, dibawa rapat ke bibirnya. Tapak tangan itu dielus perlahan sebelum dia melekapkan ke bibirnya. Lama. Dia mengucup tapak tangan itu lembut. Kemudian, tangan itu dipegang dan diusap lembut.
"Sayang. Hey, bangunlah. Kita dah sampai. Cantik tempat ni. Rugi aje berjalan tapi dia tidur pula." Ikram Benjamin bercakap sendiri.
"Hmmm...Dahlia sakit kepala." Matanya terbuka sedikit. Kemudian, ditutup semula. Silau dengan sinaran lampu yang ada disepanjang jalan itu. Semakin berdenyut kepalanya.
"Migraine lagi?" Ikram Benjamin memicit tepi dahi Anggun Dahlia. Perempuan itu mengangguk kecil.
"Sayang tunggu sini. Abang keluar sekejap. Nanti abang datang semula." Ikram Benjamin membuka pintu. Tubuhnya menyapa udara dingin. Nyamannya! Dia meregangkan tubuhnya seketika. Sekejap dipusing ke kanan. Kemudian, dipusing ke kiri. Sehingga berbunyi tulangnya.
Tangannya digosok akibat kesejukan. Dia memasukkan tangannya dipoket baju sejuk. Kaki dibawa melangkah ke sebuah bangunan yang tertulis Casalchino Hotel. Hotel itu tidak semewah seperti suit hotel ditengah kota. Tetapi cukuplah untuk melepaskan lelah sambil menikmati pemandangan alam semula jadi dari kawasan perbukitan itu.
Kling!
Pintu kaca hotel ditolak. Kakinya melangkah masuk. Suasana cantik didalam hotel itu menjadi santapan pertama matanya. Dia mengukir senyuman buat penyambut tetamu hotel itu.
Dia menuju ke kaunter.
"Hello, good evening sir! May I help you?" Lorence. Sebaris nama itu yang tertera pada tanda nama didadanya.
"Hi, Lorence. I want to stay here for one night and one room, please." Selesai membuat tempahan bilik, dia keluar menuju ke kereta. Dia membuka pintu kereta.
"Sayang, jom..." Ajakannya mati. Tempat duduk Anggun Dahlia kosong. Enjin kereta juga telah dimatikan.
"Ke mana pula dia pergi?" Kepalanya digaru. Ikram Benjamin meliarkan pandangannya ke sekeliling kawasan itu.
Share this novel