Tetapi bagaikan tersentak dengan pertanyaan ibunya, dia cuba mengalihkan perhatian kepada hal yang lain. Biji durian yang licin dijilat Nawfal diletakkan di dalam pinggan kecilnya itu.
“Mak, Kak Syimah tak balik ke berbuka puasa dengan kita? Dah nak pertengahan puasa dah. Tak lama kita nak raya pulak.” Tiba-tiba sahaja dia cuba menukar topik yang diutarakan ibunya.
“Kak Syimah kamu tu katanya minggu depan baliklah kot. Cuti lama sebab hang balik. Raya kelima nanti baru dia balik KL semula” jawab ibunya dengan tenang. Persoalan ibunya itu dibiarkan berlalu begitu sahaja.
“Oh, baguslah mak! Boleh kita pergi solat terawih bersama-sama nanti. Barulah lengkap terawih kita kali ni.”pelik pula jawapan yang diberikan Nawfal. Selama 2 minggu Ramadhan ini, macam-macam yang diminta oleh Nawfal. Bila ditanya berapa lama dia pulang ke Malaysia, jawabnya selama-lamanya. Bila ditanya kenapa, pasti tiada jawapan dari anaknya itu. Puas juga diasak dengan soalan, tetapi jawapan yang diberikan hambar belaka. Ramadhan ini sungguh bermakna dengan kepulangan Nawfal ke pangkuannya. Dia sangat bersyukur dengan adanya anak-anak di sisi. Dirasakan kali ini cukup sempurna. Harapannya akan sentiasa berkekalan begini.
“Mak, Afal nak pasang panjut tau. Biar terang panjut menghiasi malam tujuh likur di perkarangan rumah kita ni. Kak, jom tolong Afal!” pertanyaan Nawfal itu hanya dibalas dengan gelengan kepala yang tercuit melihat gelagat Nawfal. Macamlah tiada lagi perayaan selepas ini hendak disambut.
“Cantik kan bila kita pasang panjut. Nak pi surau pun ‘syiok’. Terang menerangi jalan di malam Al-Qadar ni kan mak,kak?” soal Nawfal secara tiba-tiba. Habis dipasang pelita keliling rumah ibunya. Meriah kali ini.
“Hang tu kan dik, macamlah tak raya dah lepas ni. Dok pulun semua benda aih!” bebel Kak Syimah memarahi adiknya. Manakan tidak, Nawfal menghabiskan duit dengan membeli baju raya ibu, kakaknya dan sekeluarga. Segala kelengkapan dapur pula di beli berganda-ganda untuk persiapan raya nanti. Pelita panjut juga habis semua dibelikan yang baru.
“Baju raya hang dah ada belum? Habis hang pulun belikan kami punya.” Soal Kak Syimah yang tak puas hati dengan pembaziran adiknya.
Share this novel