BRQ 2: CINTA PERTAMA

Romance Completed 72144

Terk!

Terk!

Terk!

Mawar mengetuk-ngetuk laju sudu besinya selepas mengacau air teh o suam di dalam jag kaca itu. Segala gerak-gerinya terpaksa dipercepatkan dek dirinya yang telah terlewat bangun pagi ini. Diangkatnya sedulang jag air dan semangkuk bihun goreng yang masih hangat berasap. Ditatangnya cermat ke meja makan 10 kerusi itu.

Datin Maira yang berambut coklat perang paras dada itu mengeluh perlahan di kerusinya.

"Boleh tidak lepas ini buat sarapan itu awal sikit? Kau memang sengaja nak aku lambat pergi kerja ke hah?!" herdik Datin Maira pada Mawar yang sedang menghidangkan minuman dan makanan ke dalam piring berbunga hijau.

"Ma.. maaf mummy. Mawar.. terlewat bangun hari ini.." jawab Mawar dengan gagap.

Qisha hanya tersengih sinis melihat adik tirinya itu ditempik. Beza umur mereka hanyalah 6 bulan. Walaupun sebaya, perwatakan dan keperibadian Qisha itu terlihat jauh lebih berusia daripada Mawar.

Mawar berdiri kaku di antara Datin Maira dan Qisha sambil memeluk erat dulangnya. Sudah lali untuk bersedia menerima arahan seterusnya.

Qisha meneguk air teh yang sudah dituang oleh Mawar sebentar tadi. Sesaat kemudian, dia meludahkan kembali air teh yang telah diteguk.

Thuh!

"Arghhh!! Panasnya!! Hei, Mawar! Kau ini reti buat air ke tidak?! Dahlah tawar!" pekik Qisha yang berang. Lidahnya melepuh, hatinya juga sakit.

"Tapi.. Mawar dah rasalah tadi Qisha. Okay je air itu.." bela Mawar. Degup jantungnya terbang melaju.

"Okay, kau cakap?! Nah, kau rasalah!! Rasaaa!!" Qisha melemparkan baki air di dalam cawannya itu pada tubuh Mawar.

Mawar sempat berundur beberapa langkah namun percikan teh o panas itu terkena pada dulang dan sipi tangan kanannya.

"Erghh! Tsk! Sakitnya!" erang Mawar seraya menggigil menekap laju kulit tangannya yang terasa pedih dan melepuh.

"Hish! Dahlah kau pergi masuk dapur sana Mawar! Sakit mata aku ini tengok kau kat sinilah!" arah Datin Maira dengan jelingan yang tajam. Memang dari dulu sejak 8 tahun yang lepas dia menjejakkan kaki ke rumah banglo ini selepas berkahwin baru, dia tidak pernah sudi dan cinta memandang wajah Mawar itu!

Mawar lekas berlari anak masuk ke dapur. Dia mencuci tangannya yang kemerahan di bawah aliran air paip yang sejuk.

"Tsk, sakitnya.." rintih Mawar dengan sayu.

Selepas beberapa ketika, Mawar melepaskan nafas lega. Tangan kanannya itu masih perit namun tidaklah sesakit sebentar tadi. Mawar memejamkan mata sejenak lantas mengambil nafas. Dia hanya boleh didik agar hatinya kan terus bersabar.

"Erm, Qisha! Mummy lupa nak beritahu yang kita ada family dinner dengan Tuan Essa malam ini sempena kepulangan anak lelaki dia.." ujar Datin Maira dengan senyuman riang selepas kunyahan bihunnya habis ditelan.

Qisha terkedip-kedip mengeluh dan melepaskan lemah garfu di tangan. Air liurnya ditelan pahit. Jiwanya seakan direntap.

"Mummy.. memang serius ke dengan Tuan Essa itu? Mummy tahu kan Qisha tidak sukalah anak dia itu. Kenapa eh si Eric itu tidak tinggal terus je kat Amerika itu? Perlu ke dia balik lagi ke Malaysia ini? Mana Qisha nak letak muka Qisha ini kalau mummy kahwin dengan Tuan Essa?!" bentak Qisha.

Datin Maira tersengih sinis.

"Huh, Qisha ingat semua orang dalam dunia ini kahwin sebab cinta ke? Hei, dengar baik-baik pesan mummy ini ya. Peluang tidak datang banyak kali. Dan, nasib juga tidak akan menyebelahi kita banyak kali. Sebab itu, dalam hidup ini Qisha kena bijak cari peluang. Tuan Essa itu peluang besar mummy tahu! Jadi, mummy nak Qisha datang dinner malam ini. If not, mummy sekat kad kredit Qisha! Full stop!!" ugut Datin Maira sambil menjegil kedua biji mata pada anak tunggalnya itu.

Qisha memandang tajam mummynya dengan rasa lemas yang mencengkam dada. Dia mengepal kuat buku lima, menolak kerusinya dan berlalu naik ke bilik. Datin Maira kembali tenang menghabiskan sarapannya kerana dia tahu akhirnya Qisha pasti akan menuruti segala permintaannya itu.

Dari pagi lagi, Mawar masuk dari satu premis kedai ke satu premis kedai yang lain untuk mencari kerja. Namun, sehingga pukul 2 petang ini dia hampa kerana mereka memberitahu tiada kerja yang kosong. Entah ya entah tidaklah itu!

Kakinya melangkah lagi sehingga sampai di sebuah taman bertasik hijau. Angin sepoi-sepoi bahasa yang meniup selendang hitam Mawar itu terasa nyaman. Melihat air yang tenang bergenang seolah-olah telah menerbangkan segala gundah yang bersarang di hati Mawar.

"Mawar?!" sapa seorang lelaki yang agak berusia.

Mawar menoleh ke arah suara garau di sisinya. Dia memberikan senyuman lebar pada lelaki 50an itu.

"Uncle!! Lama tidak nampak! Datang bagi makanan ke?" tanya Mawar ramah. Dia mengenali lelaki itu kerana sejak setahun yang lepas dia melihat orang tua itu sering memberi makanan pada kucing, burung dan ikan di sekitar tasik ini. Sejak itu, mereka sering berbual walau hal yang remeh-temeh sahaja.

"Herm. Bagi makanan. Ini!" Pak cik itu tersenyum mengangkat sebuah beg plastik putih yang penuh berisi makanan kucing dan roti. Dia duduk di sisi Mawar di atas bangku kayu yang separa reput itu.

"Wahhh!" Mawar teruja melihat isi plastik itu sambil menepuk tangan.

"Buat apa kat sini? Tidak kerja ke hari ini?" tanya pak cik itu seraya menolak cermin mata rabun jauhnya di batang hidung.

Mawar tersenyum nipis dan perlahan menggeleng kepala.

"Mawar.. dah kena pecatlah semalam uncle. Jadi, hari ini Mawar nak cari kerja baru. Mawar baru terfikir nak simpan duit untuk masuk kelas jangka pendek sebab Mawar tidak pernah sambung belajar pun. Kalau ada sijil, mesti lagi senang cari kerja kan?" luah Mawar. Entah kenapa hari ini dia terasa mahu bercerita pada pak cik itu walhal dia jarang benar untuk membuka mulut tentang perihal kehidupan peribadinya.

Ya, sejak tamat SPM dia sudah terpaksa berdikari mencari kerja sendiri. Silih berganti tanpa sedar sehingga kini umurnya sudah pun mencecah 22 tahun. Di saat teman yang lain sudah meraih kejayaan demi kejayaan, arah tuju hidupnya pula masih jauh terumbang-ambing. Tiada pasti haluannya kerana kais pagi makan pagi, kais petang makan petang!

Pak cik itu sekadar mengangguk kepala. Tetapi, benak akalnya itu laju pula berputar.

"Hah, uncle ada kenal seseorang! Mungkin Mawar boleh cuba kerja kat sana. Tapi, kerja biasa-biasa sahajalah apa.. jaga kedai macam itu hah tidak ada yang istimewa pun. Kalau Mawar naklah.." cadang pak cik itu.

Mulut Mawar dibuka luas.

"Boleh uncle! Mawar nak! Nak sangat! Ya Allah, kerja apa-apa pun Mawar sanggup uncle. Ya, Mawar nakkkk!" sengih Mawar sehingga hujung telinga itu tidak dapat dibendung. Kata-kata lelaki bermisai dan berjanggut putih itu seolahnya memberi sinar harapan buat Mawar.

"Herm, lagi satu. Mawar nak masuk kolej ya? Nanti uncle bagi satu surat untuk Mawar daftar. Ada satu kolej dekat-dekat sini dia ambil para pelajar biasiswa janji result exam nanti kena cantik! Jadi, Mawar tidak perlu keluar duit langsung sebab semuanya percuma dan ditanggung tahu!" sambung pak cik itu lagi dengan teruja.

Mawar terpempan sejenak. Pandangannya bergetar melihat wajah pak cik itu. Terasa mahu menangis juga ada.

"Betul.. ke uncle? Mawar.. Mawar seganlah. Banyak pula dah uncle tolong Mawar ini. Macam mana uncle tahu kolej itu?" Mawar serba salah. Namun, dia gembira kerana masih ada manusia yang sudi menolong dirinya di dunia ini.

"Alah, anak uncle yang cerita. Itu yang tahu. Mawar tidak susahkan uncle pun. Uncle yang nak tolong Mawar. Lagipun, bukan uncle susah payah pergi sana sini. Haa, ini uncle duduk sini je nak bagi kucing makan! Hehehe.." pak cik itu tertawa seraya membuka plastik berisi bijian perisa ikan.

Mawar turut tertawa walau ekor matanya tersisa air mata gembira. Mawar melihat beberapa ekor kucing telah mendatangi mereka selepas mendengar bunyi goncangan plastik makanan dari tangan orang tua di sisinya ini.

Tett..

Tett..

Tett..

Aysar mencapai telefon bimbit yang berdering di dalam kocek seluar jeans hitamnya. Setelah melihat nama pemanggil, dia mengangkat panggilan tanpa ragu.

"Hello, ya papa?" tanya Aysar seraya menutup rapat pintu yang dikuak. Kakinya melangkah duduk di meja bar di sisi dinding bercermin jernih itu.

"Aysar, kejap lagi ada orang datang nak cari kerja. Walau apa pun, Aysar kena bagi dia kerja kat kedai. Apa-apa kita bincang dekat rumah nanti!" arah Tuan Akhbar pada anak lelakinya.

"Hello?! Papa?! Papa?!" Aysar melihat skrin telefon bimbitnya. Gelap. Dia kelu kerana dengan tiba-tiba papanya terus mematikan panggilan mereka.

Beberapa minit kemudian, Mawar sudah terpacak di depan muka Aysar. Dia terus bergerak menuju ke sini selepas mendapat alamat. Ianya sebuah kedai serbaneka yang agak biasa. Biasa, macam 7-Eleven cuma namanya sahaja SE Mart. Entah siapa-siapalah agaknya yang cipta nama kedai macam ini? Herm, semart sangat!

"Maaf, saya cari kerja kosong kat sini kalau ada." Mawar buka bicara dengan sopan selepas ternampak hanya dua orang lelaki di sini. Seorang sedang menjaga kaunter pembayaran dan seorang lagi berwajah dingin di depannya ini.

"Kau yang nak kerja?!" terbeliak mata Aysar. Sudah pasti matanya tidak salah mahupun rabun jauh atau dekat. Terang-terang figura di depannya ini adalah seorang perempuan. Mana mungkin seorang perempuan bekerja di kedainya ini!

"Err, ya saya." jawab Mawar.

Aysar memandang Mawar dari hujung kepala hingga hujung kaki. Berulang kali dia lihat perempuan itu. Seorang wanita yang bert-shirt lengan panjang dan berseluar track hitam. Berkasut lusuh dan menggalas beg yang agak lusuh juga.

'Aish, papa ini memang sengaja tahu!' gumam Aysar dalam hati. Dia mengambil satu set borang di dalam laci dan berjalan pergi.

"Sini!" arah Aysar.

Mawar membuntuti jejak Aysar dan duduk di meja bar di sisi Aysar untuk sesi interview.

"Isi borang ini. Baca dan hadam baik-baik sebelum setuju kalau kau tak nak menyesal!" jeling Aysar.

Mawar mengangguk tawar. Entah kenapa dia terasa kekok seperti sedang berada di dalam kem askar pun ya juga. Dia melihat Aysar berlalu pergi ke kaunter. Barulah hatinya itu aman dan tenang nak mengisi borang.

Tett..

Tett..

Tett..

Mawar cepat-cepat mengangkat panggilan yang bergetar. Dia memandang Aysar di kaunter kerana serba salah untuk menjawab telefon. Namun, lelaki itu sedang rancak berbual dengan pekerja yang lagi seorang itu.

"Hello, Qisha.." bisik Mawar.

"Eh, kau kat mana ini? Pergi ambil baju aku dekat dobi. Aku dah hantar alamat kedainya. Sekarang!!! Kau lambat, kau siap!!" pekik Qisha seraya mematikan panggilan.

"Hello, Qisha? Qisha? Aish! Masa inilah kau nak pun! Aduh, aku kena cepat ini!" bisik Mawar tidak keruan. Dia segera membaca borang putih yang diberi Aysar tadi. Helai demi helai dibuka dan Mawar terus melabuhkan tanda tangannya tanpa berfikir panjang. Jujur sahajalah, berapa kerat yang sanggup baca kontrak panjang berjela sampai naik juling biji mata itu? Sah-sahlah terus skip dan terus setuju!

Mawar terus berlari anak menyerahkan borangnya pada Aysar. Mawar hanya tersengih kambing di depan Aysar dan seorang staf di sisinya.

Aysar terkejut kerana Mawar mengisinya terlalu cepat. Dia mengambil borang di tangan Mawar itu.

"Nama kau?" tanya Aysar.

"Saya Mawar Inara Binti Maliq. Umur 22 tahun." jawab Mawar.

"Dengar sini eh! Kau dah baca kan agreement yang tertera dalam ini? Aku tak nak kau menyusahkan aku walau sikit pun kalau tidak kau nahas! Isnin ini kau masuk!"  Aysar memberi amaran. Bekerja dengan perempuan tersangatlah leceh. Lebih-lebih lagi kalau perempuan itu persis lembik macam Mawar!

"Be.. betul ke ini saya masuk kerja isnin ini? Ya Allah, terima kasih. Terima kasih sangat! Saya janji, betul-betul janji saya tidak akan menyusahkan encik.. err.. encik.." Mawar masih tidak mengetahui nama lelaki berkulit cerah ini.

"Tuan Aysar!" pandang Aysar dengan dingin.

"Baik, Tuan Aysar!" Mawar tersenyum gembira kerana telah mendapat kerja.

'Ya Allah, baru acah-acah jadi manager kau dah riak setengah mati nak bertuan-tuan pula?! Ergh, sabar jelah Mawar!' teriak hati Mawar.

Sebelum berlalu pergi dia ligat menuju ke peti sejuk berkaca itu. Diambilnya satu tin air cincau dan satu kotak air susu strawberi.

"Rm1.99, 300ml. Rm2.30, 250ml." bisik Mawar. Diletakkan semula susu strawberi di tangannya ke dalam peti sejuk selepas membuat pilihan kerana lebih mahal. Bertahun-tahun hidup berjimat-cermat membuatkan Mawar agak berkira ketika membeli. Bukannya dia sengaja tapi sudah terpaksa alah hidup begitu!

Aysar mengintai Mawar dengan ekor matanya. Bukannya dia tidak dengar apa yang digumamnya tadi. Mawar membawa air tinnya untuk dibayar kepada staf yang menjaga kaunter itu. Haus tekaknya sudah ditahan lama sejak pagi tadi dia keluar mencari kerja.

Grrrrrrr..

Mawar memegang laju perutnya yang berbunyi dek kelaparan. Wajahnya merona kemerahan menahan malu di depan dua orang lelaki di kaunter itu. Cepat-cepat dia mengeluarkan duit untuk membayar. Separuh kertas, separuh syiling.

Aysar melihat huluran tangan Mawar. Bukan duit Mawar itu yang menarik perhatiannya tetapi tangan kanan Mawar yang sedang kelihatan merah dan menyakitkan.

"Terima kasih. Jumpa nanti!" ucap Mawar dengan senyuman.

Pekerja di sisi Aysar membalas senyum manakala Aysar hanya melihat Mawar beredar dengan dingin.

"Ishhhh! Malunya aku!! Perut, perut! Depan dua ketul mamat itu jugalah kau nak bunyi! Huarghh!" Mawar menutup matanya sekilas dengan tapak tangan. Langkah kakinya mula laju berlari kerana mengejar masa.

Kling!

Kling!

Seusai pintu kaca itu ditolak, Mawar membunyikan loceng besi di atas meja.

"Huh! Huh.. Huh.. Penatnya!" Mawar tercungap-cungap memegang lutut setelah berlari anak untuk sampai ke kedai dobi ini.

Seorang perempuan muda berbangsa Cina keluar dari belakang untuk menyapa Mawar.

"Hai, boleh saya bantu?" ujar wanita itu.

"Huh! Ya. Saya.. saya datang nak ambil baju customer ini." Mawar menelan air liur yang kering di tekak lalu menunjukkan resit kedai yang terpapar di dalam skrin telefon bimbitnya.

"Baik, sekejap ya!" balas wanita itu.

Mawar mengangguk dan duduk di kerusi menunggu.

Klak!

Seorang lelaki bercermin mata gelap, rambut berikat kemas separas bahu yang memakai kemeja hitam berlengan pendek telah memasuki dobi itu.

Dia membuka cermin mata hitamnya dan melilau memandang sekeliling. Dia melihat Mawar yang duduk bermain telefon. Dalam tempoh seminit, memorinya meletus!

Pap!

Mawar tersentak apabila telefon bimbit di tangannya ghaib kerana telah dirampas rakus. Dia memandang lelaki di depannya dengan amarah.

"Apa ini?! Main rampas-rampas barang orang?!" sergah Mawar seraya berdiri tegak.

Lelaki itu tersengih sinis. Ibu jari dan jari telunjuknya menunjukkan replika sebuah pistol lalu pura-pura membidik untuk menembak Mawar.

"Gotcha!"

Mawar terkejut. Dia berundur sikit demi sikit lalu jatuh terduduk semula di kerusinya kerana lelaki itu semakin menghampiri tubuhnya.

Lelaki itu membongkok dan menatap rapat wajah Mawar. Mata Mawar menatap bola mata lelaki itu yang berwarna coklat keperangan dengan jelas. Hanya bunyi nafas sahaja yang menjadi jarak antara mereka. Jantung Mawar terasa mahu tercabut!

"Betullah awak! Herm, memang jodoh agaknya!" sengih lelaki berkulit cerah itu tiada henti. Dia pasti dan yakin perempuan di depannya ini adalah perempuan yang sama. Bezanya cuma hari ini Mawar memakai selendang!

Mawar berkerut. Satu patah haram yang keluar dari mulut lelaki itu dia tidak mengerti maksudnya.

"Cik! Ini, bajunya!" panggil wanita cina yang sedang memegang satu plastik baju.

"Err, ya!" Mawar melangkah laju mengambil baju Qisha itu.

"Kejap! Sorry, miss. Boleh saya tahu anggaran harga baju yang dia dobi itu?" ujar lelaki di sisi Mawar. Dia tahu baju di dalam plastik itu sudah tentu mahal kerana kedai dobi ini sendiri hanya mendobi baju-baju yang mahal sahaja.

Mawar menoleh geram mengetap gigi. Orang lagi nak cepat, dia boleh buat sesi temu ramah dah kenapa?!

"Err, dalam Rm1000 ke Rm2000!" jawab wanita cina itu.

Mulut Mawar ternganga luas seluas alam. Dia memandang plastik berisi baju hitam yang fesyen entah apa-apa itu ke atas dan ke bawah. Terasa lemah sungguh pegangan tangannya. Ya Allah, harga baju ini sahaja sudah bagaikan gajinya sebulan!

Lelaki kerek itu tersenyum dan menganggukkan kepala. Dia memandang pula pakaian Mawar yang serba lusuh itu ke atas dan ke bawah. Dia memandang pula telefon Vivo Mawar di tangan kirinya yang macam sudah berusia 100 tahun itu!

Lelaki itu menyeringai sinis.

"Saya rasa.. macam nak kenal dengan awak!"

Mawar mengeluh dan memejamkan mata sekilas. Dia tidak punya secalit masa untuk kenal dengan mana-mana lelaki. Lebih-lebih lagi jika lelaki yang otaknya tidak berapa betul!

Mawar merampas kembali telefon bimbitnya dan berlalu pergi.

Pap!

Pergelangan tangan Mawar pula ditarik. Plastik bajunya juga dirampas dan diletakkan di atas kerusi. Mawar ternganga membutang.

"Kenapa.. dengan tangan awak?"

"Eh, lepaslah! Apa ini?!" teriak Mawar seraya menarik-narik tangannya. Dia tidak selesa diperlakukan sebegitu.

"Sekejaplah! Saya tengok!"

Lelaki berambut ikat itu mengeluarkan sapu tangan hitam dari kocek seluar lalu membalut tangan kanan Mawar dengan kemas. Mawar hanya memandang balutan itu dengan hati yang pilu. Dia terlalu sibuk seharian ini sehingga lupa tangannya yang cedera kerana simbahan air panas dari Qisha itu.

Selepas balutannya siap Mawar tangkas mengambil plastik bajunya dan terus berlari anak keluar dari kedai dobi itu. Dia perlu mengejar masa. Kalau tidak, mungkin tangannya lagi sebelah pula yang akan cedera!

Lelaki berkemeja itu terus tertawa kecil.

"She always running when we are meet!" gumam lelaki itu.

"Saya, nak ambil baju!" ujar lelaki itu pada wanita cina tadi.

"Nama?"

"Eric Firdaus!"

"Baik, sekejap ya!"

Eric memandang semula ke luar dinding kaca kedai dobi itu. Berharap yang dia dapat melihat sekali lagi bayang Mawar yang menghilang pergi itu. Satu-satunya wanita yang telah berjaya membuat jantungnya itu kembali hidup berdetak!

Cinta pertama adakalanya tidak terlakar indah.
Namun, cinta yang indah selalu menjadi lakaran pertama di lubuk hati..

Eric tu lepas balik Malaysia biasalah cuaca panas kan itu yang gatal-gatal miang sikit haha.. Jemput follow, rate dan komen ya gais!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience