Dunia Lain

Horror & Thriller Series 22056

Aiskrim coklat di depan aku sudah mula mencair memenuhi mangkuk ia diletakkan. Tidak lama lagi, pasti melimpah membasahi meja oren di kafeteria itu.

"Una, makanlah." Pujuk Khalil untuk kali yang ke berapa.

"Aku cakap aku kenyang,kan?" Aku membuang pandang ke tempat lain, tidak mahu melihat mukanya yang menjengkelkan itu lagi.

Hari itu cari pasal dengan aku, hari ini sudah baik pula. Jantan semua sama. Aku memutarkan mata bosan.

"Kau ni janganlah merajuk lama lama." Khalil mencebik.

"Bila masa aku merajuk?" Ego aku berkata kata.

"Sekarang?" Khalil meninggikan suaranya sedikit. Aku sekadar menjeling.

"Makanlah aiskrim aku beli ni, kau kan suka." Khalil menolak mangkuk aiskrim itu lebih dekat kepada aku.

"Dahlah, aku nak pergi." Aku meletakkan telefon ke dalam beg dan mula bangun.

"Una, tolonglah." Khalil ikut bangun.

"Aku bukan siapa siapa kan, kau gunakan aku untuk tahu siapa ambil Taha kan? Itu je kan??" Giliran aku pula meninggikan suara.

Kemudian aku sedar yang aku pasti kelihatan bodoh saat ini, pasti aku kelihatan seperti aku ada kisah pada Khalil. Memang aku kisah dengan dia pun, tapi tiada sesiapa patut tahu.

"Tapi aku tak kisah, aku pun tak kisah pasal kau pun." Ujar aku menyelamatkan diri.

"Una, aku minta maaf." Kata Khalil untuk kali entah ke berapa.

"Yeah, whatever." Aku berlalu pergi dengan dingin.

Aku sudah maafkan dia, tetapi aku tidak akan, TIDAK AKAN rapat dengan dia seperti dulu.

Aku tidak mahu sakit lagi.

Aku membuka pintu untuk keluar dari kafeteria dan saat itu tangan seorang lelaki, kelihatan lebih muda dari aku terpegang tangan aku.

Dan waktu itu aku terlihat lima orang budak sekolah di sebuah kelas kosong.

"Kau yakin ke ni boleh jadi betul betul?" Kai dengan matanya yang bulat merenung Yasir.

"Kalau ikut dalam buku ni…Macam betul." Yasir menjawab.

"Aku tak percaya." Badrul menepuk meja.

"Apa salahnya kita cuba?" Shah.

"Aku dah malas mengharap." Tariq tunduk dan menadah dagu.

"Kau tak rasa rugi ke kalau benda ni betul betul jadi dan kita tak buat benda ni?" Yasir cuba meyakinkan mereka.

Tangan diletakkan di atas buku latihan sekolah itu. Di dalamnya tertulis cara cara untuk melarikan diri ke 'dimensi lain.'

Ya, kedengaran lawak pada mulanya namun Yasir dan rakan rakannya sudah tiada jalan lain. Dunia ini terasa seperti bukan tempat untuk mereka lagi.

Kelima lima mereka menjadi kawan setelah tidak sengaja bertemu di bilik kaunseling. Mereka semua dipanggil kerana pernah cuba membunuh diri.

Mungkin kerana itu mereka jadi kawan baik. Mereka sama sama bencikan dunia ini.

"Betul, aku setuju." Shah menjawab membiarkan tiga lagi lelaki itu diam seribu bahasa.

"Aku tak pernah terfikir yang aku akan buat benda bodoh macam ni seumur hidup aku." Badrul ketawa sinis.

"Ni bukannya cerita Disney. Tak ada tempat rahsia macam yang diorang tulis tu." Tariq memutar matanya jengkel.

"Tapi senior kita yang hilang tu, mereka tinggalkan buku ni." Kai mula beralih fikiran saat itu.

"Entah entah diorang pergi luar negara, lepas tu keluarga diorang malu lepas tu katalah hilang." Tariq membidas.

"Okay, kita buat benda ni, tapi kalau benda ni tak jadi, aku belanja korang kfc." Yasir berjanji setelah jeda beberapa minit.

"Kfc je?" Provok Badrul.

"Amboi, dah bagi betis nak paha,ya!" Shah, ketua mereka itu ketawa besar membuatkan semua tertawa juga.

Keluarga mereka porak peranda, sekolah terasa seperti neraka dan kawan kawan lain tidak mahu dekat, takut terjangkit 'mentaliti' mereka. Inilah sahaja kebahagiaan yang tinggal dalam dunia ini. Apabila mereka bersama sama dan bergelak ketawa.

Mereka tidak pernah beritahu tetapi mereka tidak akan mampu teruskan hidup tanpa satu sama lain.

" Okaylah, okaylah. Bila nak mula?" Tariq berwajah nekad.

"Malam ni." Shah menepuk meja.

"Tapi aku ada kerja sekolah-" Kai menyampuk

" Noob la kau ni, Kai." Badrul menonjal kepala Kai.

"Kalau kita berjaya buat benda ni, kata tak payah buat kerja sekolah dah, selama lamanya. Kita bebas dari semua benda!" Ujar Yasir sebelum mereka semua bersorak.

+++

"Perkara pertama dalam buku ni. Naik lif guru sampai tingkat 3, 3 kali." Yasir membaca tulisan di dalam buku latihan itu.

"Gila ke sampai tiga kali nak naik lif. Tak pening ke?" Badrul merungut.

"Keluar nanti bukannya sampai dimensi lain, tapi pergi hospital." Tariq menambah.

" Keluar nanti tak pergi dimensi lain, tapi pergi JAKIM sebab mabuk." Kai menambah.

"Takde kena mengena. Booo!" Badrul dan Tariq mengusik rakan mereka yang paling muda itu.

"Sudah, sudah." Shah menenangkan ibarat bapa mereka semua.

Yasir membaca lagi langkah langkah yang mereka harus lakukan sebentar lagi.

"Aku takutlah.." Kai bersuara setelah jeda beberapa saat.

"Kalau kau takut, sampai bila bila kau akan terperangkap di sini. Selama lamanya!" Tariq menguatkan suaranya ketika dia menyebut 'selama lamanya.'

"Kau jangan takut, kita sama sama buat benda ni. Kalau kau mati, kami mati dengan kau." Badrul menumbuk bahu Kai bercanda.

"Dan kalau kita berjaya pergi ke dunia tu, kita sama sama berjaya. Kita dah tak perlu fikir pasal dunia ni dah. Kita bebas." Mata Shah ibarat bercahaya saat dia mengucapkan kata katanya.

Kai tersenyum kecil.

"Malam ni, kita start misi kita."

+++

"Mari." Yassir menekan butang untuk naik di lif tersebut dan pintu lif guru itu terbuka serta merta.

Pelajar dilarang sekeras kerasnya menggunakan lif ini kerana lif ini terus menghala ke bilik guru dan bilik pengetua. Jikalau misi mereka ini dilakukan pada waktu pagi, pasti mereka tertangkap.

Mereka masuk ke dalam lif tersebut sebelum Badrul membuka penutup botol. Air di dalam botol itu diteguk dan dikulum.

"Masin tak?" Tanya Kai naif. Pasti sahaja air garam itu masin. Yang lain kekal senyap malas melayan pertanyaannya.

Perkara kedua mereka perlu lakukan ialah meminum air garam di dalam lif tersebut tanpa menelannya. Jika air itu ditelan atau diluahkan, misi mereka gagal.

Botol air digerakkan dari kiri ke kanan dan diminum mereka tanpa banyak soal.Setelah pasti semua sudah meminum air tersebut, Shah menekan butang tingkat 3.

Shah merenung wajah mereka dengan mulut yang tertutup, tidak mahu air tadi keluar. Renungannya seperti bertanya pada mereka, "Ingat rancangan kita?"

Mereka yang lain mengangguk serentak.

Dalam buku tersebut, setelah meminum air garam, mereka perlu ke tingkat satu. Seseorang perlu keluar dan melukiskan satu rajah di lantai tingkat satu. Selepas itu, dua orang lagi melukiskan rajah lain di tingkat dua. Dan dua orang lagi di tingkat tiga kemudiannya mereka semua perlu melukis rajah di tingkat paling bawah.

Kedengaran mudah tetapi dalam mereka melakukan misi itu, sudah tertulis yang beberapa makhluk akan mengganggu mereka kerana cuba meninggalkan dunia ini. Jikalau dalam waktu itu mereka tertelan atau terluahkan air tersebut, mereka boleh mati.

Air garam itu sahaja yang melindungi mereka saat ini daripada makhluk makhluk tersebut.

Separuh dari hati mereka tidak mempercayai semua ini dan separuh lagi mempercayainya dengan penuh pengharapan.

Mereka mahu lari dari dunia ini, dari semua ini.

Lif bergerak ke tingkat satu dan pintu terbuka. Shah, ketua mereka ialah yang paling awal perlu keluar.

Krayon merah di tangan digenggam kemas.

Dia menoleh ke arah mereka, menunjukkan reaksi wajah seperti berkata 'Doakan aku.' sebelum dia keluar.

Yasir menahan pintu dari tertutup dengan menekan butang 'buka' di panel lif. Tariq terbalikkan jam pasir yang mereka jumpa di bilik kelab senior senior mereka yang sudah hilang itu.

Shah perlu siapkan misi sebelum pasir terakhir jatuh ke bawah.

Shah berhenti di tengah bilik dan melutut. Rajah pertama ialah rajah tiga segi dengan mata di tengah dikelilingi bulatan.

Tangan Shah laju melukis bulatan pertama sekali.

Saat itu, dia terdengar bunyi sesuatu menjalar di atas lantai, kepalanya perlahan lahan diangkat dan kelihatan lembaga di belakang kaunter tingkat itu.

Badannya separuh ular dan separuh lagi manusia. Matanya merah merenung Shah dari jauh.

Tangan Shah menggigil namun dikuatkan juga. Separuh rajah dilukis dan kepala diangkat, makhluk tadi sudah semakin dekat tanpa dia sedari.

Dia selesai melukis setelah beberapa saat dan berlari masuk ke dalam lif semula. Yasir cepat cepat menutup pintu lif.

Peringkat pertama berjaya.

Shah menutup mata lega kerana berjaya lari dari makhluk itu.

Tingkat dua. Giliran Badrul dan Tariq.

Jam pasir di terbalikkan dan lelaki berambut kerinting itu keluar.

Rajah yang harus dilukis mereka berbentuk kepala kambing bertanduk dua di tengah tengah bulatan.

Krayon merah dipatah dua dan mereka mula melukis secepat mungkin.

Kedengaran bunyi sesuatu mengibaskan sayap. Seolah olah terbang di atas mereka.

Tariq ingin mendongak namun Badrul menggeleng laju laju. Badrul yakin Tariq tidak akan berani jika dia sudah ternampak makhluk itu.

Sewaktu mereka melukis,mereka merasakan titisan air di atas kepala mereka. Mungkin makhluk itu bergantung di atas siling dan air liurnya jatuh ke atas mereka.

Tidak lama kemudian lukisan selesai dilukis dan mereka berlari serentak ke arah lif. Waktu itu, makhluk bersayap tadi terbang ke arah mereka, mereka hampir menjerit namun teringatkan yang misi ini akan gagal jika air garam itu terluahkan, mereka tidak jadi menjerit.

Benar benar waktu makhluk bersayap itu sampai, pintu lif tertutup.

Tariq dan Badrul hampir menangis lalu saling berpelukan lega.

Tingkat seterusnya, Kai dan Yasir.

Mereka keluar sebaik sahaja pintu terbuka dan jam pasir diterbalikkan.

Mereka berlari ke tengah bilik dan mula melukiskan rajah yang agak sukar bagi mereka lukiskan semula.

Rajah matahari dengan bunga mawar ditengah tengah.

Mereka dengar bunyi seseorang menyanyi dari dalam bilik guru.

Kedengaran sangat sayu sekali.

Tangan Kai menggigil. Suasana gelap ini, dan bunyi bunyi menakutkan ini.

Dia tidak cukup berani untuk semua ini. Yasir menepuk bahunya, menenangkan dirinya. Mengingatkan yang dia ada di situ untuk melindunginya.

Badrul menghentak kaki di dalam lif. Masa mereka semakin suntuk.

Kai dan Yasir cepat cepat menghabiskan lukisan mereka dan mereka berlari ke dalam lif.

Pada waktu itu, tidak disangka sangka, Kai jatuh tersembam, kakinya tersadung sesuatu.

Bila Kai melihat halangan yang membuatkan dia terjatuh itu, dia tersedar yang itu ialah tangan. Tangan yang sangat panjang, dari empunya yang tidak terlihat dari dalam bilik guru.

Kai hampir menjerit namun dikuatkan semangat dan dia berlari masuk ke dalam lif benar benar pada saat pasir terakhir jatuh.

Mereka tinggal satu sahaja lagi misi dan mereka akan berjaya. Lif turun ke tingkat paling bawah.

Dari dalam lif, mereka boleh dengar bunyi makhluk makhluk tadi memijak dan melompat lompat dia atas lif mereka, tidak mahu mereka turun.

Kai memeluk Badrul di sebelahnya.

Sebaik sampai di bawah, mereka semua keluar dan melukiskan bulatan dia tengah tengah tingkat itu.

Mereka berpegangan tangan mengelilingi bulatan itu dan mata ditutup. Dalam kegelapan itu, bulu roma mereka meremang apabila bunyi nyanyian berkumandang.

Sedikit sahaja lagi, sedikit sahaja lagi, sedikit sahaja lagi.

Selang beberapa saat, bunyi tadi hilang.

Mata dibuka dan saat itu, Shah tersedar. Tangannya terasa kosong.

Hanya dia seorang yang tinggal di situ. Mereka yang lain, lesap. Ghaib.

Mata Shah terbeliak, kepala digeleng geleng. Ini tidak mungkin, kenapa hanya mereka yang dibawa ke dunia itu? Kenapa hanya dia tinggal di sini?

Apa yang dia salah lakukan?

Langit terasa bagaikan runtuh. Shah pulang malam itu seorang diri. Seminggu selepas itu sekolah gempar dengan berita rakan rakannya hilang.

Sekolah lebih gempar lagi apabila mereka menjumpai empat orang pelajar itu, mati lemas di dalam lombong di sebelah sekolah mereka. Mayat mayat senior mereka yang hilang juga dijumpai di situ.

Mereka dapat apa yang mereka hajatkan selama ini. Mereka dapat pergi ke dunia lain.

Shah hampir gila. Dia dimasukkan ke dalam wad psikiatri dan beransur pulih namun berjaya mendapat keputusan SPM yang memuaskan untuk dia menyambung pelajaran ke universiti aku.

Aku merenung ke dalam matanya yang kuyu dan merasakan kesedihan yang dirasakannya.

Dia tersenyum pahit ke arah aku, dia tidak tahu yang aku tahu.

Tahu kisah dia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience