Chapter 17

Romance Completed 32271

Tujuh Belas

Suhu di dalam bilik Kenanga sangat sejuk. Kebanyakan peserta menggigil kesejukan. Penceramah untuk sesi malam ini ialah Encik Abdul Razak Idris, Ketua Unit Pendidikan Pencegahan Dadah dari Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Tajuk yang dibentangkan ialah “Akauntabiliti dalam Konteks Perkhidmatan Awam”. Gaya penyampaian penceramah itu sangat menarik ditambah lagi dengan pesanan yang sangat berguna buat para peserta atau lebih tepat guru.

Sesi pertama pada malam itu tamat pada jam 9.30 malam. Sesi kedua yang akan diteruskan oleh Encik Jamaludin Haji Abdul Ghani hanya akan bermula pada jam 9.45 malam. Pada masa senggang inilah para peserta mengambil kesempatan untuk ke tandas dan sebagainya.

“Amboi, sedap mengeliat?” Farhan menepuk Ameer yang mengeliat. Ameer mengelak spontan.

“Letihlah dengar cermah malam-malam macam ni. Perut pun kenyang. Sejuk lagi. Mengantuklah jawabnya.” Ameer menyandar tubuhnya ke kerusi. Farhan menggelengkan kepalanya.

Pandangannya beralih ke suatu sudut di dalam bilik itu. Dia mencari-cari Marha di tempat duduknya. Namun hampa. Tiba-tiba ada suatu suara memanggilnya dari belakang.

“Assalamualaikum Sir Farhan.” Suara lembut itu menyapa gegendang telinga Farhan. Pantas dia menoleh ke arah suara itu.

“Waalaikumussalam. Teacher Marha.” Wajahnya berubah ceria.

“Apa khabar mantan YDP MPP UNiSEL kita ini?” Marha duduk di meja belakang.

“Alhamdulillah. Macam ni sahajalah. Awak pula macam mana?” Farhan memusingkan badannya ke belakang.

“Alhamdulillah. Mengajar di mana sekarang?”

“SMA Al-Falah di Nilai. Marha?”

“Eh, satu zon kita rupanya. Saya mengajar di SMRA Rantau. Dekat dengan Seremban.”

“La, yeke? Tapi kenapa tak pernah jumpa masa meeting Bahasa Inggeris?”
“Hehe. Entahlah. Mungkin tak ada rezeki.” Marha ketawa kecil.

“Hmm, hampir dua tahun tak berjumpa kan? Sudah berkahwin atau belum?” Farhan melontarkan soalan yang sudah lama tersimpan di dalam hatinya.

“Alamak. Soalan cepumas ni. Belum ada jodoh lagi Farhan. Tak ada siapa mahukan saya.” Senyuman manis tidak lekang daripada wajahnya.

“Yeke? Takkan tak ada sesiapa mahukan Marha. Cantik, baik. Rugi betul.”

“Cantik? Baik? Ada-ada sahajalah awak ni. Awak tu dah jumpa bidadari hati awak kah?”

“Saya? Saya baru sahaja bertemu kembali dengan bidadari saya. Kalau tiada aral, habis induksi ni saya hendak pergi pinang dia.” Farhan tersenyum lebar.

“Oh, tahniah buat awak.” Riak wajah Marha berubah keruh bila mendengar jawapan Farhan.

“Aik, kenapa ni? Kenapa Marha nampak sedih? Dia sukakan aku jugakah?” Hati Farhan berkata-kata.

“Sejak bila awak bertudung labuh? Nampak ayu.” Farhan menyambung perbualan.

“Hmm, baru sahaja. Awal tahun ni. Alhamdulillah, Allah telah membuka hati saya. Eh, penceramah sudah sampai. Kita berbual lain kali lah ya. Assalamualaikum.” Marha bergegas kembali ke tempat duduknya.
Farhan menghantar Marha dengan pandangan yang sayu. Dia menyesal kerana membangkitkan hal pinangan sebentar tadi.

“Awaklah bidadari hati yang saya tunggu selama ini.” Bisik hati kecilnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience