Bab 67 : Apa Terjadi Sebenarnya?

Romance Series 403830

~Flashback~

"Kau ni gaduh je dengan Kelly. Hati-hati Anne, karang berjodoh pulak." Usik Fatihah yang sedari tadi menadah telinga mendengar Anne membebel kisahnya dimarahi oleh Kelly dek satu kesilapan kecil sewaktu menyiapkan projek iklan raya yang diminta oleh klien mereka.

"Eh aku ni memang lah tak laku sebab gemuk macam ni. Tapi kalau pun si Kelly tu satu-satunya lelaki yang datang melamar nak jadikan aku ratu, dengan pelbagai harta dia tabur pun, dengan yakinnya aku tolak. Dah la lembut, garang, cerewet.

Orang kalau nak cari lelaki untuk dijadikan suami, nak lah lelaki yang sado. Lelaki asli. Yang boleh melindungi kita dari bahaya. Ini lagi lembut dari aku. Karang aku pulak yang kena jaga dia. Yihhhh, tak kuasa! Rela lagi aku jadi anak dara tua." Anne menyambung bebelannya tanpa menyedari ada hati yang terluka saat telinga itu galak mendengar bebelannya.

Kelly melangkah lemah masuk ke biliknya dengan penuh rasa sedih. Sehelai dua tisu ditarik keluar dari kotak, menjadi peneman dan penghapus duka di hati Kelly. Ya, dia lembut. Tetapi bukanlah dalam kategori mereka yang digelar pondan-pondan yang tanpa segan silunya memakai baju wanita, bermekap dengan rapi, membuat pembedahan plastik sana sini. Dia cuma, lelaki yang sedikit lembut. Mencuba untuk lebih berhalus dalam setiap perbuatannya.

Bergaduh dengan Anne pun bukanlah perbuatan yang disengajakan. Selaku orang yang sudah bekerja di banyak tempat yang lebih terkenal, dia tahu Anne mempunyai potensi untuk berjaya. Cuma sikapnya yang mengambil mudah beberapa perkara, kadangkala sambil lewa itu membuatkan Kelly merasa bertanggungjawab untuk menambahbaik sikap Anne sewaktu bekerja.

Tak terkecuali perangai Anne yang keras kepala itu adakalanya sukar untuk ditegur dan dibentuk. Tidak dinafikan idea Anne dalam menghasilkan iklan produk dan video raya sangat lah mengujakan klien mereka. Anne cerdik, menepati ciri-ciri gadis yang diidamkan oleh Kelly untuk dijadikan pasangan hidupnya. Fizikalnya tidak menjadi masalah. Bagi Kelly, perasaan dia kepada Anne yang timbul sewaktu kali pertama Anne membentangkan ideanya tidak dibatasi apa-apa syarat.

Sangkanya juga, Anne bukan seperti perempuan lain yang memandang fizikal. Namun sangkaannya meleset sama sekali. Anne sama seperti perempuan-perempuan lain yang menilai dia dari luaran padahal perasaan dia normal. Sama seperti lelaki lain yang mahu disayangi dan dikasihi. Air mata yang mengalir, Kelly cepat-cepat sahaja lap kan dengan tisu. Dia benci Anne dengan apa yang didengarinya, namun hatinya tidak mungkin bisa melupakan perasaan itu dengan mudah.

Masa sekarang.

Anne tercengang. Kelly sukakan dia? Langsung tidak terlintas di fikirannya lelaki itu sukakan dia. Apatah lagi dengan kecerewetannya selama mereka bekerja bersama. Tiada tanda-tanda positif dari lelaki itu. Tapi, apa kaitannya Kelly dengan hidup dia sehingga Idris perlu mengahwini Sabrina? Itu pun katanya untuk menyelamatkan Anne? Gila!

"Sayang," Idris memanggil Anne sebelum kesemua butang baju kemejanya dibuka.

Anne yang terperanjat pantas memalingkan wajahnya dari terus-terusan melihat keadaan badan Idris tanpa pakaian. Segan, merona wajahnya memandangkan selama mereka menjadi suami isteri ini pun, belum pernah dia melihat badan Idris secara langsung tanpa pakaian. Lagi pula, lebih banyak masa mereka berPJJ dari tinggal sebumbung.

"Klinik tu bukan satu-satunya yang abang warisi dari arwah papa. Abang dengan rela menerima juga amanah papa untuk abang jagakan anak buah dia dalam dunia gelap." Baju kemeja itu ditolak dari badannya, menyerlahkan satu tatu berkepala naga yang ada pada dadanya, melingkar badan dan ekornya sehingga ke bahagian atas bahu.

Dunia gelap? Gelap macam mana?
Gelap sebab apa? Tak ada lampu ke?

"Abang minta maaf, sebab tak berterus-terang dari awal siapa abang sebenarnya. Tak ceritakan tentang kehidupan bahaya abang tapi ya, abang salah seorang dari pewaris kumpulan yang selalunya dikenali oleh orang kita sebagai kumpulan kongsi gelap." Kedua tangan Anne dipegang perlahan.

Anne memicit kepalanya dengan kedua belah tangan. Pandangannya berpinar tiba-tiba. Apakah berita yang disampaikan oleh Idris ini benar? Atau sekadar prank untuk dia mengusik Anne? Di mana kamera tersembunyi itu? Atau bilakah orang-orang akan mengetuk pintu biliknya lalu masuk dan menjerit "Prank!", atau mungkin "April Fool?"

"April dah lama lepas. Kalau ya pun nak mengusik saya, nak pusing supaya awak tak nampak salah di mata saya sebab dah menduakan saya, ini bukan caranya." Balas Anne perlahan dengan nada yang sukar ditafsirkan.

"Abang tak tipu. Tatu ini dah lama. Waktu tu hidup abang masih lagi jahil. Tapi sekarang abang dah berubah. Abang akan jujur semuanya dengan sayang. Tanyalah apa yang sayang nak tanya. Abang akan jawab semuanya dengan jujur tanpa berselindung lagi." Balas Idris.

Anne termenung seketika. Entah dari mana harus dia bermula. Namun untuk dia menunggu lebih tanya, tentulah tidak. Pasti mengamuk pembaca-pembaca Novelette sekalian yang sudah menunggu lama untuk membaca dan mengetahui kisah sebenarnya. Mujurlah bukan Unlock Chapter :p

"Ceritakan semuanya. Dari awal." Balas Anne.

"Panjang kisahnya..." Idris tidak sempat menyambung bicara apabila Anne tiba-tiba memotong percakapannya.

"Tak apa, saya ada banyak masa."

"Okey. Selepas abang dapatkan nombor telefon sayang dari Sabrina, ada satu hari tu abang ke office sayang. Sabrina yang beri alamatnya. Kebetulan masa itu, sayang kena simbah dengan air mop lantai." Idris menarik nafas panjang.

"Sewaktu pemandu bos sayang hantar sayang balik, abang ikut sayang sampai ke rumah. Pada masa itu juga, rupanya Kelly ikut sayang balik. Mula-mula abang ingatkan tak ada apa-apa, sekadar ikut sayang balik sahaja memandangkan dia juga merupakan ketua sayang. Tapi rupa-rupanya dia ada niat yang tersembunyi."

"Apa niatnya? Bila nak sampai ke bahagian awak beritahu saya apa kaitan Kelly dan Sabrina dalam cerita ni?" Tanya Anne.

"Sabrina pernah hampir kena culik dengan Kelly bila Kelly gagal culik sayang lepas sayang hantar notis berhenti kerja 24 jam. Dia nak sayang tarik balik notis berhenti tu sampai dia suruh Sab pujuk sayang untuk kerja semula. Sab tak nak. Sebab dia tahu masalah sayang dengan Azlan dan isteri Azlan tu." Jelas Idris.

"Hah? Bila? Sab tak ada beritahu pun?" Soal Anne panik.

"Lepas kita kahwin. Waktu abang hilang di London. Sab memang tak nak beritahu sebab sayang sendiri pun ada masalah. Kelly tu bukan orang biasa. Dia pun salah seorang dari orang dunia gelap juga. Sebagai orang yang juga berkuasa, Kelly tak pernah gagal mendapatkan apa yang dia nak."

"Jadi, kenapa awak kena kahwin dengan Sabrina?"

"Bukan kahwin betul-betul. Itu semua lakonan. Dari saksi sehingga ke kadi, semuanya lakonan. Tiada sesiapa yang tahu melainkan kami berdua dan mereka yang terlibat menjadi pelakon. Kelly bekerjasama dengan Weena, culik abang untuk ditamatkan riwayat abang. Tapi tak tahu kenapa pada hujungnya, Kelly menukar fikiran.

Selepas dipengsankan, sedar-sedar abang dikejutkan oleh orang awam yang lalu lalang disitu. Benda terakhir yang abang ingat, mereka cakap perlu tukar rancangan sebab ada rahsia mereka yang terkantoi dengan seseorang. Mereka kena uruskan hal orang itu dulu sebelum cari abang semula."

"So Sabrina?"

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Nur Azlina
2022-03-27 17:47:03 

tqvm update walaupun keadaan xberapa nk sihat.saya suka cerita ni walaupun berbagai konflik itu menarik minat nk tahu cerita yg sebenarnya.

norsila
2022-03-26 23:42:28 

poninglah kojap nikah ..kojap tk ..blakon lah..huuu..elok bpisah joo lah..nti muncullah kelly..nikah sbrina tk lojik lansung..tk ado kono mgona leh lindungi anne dri kelly..hehehe...yg pasti babak nikah mnambah masalah joo..yg sbrina lak napo tk cerita dgn anne..ni terus idris..elok dua2 skali di beritau..hisss pnulis suko buat kes mrana derita dn sakit hati sgt...hahaha hiss nk boom sbrina dgn idris...


NovelPlus Premium

The best ads free experience