PROLOG

Horror & Thriller Series 7331

PROLOG

“Ding…ding…”, bunyi jam antik di ruang tamu di sebuah rumah kecil 2 tingkat yang terletak di sudut jalan Mahawangsa 4 memecah kesunyian suasana yang semakin gelap ditelan malam. 2 kali bunyian ini kedengaran menandakan masa baru sahaja memasuki jam 2.00 pagi.

Sekujur tubuh kecil sedang bersembunyi di bawah katil bilik tidurnya di tingkat atas. Dia yang tadinya menggigil ketakutan akibat sesuautu yang bakal berlaku, kini sudahpun terlelap beberapa minit yang lepas. Dia tidak lagi berada di alam realiti, dan tenaga yang ada pada tubuhnya sudah tidak dapat menahan lagi panggilan untuk dia menuju ke alam mimpi.

Di dapur rumah berkenaan, ada seorang perempuan sedang merebus air mengunakan dapur kayu. Air yang mendidih itu menunjukkan suhunya sudah mencapai 100 darjah celcius di dalam sebuah periuk yang amat besar. Cukup besar untuk memuatkan seorang manusia di dalamnya.

Seorang lelaki berjalan keluar daripada rumah tersebut menuju ke pintu belakang. Dia menarik sehelai kanvas yang menutupi satu lubang berkedalaman 6 kaki. Timbunan tanah disekeliling lubang itu yang masih basah menunjukkan dia baru sahaja selesai menggali lubang tersebut baru-baru ini. Lelaki tersebut masuk semula menerusi pintu dapur, melihat perempuan itu.

Perempuan itu memandangnya kembali dengan satu pandangan yang tajam sebelum mengangguk, memberi satu isyarat bahawa dia sudah bersedia untuk melakukan apa yang telah mereka rancang selama ini. Air di dalam periuk itu menggelegak, dan tudung periuk tersebut disandarkan di balik kabinet dapur, berdekatan dengannya.

Lelaki tersebut pergi ke satu bilik penyimpanan barang dan mengambil segulung tali bewarna hijau. Dia juga mencapai segulung selotep tebal bewarna hitam. Perempuan tadi menurutinya daripada belakang sambil membawa sebatang kayu beruti dan sehelai kain buruk. Mereka mulai berjalan menaiki tangga kayu yang usang menuju ke bilik tidur di tingkat satu.

“Kreeeekk….”, daun pintu ditarik dengan perlahan.

Di dalam kegelapan bilik tersebut, mereka tercari-cari di manakah budak perempuan tersebut. Suis lampu dipentik, namun lampu tersebut tidak menyala. Tetapi itu tidak menjadi masalah bagi mereka berdua kerana mereka tahu, di manakah budak perempuan tersebut bersembunyi. Lelaki itu menghulurkan tali dan selotep kepada perempuan itu kerana dia memerlukan kedua-dua belah tangannya untuk mengangkat tilam bagi menarik keluar budak perempuan tadi yang sedang bersembunyi di bawah katil.

Dia mengangkat tilam, dan perempuan itu terus mencapai tangan budak perempuan kecil itu, yang langsung tidak sedar apakah yang sedang berlaku. Dia membawa budak perempuan itu ke bawah semula, dan lelaki itu mengekorinya daripada belakang. Dia meletakkan budak tersebut di atas lantai di dapur dan bersedia untuk mengikat kedua-dua tangan budak itu di belakang.

“Toloooonggg!!! Tidaaakkk!!!”, tiba-tiba budak perempuan itu berteriak sebaik sahaja dia tersedar.

Dia menjerit dan menggelupur untuk melepaskan dirinya, namun, dengan segera perempuan itu menyumbat kain buruk yang dibawanya tadi ke dalam mulut budak perempuan itu, disusuli dengan lelaki tersebut yang menekan kepalanya di bawah seraya menampal mulutnya menggunakan selotep tebal itu.

Budak itu menggelupur dan cuba untuk menejrit, namun tiada apa-apa suara yang keluar daripada mulutnya. Perempuan itu sudah mulai gelabah dan hilang pertimbangan, dia tercari-cari di manakah letaknya kayu beruti besar yang tadi dibawa olehnya. Namun, tanpa disedari, budak perempuan tersebut menendang perempuan itu yang sedang ingin mencapai kayu yang terletak di atas lantai di hujung kakinya.

Perempuan itu tercampak ke hadapan, dan dalam kekalutan sebegitu, budak perempuan itu dapat melepaskan dirinya daripada terus-menerus ditekan kepalanya ke lantai. Dia berlari menuju ke arah periuk besar berisi air yang sedang mendidih itu.

Entah bagaimana dan apakah yang difikirkan olehnya, dia terus memegang dan menolak periuk besar itu menggunakan kedua-dua belah lengannya sekuat-kuat hatinya, menumpahkan isi air yang sedang menggelegak panasnya ke atas lantai. Lelaki itu tidak dapat mencapai budak perempuan itu yang berdiri di sebelah sana kawasan air yang panas yang telah tertumpah di atas lantai itu.

Tumpahan air tersebut terkena kepada arang yang sedang membara di dalam dapur kayu dan memadamnya dengan serta-merta. Kedua-dua tangan budak itu kemerah-merahan, dan mula melepuh. Namun itu tidak menghalang budak itu menyiat semula selotep yang terletak pada mulutnya.

Dia mengeluarkan kain buruk bewarna merah yang tadinya tersumbat di dalam mulutnya, yang menghalangnya daripada menjerit meminta tolong. Perempuan itu cuba bangkit untuk menghentinya daripada menjerit, tetapi tidak sempat.

“Tolong saya!!! Tolongggg!!!!”

Jeritan budak itu memecah keheningan malam Taman Mahawangsa. Jiran-jiran di sekitar rumah mereka mulai bangkit apabila terdengar bunyi meminta pertolongan itu. Lelaki tadi memandang muka perempuan itu, dan mereka hanya mampu menggelengkan kepala sahaja. Ternyata apa yang mereka rancang itu tidak menjadi. Budak kecil itu memandang mereka berdua, dan sekali lagi menjerit

“Tolooong!!!!!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience