“Aunty Jumira... Jason... ”
Laungnya memanggil-manggil kedua nama itu dari luar rumah milik Datin Jumira. Mata liar melihat sekeliling sambil menanti seseorang membuka pintu untuk dirinya.
Selang beberapa minit, sebuah kereta yang dipandu oleh Haiqal Jason muncul memasuki perkarangan rumah tersebut.
Haifah tersenyum gembira lalu mendekati lelaki itu saat kereta itu mula berhenti.
“Jason...” Laju sahaja wanita itu memeluk lengan Haiqal Jason sejurus selepas lelaki itu keluar daripada perut kereta. Terperanjat Jason dibuatnya. Riak wajah lelaki itu jelas memaparkan ketidakselesaan dengan perbuatan wanita itu.
“Apa kau buat ni?! Lepas!” Marah Jason. Dia menolak tubuh Haifah menjauh darinya. Jatuh saja tidak wanita itu ditolaknya.
“Jason...” Haifah ingin mendekat namun segera dicegah oleh Jason.
“Stop! Aku tak nak berkasar dengan engkau. Aku nak tanya, apa kau buat dekat sini lagi? Aku dengan kau dah tak ada apa-apa, tahu tak?”
“Jason, please. Jangan buat macam ni. Saya betul-betul ikhlas cintakan awak. Saya sanggup tunggu cinta awak. Please.... kahwin dengan saya, ya?” Rayu wanita itu sungguh-sungguh. Air mata wanita itu mula berkumpul di tubir mata saat ini. Dia sangat mengharapkan lelaki itu mahu berkahwin dengan dirinya.
“Ya Allah, Haifah! Berapa kali aku nak cakap, aku tak boleh balas perasaan engkau. Kasih dan sayang aku hanya untuk Hanis, bukan kau...” Emosi cuba dikawal saat ini. Lelaki itu sudah kehabisan kata-kata untuk menjelaskan hal tersebut kepada wanita dihadapannya ini. Tidak mungkin pula mahu menggunakan bahasa asing, bahasa Melayu saja wanita ini masih tidak faham-faham lagi!
“Awak boleh cuba. Saya boleh bantu awak. Kita sama-sama bekerjasama dalam hal ni mulai sekarang!” Haifah tetap memaksa. Tidak kira apa juga jawapan lelaki itu, dia mahu Haiqal Jason menjadi suaminya. Dia masih berpegang pada kata-kata, 'cinta boleh dipupuk.'
Jason menarik nafas dalam-dalam, lalu dihembus perlahan. Mahu gila melayan kerenah Haifah itu. Sangat menguji kesabaran!
“Kau nak aku pukul engkau baru boleh faham? Tolonglah, Haifah. Jangan paksa aku! Ada je lelaki yang boleh bahagiakan engkau suatu hari nanti,”
“Tak nak! Saya nak awak juga!” Tegas wanita itu menjawab.
“Jason? Haifah? Buat apa dekat luar tu?” Suara Datin Jumira kedengaran sebaik sahaja pintu rumah terbuka. Hairan apabila melihat riak wajah kedua insan itu. Seperti ada sesuatu yang terjadi. Gaduh ke?
“Aunty...” Laju saja Haifah mendapatkan wanita separuh abad itu. Datin Jumira adalah satu-satunya harapan untuk membantu dirinya memujuk Haiqal Jason agar bersetuju berkahwin dengan dirinya.
“Kenapa pula ni?” Terkial-kial Datin Jumira melihatnya.
“Aunty nak tahu tak, Jason dah putuskan ikatan pertunangan tu. Aunty pujuklah dia. Aunty tahu kan, saya sayang anak aunty macam mana?” luah Haifah. Datin Jumira hanya beriak biasa sahaja. Memang itulah rancangan yang diberikan kepada anaknya tempoh hari.
“Masuk dulu. Kita bincang di dalam, ya...”
“Cuba jelaskan, apa yang dah jadi sebenarnya?” Soal Datin Jumira setelah masing-masing telah mengambil tempat. Wajah Jason dan Haifah dipandang silih berganti menanti jawapan.
“Jason dah berjumpa dengan aunty Hafizah, berbincang pasal perkara ni. Aunty Hafizah pun dah bersetuju kalau Jason putuskan ikatan pertunangan ni,” Kata Jason dengan jujur. Tenang air muka lelaki itu. Tiada rasa gugup mahupun rasa bersalah dalam diri. Baginya, keputusan yang diambil adalah sesuatu yang wajar untuk mengelak daripada perkara buruk terjadi di antara dia dengan Haifah.
“Tapi, saya tak setuju! Mama tu suka hati je cakap macam tu. Bukan dia pun yang nak kahwin. Sibuk aje...” Balasnya sedikit tidak puas hati dengan keputusan mamanya sendiri.
“Haifah... tak baik cakap macam tu... Mesti mama kamu risau dengan kamu...” tegur Datin Jumira dengan nada lembut.
Haifah mencebik. “Aunty, tolong Haifah. Nasihatkanlah Jason ni sikit, supaya mahu teruskan pertunangan ni. Tak pun, bagi kitaorang kahwin je terus, boleh?” Ujarnya tanpa ada rasa segan dalam diri.
“Tak, sampai bila-bila aku tak akan kahwin dengan engkau!” Tegas Jason. Urat-urat hijau di dahinya mula kelihatan menahan asap kemarahan. Mahu saja dicekik wanita itu saat ini. Datin Jumira hanya memandang tanpa bersuara. Sekali anaknya berkata tidak, maka sampai bila-bila dia akan berpegang kepada keputusan itu.
“Aunty, tolonglah pujuk Jason! Kalau tak, aunty akan tanggung malu nanti! Yelah, ini boleh dianggap permainkan anak orang!“ Tanpa ragu-ragu Haifah berkata demikian. Jelas sedikit terkejut wanita separuh umur itu.
“Dengar, Haifah. Mama aku tak akan tanggung semua tu. Kau nak tahu kenapa? Sebab yang bertunang aku. Yang putuskan pertunangan ni, aku juga. Mama aku tak ada kena mengena dalam hal ni!”
Haifah hanya berdiam diri. Otaknya masih ligat berfikir mahu mendapatkan lelaki itu. Tidak kira dengan cara apa sekalipun. Lautan berapi sanggup di harungi!
“Kau baliklah... Keputusan aku muktamad. Aku tak akan berkahwin dengan sesiapa melainkan Putri Hanis, faham?!” Tambahnya lagi.
“Awak ni tak habis-habis dengan Hanis! Aunty... aunty tahu tak, wanita yang Jason puji sangat tu, dia datang serang Haifah. Siap tampar Haifah lagi! Itu yang awak nak?! Itu ke yang nak jadi menantu aunty?” Wajah Jason dipandang seketika sebelum melarikan pandangan ke arah Datin Jumira.
“Hanis datang serang kamu?” Soal Datin Jumira sedikit tidak percaya. Mustahil Hanis berbuat demikian. Sangat tidak masuk akal jika Hanis menyerang orang lain hanya kerana seorang lelaki.
“Iya, aunty. Tak kan saya nak tipu. Pipi saya ni masih terasa lagi tamparan dia. Hanis tiba-tiba datang, lepas tu marah-marah. Siap tuduh Haifah ni perempuan tak ada harga diri sebab rampas Jason dari dia,” ujarnya begitu sungguh-sungguh, cuba menyakinkan wanita separuh umur itu.
“Ada tetamu rupanya... Patutlah hati rasa tak tenang je dalam bilik tadi,” Suara Atiqah mengambil alih perhatian mereka bertiga yang ada di ruang tamu tersebut. Sebenarnya, wanita itu mahu mengambil air minum, namun secara tidak langsung kuping telinganya mendengar nama sahabatnya dipetik. Tertunda tujuan utama untuk sementara waktu.
Wajah Haifah sedikit berubah melihat kemunculan Atiqah disitu. Hati yang ingin senang tadi bertukar menjadi tidak keruan saat ini. Dia dengar ke apa aku cakap pasal Hanis tadi? Bisiknya.
“Apa... apa kau buat dekat sini?” tanya Haifah tiba-tiba.
“Saja. Dekat rumah aku bosan, so tak ada salahnya kalau nak datang rumah mama mentua sendiri,” balas Atiqah dengan tenang. Dia turut mengambil tempat diruang yang kosong.
“Korang berdua dah kenal lama ke?” soal Datin Jumira.
“Tak delah, ma. Saya kenal dia pun sebab Hanis. Ni Haifah, tunang Jason kan?”
“Bekas tunang...” Jason memperbetulkan ayat Atiqah sebentar tadi.
“Oh...bekas...okay...” Terangguk-angguk Atiqah dibuatnya. “Kalau tak silap dengar tadi, kau ada sebut nama Hanis, kan? Kenapa dengan dia?” soal Atiqah. Wajahnya tampak lebih serius dari sebelumnya. Seram!
Haifah tidak menjawab pertanyaan itu.
“Hanis datang serang Haifah sebab rampas Jason. Ini bukan salah Haifah pun, ini salah mama juga. Tak pasal-pasal Haifah kena tempiasnya...” balas Datin Jumira. Haifah hanya menunduk tidak mahu memandang wajah Atiqah saat itu. Mampus aku!
“Macam terbalik aje saya dengar tu, ma. Jauh beza sangat dengan apa yang Hanis alami,”
“Maksud kamu? Hanis ada cerita dengan kamu ke?” Semakin pusing Datin Jumira saat ini. Jason hanya berdiam menanti kebenarannya. Namun, kalau betul pun Hanis serang Haifah, dia tak marah pun. Anggap sajalah Hanis mewakili dirinya melepaskan geram.
“Tak. Hanis tak pernah cerita. Saya sendiri nampak perempuan ni datang serang Hanis. Masa tu kitaorang sedang lepak santai. Tiba-tiba, dia datang dan marah-marah. Kalau mama nak tahu, bukan Hanis je yang tampar dia, saya sendiri pun tampar dia juga sebab tak ada adab langsung...” terkumat-kamit mulutnya menceritakan kebenaran tersebut.
“Kenapa perlu berkasar? Bincang elok-elok boleh kan?” balas Datin Jumira.
“Hanis dah cukup lembut dah layan dia. Tapi, perangai dia ni memang nak makan penampar. Mama tahu tak apa dia cakap dengan Hanis?”
“Cakap apa?”
“Dia cakap, Hanis tu miskin. Tak layak buat Jason. Paling saya sakit hati, dia cakap Hanis perempuan murahan!” memetir nada itu kedengaran.
Keadaan menjadi bungkam untuk beberapa saat. Datin Jumira terdiam serta-merta. Haifah juga tidak menjawab. Hanya tertunduk menahan malu. Tiba-tiba, Haiqal Jason tersenyum sinis.
“Habis, engkau layaklah buat aku? dengan perangai entah macam apa...” sinisnya.
“Dari awal aku dah agak, dia ni menipu je. Tak payah buat macam ni, Haifah. Kau burukkan nama Hanis sekali pun, aku tetap percaya dengan dia. Sekarang, baik engkau balik. Aku tak mahu tengok muka kau lagi,” tenang ayat itu dilontarkan buat Haifah yang masih terpaku ditempatnya.
“Jason....saya...buat macam tu sebab nak awak je. Tolong maafkan saya... please, bagi saya peluang kedua...” Haifah mula merayu. Air mata mula membasahi pipi. Terselit rasa menyesal atas perbuatannya sendiri.
“Peluang pertama pun aku tak pernah bagi engkau, peluang kedua pula kau nak minta?” Jason menggeleng perlahan. Tak faham langsung dengan wanita itu.
“Tapi...”
“Cukuplah, Haifah. Actually, aku nak marah sebab kau dah berani nak burukkan nama Hanis. Tapi, aku tak mahu keruhkan keadaan lagi...” dia berhenti seketika. Haifah hanya menangis tersendu-sedan.
“...baik engkau balik dan ingat pesan aku. Jangan ganggu Hanis lagi. Lepas ni, kalau ada apa-apa yang berlaku dengan dia, kau orang pertama aku cari. Ingat tu!” Sambung Jason lagi. Kemudian, dia meninggalkan ruang tamu tersebut dan masuk ke dalam biliknya. Sengaja dia memberi amaran kepada wanita itu agar tidak berlaku perkara lain selepas ini.
“Jason... aunty....to-tolong pujuk Jason, aunty. Saya... saya tak ada niat mahu menipu tadi. Saya... cuma... mahu... aunty dan Jason...benci Hanis...” Haifah mendapatkan Datin Jumira yang duduk di atas sofa itu setelah kelibat Jason sirna dari matanya. Tersekat-sekat dirinya merayu pada wanita itu.
Jatuh kasihan Datin Jumira melihatnya. Namun, dia sendiri juga tidak dapat membantu dalam hal ini. Dirinya lah yang patut disalahkan saat ini. Disebabkan dirinya, orang lain turut menjadi mangsa, termasuk anaknya sendiri. Bahu Haifah diusap dengan lembut.
“Aunty betul-betul minta maaf dengan kamu, Haifah. Aunty tak dapat tolong kamu. Ini semua berlaku atas kebodohan aunty sendiri. Maafkan aunty, ya sayang?”
Lama Haifah berdiam dan hanya menangis. Masih sukar mahu melepaskan Haiqal Jason. Setelah puas dipujuk oleh Datin Jumira, akhirnya wanita itu akur dan menerima semua keadaan itu dengan lapang dada. Sisa air mata di kesat dengan tisu yang diberi.
“Terima kasih, Haifah. Aunty doakan semoga ada lelaki yang lagi terbaik untuk jaga kamu. Aunty minta maaf sekali lagi, ya.”
Haifah tersenyum. Dia sedar, sifatnya yang suka memaksa itu terlalu buruk sehingga membuatkan orang tidak selesa dengannya. Dia sedar, apa pun yang dirancang, jika bukan atas kehendak-Nya, semua itu tidak akan berlaku.
“Haifah pun nak minta maaf dengan aunty, Jason dan awak Atiqah. Tolong beritahu Hanis, saya minta maaf sangat-sangat. Kalau semua dah reda, saya datang jumpa dia. Tak tahu nak cakap apa lagi. Saya malu sangat-sangat....”
“Takpelah... saya pun buat silap juga. Kita sama-sama belajar dari kesilapan kita,” balas Atiqah dengan lembut. Datin Jumira hanya tersenyum lebar. Sedikit tenang hatinya saat ini. Syukurlah, keadaan semakin membaik.
Haifah mengangguk perlahan. “Kalau tak ada apa, saya balik dulu,”
“Boleh ke kamu drive sorang-sorang ni? Kalau nak, driver aunty boleh tolong hantarkan. Risau pula dengan keadaan kamu ni,” ujar Datin Jumira penuh prihatin.
“Eh, tak pe. Saya okay je, aunty. Saya balik dulu, Assalamualaikum....” ucapnya sebelum melangkah keluar dan menuju masuk ke dalam keretanya.
“Waalaikumsalam...“ jawab Atiqah dan Datin Jumira sedikit serentak. Seketika, kereta itu sudah sirna dari ruang mata mereka berdua pada petang itu.
****
Happy Reading semuanya <33
Share this novel