BAB 5

Romance Completed 346094

DIF-dif kehormat serta tetamu jemputan VIP dilihat melangkah masuk ke dalam dewan ballroom The Westin Hotel, Kuala Lumpur. Serentak itu seluruh hadirin bangun menyambut kehadiran mereka bersama tepukan gemuruh.

Turut kelihatan di dalam kalangan tetamu istimewa berkenaan tentulah jejaka ‘terhangat’ di pasaran yang juga lelaki paling ‘arrogant’ di alam semesta. Siapa lagi kalau bukan Ian Khalif bin Datuk Ismail.

“Good evening, Mr Ian.”

“Mr Ian, how are you?”

“Hey, Ian. Nice to see you here.”

“Ian, what’s up?”

“Ian, lama tak jumpa.”

Daripada sapaan penuh formal sehinggalah ke huluran tangan bagaikan teman akrab, kehadirannya di majlis itu amat dialu-alukan para hadirin. Siapa yang tidak mengenali si Ian Khalif. Pewaris legasi empayar perniagaan keluarganya yang terkenal kehebatannya di kalangan rakan seperniagaan.

Kebanyakan yang datang beramah-mesra bukan kerana mereka rapat atau sukakan dia. Sebaliknya hanya berpura-pura untuk mendapatkan keuntungan dari hubungan korporat yang terjalin. Begitulah realiti di dalam dunia bisnes. Semuanya dilakukan untuk melobi kepentingan masing-masing sahaja.

Dan seperti biasa seorang Ian Khalif akan tersenyum bangga dan merasa seolah-olah dirinya tersangat dihargai oleh orang sekeliling. Membuatkan dia menjadi bertambah ego, riak dan angkuh.

Acara makan malam bermula. Ian mengambil tempat. Duduk di kalangan para tetamu jemputan VIP berhampiran pentas utama. Sesekali berborak dan bertukar pandangan dengan hadirin di kerusi sebelah sambil menjamu selera dan menikmati persembahan yang disajikan.

Sejujurnya dia bosan datang ke majlis seperti ini. Apatah lagi duduk bersama tetamu-tetamu yang jauh lebih berusia. Haih, sudahlah persembahan di pentas juga tidak menarik. Ingatkan ada ‘catwalk show’ yang menampilkan model-model jelita. Bolehlah dia ‘cuci mata’ kejap. Sebaliknya tetamu hanya dihidangkan dengan persembahan muzik okestra dan jazz yang mendayu-dayu. Adoi. Ini silap-silap kejap lagi boleh tertidur dia kat sini. Zzzzz…

Tiba di pertengahan acara, Ian semakin jemu. Matanya mula meliar memandang sekeliling. Mencari-cari andai ada sesuatu yang menarik untuk menghilangkan rasa mengantuk yang mula menyapa. Hurm, tak adakah ‘awek cun’ malam ni? Ke mana menghilangnya semua gadis-gadis jelita yang mungkin berpotensi untuk menjadi teman pendampingnya?

“Excuse me, Mr Ian.”

Seorang pelayan majlis tiba-tiba menyapa lalu meletakkan sesuatu di atas meja di hadapannya.

Ian mengerutkan dahi tidak memahami. Dia menjungkit kening bersama mimik muka yang bermaksud meminta penjelasan.

“Gadis yang duduk di meja sana minta saya berikan ini kepada tuan.” Lelaki pelayan majlis itu berbisik berhampiran telinga Ian sebelum dia berlalu pergi.

Lipatan kertas yang diberikan si pelayan majlis tadi dibuka lalu dibaca.

‘Meet me at lobby, handsome.’

Seraya pandangan Ian dihala ke arah seorang gadis jelita yang duduk bertentangan dengannya selang dua buah meja bersebelahan. Dari jauh dia dapat melihat senyuman penuh menggoda diberikan gadis itu untuknya.

Hah, itu dia. Seorang lagi dah masuk ‘jerat’. Yes. Dia tidak akan pulang dengan tangan kosong malam ini. Tidak perlu dia terkejar-kejar. Sebaliknya si gadis yang menawarkan diri.

Dan seperti biasalah, Ian Khalif akan kekal tenang dan tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia tertarik pada gadis itu. Berlagak ‘cool’ kononnya. Sengaja jual mahal. Kerana dia mahu gadis itu yang datang merayu mendambakan dirinya.

Sehinggalah tamatnya acara makan malam yang berlangsung dan dif-dif kehormat mula beransur pulang, barulah Ian bangun dari duduknya. Berjalan di sekitar dewan untuk beramah mesra dengan beberapa orang kenalan bisnes.

“Hi, handsome.”

Seperti yang Ian sudah jangka sedari awal, gadis yang duduk selang dua buah meja tadi datang menyapa. Matanya mengerling pandang ke arah si gadis.

“Yes?”

“Mr Ian Khalif, I’m Amanda.” Gadis itu menghulurkan tangan untuk berjabat.

Huluran tangan bersambut. Ian masih berpura-pura tidak tergoda biar pun hakikatnya tubuh mungil si gadis dalam pakaian singkat dan sendat itu seakan-akan memanggil untuk dia memaut erat.

“Amanda. Hi.”

“Well, I dari Preston & Co. Nice to see you, Mr Ian. I dah lama perhatikan you. Since the first time kita bertemu di PICC dulu.”

“Oh, really? Kita pernah jumpa sebelum ni?” Ian bertanya. Entah betul atau tidak. Dia sendiri tak ingat.

“Ya, ada. Tapi, masa tu you nampak sibuk sangat. So, I tak berani tegur you.” Si gadis memintal-mintal hujung rambut panjangnya yang mengurai.

“Ah, I see. Sorry I memang selalu busy. Tak sempat nak pandang sesiapa. Unless kalau you datang tegur. Well, nice to see you too Ms Amanda,” ujar Ian sambil mempamerkan senyuman tampan penuh aura yang menghiasi wajahnya.

“So, selepas majlis ni you ke mana? Erm kalau you perlukan teman, I boleh temani malam you…” Tanpa segan-silu si gadis menyatakan hasratnya.

Seraya Ian tertawa kecil. Seronok sebenarnya. Bangga pun iya juga bila ada si jelita yang ‘offer’ diri seperti itu. Tak perlu dia bersusah-payah.

“Well, malam ni I busy sikit. Ada hal.” Ian berpura-pura memberi alasan.

“Hurm ada hal atau you dah ada teman lain? Tapi, I nak beritahu yang I free malam ni. Bila-bila masa yang you perlukan I tau.”

Si gadis menjeling manja sambil terus menawarkan diri. Tak akan dilepaskan peluang untuk bersama jejaka paling ‘hot and spicy’ ini.

Ian mengurut-ngurut dagunya yang bersih tanpa janggut. Pandangan bertaut pada raut jelita gadis di hadapannya. Spontan liur diteguk perlahan. Menahan gelora hawa nafsu yang mula bertandang.

“Tunggu I di ‘basement’. My driver akan ambil you nanti,” bisik Ian berhampiran telinga gadis itu sambil tersenyum penuh makna.

Riak wajah si gadis terus bertukar teruja. Hatinya melonjak kegirangan. Senyuman ceria terukir di bibir.

“Okay, handsome. I tunggu you di basement ye,” ucap gadis itu lantas berpusing dan berlalu pergi.

Ian memerhati bayang tubuh gadis itu yang terkedek-kedek berjalan dalam ‘stiletto’ merahnya sehingga hilang dari pandangan. Spontan dia menggeleng sambil berdesis sinis.

‘Perempuan, kenapalah kau murahan sangat.’

DARI sudut dewan ballroom, Alyka menjuihkan bibir memerhati gelagat sang ‘buaya’ jantan dan ‘kucing’ betina yang sedang menggatal. Gedik betul perempuan itu. Tidak malu menyerahkan diri. Agaknya begitu jugalah yang dilakukan oleh teman baiknya dulu sehingga terjerumus ke dalam perangkap sang buaya seperti Ian Khalif.

Alyka akui jejaka seperti Ian memang memukau pandangan apabila dilihat secara depan-depan. Kacak, bergaya serta punya aura tersendiri. Tidak hairan apabila ramai wanita yang mudah tertawan hanya dengan melihat fizikalnya sahaja. Hurm, tapi tidak untuk wanita sepertinya. Tak mungkin dia akan terjatuh ke dalam jerat jantan ‘puaka’ seperti itu.

Alyka menanti waktu yang paling sesuai. Untuk mengajar jejaka seperti Ian memerlukan kesabaran dan juga kebijaksanaan. Mungkin akan mengambil masa. Tapi, tak mengapa. Apabila semuanya berada di dalam genggaman nanti, segala yang dia hajati pasti akan mudah diperolehi.

Saat melihat gadis yang terliuk-lentok di hadapan Ian Khalif tadi berlalu meninggalkan lelaki itu, Alyka dengan segera mengatur langkah. Dia menuju ke ruang berhampiran pintu ballroom.

Di arah bertentangan Ian Khalif baru sahaja selesai berjabat tangan dengan salah seorang rakan perniagaan. Dia tak sabar-sabar nak meninggalkan majlis. Ada ‘kucing parsi’ yang sedang menantinya di aras basement. Terbayang-bayang gadis itu sedang ‘mengiau’ manja. Aish.

Bagaimana pun, ketika Ian mengatur langkah yang laju menuju ke pintu utama dewan ballroom, tanpa sengaja tubuhnya bertembung dan terlanggar seseorang. Hampir-hampir sahaja gadis bergaun malam warna gelap itu rebah ke lantai jika dia tidak memaut pinggang si gadis dengan sigap. Secara spontan tindakan refleks Ian menarik tubuh langsing gadis itu rapat ke tubuhnya.

Dalam momen tidak dijangka itu, pandangan Ian tepat tertancap pada renungan mata bundar berwarna coklat milik si gadis yang begitu mempesona. Buat seketika dia seakan tidak berada di dunia realiti. Lidahnya kelu. Raut jelita si gadis yang cuma berjarak dua jengkal dari mukanya membuatkan dia terpukau.

“Ah, encik. Maafkan saya,” ucap Alyka memohon maaf.

Bagai baru dikejutkan dari mimpi, Ian kembali semula ke alam nyata. Dia melepaskan pautan dari pinggang Alyka. Seraya membetulkan jaket semi formal yang tersarung di tubuhnya.

“Maafkan saya, encik. Saya tak sengaja terlanggar encik. Saya betul-betul tak nampak tadi...” Sekali lagi Alyka memohon maaf dalam reaksi bersalah.

Sebetulnya memang dia sengaja pun melanggar si Ian Khalif. Adegan yang dicipta agar tampak ‘real’ pada pertemuan pertama mereka. Ala-ala drama gitu.

Sementara Ian pula seakan tidak keruan saat mendengar tutur bicara Alyka yang lemah lembut dan terdengar merdu di pendengarannya. Serta-merta perasaannya bagai terusik dan bergetar.

‘Cantik macam ni, kalau kena langgar berkali-kali pun tak mengapa. Sanggup!’ Bisik hati kecil Ian.

Memang Ian akui gadis ini amat cantik, jelita dan juga manis. Segalanya tampak sempurna. Malah, jauh lebih cantik dan jelita berbanding gadis yang menggodanya seketika tadi. Haih, kenapa baru sekarang kau muncul wahai si cantik? Hati Ian menggerutu.

“Urm it’s okay. I pun tak nampak you juga tadi.” Balas Ian sambil berusaha menyembunyikan gelora perasaan sebenarnya.

“Saya nak ucap terima kasih pada encik sebab bantu saya daripada terjatuh tadi. Saya hargai sangat kebaikan encik.” Alyka terus mempamerkan ‘kesopanan dan kesusilaan’ dalam bicaranya.

“No worries. Small matter je.”

“Saya pergi dulu ye.”

Alyka kemudian meminta diri. Seraya dia berpaling dan mengatur langkah setapak demi setapak meninggalkan Ian. Sambil itu dia mengira di dalam hati. Satu… dua… tiga… empat… li…

“Hey girl.” Ian tiba-tiba melaung memanggil Alyka.

Alyka terus menghentikan langkah dan kembali menghadap tubuhnya ke arah Ian. Sambil mempamerkan renungan mata yang polos.

“Ya, encik?”

Dengan segera Ian melangkah menghampiri Alyka. Di tangannya terdapat sesuatu.

“Ini. Your purse kan?”

Ian menghulurkan ‘clutch’ Gucci yang terjatuh di lantai ballroom di hadapannya tadi ke arah gadis itu. Kebetulan dia ternampak.

Alyka berpura-pura terkejut. Kononnya tidak sedar ‘clutch’ miliknya terjatuh. Padahal dia memang sengaja melakukan begitu tadi untuk menambah ‘babak’ drama.

“Ah, ya. Ini purse saya. Terima kasih sekali lagi, encik. Encik banyak tolong saya malam ni. Maaf sangat sebab saya menyusahkan encik.” Sambil mengambil semula tas kecil dari tangan Ian, Alyka mengucapkan penghargaan dengan bersungguh-sungguh.

Ian lantas mengerutkan dahi. Diperhati ke raut jelita Alyka. Siapa gadis ini? Dari tadi menyapa dia dengan panggilan ‘encik-encik’. Haih, dia tak kenal ke aku siapa? Semua orang tahu kot aku ni Ian Khalif anak Datuk Ismail. Mustahil perempuan ni tak kenal aku.

“You tak tahu I siapa?” Selamba Ian bertanya.

Alyka mengerutkan dahi penuh keliru. “Er encik ni siapa?”

Duh! Ian meraup anak rambutnya ke belakang. Dalam ramai-ramai perempuan cantik di KL, ini pertama kali dia bertemu dengan seorang gadis yang tidak mengenali dirinya. Terasa agak terhina dan tercabar di situ.

“Well, I…”

Belum sempat Ian mahu memperkenalkan diri dalam lagak angkuh dan riak, Alyka terlebih dahulu memintas kata-katanya.

“Maaf, encik. Saya sebenarnya mengejar masa. Saya pergi dulu ya. Terima kasih sebab tolong saya tadi. Selamat tinggal.”

Dalam reaksi tergesa-gesa, Alyka terus memusingkan tubuh dan melangkah pergi meninggalkan Ian yang masih terpinga-pinga sendirian.

Dengusan nafas berhembus kasar. Siot. Baru je dia nak beritahu siapakah dirinya yang sebenar kepada perempuan itu. Si gadis sudah melarikan diri. Ian memerhati kelibat tubuh gadis yang tidak sempat dikenalinya sehingga hilang dari pandangan. Riak kecewa jelas tergambar di wajahnya.

Terasa ingin dikejar dan diekori langkah gadis cantik tadi. Entah mengapa dia bagai didesak untuk mendapatkan gadis itu. Namun, seketika kemudian hatinya pantas membantah. Tak boleh. Dia tak pernah mengejar perempuan. Itu prinsip hidup yang sentiasa dipegang.

Bagaimana pun, bayangan wajah jelita dan manis milik gadis tadi terus bermain-main di fikiran. Haish, sudahlah nama pun tak sempat tanya. Hurm.

Namun, tika itu Ian terpandang akan seutas ‘bracelet’ yang bersinar dan terdampar di atas lantai berdekatan tempat dia berpijak. Dia yakin ia milik gadis cantik tadi. Lantas diambil lalu dibelek. Tertera tiga huruf yang terukir pada rantai tangan itu.

‘ALY’

“Aly…” Bibir Ian tersenyum.

Nice name. Sesuai untuk orangnya yang cantik dan manis. ‘Semoga kita akan bertemu lagi, Aly.’ Tanpa sengaja Ian berharap akan ada momen bersama gadis tadi di lain waktu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience