Bab 12

Vampire Series 30571

SEJAK pulang dari kolej tadi aku tak dapat hubungi Azril. Panggilan telefon masuk tetapi tidak dijawab. Rumah Azril gelap dan keretanya tiada di garaj. Aku tak tahu kemana dia pergi. Apa yang aku lihat hidup Azril sentiasa dalam cengkaman Adrian. Seperti fitrah sepasang kembar yang akan mencemburui pasangan kembarnya. Dalam situasi ini, mereka bukan kembar tapi Adrian tak mahu Azril mengatasi dirinya biarpun hakikatnya si abang itu lebih kuat berbanding adiknya. Hal ini menyebabkan aku bertambah runsing. Sudah bebarapa kali aku berjalan ke hulu ke hilir di dalam bilikku ini.

Aku patut lakukan sesuatu untuk betulkan situasi diantara kami. Kalau Azril sedaya upaya hendak menjauhi aku, itu hanya kerana ancaman daripada Adrian. Aku akan bersemuka dengan Adrian walaupun diancam bunuh oleh lelaki itu. Jadi biarkan saja dia muncul lagi malam ini dan aku akan paksa dia hentikan niat jahat dia.

KLAK!

Langkah gusarkan terbeku sebaik mendengar bunyi jendela terbuka dari luar. Aku yakin itu Adrian. Sebelum kelibat Adrian menjenguk dari balik jendela, aku bersiap sedia hendak menyerangnya. Oh, bukan menyerang dengan apa-apa senjata. Hanya dengan mulut. Ikut logik akallah. Bukannya kuat sangat pun tenagaku hendak mengalahkan Adrian.

Pintu jendela terkuak ke luar. Susuk tubuh Adrian muncul menyapaku dengan senyuman nakalnya seperti selalu. Adrian yang sinonim dengan jaket kulit warna hitamnya itu tidak terus melangkahkan kakinya ke dalam bilikku, sekadar duduk di lawang jendela sambil memerhatikanku yang berdiri memandangnya dari dalam bilik.

“Penipu! Apa yang kau dah buat pada aku selama ini?”

Adrian tertawa sebaik mendengar tengkinganku. Ketawanya kuat macam syaitan! Menyakitkan hati. Seolah-olah dia memang sudah menjangkakan reaksiku terhadapnya malam ini.

“Jadi apa yang Azril dah beritahu kau?” soalnya dengan tenang sambil matanya tekun meneroka wajahku yang sudah merah padam menahan marah.

“Kau kawal fikiran aku kemudian kau biarkan aku anggap Azril macam raksasa. Apa tujuan sebenar kau, Ian?” nafasku turun naik menahan gelora amukan jiwa.

Adrian ketawa lagi. Kali ini kakinya dijatuhkan masuk ke dalam bilikku. Aku berundur setapak ke belakang sebagai langkah berhati-hati.

“Sisa darah dalam toilet kelmarin… semua tu kerja kau, kan? Aku takkan biarkan kau mengancam ketenteraman hidup kami di kolej!”

Adrian melangkah setapak demi setapak ke arahku dengan selamba. Aku pula yang semakin cuak sekarang ni. Mulut aku sahaja yang lancang dan berani, hakikatnya jiwa aku tengah kacau habis melawan ketakutan. Setapak demi setapak aku melangkah ke belakang menjauhi Adrian. Tapi sejauh mana ruang yang aku ada untuk lari di dalam bilik ini. Akhirnya Adrian dapat mencapaiku. Tangan Adrian mencengkam kemas rahangku. Aku sedaya upaya menyembunyikan ketakutanku dengan air muka yang garang.

“Walau apapun yang kau mahukan dari aku, jangan libatkan sesiapa. Jangan kau sentuh mereka semua termasuk Elmira. Jangan ancam atau ugut Azril lagi.”

“Kau ingat kau siapa nak beri arahan kepada aku, Sofie?” Nada suara Adrian sedingin ais. Terpancar kejahatan pada air mukanya yang seolah-olah hendak menelan aku hidup-hidup.

“Kau guna kuasa kau untuk rampas hak seseorang. Lebih baik kau bunuh sahaja aku, Ian.”

“Memang itu yang patut aku buat sejak dari awal lagi, Sofie…”

Aku gugup mendengar setiap butir bicaranya. Memang sejak dari awal pertemuan kami lagi Adrian menyatakan yang dia mahu membunuhku. Aku tak pernah terfikir kalau ia bakal menjadi igauan ngeri dalam hidupku. Dia benar-benar maksudkan kata-katanya itu.

“…tapi berbanding membunuh kau, aku… lebih mahu memiliki kau, Sofie.” Perlahan-lahan cengkaman tangannya mula longgar. Hujung jarinya menyentuh wajahku dan perlahan-lahan menjalar ke pangkal leherku. Anak matanya menikam pandanganku sambil sebelah lagi tangannya mula memaut tengkukku. Wajahnya berubah serta merta. Kulit mukanya pucat dan keluar urat-urat hijau di sekitar mata. Bola matanya yang berwarna coklat berubah merah. Mulutnya terbuka dan taringnya memanjang perahan-lahan di hadapanku.

Azril… tolong aku! Kalaulah aku mampu menjerit waktu ini, aku harap Azril datang untuk menyelamatkanku. Malangnya hanya air mataku sahaja yang keluar berlinangan kerana ketakutan. Aku takkan rela mengikut kehendak Adrian!

“Kau boleh kuasai minda aku tapi kau tak kan boleh kuasai hati aku.”

Serta merta roman wajah Adrian kembali pada keadaan normal semula. Kedua-dua anak mata Adrian menikam pandang ke wajahku dengan perasaan yang tak dapat aku gambarkan. Barangkali marah. Barangkali juga kecewa. Dia melepaskan cengkamannya terhadapku. Taringnya yang memanjang di sisi mulut tadi beransur-ansur tenggelam semula ke dalam mulut. Dia mula berundur ke belakang.

“Kita tengok suatu hari nanti…”

Suaranya dingin dan dalam. Aku hampir tak dapat mendengar butir bicaranya. Lelaki itu kembali memanjat lawang jendela dan lesap tanpa ucapan selamat tinggal kepadaku.

Aku terjelapuk di atas lantai beberapa saat kemudian. Tangan mengurut dada. Kelegaan yang tak terucap dengan kata-kata. Syukur pada Tuhan yang masih memanjangkan usiaku malam ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience